Ketidaksuburan
Ketidaksuburan adalah salah satu kemungkinan yang menyebabkan satu pasangan tidak boleh menyumbang kepada kehamilan.

Ketidaksuburan adalah salah satu kemungkinan yang menyebabkan satu pasangan tidak boleh menyumbang kepada kehamilan. Ia juga boleh berlaku sekiranya seorang wanita tidak boleh hamil untuk jangka masa yang panjang. Selain itu, ketidaksuburan sering ditakrifkan sebagai tidak dapat mengandung selepas 12 bulan melakukan hubungan seks yang kerap tanpa kawalan kelahiran.

Terdapat sekitar 10 peratus wanita (berumur antara 15 hingga 44 tahun) yang dianggarkan mengalami kesukaran untuk hamil atau mengandung. Dalam seluruh dunia, 8 hingga 12 peratus pasangan mengalami masalah ketidakkesuburan ini. Namun begitu, bukan semua kes ketidaksuburan berasal daripada golongan wanita. Kira-kira 45 dan 50 peratus kes-kes ketidaksuburan berasal dari faktor-faktor yang boleh menjejaskan pasangan lelaki.

 

Jenis Ketidaksuburan

Ketidaksuburan boleh diklasifikasi sebagai jenis primer atau sekunder. Bagi jenis primer, ia berlaku apabila pasangan tidak dapat mengandung selepas mencuba selama sekurang-kurangnya 12 bulan tanpa menggunakan kawalan kelahiran. Sebaliknya, ketidaksuburan jenis sekunder berlaku apabila mereka pernah mengandung tetapi tidak boleh mengandung lagi.

Simptom Ketidaksuburan

Simptom utama ketidaksuburan adalah tidak boleh hamil. Simptom yang jelas mungkin tidak dialami atau dilihat. Kadangkala, wanita yang tidak subur mungkin mempunyai tempoh haid yang tidak teratur atau haid yang tidak hadir. Walaupun ia jarang berlaku, lelaki yang tidak subur mungkin juga mempunyai tanda-tanda masalah hormon, seperti perubahan dalam pertumbuhan rambut atau fungsi seksual mereka.

Namun begitu, kebanyakan pasangan akhirnya akan hamil, dengan atau tanpa rawatan.

 

Punca Ketidaksuburan

Penyebab ketidaksuburan boleh menjejaskan seorang atau kedua-dua pasangan. Secara umumnya:

  • Dalam kira-kira satu pertiga daripada kes, masalahnya berpunca daripada lelaki.
  • Dalam kira-kira satu pertiga daripada kes, masalahnya berpunca daripada wanita.
  • Dalam kes-kes lain, masalahnya berpunca daripada kedua-dua lelaki dan wanita, atau tiada punca lain yang dapat dikenal pasti.

– Punca ketidaksuburan lelaki

Ini mungkin termasuk:

  • Pengeluaran atau fungsi sperma yang tidak normal disebabkan pertumbuhan buah zakar yang tidak baik, kecacatan genetik, masalah kesihatan seperti diabetes atau jangkitan seperti klamidia, gonorea, beguk atau HIV. Pembesaran urat dalam testis (varikosele) juga boleh menjejaskan kualiti sperma.
  • Masalah dengan penghantaran sperma disebabkan masalah seksual, seperti ejakulasi pramatang; penyakit genetik tertentu, seperti fibrosis sista; masalah struktur alat kelamin seperti penyumbatan dalam testis; atau kerosakan atau kecederaan pada bahagian kemaluan.
  • Pendedahan kepada sesetengah bahan tertentu, seperti racun perosak dan bahan kimia lain, serta radiasi. Rokok, alkohol, ganja atau ubat tertentu, seperti antibiotik pilihan, antihipertensi, steroid anabolik atau yang lain, juga boleh menjejaskan kesuburan. Di samping itu, pendedahan yang kerap terhadap haba, seperti di sauna atau tab air panas, dapat menaikkan suhu badan teras dan boleh menjejaskan pengeluaran sperma.
  • Kerosakan bahagian kemaluan atau organ yang berkaitan dengan kanser dan rawatannya, termasuk radiasi atau kemoterapi. Rawatan untuk kanser boleh menjejaskan pengeluaran sperma, kadangkala boleh menjadi serius.

– Punca ketidaksuburan wanita

Punca ketidaksuburan wanita mungkin termasuk:

  • Masalah ovulasi, yang menjejaskan pengeluaran telur dari ovari. Ini termasuklah gangguan hormon seperti sindrom ovarium polikistik. Hiperprolaktinemia, keadaan di mana anda mempunyai terlalu banyak prolaktin iaitu hormon yang merangsang pengeluaran susu ibu mungkin juga mengganggu proses ovulasi. Sama ada hormon tiroid (hipertiroidisme) terlalu banyak atau terlalu sikit (hipotiroidisme), kedua-duanya boleh menjejaskan kitaran haid atau menyebabkan masalah ketidaksuburan. Penyebab lain yang mungkin menjadi faktor termasuklah senaman yang berlebihan, gangguan permakanan, kecederaan atau tumor.
  • Keabnormalan rahim atau serviks, termasuk pembukaan serviks ganjil atau ketumbuhan polip dalam rahim. Tumor tidak kronik (jinak) di dinding rahim (fibroid rahim) juga boleh menyebabkan ketidaksuburan dengan menghalang tiub fallopio. Fibroid juga dapat mengganggu proses implantasi telur yang disenyawakan.
  • Kerosakan atau penyumbatan tiub fallopio. Ianya boleh berlaku disebabkan penyakit keradangan pelvik, jangkitan seksual, endometriosis atau pelekatan.
  • Endometriosis, yang berlaku apabila tisu endometrium tumbuh di luar rahim. Ianya boleh menjejaskan fungsi ovari, uterus dan tiub fallopio.
  • Ketidaksuburan ovari utama (menopaus awal), ia berlaku apabila ovari berhenti berfungsi dan haid berakhir lebih awal sebelum umur 40 tahun. Walaupun puncanya sering tidak diketahui, faktor-faktor tertentu dikaitkan dengan keadaan menopaus awal, termasuk penyakit sistem imun, keadaan genetik tertentu seperti sindrom Turner atau pembawa sindrom X rapuh, rawatan radioterapi atau kemoterapi dan merokok.
  • Lekatan pelvik, atau tisu parut yang mengikat organ selepas berlakunya jangkitan pelvik, apendisitis, atau pembedahan perut atau pelvis.

Sebab-sebab lain bagi wanita termasuklah:

  • Kanser dan rawatannya. Kanser tertentu terutamanya kanser organ reproduksi wanita sering menjejaskan kesuburan wanita. Kedua-dua sinaran radioterapi dan kemoterapi boleh menjejaskan kesuburan.
  • Lain-lain keadaan perubatan yang berkaitan dengan akil baligh yang lambat atau ketiadaan haid (amenorea), seperti penyakit seliak, diabetes yang kurang terkawal dan beberapa penyakit autoimun seperti lupus, juga boleh menjejaskan kesuburan wanita. Keabnormalan genetik juga boleh mengurangkan kadar kehamilan.

Diagnosis Ketidaksuburan

Kebanyakan individu akan berjumpa dengan doktor jika dia tidak mengandung selepas 12 bulan mencuba. Sekiranya wanita berusia lebih dari 35 tahun, pasangan itu mungkin ingin berjumpa dengan doktor lebih awal, kerana ujian kesuburan boleh mengambil masa, dan tahap kesuburan wanita biasanya mula menurun ketika berusia 30-an.

Selain itu, doktor boleh memberikan nasihat dan menjalankan beberapa penilaian awal. Ianya adalah lebih baik bagi pasangan untuk berjumpa dengan doktor sekali.

Doktor mungkin akan bertanya tentang rutin seksual pasangan itu dan memberi cadangan mengenai perkara ini. Ujian dan percubaan boleh dilakukan, tetapi ianya tidak selalu boleh mendedahkan punca tertentu.

– Ujian ketidaksuburan untuk lelaki

Doktor akan bertanyakan kepada pasangan lelaki tentang sejarah perubatan, ubat-ubatan, dan tabiat seksual serta menjalankan pemeriksaan fizikal. Zakar akan diperiksa untuk melihat sebarang benjolan atau kecacatan. Bentuk dan struktur zakar juga akan diperiksa.

  • Analisis air mani: Sampel akan diambil untuk menguji kepekatan, pergerakan, warna, kualiti, sebarang jangkitan, dan sama ada darah hadir dalam sperma. Kualiti sperma juga boleh berubah-ubah, jadi beberapa sampel mungkin diperlukan.
  • Ujian darah: Makmal akan menguji tahap testosteron dan hormon lain dalam darah.
  • Ultrabunyi: Ini mungkin dapat mendedahkan masalah seperti halangan saluran ejakulasi atau ejakulasi retrograde.
  • Ujian Chlamydia: Chlamydia boleh menjejaskan kesuburan, tetapi pengambilan antibiotik   boleh merawatnya.

– Ujian ketidaksuburan untuk wanita

Seorang wanita akan menjalani pemeriksaan fizikal am, dan doktor akan bertanyakan tentang sejarah perubatan, pengambilan ubat, kitaran haid, dan tabiat seksualnya.

Dia juga akan menjalani pemeriksaan ginekologi dan beberapa ujian seperti:

  • Ujian darah: Ini boleh menilai tahap hormon dan sama wanita itu sedang ovulasi atau tidak.
  • Histerosalpingografi: Cecair akan disuntik ke dalam rahim wanita dan sinar-X (X-ray) diambil untuk menentukan sama ada cecair itu bergerak keluar dari rahim dan ke dalam tiub fallopio. Sekiranya terdapatnya penyumbatan, pembedahan mungkin diperlukan.
  • Laparoskopi: Tiub fleksibel yang tipis dengan kamera di hujungnya akan dimasukkan ke dalam perut dan pelvis. Ini membolehkan doktor melihat tiub fallopio, rahim dan ovari anda. Ia juga boleh mendedahkan tanda-tanda endometriosis, parut, penyumbatan dan beberapa ketidakteraturan pada rahim dan tiub fallopio.

Ujian lain termasuklah:

  • Ujian simpanan ovari, untuk mengetahui keberkesanan telur selepas ovulasi.
  • Ujian genetik, untuk melihat jika kelainan genetik boleh mengganggu kesuburan.
  • Ujian ultrabunyi pelvis, untuk menghasilkan imej rahim, tiub fallopio dan ovari.
  • Ujian Chlamydia, yang mungkin menunjukkan perlunya rawatan antibiotik.

Faktor Risiko Ketidaksuburan

Kebanyakan faktor risiko bagi masalah ketidaksuburan lelaki dan wanita adalah sama. Ianya termasuklah:

  • Umur. Kesuburan wanita secara beransur-ansur menurun dengan usia, terutamanya pada pertengahan umur 30-an. Ianya menurun dengan lebih cepat selepas usia 37 tahun. Ketidaksuburan pada wanita yang lebih tua mungkin berlaku disebabkan bilangan dan kualiti telur, atau masalah kesihatan yang mempengaruhi kesuburan.

Seterusnya, lelaki berusia lebih 40 tahun mungkin kurang subur berbanding lelaki muda serta mungkin mempunyai kadar risiko penyakit tertentu yang lebih tinggi, seperti gangguan psikiatri atau kanser tertentu.

  • Penggunaan tembakau. Merokok dengan adanya bahan seperti tembakau atau ganja oleh mana-mana pasangan boleh mengurangkan kemungkinan kehamilan. Ia juga boleh mengurangkan keberkesanan rawatan kesuburan. Selain itu, keguguran lebih kerap berlaku kepada wanita yang merokok. Ianya juga boleh meningkatkan risiko erektil yang tidak berfungsi dan jumlah sperma yang rendah pada lelaki.
  • Pengambilan minuman keras. Bagi golongan wanita, tidak ada tahap pengambilan minuman keras yang selamat semasa dalam kehamilan. Elakkan minuman keras jika anda merancang untuk mengandung. Selain, pengambilan minuman sebegini boleh meningkatkan risiko kecacatan bayi, dan mungkin menyumbang kepada masalah ketidaksuburan.

Bagi golongan lelaki, pengambilan minuman keras yang banyak boleh mengurangkan jumlah sperma dan mengurangkan pergerakan sperma.

  • Berat badan berlebihan. Dalam kalangan wanita, gaya hidup yang tidak aktif dan berat badan berlebhan boleh meningkatkan risiko ketidaksuburan. Kiraan sperma lelaki juga mungkin boleh terjejas jika dia mempunyai berat badan berlebihan.
  • Berat badan yang kurang. Wanita yang terlalu kurus juga berisiko menghadapi masalah ketidakkesuburan, termasuk mereka yang mengalami gangguan pemakanan, seperti anoreksia atau bulimia dan wanita yang mengikuti diet dengan pengambilan kalori yang sangat rendah atau tegas.
  • Isu senaman. Senaman yang tidak mencukupi juga menyumbang kepada obesiti, yang kemudiannya meningkatkan risiko masalah ketidaksuburan. Namun, masalah ovulasi selalunya mungkin dikaitkan dengan senaman yang terlalu intensif.

 

Rawatan Ketidaksuburan

Rawatan ketidaksuburan bergantung kepada:

  • Apa yang menyebabkan ketidaksuburan tersebut.
  • Berapa lama anda telah subur.
  • Umur anda dan umur pasangan anda.
  • Pilihan peribadi.

Sesetengah punca ketidaksuburan tidak akan dapat ditangani walaupun dengan rawatan.

Dalam kes yang mana kehamilan spontan tidak berlaku, pasangan selalunya boleh mencapai kehamilan melalui penggunaan teknologi yang membantu kehamilan. Rawatan ketidaksuburan mungkin melibatkan komitmen wang, fizikal, psikologi dan masa.

 

– Rawatan untuk lelaki

Pilihan rawatan bagi lelaki boleh melibatkan rawatan untuk masalah seksual umum atau kekurangan sperma yang sihat. Rawatan boleh merangkumi:

  • Mengubah gaya hidup. Mengubah gaya hidup seperti menghentikan pengambilan ubat-ubatan tertentu, mengurangkan/menghapuskan bahan-bahan berbahaya, meningkatkan kekerapan dan masa persetubuhan, mewujudkan tabiat senaman yang kerap dan mengoptimumkan faktor lain yang mungkin menjejaskan kesuburan.
  • Ubat-ubatan. Ubat-ubatan tertentu boleh meningkatkan bilangan sperma lelaki dan lebih cenderung untuk mencapai kehamilan yang berjaya. Ia juga boleh meningkatkan fungsi testis, termasuk tahap pengeluaran dan kualiti sperma.
  • Pembedahan. Dalam keadaan tertentu, pembedahan mungkin dapat membaiki penyumbatan sperma dan memulihkan masalah kesuburan. Seterusnya, dalam kes-kes lain, membaiki varikokel melalui pembedahan boleh meningkatkan peluang kehamilan secara keseluruhan.
  • Pemulihan sperma. Teknik ini memperoleh sperma apabila ejakulasi bermasalah atau apabila tidak terdapat sperma dalam cairan ejakulasi. Ianya juga boleh digunakan dalam kes di mana teknik kehamilan yang dibantu telah dirancang dan pengeluaran sperma adalah rendah atau tidak normal.

– Rawatan untuk wanita

Walaupun seorang wanita mungkin memerlukan hanya satu atau dua terapi untuk memulihkan kesuburan, ada kemungkinan bahawa beberapa jenis rawatan mungkin diperlukan sebelum dia hamil.

  • Merangsang ovulasi dengan ubat kesuburan. Ubat kesuburan adalah rawatan utama bagi wanita yang tidak subur akibat gangguan ovulasi. Ia dapat mengawal selia atau mendorong ovulasi. Bertanyalah pada doktor anda mengenai pilihan ubat kesuburan termasuk manfaat dan risiko bagi setiap jenis ubat tersebut.
  • Inseminasi intrauterin. Semasa rawatan ini dijalankan, sperma yang sihat dimasukkan terus ke dalam rahim semasa waktu ovari wanita mengeluarkan satu atau lebih telur untuk disenyawakan. Bergantung kepada faktor yang menyebabkan ketidaksuburan, tempoh rawatan ini boleh diselaraskan dengan kitaran biasa anda atau dengan ubat-ubatan kesuburan.
  • Pembedahan untuk memulihkan kesuburan. Masalah rahim seperti polip endometrium, septum rahim atau tisu parut intrauterin boleh dirawat dengan pembedahan histeroskopik.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/infertility/symptoms-causes/syc-20354317#:~:text=Infertility%20is%20defined%20as%20not,of%20factors%20that%20prevent%20pregnancy.

https://www.medicalnewstoday.com/articles/165748

https://www.healthline.com/health/fertility

https://www.webmd.com/infertility-and-reproduction/default.htm

Summary
Ketidaksuburan (Infertility) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Ketidaksuburan (Infertility) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Ketidaksuburan adalah salah satu kemungkinan yang menyebabkan satu pasangan tidak boleh menyumbang kepada kehamilan. Bukan semua kes ketidaksuburan berasal daripada golongan wanita.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: