limpa pecah
Limpa yang pecah adalah satu kecemasan perubatan yang berlaku akibat pecahan di permukaan limpa anda.

Limpa pecah adalah satu kecemasan perubatan yang berlaku akibat pecahan di permukaan limpa anda. Fungsi limpa adalah untuk membantu tubuh melawan jangkitan dan menapis sel darah lama daripada aliran darah anda. Limpa terletak tepat di bawah tukang rusuk kiri.

Pukulan yang kuat pada perut anda, sebagai contoh semasa kemalangan sukan, pergaduhan atau kemalangan kereta, – merupakan punca lazim limpa pecah.

Sekiranya limpa anda bengkak, trauma ringan juga boleh  menyebabkannya pecah. Tanpa rawatan kecemasan, pendarahan dalaman yang disebabkan oleh limpa yang pecah boleh mengancam nyawa.

Simptom Limpa Pecah

Simptom bagi keadaan ini sering disertai dengan tanda-tanda lain yang berpunca dari trauma tumpul pada abdomen.

Contoh-contoh kecederaan lain termasuklah patah tulang rusuk, patah tulang belakang, dan kecederaan saraf tunjang.

Lokasi limpa mempengaruhi kesakitan di bahagian atas abdomen. Walau bagaimanapun, selepas ia pecah, rasa sakit boleh berlaku di lokasi lain, seperti dinding dada kiri dan bahu.

Rasa sakit di bahu kiri yang disebabkan oleh limpa yang pecah digelar sebagai tanda Kehr. Ia mengakibatkan rasa sakit yang teruk apabila individu menarik nafas. Limpa yang pecah juga boleh menyebabkan sakit di bahu kiri kerana pendarahan dari limpa dapat merengsakan saraf frenik, iaitu saraf yang berasal dari leher dan meluas melalui diafragma.

Selain itu, abdomen yang lembut juga boleh menyebabkan kecederaan di dalam perut. Tetapi ia tidak khusus bagi kecederaan limpa.

Simptom lain termasuklah:

  • Pening
  • Kekeliruan
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Pengsan
  • Tanda-tanda kejutan termasuklah kegelisahan, mual, dan nampak pucat

Punca Limpa Pecah

Limpa boleh pecah apabila abdomen mengalami pukulan langsung yang teruk atau trauma. Limpa adalah organ yang paling kerap rosak dalam kecederaan trauma yang melibatkan perut tanpa mengira usia anda. Berikut adalah antara sebab-sebab limpa pecah yang kerap berlaku:

  • Kemalangan kenderaan bermotor
  • Kecederaan semasa sukan, seperti bola sepak dan hoki
  • Kemalangan basikal, seperti jatuh ke hendal basikal anda
  • Keganasan rumah tangga

Penyakit tertentu juga boleh menyebabkan limpa pecah. Dalam kes sedemikian, limpa menjadi bengkak dan pembalut seperti kapsul pada limpa menjadi nipis. Ia menjadikan organ tersebut lemah dan lebih cenderung untuk pecah jika perut menerima pukulan langsung (seperti serangan bola sepak yang kuat).

Penyakit yang meningkatkan risiko untuk limpa pecah termasuklah:

  • Dalam sesetengah kes, limpa yang pecah adalah tanda pertama bagi penyakit Mononucleosis Infectious
  • Penyakit darah (hematologi) seperti Anemia Hemolitik dan jenis Limfoma tertentu
  • Malaria

Diagnosis Limpa Pecah

Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis penyakit ini termasuklah:

  • Ujian fizikal. Doktor anda akan menekan perut anda untuk menentukan saiz limpa anda dan sama ada ia lembut.
  • Ujian darah. Ujian darah akan menilai faktor-faktor seperti kiraan platelet dan bagaimana darah anda menjadi beku.
  • Memeriksa darah pada rongga perut anda. Doktor anda mungkin menggunakan ultrabunyi (ultrasound) atau mengambil contoh cecair dari abdomen dengan jarum. Jika sampel menunjukkan terdapat darah pada rongga perut anda, anda mungkin dirujuk kepada rawatan kecemasan.
  • Ujian pengimejan perut anda. Sekiranya diagnosis anda tidak jelas, doktor mungkin mengesyorkan imbasan CT abdomen, dengan menggunakan  pewarna kontras, atau ujian imej lain untuk mencari sebab-sebab lain yang memicu simptom anda.

Rawatan Limpa Pecah

Rawatan untuk limpa yang pecah bergantung kepada keparahan keadaan anda. Sesetengah inidividu memerlukan pembedahan segera. Sebaliknya, dalam kes-kes lain mere sembuh hanya melalui rehat dan tempoh masa.

– Mendapatkan rawatan di hospital

Majoriti kes kecederaan kecil atau sederhana pada limpa boleh sembuh tanpa pembedahan. Anda mungkin akan tinggal di hospital sementara doktor memantau keadaan anda dan memberikan rawatan bukan pembedahan seperti transfusi darah, jika perlu.

Selain itu, anda juga mungkin menjalani pemeriksaan CT berkala untuk memeriksa sama ada limpa anda telah sembuh atau untuk menentukan sama ada anda memerlukan pembedahan.

– Pembedahan untuk membaiki atau mengeluarkan limpa

Pembedahan untuk limpa pecah termasuklah:

  • Membaiki limpa. Pakar bedah anda mungkin akan menggunakan jahitan atau teknik lain untuk membaiki limpa yang pecah tersebut.
  • Mengeluarkan limpa (splenectomy). Sekiranya perlu mengeluarkan limpa anda, anda akan mengalami peningkatan risiko jangkitan serius, seperti sepsis. Risiko sepsis adalah tinggi pada kanak-kanak kecil, terutamanya setelah dua tahun pertama limpa telah dikeluarkan.
  • Doktor anda mungkin mengesyorkan cara untuk mengurangkan risiko jangkitan, seperti vaksinasi radang paru-paru dan influenza.
  • Mengeluarkan sebahagian daripada limpa (Splenectomy separa). Doktor akan membuang sebahagian daripada limpa anda, bergantung kepada keparahan keadaan limpa yang pecah. Splenectomy separa mengurangkan risiko jangkitan yang terjadi apabila limpa dikeluarkan sepenuhnya.
Summary
Limpa Pecah (Ruptured Spleen) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Limpa Pecah (Ruptured Spleen) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Limpa pecah adalah satu kecemasan perubatan yang berlaku akibat pecahan yang terjadi di permukaan limpa anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: