Lesen memandu

Lesen memandu merupakan satu keperluan pada masa ini. Tak kisahlah anda nak menunggang motorsikal atau kereta, anda memerlukan dokumen yang sah untuk pemanduan kenderaan ini. Bagi yang berniat mencari rezeki menjadi pemandu atau pengendali bas, teksi, lori, treler mahupun jentolak pun memerlukan lesen memandu.

Tahukah anda, di Malaysia ini ada pelbagai jenis lesen dan kegunaannya. Mari kita kupas satu per satu dalam artikel ini untuk panduan kita bersama.

Secara umumnya, ada empat jenis utama lesen memandu yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya di Malaysia ini. Dokumen kebenaran pemanduan tersebut ialah:

  1. Belajar Memandu (LDL)
  2. Percubaan (PDL)
  3. Kompeten (CDL)
  4. Vokasional (GDL, PSV dan Konduktor)

Lesen Belajar Memandu (LDL)

Lesen Belajar Memandu (LDL) ini merupakan dokumen yang dimiliki oleh semua pelajar-pelajar yang sedang belajar kelas pemanduan di semua pusat latihan memandu di seluruh Malaysia. Mulai September 2014, LDL akan dikeluarkan selepas calon pelajar lulus ujian teori keselamatan jalanraya dan pemanduan. Ujian teori ini selalunya dilaksanakan secara berkomputer selepas calon menghadiri kursus pemanduan dan keselamatan jalanraya.

Lesen ini boleh diperbaharui setiap tiga atau enam bulan dalam tempoh dua tahun. Sekiranya tempoh dua tahun telah dicapai dan pelajar masih lagi memerlukan lesen ini untuk menyambung tempoh pembelajarannya, maka pelajar tersebut perlu mengambil ujian teori semula. Untuk calon pelajar yang mengambil lesen memandu kenderaan berjenis motokar, dokumen ini hanya sah digunakan bersama pengajar kelas terbabit. Manakala untuk calon pelajar yang mengambil lesen memandu berjenis motorsikal, LDL ini sah digunakan tanpa ada penunggang penumpang bersamanya.

Lesen Memandu Percubaan (PDL)

Selesai pelajar tersebut menjalani semua proses kelas pemanduan dan lulus ujian di litar dan ujian di jalanraya sebenar, Lesen Memandu Percubaan (PDL) ini akan diberikan kepada pelajar terbabit. PDL ini selalunya sah untuk tempoh dua tahun. Sepanjang tempoh dua tahun ini, pemegang PDL ini wajib membawa dokumen ini bersamanya ketika memandu.

Pelekat merah berlogo P yang mengikut standard JPJ juga wajib dilekatkan di hadapan dan di belakang kenderaan yang dipandu oleh pemegang PDL ini. Pemegang PDL ini juga tertakluk kepada sistem demerit 20 mata KEJARA (Keselamatan Jalan Raya). Dokumen ini akan dilucutkan hak miliknya dan pemegang lesen ini perlu mengambil semula kelas pemanduan dan ujian memandu sekiranya mata demerit pemandu tersebut mencecah atau melebihi 20 mata.

Lesen Memandu Kompeten (CDL)

Lesen Memandu Kompeten (CDL) ini merupakan dokumen pemanduan bertaraf penuh yang boleh dimilik oleh seseorang pemandu. CDL ini hanya diberikan setelah pemandu tersebut selesai menjalani tempoh dua tahun di bawah PDL.

CDL ini boleh diperbaharui setiap 1 tahun atau 2 tahun atau 3 tahun atau 5 tahun sekaligus. Sekiranya pemegang CDL ingin menambah kelas kenderaan yang dipandunya, beliau tidak perlu lagi menjalani tempoh dua tahun percubaan seperti pemegang PD).

Lesen Memandu Vokasional (GDL, PSV dan Konduktor)


Lesen Memandu Vokasional ini adalah dokumen khas yang memberi kebenaran kepada pemandu untuk pemanduan kenderaan berstatus komersial yang digunakan untuk mengangkut barangan atau membawa penumpang. Pemandu yang ingin membawa penumpang seperti bas, teksi, van persiaran, van sekolah atau van pekerja perlu ada dokumen pemanduan Vokasional ini.

Kenderaan berat yang digunakan untuk membawa barangan komersial seperti lori kecil, van berat tanpa muatan tidak melebihi 3000kg, bas ekspress, bas persiaran, lori kejur (rigid) atau lori berantai seperti treler, lori tangki dan kontena juga memerlukan dokumen pemanduan vokasional ini.

Bermula 12 Julai 2019, pemandu e-hailing seperti Grab juga perlu memohon kebenaran menggunakan dokumen Vokasional ini untuk dibenarkan terus beroperasi. Dokumen khas untuk kegunaan khas ini perlu dibawa bersama dengan dokumen CDL mereka.

Tempoh sah untuk Lesen Memandu Vokasional ini pada umumnya hanya selama 1 tahun sahaja dan perlu diperbaharui selepas tempoh tersebut. Semasa proses pembaharuan, pemegang dokumen pemanduan vokasional ini juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan sebagai salah satu syarat pembaharuan.

Lesen Memandu Yang Lain-lain

Selain daripada lesen memandu yang dinyatakan sebelum ini, terdapat juga beberapa permit pemanduan khas lain yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalanraya Malaysia.

Antara dokumen tersebut ialah Lesen Memandu OKU bagi Kelas A dan A1. Kelas A dan A1 ini adalah khas untuk motorsikal dan motorkar yang dipandu oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) sahaja. Semestinya pemegang lesen ini memerlukan Kad OKU yang sah untuk memohon lesen ini. Menurut laman web Jabatan Pengangkutan Malaysia, pemilikan dokumen ini secara automatik akan menggugurkan dokumen kebenaran pemanduan yang lain kecuali Lesen Memandu Vokasional Membawa Barangan Kelas C (Kereta) dan Lesen Memandu Vokasional Konduktor.

Permit Memandu Antarabangsa

Manakala Permit Memandu Antarabangsa ini merupakan dokumen khas yang membenarkan pemegang CDL untuk memandu kenderaan di negara-negara lain di luar Malaysia.

Permit Memandu Antarabangsa yang turut juga dikenali sebagai IDP – International Driving Permit ini boleh dimohon di mana-mana pejabat Jabatan Pengangkutan Jalanraya Negeri atau cawangan berdekatan. Sleain itu, permit ini juga boleh dimohon di pejabat Persatuan Automobil Malaysia (AAM). Majoriti negara-negara luar mengiktiraf Permit Memandu Antarabangsa Malaysia ini. Jadi, anda boleh lah memandu di luar negara semasa melancong atau bekerja.

Diharap artikel pada kali ini membantu anda memahami proses mendapatkan kebenaran pemanduan ini secara umum dan pelbagai jenis dokumen pemanduan yang terdapat di Malaysia! Semoga bermanfaat untuk diri anda!

SUMBER

https://www.jpj.gov.my

https://en.wikipedia.org/wiki/Driving_licence_in_Malaysia

https://ms.wikipedia.org/wiki/Permit_Memandu_Antarabangsa

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/d/d8/M42_Motorway_-_Range_Superstores_articulated_lorry_-_geograph.org.uk_-_1363487.jpg

https://cangiran.com/wp-content/uploads/2017/11/Screen-Shot-2017-10-21-at-6.31.02-PM.png

https://1.bp.blogspot.com/-l5TGLOGwUts/YBPQak0aU7I/AAAAAAAAJdY/TURKKXqoQ7glOSiTtda3P2N9lUIvw6Y_wCLcBGAsYHQ/s1280/lesen%2Bmemandu.jpg

Summary
Lesen Memandu di Malaysia Ada Banyak Jenis Rupanya
Article Name
Lesen Memandu di Malaysia Ada Banyak Jenis Rupanya
Description
Lesen memandu merupakan satu keperluan pada masa ini. Tak kisahlah anda nak menunggang motorsikal atau kereta, anda memerlukan lesen memandu yang sah untuk memandu kenderaan ini. Bagi yang berniat mencari rezeki menjadi pemandu atau pengendali bas, teksi, lori, treler mahupun jentolak pun memerlukan lesen memandu.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: