Limfedema
Limfedema adalah bengkak yang berlaku disebabkan pengumpulan cecair limfa yang terlalu banyak.

Limfedema adalah bengkak yang berlaku disebabkan pengumpulan cecair limfa yang terlalu banyak. Ia biasanya berlaku di bahagian lengan dan kaki, tetapi boleh juga berlaku di bahagian lain badan anda. Bengkak ini boleh menyebabkan kesakitan dan mengehadkan pergerakan pada kawasan yang terjejas.

Seterusnya, limfa adalah cecair protein yang melalui seluruh badan anda dalam saluran limfa. Ia memakan makanan seperti bakteria, virus dan sisa serta membawa mereka kepada nodus limfa anda. Kemudian, nodus limfa akan menapis cecair bagi memastikan kekotoran keluar dari badan anda.

Anda boleh mendapat Limfedema tanpa sebarang sebab. Ada rawatan boleh dibuat  untuk membantu mengurangkan bengkak sehingga anda merasa lebih baik dan boleh bergerak.

 

 

Simptom Limfedema

Tanda-tanda dan gejala Limfedema, yang berlaku di lengan atau kaki yang terlibat termasuklah:

  • Bengkak pada satu atau semua bahagian lengan atau kaki anda, termasuk jari tangan atau jari kaki.
  • Rasa berat atau ketat.
  • Pergerakan terhad.
  • Gatal-gatal atau tidak selesa.
  • Jangkitan berulang.
  • Pengerasan dan penebalan kulit (fibrosis).

Bengkak yang berlaku disebabkan Limfedema boleh menjadi ringan dan tidak ketara dalam saiz lengan atau kaki anda hinggalah menjadi lebih serius yang menyebabkan anggota badan sukar digunakan. Di samping itu, Limfedema yang terjadi kerana rawatan kanser mungkin tidak berlaku sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun selepas menerima rawatan.

 

 

Punca Limfedema

Limfedema utama (primary) mungkin berlaku disebabkan mutasi dalam beberapa gen yang terlibat dalam pembangunan sistem limfa. Gen yang rosak ini mengganggu perkembangan sistem limfa dan merosakkan keupayaannya untuk mengalirkan cecair dengan betul.

Bagi Limfedema sekunder pula, ia mempunyai beberapa sebab yang boleh menyebabkannya termasuklah:

  • Pembedahan kanser: Kanser boleh merebak melalui badan iaitu melalui sistem limfa. Kadangkala, pakar bedah mengeluarkan kelenjar limfa bagi menghentikan penyebaran. Namun, terdapat risiko bahawa sistem limfatik itu mungkin terjejas dan mendorong kepada berlakunya Limfedema.
  • Terapi radiasi: Penggunaan sinaran untuk memusnahkan tisu kanser dan kadangkala boleh merosakkan tisu sihat berdekatan, seperti sistem limfa. Ini kemudian boleh menyebabkan Limfedema.
  • Jangkitan: Jangkitan selulitis yang serius boleh merosakkan tisu di sekitar nodus limfa atau saluran. Ini boleh menyebabkan parut dan meningkatkan risiko Limfedema. Selain itu, sesetengah jangkitan parasit juga boleh meningkatkan risiko Limfedema.
  • Keradangan: Keadaan yang menyebabkan tisu membengkak (menjadi meradang) juga boleh merosakkan sistem limfa secara kekal, seperti artritis reumatoid dan ekzema.
  • Kecederaan dan trauma: Kulit terbakar yang serius atau apa-apa kecederaan yang boleh menyebabkan parut berlebihan mungkin boleh meningkatkan risiko individu mendapat Limfedema walaupun ia jarang berlaku.

 

Diagnosis Limfedema

Jika anda berisiko menghidap Limfedema, misalnya, jika anda baru-baru ini telah menjalani pembedahan kanser yang melibatkan nodus limfa anda, doktor boleh mendiagnosis keadaan ini berdasarkan tanda-tanda dan gejala anda.

Jika punca Limfedema anda tidak begitu jelas, doktor boleh melakukan ujian imbasan untuk melihat sistem limfa anda. Ujian mungkin termasuk:

  • Imbasan resonans magnetik (MRI scan). Dengan menggunakan medan magnet dan gelombang radio, imbasan resonans magnetik boleh menghasilkan imej resolusi tinggi 3-D.
  • Imbasan tomografi berkomputer (CT scan). Teknik sinar-X ini akan menghasilkan gambaran terperinci, struktur keratan rentas struktur tubuh anda. Ia juga boleh mendedahkan penyumbatan yang terjadi dalam sistem limfa.
  • Ultrabunyi Doppler. Variasi ultrabunyi konvensional ini melihat aliran darah dan tekanan dengan memantulkan gelombang bunyi frekuensi tinggi (ultrabunyi) dari sel darah merah. Ia kemudian boleh membantu mencari halangan yang ada.
  • Radionuklida pengimejan sistem limfatik (limfoskintigrafi). Dalam ujian ini, anda akan disuntik dengan pewarna radioaktif dan kemudian diimbas oleh mesin. Imej yang dihasilkan akan menunjukkan pewarna yang bergerak melalui saluran limfa anda bagi melihat sebarang penyumbatan yang berlaku.

 

Faktor-faktor Risiko Limfedema

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko anda mendapat Limfedema selepas kanser, rawatan kanser atau daripada punca sekunder lain termasuklah:

  • Usia yang lanjut.
  • Berat badan berlebihan atau obesiti.
  • Reumatoid atau psoriatik artritis.

 

Komplikasi Limfedema

Limfedema yang terjadi di lengan atau kaki anda boleh membawa kepada komplikasi yang serius, seperti:

  • Jangkitan. Ini termasuklah jangkitan bakteria serius pada kulit (selulitis) dan jangkitan pada saluran limfa (limfangitis). Kecederaan terkecil pada lengan atau kaki anda juga sudah boleh menjadi titik masuk bagi jangkitan tersebut.
  • Limfangiosarkoma. Bentuk kanser tisu lembut yang jarang berlaku ini boleh menyebabkan kes Limfedema yang tidak boleh diubati. Tanda-tanda limfangiosarkoma yang mungkin terjadi adalah seperti tanda biru-merah atau ungu pada kulit.

 

Rawatan Limfedema

Penyakit Limfedema tidak boleh diubati. Walau bagaimanapun, rawatan yang ada boleh membantu mengurangkan bengkak dan kesakitan.

 

– Terapi dekongestif kompleks (Complex decongestive therapy-CDT)

Terapi ini bermula dengan fasa terapi intensif, di mana pesakit akan menerima rawatan dan latihan harian. Ini diikuti dengan fasa penyelenggaraan apabila pesakit digalakkan untuk menjaga diri sendiri menggunakan teknik yang telah diajar.

Empat komponen dalam terapi dekongestif kompleks adalah:

  • Latihan remedial: Ini adalah latihan ringan bertujuan untuk menggalakkan pergerakan cairan limfa keluar dari anggota badan.
  • Penjagaan kulit: Penjagaan kulit yang baik dapat mengurangkan risiko jangkitan kulit, seperti selulitis.
  • Saluran limfatik manual (manual lymphatic drainage-MLD): Ahli terapi Limfedema akan menggunakan teknik urut khas untuk menggerakkan cecair ke dalam nodus limfa yang berfungsi, sebelum mereka disalur keluar. Di samping itu, pakar terapi Limfedema juga akan mengajar beberapa teknik urut yang boleh digunakan semasa fasa pemeliharaan.
  • Balutan pelbagai lapisan Limfedema (Multilayer lymphedema bandaging-MLLB): Balutan otot yang mengelilingi limfa dan nodus limfa dibalut boleh membantu cecair bergerak melalui sistem limfa.

 

– Penggunaan balutan dan pakaian mampat

Seterusnya, limfa tidak mempunyai pam pusat (jantung) seperti peredaran darah. Matlamatnya adalah menggunakan balutan dan pakaian mampat untuk menyokong otot dan menggalakkan mereka untuk menggerakkan cecair keluar dari bahagian badan yang terjejas. Pesakit juga akan diajar cara memakai balutan dan pakaian mampat dengan betul supaya balutan pelbagai lapisan Limfedema dapat diteruskan sepanjang tempoh penyelenggaraan. Pelbagai stok pemampat juga boleh didapati melalui dalam talian.

 

 

– Pembedahan

Pembedahan biasanya mempunyai keputusan yang mengecewakan berbanding terapi bukan pembedahan bagi merawat Limfedema. Walau bagaimanapun, teknik pembedahan baharu yang menggunakan liposedutan telah terbukti lebih berjaya. Ia dapat membuang lemak daripada anggota yang terjejas dan menyebabkan anggota itu kurang bengkak.

 

 

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://en.wikipedia.org/wiki/Lymphedema

 

 

 

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lymphedema/symptoms-causes/syc-20374682#:~:text=Lymphedema%20refers%20to%20swelling%20that,a%20part%20of%20cancer%20treatment.

https://www.webmd.com/breast-cancer/ss/slideshow-lymphedema

https://www.medicalnewstoday.com/articles/180919

https://www.healthline.com/health/lymphatic-obstruction

Summary
Limfedema (Lymphedema) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Article Name
Limfedema (Lymphedema) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Description
Limfedema adalah bengkak yang berlaku disebabkan pengumpulan cecair limfa yang terlalu banyak. Ia biasanya berlaku di bahagian lengan dan kaki, tetapi boleh juga berlaku di bahagian lain badan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: