kesakitan pelvik
Kesakitan pelvik selalunya merujuk kepada kesakitan di bahagian organ-organ pembiakan dalaman wanita. Namun begitu, sakit pelvik juga boleh menyerang golongan lelaki dan berpunca daripada pelbagai sebab kesihatan tertentu.

Pengenalan

Kesakitan pelvik selalunya merujuk kepada kesakitan di bahagian organ-organ pembiakan dalaman wanita. Namun begitu, sakit pelvik juga boleh menyerang golongan lelaki dan berpunca daripada pelbagai sebab kesihatan tertentu.

Seterusnya, kesakitan ini mungkin menjadi simptom kepada jangkitan atau berlaku akibat kesakitan pada tulang pelvik atau organ dalaman yang bukan reproduktif seperti pundi kencing atau kolon. Bagi wanita pula, kesakitan pelvik boleh menjadi petanda adanya masalah dalam organ reproduktif di bahagian pelvik seperti rahim, ovari, tiub fallopian, servik atau faraj.

Penerangan

Berikut merupakan simptom-simptom lain yang mengiringi kesakitan pelvik dan mungkin berkaitan dengan masalah kesihatan tertentu:

• Senggugut teruk

• Pendarahan, tompokan atau pelepasan dari faraj

• Kesukaran untuk kencing atau kencing yang menyakitkan

• Sembelit atau cirit-birit

• Perut kembung atau bergas

• Pendarahan sewaktu membuang air besar

• Darah dalam air kencing

• Sakit semasa bersetubuh

• Demam atau menggigil

• Sakit di pinggul

• Sakit di kawasan pangkal paha

Penyebab yang berkemungkinan

Sesetengah punca kesakitan pelvik hanya menjejaskan wanita.

Mittelschmerz

Mittelschmerz adalah perkataan Jerman yang digunakan bagi menggambarkan “sakit di bahagian tengah”. Ia merupakan kesakitan di bahagian bawah perut dan pinggul yang dialami oleh sesetengah wanita apabila dalam tempoh ovulasi. Ovulasi adalah pelepasan telur dari tiub fallopio yang berlaku pada pertengahan tempoh kitaran haid anda, maka itulah asalnya perkataan “tengah”.

Kesakitan yang mungkin anda alami akibat mittelschmerz:

• Kesakitan di sisi abdomen di mana telur dikeluarkan.

• Rasa tajam atau kejang.

• Kesakitan berlangsung selama beberapa minit hingga beberapa jam.

• Kesakitan yang bertukar sisi setiap bulan atau berada di sisi yang sama selama beberapa bulan berturut-turut.

Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami pendarahan atau pelepasan faraj secara tiba-tiba.

Mittelschmerz biasanya tidak serius, namun beritahu pada doktor jika kesakitan anda masih belum hilang, atau jika anda mengalami demam atau loya.

Sindrom Pramenstruasi (PMS) dan senggugut

Kebanyakan wanita mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen sebelum dan semasa haid bulanan mereka. Ketidakselesaan ini berasal dari perubahan hormon dan disebabkan oleh rahim yang mengecut sambil ia menolak lapisan rahim.

Biasanya kekejangan semasa proses ini bersifat ringan sahaja, tetapi kadangkala ia boleh menjadi menyakitkan.

Tempoh kesakitan tersebut dinamakan dysmenorrhea atau lebih umum dikenali sebagai, senggugut. Kira-kira 10 peratus wanita boleh mengalami senggugut yang cukup teruk sehingga mengganggu kehidupan seharian mereka.

Seterusnya, selain kesakitan yang seringkali disertai bersama kekejangan, anda juga mungkin mengalami simptom lain seperti ini: 

• Sakit pada payudara

• Kembung perut

• Perubahan emosi

• Keinginan terhadap makanan

• Kesengsaraan

• Keletihan

• Loya

• Muntah

• Cirit-birit

• Sakit kepala

Kehamilan ektopik

Kehamilan ektopik berlaku apabila telur yang disenyawakan tumbuh di luar rahim. Keadaan ini biasa terjadi di dalam tiub fallopio. Apabila telur bercambah, ia boleh menyebabkan tiub fallopio pecah dan mengancam nyawa bayi dan anda. Antara 1 hingga 2 peratus daripada semua kehamilan adalah kehamilan ektopik.

Kesakitan akibat kehamilan ektopik biasanya timbul dengan cepat dan anda akan rasa seperti sesuatu yang menyucuk atau menikam bahagian yang terjejas, tetapi hanya pada satu sisi pelvik anda. Malah, kesakitan ini boleh datang dalam beberapa peringkat.

Simptom-simptom lain termasuklah:

• Pendarahan faraj antara dua tempoh haid

• Sakit di belakang atau bahu anda

• Kelemahan

• Pening

Hubungi ahli obstetrik dan pakar ginekologi jika anda mempunyai simptom ini. Kehamilan ektopik adalah sejenis kecemasan perubatan.

Keguguran

Keguguran merujuk kepada kehilangan bayi sebelum minggu ke-20 kehamilan. Sebanyak 10 hingga 15 peratus kehamilan yang diketahui berakhir dengan keguguran. Malah, terdapat juga lebih banyak kes di mana wanita mengalami keguguran sebelum menyedari bahawa mereka hamil.

Kekejangan atau sakit teruk di dalam perut anda adalah salah satu tanda keguguran. Seterusnya, anda juga mungkin mengalami pendarahan atau pelepasan. Namun begitu, simptom-simptom ini tidak mengesahkan sama ada anda mengalami keguguran atau tidak. Jadi, anda harus melaporkan kepada doktor jika berlakunya simptom-simptom sebegini supaya anda akan diperiksa dengan lebih lanjut.

Penyakit keradangan pelvik (PID – Pelvic Inflammation Disease)

PID adalah sejenis jangkitan dalam saluran pembiakan wanita. Ia berlaku apabila bakteria masuk ke dalam faraj dan bergerak ke ovari, tiub fallopio atau organ pembiakan yang lain.

Di samping itu, PID biasanya terjadi disebabkan penyakit jangkitan seksual seperti gonorrhea atau klamidia. Kira-kira seramai 5 peratus wanita mengalami PID sepanjang jangka hayat mereka.

Kesakitan akibat PID berpusat di bahagian bawah perut. Perut anda mungkin berasa tegang atau sakit. Simptom-simptom lain yang anda akan alami termasuklah:

• Pelepasan faraj

• Pendarahan faraj yang tidak normal

• Demam

Kesakitan semasa seks

• Kencing yang menyakitkan

• Kerap perlu membuang air kecil

Berjumpalah dengan doktor anda jika anda mempunyai simptom ini. Sekiranya tidak dirawat, PID boleh menyebabkan kemandulan.

Sista ovari pecah atau kilasan

Sista adalah kantung berisi cecair yang selalunya terbentuk pada ovari. Kebanyakan wanita mempunyai sista, namun ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah atau simptom. Walau bagaimanapun, jika anda mengalami kelainan sista atau jika sista pecah, ia boleh menyebabkan kesakitan di bawah perut pada sisi yang mengandungi sista. Kesakitan tersebut boleh menjadi menyucuk, dan boleh datang dan pergi.

Simptom lain akibat sista termasuklah:

• Rasa kenyang di perut

• Sakit pada bahagian belakang badan

• Kesakitan semasa seks

• Peningkatan berat badan yang tidak dapat dijelaskan

• Kesakitan semasa haid

• Pendarahan faraj yang tidak normal

• Keperluan untuk membuang air kencing lebih kerap daripada biasa

• Kembung perut

• Demam

• Muntah

Berjumpalah dengan doktor anda segera jika kesakitan pada pelvik anda sangat teruk, atau anda mengalami demam.

Fibroid rahim

Fibroid rahim adalah sejenis ketumbuhan di dinding rahim. Ia boleh terbentuk sewaktu tempoh reproduktif wanita dan selalunya bukan merupakan kanser.

Seterusnya, fibroid boleh terdiri daripada saiz seperti benjolan kecil hinggalah benjolan besar yang membuatkan perut anda turut berkembang. Selalunya, ia tidak menyebabkan sebarang simptom. Namun begitu, fibroid yang besar boleh menyebabkan tekanan atau sakit di pinggul.

Simptom-simptom lain termasuklah:

• Pendarahan berat semasa haid

• Haid yang berlangsung lebih dari seminggu

• Rasa kenyang atau bengkak di perut bawah

• Sakit belakang

• Kerap membuang air kecil

• Kesakitan semasa seks

• Masalah untuk mengosongkan pundi kencing sepenuhnya

• Sembelit

Endometriosis

Dalam kes endometriosis, tisu dalam rahim anda tumbuh di bahagian lain di pelvis anda. Setiap bulan, tisu tersebut akan menebal dan akan dibuang seperti apa yang sepatutnya terjadi dalam rahim. Namun, tisu di luar rahim tiada hala tuju justeru itu, ia boleh menyebabkan kesakitan dan simptom lain.

Lebih daripada 11 peratus wanita di antara umur 15 hingga 44 tahun mengalami  endometriosis. Keadaan ini paling biasa berlaku pada wanita berusia 30-an dan 40-an.

Endometriosis boleh menyebabkan kesakitan pada pelvis sebelum dan semasa haid. Kesakitan boleh menjadi sangat teruk sehingga anda merasai kesakitan ketika membuang air kencing atau melakukan hubungan seksual. Simptom lain termasuklah:

• Pendarahan berat

• Keletihan

• Cirit-birit

• Sembelit

• Loya

Sindrom Pelvik Tersumbat (PCS – Pelvic Congestion Syndrome)

Dalam kes sindrom ini, urat varikos berkembang di sekitar ovari anda. Urat yang tebal dan bertali ini adalah sama seperti urat varikos yang berada di kaki. Kebiasaannya, injap yang menyimpan darah akan mengalirkan darah ke arah yang betul melalui urat varikos ini. Tetapi, dalam kes PCS, injap tersebut tidak lagi berfungsi. Hal tersebut menyebabkan darah terkumpul dalam urat anda, lalu menyebabkannya bengkak.

Bukan itu sahaja, lelaki juga berisiko untuk mengalami sindrom ini, namun ia lebih kerap berlaku pada wanita.

Kesakitan pelvik merupakan gejala utama PCS. Anda boleh berasa sangat sakit dan kesakitan akan menjadi lebih teruk pada siang hari, terutamanya jika anda banyak duduk atau berdiri. Anda juga boleh mengalami kesakitan semasa melakukan hubungan seksual dan pada sekitar tempoh haid anda.

Simptom-simptom lain termasuklah:

• Cirit-birit

• Sembelit

• Urat varikos di paha anda

• Masalah mengawal kencing

Prolaps organ pelvik

Organ-organ pelvik wanita berada kukuh di posisi asalanya atas bantuan otot dan tisu yang menyokongnya. Namun, faktor seperti kelahiran dan umur boleh melemahkan otot-otot tersebut lalu menyebabkan pundi kencing, rahim dan rektum jatuh ke bawah faraj. 

Prolaps organ pelvik boleh menjejaskan wanita dari semua peringkat umur, namun ia biasanya berlaku kepada wanita yang lebih berumur.

Keadaan ini juga boleh menyebabkan tekanan atau rasa berat pada bahagian pelvik anda. Selain itu, anda juga mungkin merasakan benjolan yang terkeluar dari faraj anda.

Terdapat beberapa keadaan yang juga boleh menyebabkan sakit pelvik kepada golongan lelaki.

Prostatitis bakteria

Prostatitis merujuk kepada keradangan dan pembengkakan di kelenjar prostat. Prostatitis bakteria adalah sejenis jangkitan kelenjar yang terjadi disebabkan bakteria. Satu per empat lelaki mengalami prostatitis pada suatu ketika dalam hidup mereka, namun kurang 10 peratus daripada mereka akan mengalami prostatitis bakteria.

Simptom kesakitan pelvik ini hadir bersama sakit perut, dan simptom-simptom lain seperti:

• Keperluan kerap untuk buang air kecil

• Kencing yang menyakitkan

• Ketidakupayaan untuk membuang air kencing

• Demam

• Menggigil

• Loya

• Muntah

• Keletihan

Sindrom kesakitan pelvik kronik

Individu lelaki yang mengalami kesakitan pelvik jangka panjang tanpa sebarang jangkitan atau sebab yang jelas cenderung didiagnosis sebagai sindrom kesakitan pelvik kronik. Untuk mengesahkan diagnosis ini, anda sekurang-kurangnya perlu mengalami sakit pelvik selama 3 bulan. Seramai 3 hingga 6 peratus lelaki mempunyai sindrom kesakitan pelvik kronik.

Ia boleh mengakibatkan masalah untuk membuang air kencing dan biasa berlaku di kalangan lelaki di bawah usia 50 tahun.

Lelaki dengan keadaan ini mengalami kesakitan pada zakar, buah zakar, kawasan antara buah zakar, rektum (perineum) serta perut di bahagian bawah.

Simptom-simptom lain termasuk:

• Sakit semasa kencing dan ejakulasi

• Aliran air kencing yang lemah

• Peningkatan keperluan buang air kencing

• Sakit otot atau sendi

• Keletihan

Penyempitan uretra

Uretra adalah tiub yang mengalirkan air kencing keluar dari pundi kencing. Penyempitan uretra merujuk kepada penyempitan atau penyumbatan pada uretra disebabkan oleh pembengkakan, kecederaan atau jangkitan. Ini boleh melambatkan aliran air kencing untuk keluar dari zakar.

Penyempitan uretra menjejaskan kira-kira 0.6 peratus lelaki yang semakin berumur. Dalam kes yang jarang berlaku, wanita juga boleh mengalaminya, tetapi masalah ini lebih cenderung terjadi kepada golongan lelaki. Simptom ketegangan uretra termasuklah rasa sakit di perut dan:

• Aliran air kencing yang perlahan

• Sakit semasa kencing

• Darah dalam air kencing atau air mani

• Kebocoran air kencing

• Bengkak pada zakar

• Kehilangan kawalan pundi kencing

Hiperplasia Prostatik Jinak (BPH – Benign Prostatic Hyperplasia)

Keadaan ini merujuk kepada pembesaran kelenjar prostat yang bukan kanser. Kelenjar ini berfungsi untuk menambahkan bendalir kepada air mani. Ia biasanya mula terbentuk sebesar kacang walnat. Ia akan terus berkembang seiring dengan pertambahan umur anda. Apabila prostat tumbuh, ia akan mengecutkan uretra anda. Jadi, otot-otot yang terdapat di pundi kencing perlu bekerja keras untuk menolak air kencing. Dari semasa ke semasa, otot pundi kencing ini boleh menjadi lemah dan anda akan mengalami masalah membuang air kencing.

BPH biasa berlaku kepada golongan lelaki yang lebih berumur. Lebih kurang separuh lelaki yang berumur 51 hingga 60 tahun mempunyai keadaan ini. Menjelang usia 80 tahun, seramai 90 peratus lelaki akan mempunyai BPH.

Di samping rasa penuh di bahagian pelvik anda, simptom yang dialami termasuklah:

  • Keinginan untuk membuang air kecil yang kerap
  • Aliran air kencing yang lemah
  • Masalah membuang air kencing
  • Membuang air kencing secara tiba-tiba

Sindrom kesakitan pasca vasektomi

Vasektomi adalah satu prosedur yang menghalang kehamilan seseorang. Prosedur pembedahan tersebut melibatkan pemotongan tiub yang dipanggil vas deferens, supaya sperma tidak dapat masuk ke dalam air mani.

Seramai 1 hingga 2 peratus lelaki yang menjalani vasektomi akan mengalami kesakitan pada testis mereka selama lebih dari 3 bulan selepas prosedur dijalankan. Keadaan ini digelar sebagai sindrom kesakitan pasca vasektomi. Ia boleh berlaku akibat kerosakan struktur dalam testis atau tekanan pada saraf di kawasan terbabit.

Kesakitan ini boleh berterusan, atau datang dan pergi. Sesetengah lelaki mengalami kesakitan apabila mereka berasa terangsang, melakukan hubungan seks atau berejakulasi. Bagi sesetengah lelaki, kesakitan yang dirasai adalah tajam dan menikam. Selain itu, kebanyakan daripada mereka juga mengalami kesakitan yang berdenyut-denyut.

Bila perlu menghubungi doktor

Jika anda mengalami kesakitan pelvik yang teruk secara tiba-tiba, ia mungkin merupakan keadaan kecemasan perubatan dan anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. Pastikan anda diperiksa oleh doktor dengan segera kerana ia boleh mengganggu kehidupan harian anda, atau menjadi lebih teruk dari semasa ke semasa.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Untuk menentukan penyebab kesakitan pelvik anda, doktor akan bertanyakan beberapa soalan tentang simptom dan masalah perubatan masa lalu anda. Beliau juga akan menjalankan ujian fizikal dan mungkin melakukan ujian lain untuk menentukan punca  kesakitan anda. Ujian lain yang boleh dijalankan termasuklah:

  • Ujian darah dan air kencing.
  • Ujian kehamilan pada wanita dalam tempoh reproduktif.
  • Ujian penyakit yang melibatkan faraj atau zakar (penyakit kelamin seperti gonorea atau klamidia).
  • X-ray pada perut dan pelvis.
  • Imbasan MRI.
  • Pengimejan ketumpatan tulang (jenis khas X-ray untuk menentukan kekuatan tulang).
  • Laparoskopi diagnostik (prosedur yang membolehkan doktor untuk melihat struktur pinggul dan perut).
  • Histeroskopi (prosedur pemeriksaan rahim).
  • Ujian kulat (memeriksa sampel najis bagi darah mikroskopik).
  • Endoskopi (penyisipan tiub yang menyala ke dalam badan untuk memeriksa bahagian dalam rektum dan kolon).
  • Ultrabunyi (ujian yang menggunakan gelombang bunyi untuk menunjukkan imej organ dalaman).
  • Imbasan CT abdomen dan pelvik (imbasan yang menggunakan X-ray dan komputer untuk menghasilkan imej silang pada badan).

Rawatan

Rawatan kesakitan pelvik adalah berbeza-beza dan bergantung pada penyebab, keparahan dan kekerapan kesakitan berlaku. Kadangkala, kesakitan pelvik boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan, termasuklah antibiotik jika perlu. Sekiranya kesakitan timbul akibat masalah salah satu organ pelvik, rawatan mungkin melibatkan pembedahan atau prosedur lain.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/pain-in-pelvis#in-men-only

https://www.mayoclinic.org/symptoms/pelvic-pain/in-depth/sym-20050898

https://www.webmd.com/pain-management/guide/pelvic-pain#2

Summary
Kesakitan Pelvik (Pelvic Pain)
Article Name
Kesakitan Pelvik (Pelvic Pain)
Description
Kesakitan pelvik selalunya merujuk kepada kesakitan di bahagian organ-organ pembiakan dalaman wanita. Namun begitu, sakit pelvik juga boleh menyerang golongan lelaki dan berpunca daripada pelbagai sebab kesihatan tertentu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: