Kiraan BMI Dan Kaedah Lain Untuk Mengukur Kesihatan Anda
Indeks jisim badan (BMI) adalah cara untuk mengukur tahap kesihatan dengan melibatkan ketinggian dan berat badan anda.

Indeks jisim badan (BMI) adalah cara untuk mengukur tahap kesihatan dengan melibatkan ketinggian dan berat badan anda. Anda boleh menggunakan formula mudah ini untuk menentukan BMI anda.

Anda boleh melakukan kiraan dengan menggunakan kalkulator dan ikuti langkah-langkah berikut untuk menentukan BMI anda:

  • Formula: berat (kg) / [tinggi (m)] 2
  • Pengiraan: [berat (kg) / ketinggian (cm) / ketinggian (cm)] x 10,000

Hasilnya ialah kiraan BMI anda.

Contoh pengiraan:

  • Ali mempunyai berat sebanyak 16.9 kg dan ketinggiannya adalah 105.4 cm. Jadi berapakah BMI Ali?
  • Pengiraannya: (16.9 kg / 105.4 cm / 105.4 cm) x 10,000 = 15.2
  • Oleh itu, BMI Ali adalah 15.2

Jadi apakah kategori kiraan BMI anda? Untuk itu, Institut Kesihatan Nasional (NIH) telah mengeluarkan garis panduan yang berikut:

Garis panduan kiraan BMI

BMIKategori BMI
<18.5Kurang berat badan
18.5 – 24.9Berat badan unggul
25 – 30Berlebihan berat badan
>30Obes

Individu yang mempunyai BMI pada tahap 25 atau lebih tinggi dijangka berisiko tinggi untuk mengalami Penyakit Jantung, Strok, Hipertensi, Kencing Manis, Penyakit Pundi Hempedu, Kanser, dan kematian.

Namun begitu, perlu diingat bahawa BMI hanyalah satu faktor dalam menilai tahap kesihatan anda.

Tambahan lagi,pengiraan BMI dalam kalangan atlet atau wanita hamil selalunya adalah tidak tepat kerana terdapat banyak faktor lain lagi yang perlu diambil kira bagi mengukur tahap kesihatan mereka.

Berikut merupakan cara lain untuk mengukur tahap kesihatan anda yang boleh anda lakukan.

Kaedah Lain Mengukur Tahap Kesihatan Anda

Ukuran Lilit Pinggang

Pengukuran lilit pinggang adalah salah satu cara yang tepat untuk menentukan sebarang risiko penyakit. Menurut ahli perubatan dan ahli kesihatan dan kesejahteraan, ukuran lilit pinggang boleh memberi gambaran besar terhadap tahap kesihatan seseorang. Angka ini berguna dalam menilai risiko keadaan kesihatan lain yang serius seperti Strok, Apnea Tidur, dan Penyakit Jantung.

Tambahan lagi, ukuran ini juga boleh memberitahu dengan lebih lanjut tentang risiko penyakit yang pesakit alami berbanding pengiraan berat badan sahaja. Ukur lilit pinggang merupakan petunjuk bagi kegemukan dengan cara mengukur lemak yang mengelilingi organ-organ dalaman. Lemak dalaman atau visceral ini adalah petunjuk yang lebih tepat mengenai risiko penyakit berkaitan Obesiti berbanding jumlah keseluruhan berat badan.

Air

Keperluan penghidratan adalah berbeza bagi setiap individu. Walau bagaimanapun, penghidratan adalah sangat penting bagi kesihatan dan kesejahteraan umum seseorang. Terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan dalam jumlah air yang perlu diminum bagi seseorang individu untuk kekal terhidrat, seperti umur, jantina, tahap aktiviti dan cuaca. Jadi, daripada anda khuatir mengenai jumlah air yang perlu diminum, adalah lebih baik jika anda memerhatikan keadaan air kencing anda.

Matlamat anda sepatutnya adalah untuk menghasilkan air kencing yang berwarna kuning pucat atau lebih cerah. Air kencing yang berwarna gelap adalah petunjuk yang bahawa anda tidak minum air yang mencukupi.

Tekanan darah

Tekanan darah anda perlu diperiksa oleh doktor anda secara berkala. Tahap tekanan darah anda adalah satu lagi ukuran yang perlu diperhatikan dan dikawal untuk mengekalkan tahap kesihatan anda secara menyeluruh.

Apabila tekanan darah tidak terkawal, anda berisiko untuk mendapat satu komplikasi yang sangat serius seperti Aterosklerosis. Secara umum, tahap tekanan darah yang sangat tinggi boleh merosakkan pembuluh penting dalam badan anda.

Selain itu, Tekanan Darah Tinggi juga boleh meningkatkan risiko serangan jantung atau Strok. Kedua-duanya dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana ia mungkin tidak menunjukkan simptom yang jelas.

Walaupun anda tidak semestinya perlu memeriksa tekanan darah setiap hari, adalah penting untuk mengawal dan mengekalkan tekanan darah anda dalam lingkungan normal. Pakar perubatan mengesyorkan bahawa individu yang berumur lebih daripada 20 tahun yang mempunyai tahap tekanan darah normal perlu memeriksa tekanan darah setiap satu hingga dua tahun. Namun, jika anda mempunyai Tekanan Darah Tinggi, doktor anda mungkin mencadangkan jadual yang berbeza.

Tahap kolesterol

Anda tidak boleh mengabaikan tahap kolesterol anda. Berundinglah dengan doktor tentang perkara ini. Ini kerana terdapat kepentingan klinikal berkaitan dengan tahap kolesterol ‘baik’ dan ‘buruk’ dalam badan anda. Secara umum, setelah anda berusia 20 tahun, paras kolesterol anda harus diperiksa sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun.

Sekiranya anda mempunyai risiko lain, tahap kolesterol anda mungkin perlu diperiksa dengan lebih kerap kerana ia juga boleh menjadi faktor risiko untuk Penyakit Jantung.

– Tahap gula darah

Ujian glukosa plasma puasa (FPG – Fasting Plasma Glucose test) mengukur jumlah glukosa dalam darah anda atau ‘gula darah anda’ selepas anda berpuasa selama lapan jam. Ini merupakan salah satu cara untuk mengesan penyakit Kencing Manis.

Biasanya gula darah akan meningkat apabila anda makan. Sel anda menggunakan gula dari dalam aliran darah sebagai sumber tenaga, melalui bantuan insulin iaitu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Bagi seseorang yang menghidap Kencing Manis, badannya tidak menghasilkan insulin yang cukup atau tidak menggunakannya dengan baik. Justeru itu, mengakibatkan terlalu banyak gula yang terkumpul dalam darah. Lama kelamaan, keadaan ini boleh merosakkan mata, buah pinggang, saraf, atau jantung anda.

Hasil ujian FPG dengan bacaan gula darah lebih rendah daripada 100 miligram per desiliter dianggap normal, manakala bacaan yang lebih tinggi daripada itu menunjukkan keadaan Pra-Diabetes atau Kencing Manis.

Individu yang mempunyai tahap glukosa normal harus diuji setiap tiga tahun. Mereka yang berlebihan berat badan atau mempunyai faktor risiko Kencing Manis tertentu mungkin perlu diuji dengan lebih kerap. Walau bagaimanapun tanya doktor terlebih dahulu mengenai cara yang terbaik untuk diri anda.

Kadar Nadi Sewaktu Rehat

Kadar nadi anda sewaktu rehat adalah ukuran untuk menentukan tahap kesihatan jantung dan kecergasan anda. Bagi kebanyakan individu dewasa, kadar jantung yang sihat adalah antara 60 hingga 100 kali denyutan dalam seminit.

Untuk memeriksa nadi anda melalui arteri karotid anda, letakkan jari telunjuk dan jari tengah di leher anda bersebelahan saluran pernafasan.

Untuk memeriksa nadi anda di pergelangan tangan pula, letakkan dua jari di antara tulang dan tendon di atas arteri radial anda, yang terletak di sebelah telapak tangan anda di bawah ibu jari.

Apabila anda dapat merasakan nadi anda, lihat jam tangan anda dan hitung bilangan denyutan dalam 15 saat. Darab nombor ini sebanyak 4 kali untuk mendapatkan kadar jantung anda dalam seminit. Sebagai contoh anda mengira nadi anda sebanyak 20 rentak dalam 15 saat. Darab 20 denyutan dengan 4 untuk sejumlah 80 denyutan dalam seminit.

Sumber

https://www.thecalculatorsite.com/articles/health/alternatives-to-bmi.php

https://my.clevelandclinic.org/health/articles/9464-body-mass-index-bmi

Summary
Article Name
Kiraan BMI Dan Kaedah Lain Mengukur Kesihatan Anda
Description
Kiraan BMI adalah satu kaedah untuk menganggarkan tahap kesihatan anda. Selain itu, terdapat pelbagai cara untuk mengukur tahap kesihatan badan anda!
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: