Konjunktivitis yang juga dikenali sebagai ‘pinkeye’, adalah keradangan konjunktiva. Konjungtiva pula adalah tisu jelas dan nipis terletak di atas bahagian putih mata dan garisan di dalam kelopak mata.
Ramai kanak-kanak biasanya terkesan dengan keradangan ini. Ia sangat mudah berjangkit (ia tersebar dengan cepat di sekolah dan pusat jagaan harian), tetapi jarang menjadi satu keadaan serius. Selain itu, ia juga mungkin tidak merosakkan penglihatan, terutamanya jika anda berjaya mengesan dan merawatnya dengan cepat. Apabila anda berjaga-jaga bagi mengelakkan penyebaran dan melakukan segala perkara yang disyorkan oleh doktor, masalah ini akan hilang tanpa masalah jangka panjang lain.
Jenis Konjunktivitis
Terdapat tiga jenis penyakit ini, dan ia bergantung kepada punca yang menyebabkannya seperti:
- Konjunktivitis kimia atau perengsa: Jika sesuatu menggatalkan mata, ia boleh jadi meradang dan sakit. Perengsa mungkin merupakan bulu mata yang salah masuk ke bahagian mata atau klorin selepas berenang di kolam.
- Konjunktivitis alahan: Ini berlaku apabila alergen bersentuhan dengan mata, seperti habuk hama, debunga atau bulu binatang. Alergen membuatkan sistem imun tubuh memberi reaksi berlebihan, menyebabkan kerengsaan dan keradangan.
- Konjunktivitis jangkitan: Bakteria atau virus boleh menyebabkan jangkitan, lalu menjadikan mata merah atau merah jambu dan berair. Terdapat juga salutan melekit pada bulu mata dan lendiran di mata.
Simptom Konjunktivitis
Simptom penyakit ini yang paling biasa berlaku termasuk:
- Kemerahan pada satu atau kedua-dua belah mata.
- Kegatalan pada satu atau kedua-dua belah mata.
- Rasa berbiji dalam satu atau kedua-dua belah mata.
- Rembesan dalam satu atau kedua-dua mata yang membentuk kerak pada waktu malam dan mungkin menghalang satu belah mata atau kedua-duanya daripada menjadi celik pada waktu pagi.
- Tangisan.
Punca Konjunktivitis
Beberapa perkara boleh menyebabkan penyakit ini, termasuklah:
- Virus, termasuk jenis yang menyebabkan selesema biasa.
- Bakteria.
- Bahan perengsa seperti syampu, kotoran, asap dan klorin dalam kolam.
- Reaksi terhadap ‘eyedrops’.
- Reaksi alahan kepada benda seperti debunga, debu atau asap. Ia juga mungkin berlaku disebabkan oleh jenis alergi khas yang mempengaruhi individu yang memakai kanta sentuh (contact lenses).
- Kulat, amoeba dan parasit.
Konjunktivitis juga kadangkala boleh berlaku kerana penyakit yang menular secara seksual (STD). Gonorrhea juga boleh mendorong kepada bentuk konjunktivitis bakteria yang jarang berlaku, tetapi adalah berbahaya. Ia boleh menyebabkan kehilangan penglihatan jika tidak dirawat. Seterusnya, chlamydia boleh menyebabkan konjunktivitis pada orang dewasa. Sekiranya anda mempunyai chlamydia, gonorrhea atau bakteria lain dalam badan anda semasa proses melahirkan, anda boleh menghantarnya kepada bayi melalui saluran kelahiran anda.
Diagnosis Konjunktivitis
Seorang doktor boleh mendiagnosis konjunktivitis dengan melihat tanda-tanda dan gejala serta bertanyakan beberapa soalan. Rawatan untuk konjunktivitis yang berlaku kerana perengsa dan alergik adalah berbeza berbanding jenis yang berpunca daripada jangkitan.
Sesetengah kes konjunktivitis jangkitan dapat disembuhkan dalam masa beberapa hari hingga 2 minggu tanpa rawatan, namun ada yang mungkin mengambil masa sehingga sebulan. Bagi konjunktivitis jenis bakteria, rawatan antibiotik boleh memendekkan masa pemulihan dan mengurangkan penyebaran jangkitan kepada orang lain.
Jika simptom berlarutan selama 2 minggu atau lebih, individu tersebut harus kembali menemui doktor dan diagnosis akan dinilai semula serta rawatan yang sesuai akan diberikan.
Faktor Risiko Konjunktivitis
Faktor risiko konjunktivitis termasuklah:
- Terdedah kepada sesuatu alahan (konjunktivitis alergi).
- Terdedah kepada seseorang yang dijangkiti bentuk konjunktivitis virus atau bakteria.
- Menggunakan kanta sentuh, terutamanya jika digunakan terlalu lama.
Rawatan Konjunktivitis
Rawatan konjunktivitis biasanya bertumpu untuk melegakan gejala. Doktor mungkin mengesyorkan penggunaan air mata tiruan, membersihkan kelopak mata anda dengan kain basah dan meletakkan mampatan sejuk atau suam beberapa kali sehari.
Jika anda memakai kanta lekap, anda dinasihatkan untuk berhenti memakainya sehingga rawatan selesai. Doktor juga mungkin mengesyorkan agar anda membuang kanta lekap tersebut.
Bersihkan lensa keras yang dipakai semalaman sebelum anda menggunakannya semula. Bertanyakan pada doktor jika anda harus membuang dan menggantikan aksesori kanta sentuh anda, seperti kes lensa yang digunakan sebelum atau semasa penyakit berlaku. Gantikan juga sebarang alat solek mata yang digunakan.
Dalam kebanyakan kes, anda tidak memerlukan ubat titik mata antibiotik. Memandangkan konjunktivitis biasanya bersifat virus, antibiotik tidak akan membantu dan bahkan boleh menyebabkan kemudaratan dengan mengurangkan keberkesanannya pada masa hadapan atau menyebabkan reaksi ubat. Sebaliknya, virus memerlukan masa untuk menjalankan tugasnya, biasanya sehingga dua atau tiga minggu.
Di samping itu, konjunktivitis jenis virus sering bermula pada satu belah mata dan kemudian menjejaskan mata yang lain dalam masa beberapa hari. Tanda dan gejala anda mungkin dapat dilihat secara beransur-ansur.
Ubat antivirus mungkin menjadi pilihan jika doktor menentukan bahawa konjunktivitis virus anda berlaku disebabkan virus herpes simpleks.
– Rawatan untuk konjunktivitis alahan
Sekiranya kerengsaan yang terjadi adalah konjunktivitis jenis alahan, doktor mungkin menetapkan salah satu daripada pelbagai jenis ubat titik mata untuk bagi individu dengan masalah ini. Ia termasuklah ubat-ubatan yang membantu mengawal tindak balas alahan, seperti antihistamin dan penstabil (stabilizers) sel utama atau ubat-ubatan yang membantu mengawal keradangan seperti ‘decongestants’, steroid dan ubat titik anti-inflamasi.
Seterunya, ubat titik mata yang mengandungi antihistamin dan ubat anti-radang juga mungkin berkesan. Dapatkan nasihat daripada doktor jika anda tidak pasti produk mana yang hendak digunakan.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pink-eye/symptoms-causes/syc-20376355
https://www.webmd.com/eye-health/eye-health-conjunctivitis#1