rempah ratus dalam masakan
Setiap masakan pastinya memerlukan bahan ramuannya tersendiri tidak kiralah gaya masakan Barat, Timur, Asia dan lain-lain.

Setiap masakan pastinya memerlukan bahan ramuannya tersendiri tidak kiralah gaya masakan Barat, Timur, Asia dan lain-lain. Namun, jika dibandangkan dengan negara Barat, masyarakat Asia lebih banyak menggunakan rempah ratus dalam masakan untuk menaikkan aroma makanan tersebut. Malah, rempah ratus sememangnya terkenal digunakan sebagai ubat ubat untuk tujuan kesihatan.

Sekarang, kita akan membincangkan jenis-jenis rempah ratus dalam masakan dalam artikel ini. Jom lihat beberapa rempah ratus seperti di bawah.

1. Bunga lawang

Dalam kebanyakan rempah ratus, bunga lawang pasti agak mudah dicari memandangkan ia kelihatan seakan-akan bintang dan berbau kuat. Malah, bunga lawang sememangnya mempunyai peranan sama pentingnya seperti bunga cengkih iaitu untuk meningkatkan aroma masakan. Biasanya, ia digunakan dalam masakan kari dan sup sebagai rempah tumisan. Bunga lawang ini boleh dipatahkan, dikisar atau ditumbuk sebelum digunakan untuk memasak atau menumis.

2. Bunga cengkih

Cengkih merupakan sejenis tumbuhan yang mana bunganya digunakan sebagai rempah sejak dahulu lagi. Dalam proses penyediaan makanan, bunga cengkih sememangnya merupakan antara rempah ratus yang sangat signifikan terutama bagi masakan Melayu. Antaranya seperti nasi minyak, kari ayam dan banyak lain. Baunya yang harum pastinya menaikkan lagi aroma masakan.

3. Buah pelaga

Buah pelaga sememangnya mempunyai bau yang kuat dan bukan sahaja digunakan dalam masakan tetapi manisan juga. Ia juga digunakan sebagai penambah rasa dalam minuman seperti kopi, teh dan sirap bagi masyarakat Arab di Timur Tengah walaupun itu mungkin sedikit berbeza dengan masyarakat kita di sini. Selain itu, buah pelaga juga sangat bagus digunakan dalam masakan kerana ia merangsang pencernaan dan baik buat mereka yang mengalami kembung perut dan perut berangin.

4. Kayu manis

Kayu manis banyak digunakan sebagai bahan penumis bagi masakan seperti kari, rendang dan sebagainya. Seterusnya, kayu manis ini berasal dari sejenis pokok malar hijau dengan daun berbentu bujur dan berkulit tebal. Kulit dan daunnya merupakan bahagian utama yang boleh dijadikan sebagai rempah. Ia juga dijadikan pewangi dan digunakan sebagai ubat tradisional memandangkan kulit kayu manis dikatakan boleh membantu menyembuhkan selesema, demam sejuk dan masalah usus.

5. Ketumbar

Ketumbar mempunyai pelbagai fungsi memandangkan daun serta buahnya boleh digunakan dalam masakan. Ia digunakan untuk menambahkan kesedapan makanan seperti kari dan juga rendang. Di samping itu, ia dikatakan sangat kaya dengan kandungan serat, magnesium, flavonoid dan zat besi serta menjadikan ia satu ubat yang berkesan dalam melancarkan penghadaman dan mencegah jangkitan pada luka.

6. Jintan manis

Rupanya adalah seperti padi dan mempunyai saiz lebih halus dan kecil berbanding jintan putih. Dengan aromanya yang harum, ia banyak digunakan dalam masakan berempah seperti kari, kurma dan rendang sebagai perasa tambahan.

7. Jintan putih

Jintan putih mempunyai bau yang kuat dan mempunyai bentuk seperti padi. Bagi mengelakkan kekeliruan antara jintan putih dan jintan manis, selain melihat kepada warnya, jintan putih juga adalah lebih besar berbanding jintan manis. Selain itu, jintan putih juga adalah sedikit pahit dari segi rasanya.

8. Lada hitam

Lada hitam bukan sahaja digunakan sebagai bahan masakan, malah ia juga digunakan sebagai sos oleh masyarakat. Untuk membandingkannya dengan lada putih, ia biasanya mempunyai rasa yang pedas dan panas serta aroma lebih kuat berbanding lada putih. Selain lada hitam Malabar dan Tellicherry dari India dan beberapa negara lain, lada hitam Sarawak juga adalah antara jenis lada hitam paling bermutu dan terkenal di seluruh dunia.

9. Lada putih

Lada putih adalah kurang kompleks dan mempunyai aroma yang kurang berbanding lada hitam. Namun, lada yang berkualiti tinggi mempunyai lebih banyak aroma rempah. Ia juga mempunyai rasa yang lebih segar dan tidak begitu pahit berbanding lada hitam. Lada putih banyak digunakan dalam masakan berwarna terang dan ringan seperti kentang lecek.

10. Buah keras

Pagi penggemar hidangan rendang, buah keras pastinya bukan satu bahan asing buat anda. Ia malah kerap didapati dalam masakan Indonesia dan Malaysia kerana kegunaannya untuk memekatkan kuah bagi sesuatu hidangan. Namun, buah keras harus dimasak terlebih dahulu kerana ia mengandungi kandungan toksik yang tinggi dalam keadaan mentah. Justeru itu, ia harus ditumis sebaiknya selepas dikisar menjadi pes bersama rempah lain.

11. Biji sawi

Terdapat 3 jenis biji sawi iaitu ‘black mustard’, ‘brown Indian mustard’ ataupun ‘white mustard’. Jika di Malaysia, masyarakat kita lebih banyak menggunakan biji sawi berwarna hitam atau ‘black mustard’ kerana ia lebih mudah didapati berbanding 2 jenis yang lain. Biji sawi ini kaya dengan kandungan asid lemak serta, omega-3, zat besi, kalsium, magnesium, phosphorus, protein, selenium dan niacin. Ia biasanya ditaburkan begitu sahaja dalam hidangan sayuran, sup ataupun boleh juga ditumus dalam masakan seperti kari.

12. Halba

Daun dan biji halba adalah sangat berguna dalam masakan. Biji halba biasanya digunakan sebagai tumisan dalam masakan seperti kari terutamanya kari ikan. Ia juga dikatakan berfungsi untuk mengubah rasa makanan utama seperti kari dan juga sayur. Bagi mereka yang mengalami cirit-birit, pening kepala atau kencing tidak lawas, buah halba ini pasti sangat bermanfaat.

SUMBER

https://www.alaf21.com.my/info-Artikel/462/Mengenali-Rempah-Ratus

http://rempahori.blogspot.com/p/1.html

https://e-majalah2u.blogspot.com/2017/01/senarai-rempah-ratus-dalam-masakan.html

Summary
Rempah ratus dalam masakan
Article Name
Rempah ratus dalam masakan
Description
Setiap masakan pastinya memerlukan bahan ramuannya tersendiri namun masyarakat Asia lebih banyak menggunakan rempah ratus dalam masakan untuk menaikkan aroma makanan.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: