#Kita Manusia: Rakyat Malaysia Yang Tampil Ke Hadapan Berkongsi Kisah Kesihatan Mental Mereka
#KitaManusia merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan mental.

Daiyan Trisha

#KitaManusia merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan mental. Kempen media sosial ini dijayakan oleh seorang selebriti terkenal iaitu Daiyan Trisha yang turut berkongsi ceritanya dalam video #KitaManusia di YouTube.

Melalui kempen ini, Daiyan turut mengumpulkan beberapa individu di Malaysia yang berani tampil ke hadapan untuk berkongsi tentang ‘kisah’ unik hidup mereka mengenai kesihatan mental mereka.

Alicia Amin

Alicia Amin adalah seorang pelakon dan model wanita Malaysia. Beliau merupakan salah seorang peserta rancangan Asia’s Next Top Model musim kelima. Dalam video #KitaManusia tersebut, beliau telah berkongsi tentang pengalaman beliau menghidap kebimbangan dan kemurungan. Seawal usia 13 tahun, Alicia sering berasa sedih tanpa mengetahui sebab dan punca kehadiran perasaan tersebut. Seolah-olah, terlalu banyak perkara yang perlu dirisaukan walhal, beliau masih bersekolah dan mempunyai kehidupan yang baik. Saat itu, beliau masih belum memahami apa itu kesihatan mental dan menganggapnya sebagai perkara biasa dan meneruskan hidupnya seperti biasa.

Masa berlalu, Alicia menjalani diagnosis klinikal mengenai keadaannya dan mendapat tahu beliau mempunyai High-Functioning Anxiety dan High Functioning Depression. Setelah itu, keadaan bertambah buruk apabila ibu bapanya menyatakan keputusan untuk berpisah. Beliau berasa sangat sedih dan kecewa dan mula mencederakan diri sendiri.

Nasihatnya kepada penonton, benarkan diri kita untuk merasakan perasaan serta emosi yang menyesakkan jiwa tersebut. Cipta matlamat dan fokus pada matlamat tersebut. Percaya dan berikan harapan terhadap diri sendiri setiap hari.

Mukhlis Idris

Mukhlis Idris merupakan seorang bekas penghidap kanser limfoma tahap 2 pada tahun 2011. Beliau pernah bekerja sebagai seorang doktor, namun terpaksa melepaskan jawatannya itu apabila beliau perlu menjalani 19 kitaran kemoterapi dan 1 sesi transplant di hospital bagi merawat kanser yang dialami. Pada masa itu, Mukhlis berasa sangat tertekan dan murung apabila memikirkan mengenai kehidupannya di hari-hari akan datang. Lensa hidup seakan kabur, semua yang berlaku seperti tidak betul. Bahkan, kemoterapi yang dijalani semakin menjejaskan semangatnya untuk terus hidup. ‘

Namun begitu, pada suatu hari beliau tersedar mengenai realiti hidupnya di saat itu. Syukur, beliau mempunyai keluarga yang sangat memahami dan menyokongnya di setiap sudut kehidupan. Mukhlis kembali berfikir seperti normal dan bercadang untuk merubah keadaannya dengan mencapai minatnya dalam bidang lukisan dan nyanyian. Kini, beliau berjaya bangkit dari bawah dengan menjadi seorang jurusolek bebakat. Baginya, solekan adalah satu terapi yang membantu dirinya menenangkan diri dan fikiran.

Kepada para penonton, Mukhlis memberi kata-kata semangat “selagi masih bernyawa, teruskan perjuangan kita,”

Hafreez Amiruddin

Hafreez Amiruddin adalah seorang eksekutif pemasaran digital. Beliau merupakan salah seorang rakyat Malaysia yang tampil ke hadapan berkongsi kisahnya sebagai balasan bagi muzik video #KitaManusia. Kisah Hafreez bermula sejak zaman remaja, apabila rakan-rakannya di sekolah menggelar beliau dengan berbagai nama yang tidak elok. Beliau membesar dalam sebuah keluarga yang tidak lengkap, malah beliau sering berasa sunyi walaupun dikelilingi ramai keluarga dan kawan-kawan disampingnya. Jadi, Hafreez merasakan dirinya keseorangan dan tiada siapa yang kisah tentangnya, beliau mula mencederakan diri sendiri.

Sejujurnya, apabila melakukan perbuatan tersebut beliau mengakui tidak merasakan sebarang kesakitan fizikal kerana apa yang dialami secara emosional adalah lebih sakit daripada itu. Beliau menjadikan tabiat tersebut sebagai satu cara untuk meluahkan perasaannya yang telah lama terpendam.

Hafreez menjelaskan beliau mula berubah apabila beliau menyedari mengenai perbuatannya tersebut tidak melambangkan dirinya yang sebenar. Ia hanyalah suara asing dalam fikirannya yang cuba mempengaruhinya melakukan perkara itu. Justeru itu, beliau berjaya meraih kawalan diri.

Nasihat Hafreez kepada para penonton #KitaManusia, dan semua yang mengalami keadaan yang serupa, kita tidak berseorangan. Ramai yang mengalami nasib dan keadaan yang sama. Jangan takut atau malu untuk berkongsinya kepada orang lain yang memahami.

Melissa Th’ng

Melissa Th’ng dikenali sebagai seorang DJ di saluran radio Hitz.fm. Beliau juga pernah menyertai pertandingan Asia’s Next Top Model beberapa tahun yang lalu. Nasib tidak menyebelahinya, beliau telah menerima pelbagai komen berbaur kebencian daripada netizen mengenai penampilan beliau dalam rancangan tersebut. Melissa berkongsi bagaimana hari-hari beliau dilalui dengan kata-kata cacian netizen di media sosial yang mengkritik hebat mengenai tubuh badannya. Malah, segelintir juri turut memberi komen mengenai penampilannya tidak begitu baik sehingga membuatkan beliau berasa sangat sakit hati.

Berlainan pula dalam kehidupan hariannya, tiada seorang pun pernah memanggilnya hodoh atau memberi komen negatif terhadap penampilan dan perwatakannya. Malah, beliau sentiasa jujur dalam menunjukkan diri sebenar kepada orang ramai. Oleh kerana, bentuk badan yang dianggap tidak ‘ideal’ seperti pandangan umum terhadap ‘kecantikan’, beliau pernah menangis banyak kali akibat kecewa dengan tindakan manusia yang tidak bertanggungjawab di media sosial.

Titik perubahan yang membantu Melissa kembali bersemangat adalah apabila salah seorang peserta dari Jepun, memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada beliau. Memetik ayat gadis tersebut, beliau menasihatkan Melissa supaya tidak memikirkan mengenai kritikan dan pendapat orang lain. Itu adalah pendapat mereka, tidak semestinya semuanya betul. Jadilah diri kamu yang sebenar. Fokus kepada diri sendiri.

SUMBER

https://umsc.my/?umsc_news=resolving-mental-illness-issues-in-malaysia

https://www.buro247.my/lifestyle/health-fitness/celebrities-opened-up-mental-health-struggles.html

Summary
#Kita Manusia: Rakyat Malaysia Tampil Ke Hadapan Berkongsi Kisah Kesihatan Mental Mereka
Article Name
#Kita Manusia: Rakyat Malaysia Tampil Ke Hadapan Berkongsi Kisah Kesihatan Mental Mereka
Description
#KitaManusia merupakan satu inisiatif untuk memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan mental.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: