ketahui fakta diet keto
Diet keto mungkin sedikit berbeza berbanding diet-diet lain.

Fakta diet keto yang menarik telah menarik minat di kalangan mereka yang mahu mengamalkan gaya pemakanan yang sihat. Ramai individu meyakini akan keberkesanan diet ini setelah membaca maklum balas daripada individu lain yang telah berjaya mengurangkan berat badan serta meningkatkan tahap kesihatan mereka setelah melaksanakan diet keto.

Jadi, mari kita baca kisah menarik daripada individu lain berkenaan pengalaman mereka dengan fakta diet keto ini. Menurut Suzanne Ryan yang merupakan penulis buku laris Simple Keto, dia telah menghadapi kesukaran dalam masalah obesiti, kecelaruan, kemurungan dan rasa tidak berguna selama beberapa tahun. Menurutnya, pada mulanya dia berbadan ramping namun selepas penceraian ibu bapanya, dia mula melihat makanan sebagai sumber untuk mengurangkan tekanan. Kebanyakan makanan dan minuman yang diambil adalah tidak berkhasiat.

Setelah beberapa tahun mengamalkan gaya hidup sebegitu, Suzanne mula menyedari bahawa berat badannya semakin bertambah dan dia bersaiz lebih besar berbanding rakan seumurnya. Suzanne pernah mencuba untuk diet tetapi tidak berhasil. Kebanyakan jenis diet yang ada pernah dicuba sehinggalah dia menemukan diet keto melalui forum di laman web Reddit.

Menerusi laman web tersebut, dia melihat gambar sebelum dan selepas seorang wanita yang berjaya menghilangkan berat badan dengan banyak. Dari situlah Suzanne mula mempelajari lebih lanjut tentang diet keto. Walaupun pada mulanya dia sedikit menyimpang daripada matlamat asal, namun Suzanne berjaya mengawal pemakanannya mengikut kadar yang bersesuaian.

Setelah berjaya menurunkan berat badan dengan banyak, Suzanne mula membantu individu lain menerusi videonya di Youtube. Kini, lebih ramai individu berjaya menurunkan berat badan selepas mengamalkan diet keto ini.

Jika Suzanne boleh berjaya, anda pun boleh juga. Sekarang, mari tambah ilmu berkaitan diet keto.

Kandungan

  1. Semua tentang diet keto
  2. Jenis-jenis diet keto
  3. Kesan sampingan diet keto
  4. Masalah kesihatan yang boleh dikurangkan dengan diet keto
  5. Manfaat kesihatan yang ditawarkan oleh diet rendah karbohidrat dan diet keto
  6. Tanda dan simptom anda berada dalam keadaan ketosis
  7. Makanan yang perlu diambil semasa mengamalkan diet keto
  8. Makanan yang perlu dihindari dalam diet keto
  9. Menu lazat diet keto
  10. 3 pemanis yang boleh digunakan dalam diet keto
  11. Soalan lazim tentang diet keto

Apakah itu diet keto?

Keto iaitu singkatan bagi istilah ‘ketogenik’ dan merupakan satu cara pemakanan yang tinggi dalam kandungan lemak berkhasiat, tahap protein yang mencukupi serta rendah dalam karbohidrat.

Berikut merupakan pecahan nisbah kandungan bagi pemakanan keto:

  • 5% karbohidrat
  • 20% protein
  • 75% lemak

Nisbah ini dikatakan membantu badan kita untuk mencapai satu tahap metabolik yang dipanggil sebagai ketosis. Keadaan ‘ketosis’ berlaku apabila badan kita menggunakan lemak sebagai sumber tenaga berbanding glukos.

Apabila badan tidak mendapatkan kandungan glukos daripada pemakanan anda, hati anda akan menukarkan lemak dalam badan kepada molekul yang disebut sebagai keton. Molekul keton merupakan sumber tenaga alternatif buat badan selain glukos.

Jadi, bagaimana anda mengetahui simptom yang menunjukkan bahawa anda berada dalam ketosis? Ianya senang sahaja. Ia terjadi sekiranya tahap keton anda adalah 0.5 hingga 3.0 milimol setiap liter. Mengamalkan diet adalah salah satu cara yang membolehkan badan anda menghasilkan molekul keton. Dalam pada itu, berpuasa secara selang seli atau dikenali sebagai ‘intermittent fasting’ serta bersenam juga mampu menghasil keton.

Diet keto dikatakan mempunyai banyak persamaan dengan diet Atkin serta diet yang rendah dalam karbohidrat. Ia juga banyak disyorkan oleh kebanyakan doktor kerana berupaya mengurangkan lemak badan yang berlebihan tanpa perlu menahan lapar. Malah, diet jenis ini juga mampu membantu dalam rawatan diabetes jenis 2.

Adakah diet keto merupakan rawatan khas untuk mengurangkan berat badan serta merawat penyakit diabetes?

Anda pasti tidak percaya sekiranya mengetahui bahawa diet keto sebenarnya direka untuk membantu individu yang mengalami masalah sawan. Ini adalah kerana kedua-dua keton and bahan kimia lain yang terhasil semasa pengamalan diet ini boleh membantu mengurangkan kejadian sawan. Satu kajian yang dijalankan oleh ‘John Hopkins Medicine’ mengenai pesakit epilepsi yang mengamalkan diet keto mendapati bahawa 36% daripada mereka mengalami penurunan masalah sawan sebanyak 50%. Kesan positif ini juga didapati setelah 3 bulan mengikuti diet keto malah 16% daripada mereka telah bebas daripada simptom sawan secara keseluruhan. 

Namun begitu, memandangkan diet ini dapat menawarkan kelebihan yang lain, maka ia sudah semakin banyak dipraktikkan sebagai usaha untuk mengurangkan berat badan serta merawat penyakit diabetes. Pada masa yang sama, ia masih digunakan untuk mengurangkan gejala penyakit sawan. Jadi, anda tunggu apa lagi? Mari kita lihat beberapa aspek diet keto yang anda perlu fahami sebelum memulakannya.

Jadi, apakah jenis-jenis diet keto dan adakah cara tertentu untuk menentukan jenis yang sesuai bagi individu?

Setiap jenis keto mempunyai kriteria yang berbeza-beza. Antara jenis diet keto yang ada adalah:

  • Diet ketogenik standard
  • Diet ketogenik kitaran
  • Diet ketogenik sasaran
  • Diet ketogenik yang tinggi kandungan protein
  • Diet ketogenik yang sederhana

Tidak semua individu boleh melakukan jenis keto yang sama. Bagi mengetahui kaedah mana yang lebih sesuai dengan anda, anda harus mencuba semuanya dahulu. Lakukan setiap satu jenis keto itu sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan dan lihat yang mana paling berkesan dan sesuai buat badan anda. Selain itu, anda juga boleh minta nasihat doktor sebelum mencuba diet ini.

Ada yang mungkin lebih sesuai dengan jenis diet ketogenik standard berbanding yang lain. Justeru itu, langkah yang sesuai perlu diambil terlebih dahulu agar anda tidak salah membuat pilihan.

Memandangkan kesemua jenis keto ini pastinya mempunyai pemakanan yang hampir sama, apakah makanan yang perlu diambil dan perlu dielakkan?

Hanya kerana anda tidak dapat makan makanan berkabohidrat kegemaran anda, itu tidak bermakna bahawa anda perlu berlapar sahaja.

Waktu inilah anda berpeluang untuk meneroka makanan lain yang lebih sedap dan menyihatkan buat badan anda. Pastikan makanan yang boleh diambil semasa diet keto mengandungi kadar nutrien berdasarkan polisi diet keto iaitu 5% karbohidrat, 20% protein dan 75% lemak. Jika anda bukan penggemar makanan seperti avokado, daging, ayam mahupun tumbuhan berdaun, inilah masanya anda memulakan kehidupan baharu ke arah kesihatan yang lebih baik!

Di samping itu, anda juga perlu tahu cara pemakanan yang perlu dielakkan agar ia tidak mengganggu segala usaha yang telah anda lakukan. Makanan berkabohidrat yang biasa diambil seperti nasi, mi dan roti harus dilupakan buat seketika bagi mendapatkan kesan efektif yang anda mahukan. Seterusnya, pencuci mulut seperti kek, donut mahupun buah-buahan harian seperti epal dan pisang juga tidak dibenarkan kerana mereka mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi.

Ia mungkin agak sukar dilakukan pada mulanya, namun setelah badan anda menjadi terbiasa mengambil makanan sebegini, anda tidak perlu runsing lagi memikirkan makanan apa untuk diambil seharian. Tidak semua makanan berlemak itu tidak sihat dan tidak semua makanan berkabohidrat itu sihat walaupun mereka ternyata lebih sedap.

Baiklah, adakah diet keto bermanfaat buat saya?

Anda boleh mendapatkan banyak kebaikan diet keto sekiranya diamalkan secara betul. Ia paling banyak dikaitkan sebagai satu cara untuk mengurangkan berat badan yang berkesan. Malah, masalah jerawat mahupun keadaan migrain serta penyakit yang lebih serius seperti diabetes, hati berlemak dan pelbagai skeloris boleh mendapatkan manfaat yang sama.

Namun, sekiranya diet keto dilakukan secara salah seperti pengambilan lemak tepu yang banyak berbanding lemak tidak tepu yang sihat, anda berisiko untuk meningkatkan kadar kolesterol anda. Jadi, berbanding mendapatkan manfaat yang baik, anda sebaliknya mendapat kesan negatif pula. Bagi sesetengah individu, ada peluang yang membolehkan mereka mengawal kadar kolesterol tersebut jika pengambilan lemak itu bervariasi dan berasal dari sumber yang sihat.

Malah, diet keto juga boleh memberi kebaikan untuk mengurangkan keparahan sesetengah penyakit seperti diabetes, epilepsi dan banyak lagi. Jom lihat senarai penuh di sini.

Apakah kesan sampingan daripada diet keto ini?

Anda biasanya akan mula mendapat kesan sampingan daripada diet keto selepas badan anda mula memasuki fasa ketosis. Dalam tempoh ini, anda akan berasa letih dengan cepat kerana badan tidak mendapat akses karbohidrat yang mencukupi seperti selalu. Keadaan sebegini dikenali sebagai selesema keto termasuklah kesan sampingan diet keto lain seperti pening kepala, muntah dan kejang.

Namun begitu, anda boleh menarik nafas lega kerana simptom-simptom sebegini biasanya tidak berlarutan lebih daripada seminggu. Ia juga merupakan satu kebetulan kerana dalam tempoh inilah individu selalunya boleh melihat kesan lain seperti perubahan angka yang menurun pada penimbang berat anda.

Selain aduan ‘keto flu’ biasa, masalah cirit-birit dan masalah buah pinggang juga merupakan antara kesan sampingan diet keto yang lazim.

Permulaan diet keto

Berita baik buat individu yang mahu memulakan diet keto, kini anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat lebih tentang diet keto di hujung jari sahaja. Anda juga boleh menggunakan aplikasi ‘KetoDiet’ yang membantu anda mengawal diet keto dengan efektif.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, pastinya susah untuk kita mengelak daripada makanan rutin seperti nasi lemak, roti canai, mi goreng mamak, laksa dan sebagainya. Itulah aspek yang paling menyeronokkan di negara ini kerana kita boleh merasa pelbagai hidangan makanan daripada pelbagai kaum yang ada. Namun, kebanyakan makanan ini tinggi kalorinya dan membuatkannya tidak sesuai diambil semasa diet keto. Malah, anda juga boleh melihat menu diet keto selama seminggu sebagai permulaan.

Selain itu, ketahui juga soalan-soalan lazim berkaitan diet keto berdasarkan aspek sains agar anda lebih berpengetahuan tentangnya. Kadangkala, kita rasa seperti sudah tahu semuanya namun tiada salahnya jika ilmu itu dipenuhkan lagi dengan maklumat yang bermanfaat. Secara kesimpulan, sekiranya anda benar-benar mahu mencuba diet keto, ketahui bahawa anda boleh berhenti pada bila-bila masa sahaja jika ia mendatangkan kesan negatif buat anda.

SUMBER

https://www.health.harvard.edu/blog/ketogenic-diet-is-the-ultimate-low-carb-diet-good-for-you-2017072712089

https://doctorsthatdo.osteopathic.org/the-keto-diet-5-fast-facts-you-should-know

https://www.healthline.com/nutrition/ketogenic-diet-101

Summary
Ketahui Semua Fakta-fakta Mengenai Diet Keto
Article Name
Ketahui Semua Fakta-fakta Mengenai Diet Keto
Description
Diet keto semakin terkenal dalam kalangan mereka yang mahu mengamalkan gaya pemakanan yang sihat. Ramai individu meyakini akan keberkesanan diet ini setelah membaca maklum balas daripada individu lain yang telah berjaya mengurangkan berat badan serta meningkatkan tahap kesihatan mereka setelah melaksanakan diet keto.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: