Kulit kering
Kulit kering adalah keadaan kusam, kasar, bersisik dan gatal dengan keadaan liang-liang roma yang hampir tidak kelihatan.

Kulit kering atau ‘ichthyosis‘ adalah keadaan kusam, kasar, bersisik dan gatal dengan keadaan liang-liang roma yang hampir tidak kelihatan. Ia biasanya berlaku disebabkan penanggalan sel yang tidak normal dari lapisan luar kulit. Dalam keadaan biasa, pelembapan dari minyak semula jadi badan mampu membantu menghentikan kehilangan air daripada kulit.

Jika anda mempunyai keadaan seperti ini, cuci muka anda setiap hari dengan pembersih ringan. Ini akan melindungi kulit anda daripada menjadi kering. Selain itu, melembapkan kulit dengan losyen tanpa wangian dan alkohol selepas mencuci juga dapat membantu daripada masalah ini.

Seterusnya, hadkan mandian air panas, suhu tinggi dan kelembapan rendah yang boleh mengambil kelembapan kulit anda. Penggunaan sabun dan basuh atau menggosok kulit secara berlebihan boleh meningkatkan kekeringan kulit.

Ramai individu mempunyai kulit yang kering pada musim sejuk disebabkan kelembapan yang rendah dan penggunaan pemanas udara memaksa udara yang panas dan kering ke dalam bilik yang tertutup.

Jika kulit anda kering, mandi air hangat selama lebih kurang 20 minit. Elak menggunakan sabun atau produk pengeringan yang lain. Apabila anda keluar dari tab mandi, lapkan badan secara ala kadar dengan segera, kemudian sapukan minyak mineral (boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan kedai ubat) atau losyen tanpa wangian dan alkohol di seluruh kulit anda. Tepukkan kulit anda dengan perlahan hingga kering. Minyak atau losyen ini dapat membantu mengekalkan kelembapan yang boleh memulih dan menjaga kulit agar kekal lembut dan ringan.

 

Simptom Kulit Kering (Ichtyosis)

Kulit yang kering selalunya bersifat sementara – anda hanya mendapatnya seperti semasa musim sejuk tetapi ia juga boleh jadi keadaan seumur hidup. Tanda-tanda dan gejala masalah ini bergantung kepada umur, kesihatan, tempat tinggal, masa yang dihabiskan di luar rumah dan punca masalah itu.

Di samping itu, keadaan ini terjadi mungkin menyebabkan satu atau lebih masalah seperti berikut:

  • Rasa tegang pada kulit, terutamanya selepas mandi atau berenang.
  • Kulit yang terasa dan kelihatan kasar.
  • Gatal-gatal (pruritus).
  • Bersisik atau mengelupas yang biasa atau serius.
  • Terdapat garis halus atau retak pada kulit.
  • Kulit kekelabuan.
  • Kemerahan.
  • Keretakan kulit yang dalam dan mungkin berdarah.

 

Punca Kulit Kering (Ichthyosis)

Masalah ini selalunya berpunca disebabkan alam sekitar. Penyakit tertentu juga boleh menjejaskan kulit anda dengan ketara. Potensi penyebab masalah kulit seperti ini termasuk:

  • Cuaca. Kulit cenderung menjadi kering pada musim sejuk apabila suhu dan kadar kelembapan adalah rendah. Namun, musim mungkin tidak diambil kira sekiranya anda tinggal di kawasan padang pasir.
  • Haba. Pemanasan pusat, dapur kayu, pemanas ruang dan pendiang api semuanya boleh mengurangkan kelembapan dan mengeringkan kulit anda.
  • Mandian dan pancuran air panas. Mandian air panas yang lama boleh mengeringkan kulit anda. Begitu juga dengan aktiviti berenang dengan kerap, terutamanya dalam kolam dengan klorin yang banyak.
  • Sabun dan detergen Kebanyakan sabun, detergen dan syampu mengambil kelembapan dari kulit anda kerana ia dirumuskan untuk mengeluarkan minyak.
  • Keadaan kulit yang lain. Individu yang mempunyai keadaan kulit seperti dermatitis atopik (ekzema) atau psoriasis juga terdedah kepada kulit kering.

 

Diagnosis Kulit Kering (Ichthyosis)

Seorang doktor boleh mendiagnosis punca kepada tompok kulit yang kering dengan melakukan pemeriksaan, iaitu dengan mengambil sejarah perubatan individu dan bertanyakan tentang faktor risiko dan keadaan kulit apa yang berlaku dalam keluarga.

Sekiranya doktor mengesyaki bahawa masalah itu berpunca daripada keadaan perubatan, mereka mungkin akan merujuk individu tersebut kepada pakar dermatologi iaitu doktor yang pakar dalam masalah kulit.

Seterusnya, ahli dermatologi akan mengkaji sejarah dan gejala perubatan seseorang sebelum membuat ujian makmal, seperti biopsi kulit. Ini dilakukan untuk membantu dengan diagnosis yang dibuat.

 

Faktor Risiko Kulit Kering (Ichthyosis)

Sesiapa sahaja boleh mendapat masalah kulit yang kering seperti ini. Namun, anda mungkin lebih cenderung untuk mendapat keadaan ini jika anda:

  • Berusia 40 tahun atau lebih tua. Risiko meningkat dengan usia, lebih daripada 50 peratus orang dewasa yang lebih tua mempunyai kulit kering.
  • Hidup di iklim kering, sejuk atau kelembapan yang rendah.
  • Mempunyai pekerjaan yang memerlukan anda merendamkan kulit ke dalam air seperti jururawat dan penggaya rambut.
  • Kerap berenang di kolam berklorin.

 

Komplikasi Kulit Kering (Ichthyosis)

Masalah kulit ini biasanya tidak berbahaya tetapi apabila ia tidak dirawat, ia boleh menyebabkan:

  • Atopic dermatitis (ekzema). Sekiranya anda terdedah kepada keadaan ini, kekeringan berlebihan boleh mengakibatkan menyebabkan kemerahan, keretakan dan keradangan kulit.
  • Jangkitan. Kulit kering mungkin retak dan membolehkan bakteria masuk yang seterusnya menyebabkan jangkitan.

Komplikasi ini berkemungkinan besar berlaku apabila mekanisme perlindungan kulit anda sangat terancam. Sebagai contoh, kulit kering yang serius boleh menyebabkan retakan dalam atau retakan yang dapat dibuka dan berdarah. Ini seterusnya boleh memberi jalan pada bakteria untuk menyerang kulit anda.

 

Rawatan Kulit Kering (Ichthyosis)

Terdapat banyak cara untuk merawat masalah kulit ini. Bahagian ini akan merangkumi rawatan dan ubat-ubatan yang boleh dibuat dan diambil di rumah.

  • Pengelupasan dengan menggunakan loofah, batu pumice atau skrub untuk mengeluarkan sel-sel kulit mati dengan cadangan doktor.
  • Menggunakan minyak atau krim secara teratur, dengan menggunakan produk yang mengandungi humectants, ceramides atau emollients.
  • Menggunakan pelembap udara untuk menambah kelembapan pada udara.
  • Mengaplikasikan kompres atau benda sejuk di kawasan yang terjejas.
  • Menggunakan minyak bayi ketika mandi air hangat atau meletakkannya semasa kulit masih lembap selepas mandi.
  • Menggunakan air suam berbanding air panas semasa mandi.
  • Menepuk kulit kering dengan tuala perlahan-lahan.

Ubat-ubat preskripsi untuk merawat kulit teruk termasuk:

  • Ubat topikal, termasuk krim yang mengandungi asid alpha hydroxy atau retinoid.
  • Steroid, termasuk hydrocortisone.
  • Antibiotik.
  • Antiseptik topikal.
  • Antihistamin.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ichthyosis-vulgaris/symptoms-causes/syc-20373754

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/what-is-ichthyosis

https://www.healthline.com/health/ichthyosis-vulgaris

https://www.medicalnewstoday.com/articles/318242

Summary
Kulit kering (Ichthyosis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Article Name
Kulit kering (Ichthyosis) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Description
Kulit kering adalah keadaan kusam, kasar, bersisik dan gatal dengan keadaan liang-liang roma yang hampir tidak kelihatan. Ia biasanya berlaku disebabkan penanggalan sel yang tidak normal dari lapisan luar kulit.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: