Goji berries
Goji berries atau juga dikenali sebagai ‘wolfberry’ adalah beri merah yang mempunyai rasa manis dan sedikit masam. Ia biasanya boleh didapatkan dalam bentuk kering, seperti kismis.

Apakah itu goji berries?

Goji berries atau juga dikenali sebagai ‘wolfberry’ adalah beri merah yang mempunyai rasa manis dan sedikit masam. Ia biasanya boleh didapatkan dalam bentuk kering, seperti kismis. Malah, tahukah anda bahawa beri merah kering ini telah digunakan dalam perubatan tradisional Cina selama lebih dari 2000 tahun?

Ia bukan sahaja mempunyai rasa manis, tetapi boleh dimakan mentah atau diambil sebagai jus atau teh herba. Buah beri ini juga boleh diambil sebagai ekstrak, serbuk dan tablet.

Semua beri berwarna biru gelap atau merah, termasuk goji berries ini mengandungi tahap antioksidan tinggi, yang dapat membantu melindungi tubuh daripada kerosakan dari radikal bebas.

Apa yang unik tentang beri ini adalah ia mengandungi antioksidan khusus yang disebut ‘Lycium barbarum polysaccharides’, yang dianggap boleh memberikan pelbagai faedah kesihatan yang mengagumkan.

Bagaimana ia bermanfaat untuk kesihatan?

Komuniti saintifik telah menyiasat manfaat kesihatan berkaitan beri ini kerana populariti buah-buahan kecil ini telah meningkat sekarang. Manfaatnya termasuklah memberi kesan anti-penuaan hingga mengatur kadar glukosa dan menyokong fungsi imun.

Mari kita ketahui lebih lanjut mengenai faedah kesihatan berkaitan goji berries.

1. Kaya dengan nutrien

Kandungan pemakanan beri ini dianggap berbeza-beza bergantung pada jenis, kesegaran dan bagaimana ia diproses.

Sebagai panduan kasar, 1/2 cawan (85 gram) goji berries jenis kering mempunyai kira-kira:

  • Kalori: 70
  • Gula: 12 gram
  • Protein: 9 gram
  • Serat: 6 gram
  • Lemak: 0 gram
  • Vitamin A: 150 peratus daripada RDI
  • Copper: 84 peratus daripada RDI
  • Selenium: 75 peratus daripada RDI
  • Vitamin B2 (riboflavin): 63 peratus daripada RDI
  • Zat besi: 42 peratus daripada RDI
  • Vitamin C: 27 peratus daripada RDI
  • Potassium: 21 peratus daripada RDI
  • Zink: 15 peratus daripada RDI
  • Thiamine: 9 peratus daripada RDI

Mengikut berat, buah beri ini sebenarnya mengandungi lebih banyak vitamin C seperti lemon dan oren segar. Bagi sebiji buah, goji berries mempunyai tahap protein dan serat agak tinggi, yang mana kedua-dua nutrien ini membantu membuatkan anda kenyang lebih lama.

Satu hidangan 100 gram goji berries sahaja dapat menyediakan sekitar 11 gram protein, berbanding hanya 1 gram protein dalam setiap 100 gram beri biru atau raspberi. Malah, goji berries juga kaya dengan tembaga (copper), zat besi, selenium dan zink.

Mineral sebegini penting untuk fungsi semua organ, melindungi sel anda dan membantu mengoptimumkan metabolisme.

2. Sumber antioksida yang sangat baik

Beri ini mempunyai skor kapasiti penyerapan radikal oksigen (ORAC) yang tinggi sebanyak 3,290. Tahap ini menunjukkan kuantiti antioksida dalam makanan tertentu. Antioksida boleh melindungi badan daripada radikal bebas, molekul berbahaya yang boleh merosakkan sel anda. Lebih-lebih lagi, makanan dengan tahap antioksida yang sihat seringkali kaya dengan serat dan rendah dengan lemak tidak sihat.

Kajian telah menyatakan tahap antioksida yang tinggi dalam goji berries, terutamanya zeaxanthin. Zeaxanthin inilah yang memberikan goji berries, safron, dan paprika warna cerah mereka.

3. Berpotensi membantu dalam proses penurunan berat badan

Goji berries kaya dengan kandungan tenaga sihat walaupun dalam saiznya yang kecil. Rasa manisnya yang kaya, bersama dengan kandungan seratnya yang tinggi, dapat membantu anda mengamalkan pemakanan secara sihat. Jadikan beri ini sebagai  makanan ringan untuk mengelakkan anda makan secara berlebihan pada waktu makan. Masukkannya ke dalam yogurt atau salad dengan cara yang sama seperti anda menggunakan kismis.

Nilai nutrien beri ini iaitu rendah kalori dan rendah gula menjadikannya pengganti buah kering lain dengan kandungan gula yang lebih tinggi. Hidangan 1 auns goji berries mempunyai sekitar 100 kalori.

4. Meningkatkan sistem imun dan melindungi badan terhadap selesema

Sistem imun tubuh yang tinggi dan perlindungan selesema dapat berjalan dengan seiring. Vitamin dalam beri ini dilihat mungkin dapat meningkatkan dan menyokong kedua-dua aspek ini sekali.

Ujian makmal awal mendapati beri ini membantu meningkatkan keberkesanan vaksinasi selesema pada tikus yang berusia. Ini adalah satu hal yang penting, kerana vaksin selesema tidak selalunya memberikan perlindungan yang cukup terhadap virus.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa goji berries dapat mencegah jangkitan berikutnya untuk orang dewasa yang lebih tua dan telah menerima vaksin selesema. Tetapi, ketahui bahawa ia bukanlah menjadi pengganti perlindungan terhadap selesema. Jadi, pastikan anda dan ahli keluarga anda menerima suntikan vaksin selesema setiap tahun.

5. Boleh tingkatkan kawalan gula dalam darah

Kajian haiwan dan tabung uji menunjukkan bahawa ekstrak goji berries mungkin mempunyai kesan positif terhadap kawalan gula darah. Kesan positif ini sangat berkaitan dengan aktiviti antioksida daripada ekstrak goji berries.

Malah, kajian berkaitan juga menunjukkan bahawa ekstraknya dapat meningkatkan kepekaan insulin dengan meningkatkan penyerapan glukosa ke dalam sel melalui molekul transporter GLUT4 dan dengan meningkatkan rembesan insulin oleh pankreas.

Walau bagaimanapun, kajian ini terhad kepada haiwan sahaja, jadi ianya tidak jelas sekiranya manusia akan mengalami kesan positif yang sama atau tidak. Justeru itu, lebih banyak penyelidikan pada manusia diperlukan.

6. Berkemungkinan mempunyai manfaat anti-penuaan

Antioksida seperti yang terdapat dalam goji berries dapat membantu melawan masalah penuaan dengan mencegah radikal bebas yang merosakkan kolagen pada kulit. Beberapa kajian kecil juga menunjukkan bahawa ekstrak beri ini dapat membantu melambatkan proses penuaan pada sel.

Satu kajian pada tikus menunjukkan bahawa ekstrak goji berries menghalang ‘glycation’ iaitu proses penuaan kulit. Kajian tabung uji lain pula mendapati bahawa ekstrak beri ini meningkatkan sintesis DNA pada sel-sel tertentu, melindungi sel dari penuaan disebabkan oleh kerosakan DNA.

Mengambil pelbagai jenis makanan yang tinggi dengan antioksida dianggap dapat membantu melindungi individu daripada masalah penuaan. Namun begitu, lebih banyak kajian manusia diperlukan.

Apa yang menjadikan goji berries begitu menyihatkan?

Beberapa jenama mungkin memasarkan buah goji berries ini sebagai makanan ‘super’. Ia sering disebut sebagai ‘superfood’ kerana mengandungi sebatian kimia yang disebut ‘phytochemicals’ yang dihasilkan oleh tumbuhan. ‘Phytochemicals’ dalam goji berries ini termasuk polisakarida, beta-karoten dan zeaxanthin.

Polisakarida

Ini adalah ciri utama goji berries yang juga adalah sumber penting dari serat makanan. Ia membantu meningkatkan fungsi imun dan meningkatkan jumlah aktiviti antioksida dalam badan.

Beta karotena

Ia bertanggungjawab untuk pigmen warna oren-merah pada goji berries. Beta-karoten sangat penting untuk kesihatan mata, kesihatan tulang, kesihatan kulit dan pengembangan sel. Jumlah beta-karoten dalam beri jenis ini adalah antara yang paling tinggi berbanding semua tanaman yang boleh dimakan.

Zeaxanthin

Ia memainkan peranan penting dalam menyokong sistem imun. Ramai penyelidik percaya bahawa zeaxanthin dapat mencegah degenerasi makula, gangguan penglihatan progresif yang berlaku apabila bahagian tengah retina atau makula merosot.

Petua sebelum menambahkan goji berries ke dalam diet anda

Sentiasa berbincang dengan doktor sebelum anda mula makan buah goji berries ini. Ada yang mungkin mengatakan buah ini mempunyai kesan sampingan yang kurang jika dibandingkan dengan ubat-ubatan. Tetapi, goji berries dapat berinteraksi dengan ubat-ubatan yang anda sedang ambil.

Elakkan menambahkan beri ini ke dalam diet anda jika anda:

  • menggunakan ubat-ubatan tertentu, seperti penipis darah, ubat diabetes dan ubat tekanan darah
  • anda alah kepada buah

Tiada bukti yang mencukupi bagi menunjukkan jika wanita hamil boleh mengambil buah goji berries ini dengan selamat. Terdapat beberapa kebimbangan yang ia mungkin menyebabkan rahim menguncup.

Sekiranya anda hamil, berhati-hati dan elakkan beri ini jika boleh. Sebaiknya berjumpa dengan doktor atau penyedia penjagaan kesihatan anda mengenai pengambilan buah goji berries jika mengandung untuk dapatkan maklumat lebih lanjut.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/goji-berry-facts

https://www.ecowatch.com/health-benefits-goji-berries-2346310840.html

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322693

Summary
Khasiat Goji berries (Wolfberries)
Article Name
Khasiat Goji berries (Wolfberries)
Description
Goji berries atau juga dikenali sebagai ‘wolfberry’ adalah beri merah yang mempunyai rasa manis dan sedikit masam. Ia banyak digunakan oleh masyarakat Cina sejak dahulu lagi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: