lelaki lebih cenderung mati akibat COVID-19
Penyakit COVID-19 bunuh lelaki dikatakan dalam jumlah yang tinggi tapi sejauh mana kenyataan ini dibuktikan.

Perkaitan individu lelaki dan COVID19 dikatakan adalah lebih ketara jika dibandingkan dengan golongan perempuan di mana kes kematian COVID19 kebanyakannya melibatkan jantina ini.

Umum mengetahui bahawa wabak COVID-19 banyak didikriminasi oleh umur dan keadaan kesihatan lain. Tetapi, ia menjadi semakin jelas bahawa ia juga mendiskriminasi jantina, memandangkan golongan lelaki dilihat lebih cenderung diuji positif serta lebih berisiko untuk mati akibat penyakit ini.

Hal ini telah dilihat sebagai satu ‘trend’ yang berlaku di semua negara, tetapi para saintis masih tidak dapat memahami sebabnya. Ia mula-mula dilihat di China, di mana satu analisis menemui kadar kematian sebanyak 2.8% pada lelaki berbanding 1.7% pada wanita.

Sejak itu, corak ini dilihat hampir sama seperti kes-kes di Perancis, Jerman, Iran, Itali, Korea Selatan dan Sepanyol. Di Itali, golongan lelaki sahaja telah menyumbang sebanyak 71% daripada keseluruhan kes kematian. Seterusnya, di Sepanyol, data yang dikeluarkan mencadangkan kes kematian melibatkan golongan lelaki adalah 2 kali lebih banyak berbanding wanita.

Jadi, mengapa golongan lelaki lebih mudah terdedah?

Sehingga kini, masih tiada siapa yang mempunyai jawapan bagi persoalan mengapa adanya perbezaan dalam aspek siapa yang lebih mudah terdedah kepada coronavirus ini.

Awalnya, faktor merokok dilihat sebagai penjelasan yang berkemungkinan. Di China, hampir 50% lelaki tetapi hanya kira-kira 2% wanita yang merokok, dan perbezaan ini yang mendasari kesihatan paru-paru diandaikan menyumbang kepada persoalan mengapa golongan lelaki mengalami gejala dan kesan yang lebih buruk.

Malah, hipotesis ini disokong oleh kertas yang diterbitkan bulan lalu, yang mana ia mendapati bahawa kira-kira 12% daripada individu yang merokok mempunyai gejala yang ringan, tetapi 26% daripada mereka akhirnya terpaksa menjalani rawatan intensif atau meninggal dunia.

Merokok juga mungkin bertindak sebagai saluran untuk membolehkan individu dijangkiti lebih mudah. Ini berlaku kerana perokok menyentuh bibir mereka lebih kerap dan boleh berkongsi rokok yang tercemar.

Selain itu, faktor kelakuan yang berbeza antara jantina juga mungkin mempunyai peranan. Sesetengah kajian menunjukkan bahawa lelaki kurang cenderung untuk membasuh tangan mereka, kurang menggunakan sabun, kurang cenderung untuk mendapatkan rawatan perubatan. Malah, mereka juga lebih cenderung mengabaikan nasihat kesihatan awam.

Walau bagaimanapun, terdapat kepercayaan yang semakin meningkat di kalangan para pakar bahawa faktor biologi yang lebih asas juga berlaku. Walaupun terdapat peratusan perokok lelaki yang lebih tinggi di kebanyakan negara, seperti di Itali, kira-kira 28% lelaki dan 19% wanita merokok, namun perbezaan itu sangat kurang jika dibandangkan dengan peratusan melampau seperti di China.

Pemerhatian yang dibuat melihat peningkatan kadar kematian pada individu lelaki terus berlaku di seluruh China, Itali, Sepanyol. Secara amnya, ia boleh berlaku merentasi seluruh negara dan budaya yang pelbagai. Ini menyebabkan pakar berfikir bahawa merokok mungkin bukanlah faktor utama yang membuatkan golongan lelaki lebih mudah terdedah kepada penyakit COVID-19.

Apa yang kajian terdahulu katakan tentang isu ini?

Penyelidikan terdahulu mendedahkan bahawa lelaki mempunyai respon imun antivirus semula jadi yang rendah terhadap pelbagai jangkitan termasuk hepatitis C dan HIV. Kajian pada tikus menunjukkan bahawa ini juga mungkin juga berlaku untuk coronavirus, walaupun wabak COVID-19 masih belum dipelajari secara khusus. Sistem imun mereka seperti tidak boleh memulakan tindak balas yang sesuai apabila mula-mula melihat virus itu.

Di samping itu, hormon juga boleh memainkan peranan. Estrogen telah ditunjukkan dapat meningkatkan tindak balas antiviral sel-sel imun. Malah, kebanyakan gen yang mengawal sistem kekebalan dikodkan pada kromosom X (di mana lelaki mempunyai satu, dan wanita mempunyai dua), jadi ada kemungkinan bahawa beberapa gen yang terlibat dalam tindak balas imun adalah lebih aktif pada wanita berbanding pada lelaki.

Perbezaan jantina dalam tindak balas imun terhadap COVID-19 mungkin muncul dalam kaji selidik antibodi yang sedang berjalan di seluruh dunia. Semakin banyak kertas kajian sedang dikaji terutamanya dari pasukan Cina, yang telah mengesan sampel darah daripada pesakit sepanjang jangkitan.

Akhirnya, pakar menyimpulkan bahawa faktor biologi, gaya hidup dan kelakuan kesemuanya mungkin memainkan peranan bahawa COVID-19 bunuh lelaki. Tetapi, ia hanya mungkin boleh ditentukan dengan pasti apabila data yang mendiskriminasi jantina lebih banyak tersedia.

SUMBER

https://www.cidrap.umn.edu/news-perspective/2020/04/studies-find-men-more-prone-covid-19-death

https://www.healthline.com/health-news/men-more-susceptible-to-serious-covid-19-illnesses

https://www.livescience.com/why-covid-19-more-severe-men.html

Summary
Lelaki lebih cenderung mati akibat COVID-19?
Article Name
Lelaki lebih cenderung mati akibat COVID-19?
Description
Penyakit COVID-19 bunuh lelaki dikatakan dalam jumlah yang tinggi tapi sejauh mana kenyataan ini dibuktikan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: