Peraturan kencing Manis
Perkara ini boleh membantu menguruskan penyakit kencing manis

Setiap perkara yang kita lakukan, daripada aktiviti makan hinggalah tidur boleh memberi impak kepada penyakit diabetes. Senarai ini boleh membantu anda mengetahui perkara yang perlu anda LAKUKAN dan ELAKKAN bagi menguruskan penyakit kencing manis anda dengan baik.

LAKUKAN

Melakukan senaman

Senaman bukan sahaja membantu mengekalkan berat badan yang sihat, malah ia juga mengurangkan risko komplikasi dan mengawal penyakit diabetes anda. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan pesakit kencing manis untuk melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit sehari, iaitu lima hari seminggu. pilihlah aktiviti yang anda sukaI supaya ia menjadi SATU kebiasaan. Antara cadangan yang boleh dilakukan adalah bersenam dengan rakan-rakan dan menjadikannya sebagai aktiviti sosial. Namun begitu, jika anda lebih suka bersendirian, gunakan fon telinga dan dengar lagu atau ‘podcast’ kegemaran anda sambil bersenam.

Berhenti merokok

Berhenti merokok adalah satu langkah yang sangat baik sekiranya anda menghidap diabetes. Ini kerana anda lebih berisiko untuk mendapat penyakit jantung dan strok disebabkanf faktor merokok. Sekiranya anda seorang perokok, bincanglah dengan doktor anda mengenai rancangan untuk berhenti merokok.

Mendapatkan suntikan influenza

Dalam kebanyakan kes, pesakit kencing manis adalah tiga kali lebih berisiko untuk dimasukkan ke hospital akibat ‘selesema’, bukannya diabetes. Simptom dan komplikasi penyakit kencing manis menjadikan anda lebih mudah dijangkiti influenza dan menerima kesannya. Misalnya, apabila gula dalam darah anda tinggi, keupayaan sistem imun anda untuk melawan jangkitan akan terjejas. Salah satu komplikasi penyakit diabetes iaitu kerosakan saraf, akan meningkatkan kebarangkalian berlakunya kecederaan kaki yang menjadikannya lebih mudah dijangkiti bakteria dan virus. Jadi, mendapatkan suntikan influenza sewaktu musim selesema adalah cara terbaik untuk mencegah jangkitan tersebut.

Mengawal pengambilan ubat dan menyemak paras gula darah dengan kerap

Menurut satu kajian terbaru oleh Diabcare pada tahun 2013, walaupun sudah terdapat pelbagai jenis ubat kencing manis, sebanyak 76% pesakit masih gagal mengawal paras glukosa dalam darah mereka. Ini dilihat meningkat berbanding catatan yang pernah direkodkan pada 2008 iaitu sebanyak 72%. Terdapat beberapa punca bagi menjelaskan keadaan ini termasuklah pemahaman lemah tentang arahan ubat atau kesan sampingannya, tidak mengikuti rawatan susulan, atau bimbang akan aspek kewangan. Walau bagaimanapun, pemahaman mengenai setiap ubat dan cana pengambilannya adalah penting untuk mengawal diabetes dengan baik. Anda juga harus memeriksa kadar gula dalam darah anda secara kerap dan merancang bagaimana aspek tertentu seperti senaman dan makanan boleh memberi kesan kepada penyakit anda. Jika anda tidak memahami rutin perubatan itu, berundinglah dengan doktor anda.

Dapatkan tidur yang mencukupi

Tidur dan kadar gula dalam darah anda saling berkait rapat. Sekiranya anda tidak mendapatkan tidur yang mencukupi, anda akan berasa lesu, lapar dan cenderung makan lebih banyak. Menurut kebanyakan pakar perubatan, pesakit kencing manis tanpa tidur yang cukup cenderung memilih makanan yang tidak sihat dan lebih suka makan makanan segera (mungkin tidak termasuk dalam diet diabetes). Tabiat yang buruk ini dikaitkan juga dengan peningkatan berat badan dan mendorong kepada kepada keadaan seperti pra diabetes. Selain itu, paras gula darah yang tidak terkawal juga boleh mengakibatkan anda kurang tidur kerana kerap bangun untuk membuang air kencing. Seeloknya, dapatkan tidur selama 7 jam atau lebih setiap malam.

ELAKKAN

Minum minuman manis

Kategori ini termasuklah minuman ringan, teh ais, minuman untuk sukan dan minuman tenaga. Minuman-minuman jenis ini cenderung mengandungi kandungan gula yang tinggi dan boleh meningkatkan kadar gula darah anda. Ia juga mengandungi lebih 40gram jumlah gula bagi setiap hidangan! Tambahan lagi, individu yang suka minum minuman beralkohol berisiko mengalami peningkatan berat badan dan lebih susah untuk menurunkan berat badan. Daripada minum minuman ringan bergula tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan anda. Soda yang mengandungi gula tiruan merupakan pilihan lebih baik bagi pesakit kencing manis, namun pengambilan yang terlalu banyak masih memberi kesan negatif pada badan kita. Justeru itu, air kosong atau air putih adalah pilihan terbaik yang boleh mengekalkan hidrasi dan menghilangkan dahaga pada masa yang sama.

Makan makanan ringan

Setiap individu menjalani kehidupan yang sibuk dan memerlukan makanan yang mudah dan cepat tersedia setiap hari. Ini termasuklah makanan seperti keropok berperisa, makanan segera daripada McDonalds, KFC dan banyak lagi. Anda perlu tahu bahawa sebungkus kerepek kentang sahaja boleh jadi sangat buruk bagi penyakit diabetes anda. Ia mengandungi jumlah karbohidrat yang besar walaupun dalam kadar yang sikit. Jika anda terlalu menginginkan makanan sebegitu, ambillah berdasarkan saiz mangkuk yang kecil sahaja. 

Makan nasi atau hidangan yang mengandungi karbohidrat dalam saiz yang besar

Masyarakat Malaysia pastinya tidak asing lagi dengan makanan berasaskan nasi. Nasi dikira sebagai menu wajib yang perlu ada dalam rutin pemakanan setiap hari. Namun, tahukah anda bahawa nasi mengandungi jumlah karbohidrat yang sangat banyak? Malah, ia merupakan musuh utama penyakit kencing manis sejak dahulu lagi. Bukan itu sahaja, makanan sebegini juga mudah meningkatkan rasa lapar dan membuatkan anda ingin makan lagi dan lagi. Jadi, ianya adalah amat penting bagi melebihkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan sihat yang lain bagi menguruskan penyakit diabetes dengan baik. Sekiranya anda memerlukan sebarang pertolongan mengenai pelan makanan anda, dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar pemakanan yang dikhususkan untuk penyakit kencing manis.

Elakkan melangkau waktu makan

Sekiranya anda mengambil ubat kencing manis tertentu, tabiat melangkau waktu makan berisiko menurunkan paras gula darah anda hingga menyebabkan keadaan hipoglikemia. Pesakit diabetes disarankan untuk makan makanan dalam jumlah yang lebih kecil tiga kali sehari. Makan dalam jumlah yang kecil secara kerap dapat membantu mengawal selera anda dengan lebih baik serta menguruskan paras gula darah.

Elakkan berasa takut

Ramai pesakit telah berjaya mengubah gaya hidup mereka selepas didiagnosis dengan penyakit kencing manis. Sebagai seorang pesakit diabetes, anda tidak seharusnya mengehadkan diri anda tetapi sentiasalah tingkatkan pengetahuan dan pemahaman anda mengenai penyakit ini. Bagi mengelakkan kesan sampingan seperti kadar gula darah rendah, pastikan anda selalu menyediakan sejenis gula seperti gula batu untuk mengawal kestabilan gula darah anda. Setiap rekod mengenai ujian gula darah, peralatan insulin seperti jarum juga perlu disimpan dengan selamat dan dibawa ke mana-mana sahaja sekiranya boleh.

SUMBER

https://www.webmd.com/diabetes/ss/slideshow-avoid-damage

https://www.healthline.com/health/type-2-diabetes/what-is-prediabetes

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/type-2-diabetes/in-depth/diabetes-prevention/art-20047639

https://www.medicalnewstoday.com/articles/317718

Summary
Lakukan dan elakkan perkara ini bagi pesakit kencing manis
Article Name
Lakukan dan elakkan perkara ini bagi pesakit kencing manis
Description
Setiap perkara yang kita lakukan, daripada aktiviti makan hinggalah tidur boleh memberi impak kepada penyakit diabetes. Senarai ini boleh membantu anda mengetahui perkara yang perlu anda LAKUKAN dan ELAKKAN bagi menguruskan penyakit kencing manis anda dengan baik.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: