Kurangkan kentut dengan cara ini!
Gas adalah perkara yang normal dalam kehidupan seorang manusia. Ia merupakan produk sampingan semula jadi bagi sistem pencernaan yang sihat.

Gas adalah perkara yang normal dalam kehidupan seorang manusia. Ia merupakan produk sampingan semula jadi bagi sistem pencernaan yang sihat. Sekiranya gas dalam badan tidak dikeluarkan, perut anda akan menjadi kembung seperti sebuah belon yang dipenuhi udara.

Majoriti individu kentut antara 14 hingga 23 kali dalam sehari. Kedengaran banyak bukan? Sebenarnya, kebanyakan dari jumlah tersebut adalah kentut yang tidak berbau dan seringkali tidak dapat dikesan.

Gas yang ada dalam badan anda terdiri daripada udara yang masuk ketika anda makan dan minum. Selain itu, saluran pencernaan juga menghasilkan gas lain ketika mencerna makanan yang anda makan.

Kentut dihasilkan daripada wap yang tidak berbau seperti karbon dioksida, oksigen, nitrogen, hidrogen dan kadangkala metana. 

Walaupun gas merupakan sesuatu yang semula jadi, ia boleh menjadi sesuatu yang menyusahkan dan memalukan. Ya, anda tidak boleh berhenti kentut secara langsung tetapi, anda boleh mengurangkan jumlah gas dalam sistem badan anda. 

1. Makan dengan perlahan dan teliti

Kebanyakan gas yang berada di dalam anda berasal daripada udara yang ditelan. Ia adalah mustahil untuk mengelakkan dari menelan udara secara langsung, namun anda boleh mengurangkan jumlah udara yang ditelan. Makanlah dengan perlahan kerana, jika anda makan dengan cepat dan gelojoh, anda akan menelan jauh lebih banyak udara.

Selain itu, elakkan makan sewaktu melakukan aktiviti lain, seperti berjalan, memandu, atau berbasikal.

2. Jangan kunyah gula-gula getah

Seseorang yang mengunyah gula-gula getah sepanjang hari selalunya menelan udara dengan banyak. Sekiranya tujuan anda mengunyah gula-gula getah adalah untuk mengawal kesegaran nafas, cubalah makan gula pudina bebas pemanis tambahan. Ubat kumur juga boleh membantu mengurangkan bakteria yang menyebabkan nafas atau mulut berbau.

3. Kurangkan makanan yang menghasilkan gas

Sesetengah makanan menghasilkan lebih banyak gas berbanding makanan yang lain. Jenis karbohidrat tertentu merupakan punca utama penghasilan gas berlebihan. Itu termasuklah fruktosa, laktosa, serat tidak larut, dan kanji. Karbohidrat jenis ini ditapai dalam usus besar dan boleh mengakibatkan masalah pencernaan.

Namun begitu, kebanyakan makanan penghasil gas ini adalah penting dalam diet yang sihat. Jadi, anda mungkin tidak perlu mengelakkan makanan ini sepenuhnya daripada diet anda tetapi anda boleh mengurangkan kuantiti pengambilannya. 

Karbohidrat yang menghasilkan gas termasuklah:

  • Gula kompleks: Kacang, kubis, kubis Brussel, brokoli, asparagus, bijirin penuh, sorbitol dan sayur-sayuran lain.
  • Fruktosa: Bawang, articok, buah pir, minuman ringan, jus buah-buahan, dan buah-buahan lain.
  • Lactose: Semua produk tenusu, termasuklah susu, keju, dan ais krim.
  • Serat tidak larut: Kebanyakan buah-buahan, bran oat, kacang pis, dan kekacang.
  • Kanji: Kentang, pasta, gandum, dan jagung.

4. Elakkan minuman soda dan minuman berkarbonat lain

Gelembung udara yang ditemui dalam minuman berkarbonat boleh menyebabkan sendawa. Namun sesetengah udara ini akan melalui saluran pencernaan anda dan keluar dari rektum anda. Cubalah gantikan minuman berkarbonat dengan air kosong, teh, atau jus tanpa gula.

5. Cuba amalkan pengambilan probiotik

Saluran pencernaan anda dipenuhi bakteria baik yang membantu mencerna makanan. Bakteria baik tertentu berfungsi memecahkan gas hidrogen yang menghasilkan bakteria lain semasa proses pencernaan.

Probiotik adalah sejenis makanan tambahan yang mengandungi bakteria baik. Ramai individu mengambilnya untuk mengurangkan simptom gangguan pencernaan atau merawat keadaan kronik seperti Usus Radang.

6. Berhenti merokok

Setiap kali anda merokok, anda turut menelan udara dengan banyak. Merokok boleh menambah udara berlebihan ke dalam badan anda.

7. Rawat masalah sembelit anda

Apabila najis yang mengandungi banyak bakteria berada di dalam kolon anda untuk jangka masa yang panjang, ia akan ditapai. Proses penapaian ini menghasilkan banyak gas yang sering berbau.

Langkah pertama dalam merawat Sembelit adalah meningkatkan pengambilan air anda. Minum air sebanyak mungkin akan membantu melancarkan proses pergerakan usus anda. Kedua, tingkatkan pengambilan serat melalui buah-buahan dan sayur-sayuran atau suplemen serat seperti Metamucil.

8. Tingkatkan aktiviti fizikal anda

Menggerakkan badan dengan kerap boleh membantu mempercepatkan sistem pencernaan anda. Cuba lakukan senaman sederhana sebanyak 4-5 hari dalam seminggu.

Bilakah anda perlu berjumpa doktor?

Kebanyakan kes gas berlebihan bukanlah tanda penyakit yang serius. Anda boleh merawatnya melalui perubahan gaya hidup dan ubat tersedia di farmasi. Selain itu, menyediakan diari makanan juga boleh menentukan makanan yang tidak sesuai dimakan oleh anda dan menyebabkan lebih banyak gas keluar.

Lakukan temu janji dengan doktor anda jika simptom anda menjadi teruk atau jika anda mengalami:

  • Kesakitan
  • Loya
  • Muntah
  • Cirit-birit

Sumber

https://www.healthline.com/health/how-to-stop-farting

https://www.healthline.com/health/why-do-i-keep-farting

https://www.medicalnewstoday.com/articles/321604

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gas-and-gas-pains/in-depth/gas-and-gas-pains/art-20044739

Summary
Kurangkan kentut dengan cara ini!
Article Name
Kurangkan kentut dengan cara ini!
Description
Majoriti individu kentut antara 14 hingga 23 kali dalam sehari, kebanyakannya adalah kentut yang tidak berbau dan tidak dapat dikesan!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: