diet Paleo
Memandangkan anda telah mempunyai sedikit kefahaman tentang mengapa kita perlu memilih makanan yang betul dalam diet Paleo, pasti anda mahu mulakan diet ini dengan segera bukan?

Memandangkan anda telah mempunyai sedikit kefahaman tentang mengapa kita perlu memilih makanan yang betul dalam diet Paleo, pasti anda mahu mulakan diet ini dengan segera bukan? Jadi, ikutilah langkah-langkah berikut bagi membantu anda mengamalkan diet Paleo dengan betul.

1. Bersihkan dapur anda

Kumpulkan kesemua makanan yang tidak boleh diambil dalam diet Paleo seperti bijirin, minyak sayuran, yogurt, keju, susu dan makanan dalam peket. Buang semua sekali gus kerana itu adalah lebih baik. Jika anda berasa sayang, berikan makanan itu kepada individu lain agar pantri anda bebas daripada makanan ini tetapi masih boleh memberi manfaat kepada pihak lain.

Namun, sekiranya anda mahu bermula dengan diet ini secara perlahan-lahan, mungkin anda boleh mengelakkan produk tenusu pada minggu pertama dan meneruskannya dari situ. Pada minggu kedua, anda mungkin boleh menyingkirkan pengambilan bijirin dan seterusnya hinggalah anda sudah mula terbiasa mengikuti cara pemakanan diet Paleo. Pastikan anda mempunyai bekalan makanan bersesuaian agar anda mempunyai lebih banyak idea dalam merancang pelan pemakanan yang betul.

2. Tetapkan matlamat anda

Ramai individu yang telah mulakan amalan diet Paleo sebagai satu alternatif kepada masalah kesihatan mereka seperti alahan dan keadaan autoimun. Ada juga yang ingin berasa lebih baik setiap hari atau percaya bahawa diet ini menunjukkan cara pemakanan paling sihat untuk diikuti. Matlamat sebegini akan membantu anda menentukan garis panduan yang anda perlukan bagi mencapai keputusan akhir yang memberangsangkan.

Di samping itu, pastikan anda mengamalkan diet ini secara tegas pada 30 hari pertama. Mempunyai ‘cheat day’ mungkin adalah perkara biasa, namun kawal diri anda semula serta merta.

3. Masak makanan mengikut diet Paleo

Memandangkan diet ini berasaskan makanan segar, ianya lebih mudah disediakan di rumah berbanding memilih makanan bersesuaian di luar. Ambil kesempatan ini untuk bereksperimen dengan resepi makanan baharu yang boleh anda cipta dengan bahan-bahan masakan yang ada.

Di samping itu, anda juga boleh mencari maklumat di Internet atau membeli buku resepi diet Paleo bagi mencari inspirasi membolehkan anda mempunyaI variasi menu harian dan tidak membosankan.

4. Fikirkan tentang pengambilan lemak

Tukarlah kepada minyak yang sihat seperti minyak kelapa sebagai minyak masakan anda kerana ia lebih stabil dan tidak mengoksida apabila dipanaskan. Gunakan minyak zaitun, minyak avokado atau minyak kacang makadamia sebagai lemak mentah pada makanan seperti ‘dressing’ salad. Selain itu, mulalah mengambil sumber makanan yang mengandungi omega-3 atau omega-6. Sekiranya anda masih makan daging biasa, anda mungkin perlu mengambil suplemen berasaskan minyak sihat untuk melawan kesan sampingan daripada daging tersebut.

Biasanya, makanan sebegini adalah sedikit lebih mahal, kerana sudah menjadi lumrah bahawa makanan sihat ternyata lebih mahal daripada makanan biasa. Anda tidak perlu mengubah pemakanan anda secara keseluruhan sekaligus, tetapi lakukannya satu per satu mengikut kemampuan dan kewangan anda.

5. Makan makanan berdaging berasaskan sumber yang sihat

Ramai individu yang mengelakkan pengambilan daging kerana mereka beranggapan bahawa ianya boleh membahayakan kesihatan. Anda boleh sahaja makan makanan sebegini, namun pastikan ianya mempunyai kualiti yang baik. Tambahan lagi, bagi makanan laut, pilihlah sumber yang ditangkap liar kerana ianya adalah lebih baik daripada jenis yang dibiakkan.

6. Tentukan pengambilan karbohidrat anda

Dengan mengelakkan pemakanan seperti bijirin, kekacang dan produk tenusu, anda sebenarnya telah mengurangkan pengambilan karbohidrat secara mendadak. Amalan diet paleo bukanlah bermakna ia mengehadkan pengambilan karbohidrat secara melampau, ini kerana anda masih boleh memasukkan sayur-sayuran berkanji dan buah-buahan tertentu dalam pemakanan anda. Namun begitu, anda perlu mengurangkan pengambilan gula yang berlebihan dalam diet anda.

Sekiranya anda masih menambah gula atau pemanis dalam kopi atau teh anda, cuba cari minuman lain yang anda gemari tanpa memerlukan gula tambahan. Elakkan juga minuman seperti jus, soda dan minuman lain dengan kandungan gula yang tinggi secara sepenuhnya. Ambil sahaja air kosong kerana ia bukan sahaja menyihatkan, malah mudah didapati serta tidak memerlukan sebarang kos yang banyak.

7. Perdayakan nafsu anda

Mengelakkan pengambilan gula pasti menjadi satu cabaran terutamanya bagi individu yang baru sahaja memulakan amalan diet Paleo ini. Sekiranya anda suka mengambil manisan selepas makan malam, anda boleh menukar biskut atau manisan tersebut dengan buah-buahan yang segar. Ia lebih mengenyangkan dan pada masa yang sama menyihatkan!

8. Dapatkan sokongan tambahan

Salah satu cabaran dalam mencuba amalan diet Paleo adalah kekurangan kefahaman daripada keluarga dan rakan-rakan. Jadi, anda mungkin boleh mencari blog, forum atau laman web tertentu untuk mendapatkan pemahaman lebih baik mengenai diet Paleo. Apabila anda merasakan diri anda seperti telah menjadi sebahagian daripada komuniti Paleo, perkara ini akan membantu anda menangani soalan dan kritikan daripada individu di sekeliling anda. Anda juga tidak akan berasa keseorangan kerana anda sudah mempunyai kenalan yang mengamalkan diet yang sama.

KESIMPULAN

Walaupun tiada cara khas untuk amalan diet Paleo, idea asasnya adalah untuk mengelakkan makanan yang diproses dan menumpukan pada pengambilan makanan yang sihat secara menyeluruh.

Bagi mencapai manfaat terbaik daripada diet ini, anda mestilah berasa seronok dalam usaha untuk makan secara sihat dan pada masa yang sama mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif.

SUMBER

https://www.healthifyme.com/blog/paleo-diet-foods-benefits-side-effects-meal-plan/

https://paleoleap.com/paleo-101

https://greatist.com/eat/paleo-diet-for-beginners#1

Summary
Mari kita mula amalkan diet Paleo!
Article Name
Mari kita mula amalkan diet Paleo!
Description
Memandangkan anda telah mempunyai sedikit kefahaman tentang mengapa kita perlu memilih makanan yang betul dalam diet Paleo, pasti anda mahu mulakan diet ini dengan segera bukan? Jadi, ikutilah langkah-langkah berikut bagi membantu anda mengamalkan diet Paleo dengan betul.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: