Kisah Disebalik Hajarul Aswad

Hajarul Aswad

Mari kita mengetahui kisah disebalik Hajarul Aswad yang ramai tidak tahu.

Hajarul Aswad (الحجر الأسود) adalah perkataan Arab yang bermaksud batu hitam. Batu ini terletak di sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah). Bentuknya adalah bundar dan berwarna hitam serta berlubang. Tingginya sekitar 150 sentimeter dari atas tanah. Batu ini mempunyai lingkaran sekitar 30 sentimeter dan garis tengah 10 sentimeter, iaitu lebih besar daripada lingkaran muka seseorang.

Seseorang yang ingin mencium batu ini harus memasukkan mukanya ke dalam lubang itu. Ini bermaksud kepala yang besar pun dapat dimasukkan ke dalam lubang batu hitam ini dan bahagian luar batu hitam ini diikat dengan pita perak yang berkilat.

Penjuru yang terletak batu ini dijadikan tanda sebagai tempat permulaan tawaf bagi mereka yang ingin mengerjakan ibadah tawaf. Mereka perlu memulai tawaf dengan membetulkan bahu kiri ke arah Hajarul Aswad dan berpusing sebanyak tujuh kali. Ibadah tawaf bermula di penjuru Hajarul Aswad dan berakhir di bahagian penjuru Hajarul Aswad juga.

Kisah Disebalik Hajarul Aswad

Hajarul Aswad merupakan batu yang diturunkan dari syurga dan asalnya berwarna putih seperti salju. Batu tersebut akhirnya berubah menjadi hitam kerana dosa manusia dan kelakukan orang-orang musyrik di muka bumi.

Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

نَزَلَ الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِى آدَمَ
Maksudnya, “Hajarul Aswad turun dari syurga padahal batu tersebut begitu putih lebih putih daripada susu. Dosa manusialah yang membuat batu tersebut menjadi hitam”. (HR Tirmidzi no. 877)

Seterusnya, dari Ibnu Abbas ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

الْحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الْجَنَّةِ وَكَانَ أَشَدَّ بَيَاضاً مِنَ الثَّلْجِ حَتَّى سَوَّدَتْهُ خَطَايَا أَهْلِ الشِّرْكِ
Maksudnya, “Hajar aswad adalah batu dari syurga. Batu tersebut lebih putih dari salju. Dosa orang-orang musyriklah yang membuatnya menjadi hitam.” (HR Ahmad)

Batu yang mulia ini juga menjadi saksi di akhirat nanti. Dari Ibnu Abbas ra, dia berkata bahawa Rasulullah saw bersabda mengenai Hajarul Aswad,

وَاللَّهِ لَيَبْعَثَنَّهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَهُ عَيْنَانِ يُبْصِرُ بِهِمَا وَلِسَانٌ يَنْطِقُ بِهِ يَشْهَدُ عَلَى مَنِ اسْتَلَمَهُ بِحَقٍّ
Maksudnya, “Demi Allah, Allah akan mengutus batu tersebut pada hari kiamat dan ia memiliki dua mata yang boleh melihat, memiliki lisan yang boleh berbicara dan akan menjadi saksi bagi siapa yang benar-benar menyentuhnya.” (HR Tirmidzi no. 961, Ibnu Majah no. 2944 dan Ahmad 1: 247)

hajarul aswad

Kaabah mengalami kebakaran besar sehingga perlu dibina semula pada tahun 606 M dan ketika Nabi saw berusia 35 tahun. Setelah proses pembangunan semula kaabah itu selesai, Hajarul Aswad hendak diletakkan kembali ke tempatnya tetapi terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah Arab Quraisy tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya.

Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum, sebagai orang yang tertua, mengusulkan bahawa yang berhak meletakkan batu ini di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki pintu Safa keesokan harinya. Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi rasul.

Oleh sebab itu, Baginda yang paling berhak untuk meletakkannya di tempat asal batu itu. Akan tetapi dengan keadilan dan kebijaksanaannya, Muhammad menjalankan amanah untuk meletakkan di tempatnya dengan penyelesaian yang cukup adil dan hikmah. Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada dan Hajarul Aswad diletakkan di tengah-tengah serban itu.

Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkan Hajarul Aswad. Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkan Hajrul Aswad di tempatnya. Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari ketua-ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.

Setelah Baginda Nabi saw wafat, Ia dihiasi dengan lingkaran pita perak di sekelilingnya. Menurut Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki, seorang ahli sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajarul Aswad, setelah terjadi kebakaran pada Kaabah dan pemasangan pita perak itu dilakukan agar batu itu tetap utuh dan tidak mudah pecah.

Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada tahun 189H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram. Ia memerintahkan Ibnu at-Tahnan, seorang pengukir perak terkenal ketika itu, untuk menyempurnakan lingkaran pita perak di sekelilingnya dan membuatnya lebih berkilat dan berkilau.

Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 1839-1861 M). Pada tahun 1268H, baginda menghadiahkan lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajarul Aswad, sebagai pengganti lingkaran pita perak yang telah hilang.

Lingkaran emas itu kemudian diganti dengan lingkaran perak oleh Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 1861-1876 M). Pada 1331 H, atas perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah pada tahun 1909-1918 M), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita perak yang baru. Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Ia sering dililit dan dilingkari pita perak.

hajarul aswad

See Also
haji

Hukum Menyentuh Dan Mencium Hajar Aswad

Menyentuh atau mencium Hajarul Aswad adalah Sunnah dalam ibadah tawaf, seandainya kita tidak dapat menciumnya, cukup menyentuhnya dan tapak tangan kemudian kita cium tangan yang menyentuhnya tadi.

Pendapat 4 Imam Mazhab

Imam Hanafi:

″Sunnah menciumnya, bila tidak dapat menciumnya, cukup menyentuhnya, bila tidak dapat menyentuhnya, cukup bertakbir, bertahmid atau bertahlil ke arahnya.″

Imam Maliki:

″Sunnah mencium Hajarul Aswad dan bibirnya (yang warna putih), jika tidak mampu, cukup menyentuhnya, jika tidak mampu cukup bertakbir, bertahmid atau bertahlil ke arahnya, tanpa berisyarat. Beliau menambahkan, ketika mencium Hajarul Aswad adalah dengan hidung. Bukan dengan kening atau dua pipi.”

Imam Syafi′i dan Imam Hanbali:

″Sunnah mencium Hajarul Aswad dengan kening, jika tidak mampu, cukup menyentuhnya dan mencium tangan yang menyentuh tadi, jika tidak mampu cukup beri syarat dengan tangan ke arah Hajarul Aswad.″

Mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi saw semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajarul Aswad), beliau berkata-kata:
“Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah saw menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”

Semoga artikel ini dapat memberi ilmu atau pengetahuan berkenaan kisah disebalik Hajarul Aswad. Allahu a’lam

Sumber : https://bidadari.my/hajarul-aswad/

error: Content is protected !!