Dunia kita dikejutkan dengan berita berlakunya protes besar-besaran semasa tempoh pilihan raya di Hong Kong. Universiti Politeknik Hong Kong menjadi lokasi baharu bagi protes yang melibatkan golongan pelajar universiti di sana. Pelajar-pelajar ini menuntut perubahan pada sistem pelajaran mereka dan membuat kacau agar suara mereka didengari oleh pihak kerajaan. Kemudian telah berlaku isu kebuluran dan kesihatan dalam kalangan pelajar itu sendiri.
Kekecohan berlaku apabila pihak polis mula mengepung kawasan universiti tersebut menyebabkan tiada siapa yang boleh masuk atau keluar dengan mudah. Pelajar yang terlibat dalam protes ini telah membina stesen bekalan bagi mengagih makanan antara mereka namun ianya semakin berkurangan hari demi hari. Mereka tidak dapat keluar kerana takut akan ditahan oleh pihak berkuasa walaupun ada yang tidak bersalah dalam hal ini.
Justeru itu, berlakulah isu kebuluran dan isu kesihatan dalam kalangan pelajar kerana tiada bantuan makanan yang dapat diterima kerana kawasan universiti itu dikawal rapat oleh pihak polis.
Jadi, sekiranya isu kebuluran ini berlarutan, apakah kesan yang boleh berlaku pada kesihatan badan?
Apabila kita tidak makan dalam satu tempoh yang lama, badan kita secara perlahan-lahan akan mula kehilangan tenaga. Ini berlaku kerana badan tidak mendapat kalori yang mencukupi. Lama-kelamaan, ini boleh menyebabkan penurunan berat badan dengan cara yang tidak sihat atau lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan kematian.
Bagaimanakah ini semua berlaku? Begini, apabila kita tidak makan apa-apa selama satu tempoh yang lama, badan kita yang kelaparan akan cuba melawan keadaan itu. Hari pertama tanpa makanan adalah lebih kurang seperti berpuasa selama sehari dan tidak mendatangkan kesan buruk yang ketara.
Namun, selepas beberapa hari badan tidak mendapat sumber makanan, ia akan mula makan dirinya sendiri berdasarkan sumber karbohidrat, lemak dan bahagian protein pada tisu yang tinggal. Setelah itu, badan kita tidak lagi membekalkan nutrien yang sewajarnya pada organ dan tisu. Jadi, organ-organ ini mula mengecut dan menjadi semakin lemah.
Kemudian, mulalah terjadinya simptom seperti cepat marah, sukar untuk fokus, lemah dan penurunan suhu badan kesan daripada keadaan kebuluran ini.

Berapa lama masa diperlukan sebelum badan kita menunjukkan tanda negatif sebegini?
Tempoh ini bergantung pada umur, berat badan, sumber bekalan air serta keadaan kesihatan seseorang individu. Tiada masa spesifik yang boleh menentukan berapa lama seseorang itu boleh bertahan dalam keadaan kebuluran ini.
Ada kajian mendapati bahawa protes kelaparan di beberapa buah negara dahulu pernah bertahan selama 40 hari tanpa bekalan makanan. Malah, Mahatma Gandhi yang dikenali di seluruh dunia juga pernah bertahan selama 21 hari dalam kempen tanpa kekerasan hanya dengan tegukan air sahaja.
Secara teorinya, golongan wanita mempunyai kadar peratusan yang lebih tinggi untuk bertahan dalam keadaan sebegini kerana mereka mempunyai lemak badan yang lebih banyak berbanding lelaki. Namun, tiada kajian tertentu boleh membuktikannya.
Biasanya, kanak-kanak lebih cepat merasai kesannya kerana mereka memerlukan kadar kalori yang lebih banyak untuk membesar. Kurangnya pengambilan makanan boleh menjejaskan tumbesaran organ terutamanya bahagian otak.

Bagaimanakah isu kebuluran boleh diatasi?

Sekiranya anda berada dalam keadaan seperti yang berlaku di Hong Kong, tidak banyak perkara yang anda boleh lakukan kecuali menunggu tibanya bekalan makanan daripada pihak luar. Namun, sekiranya anda masih mempunyai isu sebegini di kawasan anda, pastikan anda mempunyai bekalan air yang baik kerana air mampu mengurangkan rasa kelaparan kita walaupun ia hanyalah alternatif sementara. Pastikan anda makan apa-apa jenis makanan yang ada walaupun bukan dalam kuantiti yang banyak dan hanya cukup untuk mengisi perut. Itu adalah lebih baik daripada membiarkan perut kita dalam keadaan kelaparan sahaja.
SUMBER
https://www.feedingamerica.org/hunger-blog/3-ways-hunger-affects-your-body
https://link.springer.com/chapter/10.1007/978-3-319-62887-5_10
https://www.healthline.com/health/food-nutrition/how-long-can-you-live-without-food