Limau Purut

Limau Purut atau buah limau yang memiliki kulit bergerutu mempunyai aroma yang sangat menggoda dan mampu membuat sesiapa sahaja terpana.

Pening dibuatnya bila rumah berbau kepam. Rasa sukar hendak bernafas dan tak selesa, lebih-lebih lagi jika rumah yang didiami adalah jenis apartment atau kodominium. Tetapi jangan risau kerana buah sitrus ini boleh membantu harumkan rumah serta-merta!

Jika hendak dibandingkan dengan Limau Kasturi mahupun Lemon, Limau Purut yang banyak ditemukan di Negara Gajah Putih atau Thailand itu memiliki haruman yang lebih wangi serta menyegarkan.

Ia lazimnya digunakan dalam masakan serta produk kecantikan seperti krim mandian dan syampu.

Pokoknya, dari buah sehinggalah kepada daun dan kulitnya, memang banyak kelebihan untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita.

Paling menarik, ia turut boleh dimanfaat sebagai pewangi dan pencuci rumah yang boleh mengharumkan udara rumah dalam masa yang singkat. Kalau kamu berminat hendak tahu petua serta caranya, teruskan membaca artikel Ceria Sihat ini sehingga keakhirnya ya.

Kelebihan Semburan Limau Purut

Khusus buat kediaman, semburan Limau Purut ini dipercayai berkesan digunakan untuk mencuci dan membersih kaunter dapur, cermin tingkap, bilik mandi dan lain-lain bahagian rumah.

Walau bagaimanapun, ia tidak berapa sesuai untuk mencuci permukaan marmar dan batuan lain. Berikut adalah bahan-bahan serta cara membuat semburannya.

Bahan-Bahan: –

  • Hirisan Kulit Limau Purut
  • Cuka (Boleh juga guna cuka epal)
  • Air
  • Balang Kaca Kedap Udara

Cara-Cara: –

  1. Masukkan hirisan kulit limau di dalam balang kaca.
  2. Tuangkan cuka sehingga penuh di dalam balang kaca yang berisi kulit limau. Tutup rapat dengan penutup balang yang kedap udara.
  3. Biarkan kulit limau diperam sehingga 2 minggu lamanya sebelum boleh ditapis dan dijadikan cecair semburan.
  4. Selepas dua minggu tapiskan kulit limau. Lalu, campurkan dua bahagian air bersama cecair rendaman kulit limau itu tadi.
  5. Kacau rata dan masukkan ke dalam botol semburan. Kini ia boleh digunakan sebagai semburan serba guna yang mampu membersihkan rumah serta mengharumkan udara dalaman rumah.

Mudah bukan?

Hakikatnya, minyak yang terkandung pada kulit limau ini akan bertindak sebagai pembasmi kuman bersama-sama dengan kandungan cuka yang dicampurkan bersama.

Selain itu, kulit limau ini juga memiliki kandungan minyak pelarut semula jadi yang mampu menarik kekotoran pada permukaan perabot serta bahagian-bahagian rumah tertentu.

Kebaikan Menghidu Bauan Limau Purut

Seperti yang kita tahu, daun dan parutan kulit buah limau ini sering digunakan dalam menu masakan-masakan Asia untuk menonjolkan aroma yang memikat selera.

Mungkin sebab itu, makanan Thailand lazimnya disukai ramai kerana rata-rata masakannya akan menggunakan daun atau parutan kulit Limau Purut.

Dalam pandangan lain pula, ia juga mempunyai kebaikan lain bagi sesiapa yang menghidu kesegaran haruman yang hadir daripada daun dan kulitnya!

Minyak pati Limau Purut umpamanya memiliki keberkesanan untuk memulih mood seseorang. Sebab itu ia sering digunakan sebagai minyak aromaterapi untuk mengurangkan tekanan jiwa, kecelaruan fikiran serta keletihan.

Menghidu aroma Limau Purut akan menenangkan tubuh dan minda secara langsung bahkan, meningkatkan tenaga kamu tanpa perlu bersusah-payah sekalipun pun.

Jadi kalau kamu rasa kamu sedang tertekan dek kerana kerja yang menimbun, mungkin boleh cuba memasang lilin pewangi atau peresap wangian yang berasaskan bau-bauan sitrus seperti Limau Purut.

Cara Tanam Pohon Limau Purut

Kalau hendak beli selalu buah dan daun Limau Purut ini boleh tahan mahal juga harganya. Jadi, mungkin kamu boleh menanam sahaja pohonnya sendiri di rumah.

Pohon Limau Purut memerlukan cahaya matahari 8 – 12 jam sehari. Jika kamu mahu menanamnya di rumah, pastikan kamu meletakkan pasunya di tempat yang memudahkannya mendapatkan cahaya matahari secara terus.

Cuba cari anak pohon limau purut di nurseri. Sebaik sampai di rumah, pindahkannya di dalam pasu baharu yang memiliki lubang air di bawah. Kamu boleh beli campuran tanah khas yang digunakan untuk menanam pohon buah limau okay?

Tips lainnya, pastikan kamu menyiram pohon Limau Purut Cuma seminggu sekali kerana pohon yang sering disiram dengan air yang terlalu banyak akan membuatkan akarnya rosak dan mati. Cukup sekadar menyiram sehingga tanah terlihat lembab dan bukannya ‘banjir’.

Pastikan juga kamu menggunakan alas di bawah pasu untuk menggelak air bertakung kerana seperti yang dimaklumkan tadi, akar pohon Limau Purut cepat rosak andai terlalu banyak air.

Baru tahu rupanya banyak faedah yang boleh kita kecapi dengan mempraktikkan penggunaan Limau Purut dalam kehidupan seharian. Bukan sahaja untuk masakan tetapi digunakan sebagai agen pembersih serta aromaterapi juga. Penulis berharap perkongsian kali ini turut memberi manfaat buat pembaca sekalian.

Selamat beramal!

SUMBER

https://www.hgtv.com/outdoors/flowers-and-plants/trees-and-shrubs/5-exotic-citrus-varieties-to-grow-indoors

https://uscitrus.com/blogs/makrut-kaffir-lime-blog/6-incredible-health-benefits-of-kaffir-lime-

Summary
Limau Purut Harum Dan Bersihkan Rumah? Ini Petua Dan Caranya
Article Name
Limau Purut Harum Dan Bersihkan Rumah? Ini Petua Dan Caranya
Description
Limau Purut atau buah limau yang memiliki kulit bergerutu itu tidak dinafikan mempunyai aroma yang sangat menggoda dan mampu membuat sesiapa sahaja terpana.
Publisher Name
CeriaSihat
Tagged: