kematian asyraf sinclair
Bukankah kekal aktif membantu jantung berfungsi dengan lebih baik serta membolehkan aliran darah melalui anggota badan dengan lancar?

Menjadi aktif bukanlah satu tiket yang membolehkan anda hidup lebih lama, malah tiada siapa boleh terlepas daripada maut. Namun, itu bukanlah satu alasan bagi anda untuk tidak bersenam kerana senaman sememangnya bermanfaat bagi semua orang. Selain memberikan kesihatan yang lebih baik, ia juga dapat mengurangkan berat badan serta mengurangkan risiko individu mendapat penyakit berbahaya seperti penyakit jantung dan banyak lagi. Namun, mengapa ada juga individu yang mati secara mengejut? Bukankah kekal aktif membantu jantung berfungsi dengan lebih baik serta membolehkan aliran darah melalui anggota badan dengan lancar?

Terbaru, kematian Ashraf Sinclair mengundang tanda tanya rata-rata peminatnya kerana arwah merupakan seorang yang aktif dalam kehidupan hariannya. Ini boleh dilihat melalui gambar-gambar yang dimuat naik di laman Instagramnya sendiri. Ada yang mengatakan bahawa kematiannya dalam tidur itu berpunca daripada aktiviti latihan yang melampau sehingga menyebabkan serangan jantung secara tiba-tiba.

Jadi, adakah perkaitan ini boleh diterima?

Perkaitan antara senaman dan serangan jantung

Kebelakangan ini juga, banyak laporan melibatkan individu yang mati ketika beriadah seperti berjoging mahupun bermain badminton. Menurut sebuah artikel di Berita Harian Online, Ketua Pakar Kardiologi Kanan, Institut Jantung Negara, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata bahawa risiko kematian mengejut yang membabitkan individu aktif bergantung kepada jenis sukan yang dilakukan.

Biasanya, individu aktif ini selalunya mati kerana serangan jantung seperti “Hipertropik Kardiomiopati” yang mana sebahagian jantung mengeras dan tidak dapat mengepam darah seperti biasa. Ini menyebabkan individu sesak nafas dan tidak cukup oksigen.

Apabila anda melakukan aktiviti lasak buat tempoh yang lama, anda berkemungkinan mengalami rasa berat di dada dan rasa hendak pitam serta jantung berdebar tanpa alasan yang munasabah.

Namun, lain pula sekiranya anda mengalami serangan jantung ketika tidur boleh menyebabkan anda mati secara mengejut. Ini mungkin berpunca daripada aktiviti jantung yang terlalu aktif betul-betul sebelum anda tidur menyebabkan ia berdegup terlalu kencang tanpa jarak waktu yang mencukupi.

Bolehkah kejadian sebegini dicegah?

Walaupun kita tidak boleh melawan takdir Tuhan soal mati, namun apa salahnya jika kita berusaha mencegah kejadian sebegini daripada berlaku lagi? Walaupun melakukan senaman itu bermanfaat, namun ambillah langkah yang betul agar anda tidak membahayakan diri sendiri tanpa anda sedari.

  • Lakukan aktiviti senaman secara bersederhana. Elakkan mencabar diri anda melakukan sesuatu yang lebih daripada kemampuan badan sendiri.
  • Dapatkan tempoh rehat yang mencukupi agar otot anda dapat berehat dan merawat dirinya sendiri.
  • Tetapkan matlamat kecergasan anda dengan betul agar anda tidak menyimpang jauh daripadanya.
  • Dapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengurangkan risiko anda mendapat penyakit berbahaya.
  • Jika anda melakukan senaman pada waktu malam, pastikan anda berikan tempoh interval selama satu jam sebelum tidur.
  • Mulakan dengan senaman ringan dahulu sebelum menaikkan intensiti latihan anda sedikit demi sedikit.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.thejakartapost.com/life/2020/02/18/malaysian-actor-ashraf-sinclair-dies-at-40.html

SUMBER

  1. http://www.astroawani.com/gaya-hidup/risiko-mati-mengejut-ketika-bersukan-173431
  2. https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/lain-lain/2018/03/403164/individu-cergas-juga-berisiko-mati-mengejut

Summary
Article Name
Kematian Asyraf Sinclair: Orang muda yang aktif juga boleh mati secara mengejut?
Description
Kematian pelakon Asyraf Sinclair baru-baru ini pastinya mengejutkan ramai pihak kerana arwah merupakan seorang yang aktif bersukan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: