Rintangan antibiotik berlaku apabila bakteria bermutasi sebagai tindak balas terhadap penggunaan ubat-ubatan ini. Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk mencegah dan merawat jangkitan bakteria.

Bakteria, bukan manusia atau haiwan, boleh menentang kesan antibiotik. Bakteria ini boleh menjangkiti manusia dan haiwan dan jangkitan yang dihasilkan menjadi lebih sukar untuk diubati kerana bakteria ini telah bermutasi untuk melawan kesan antibiotik.

Rintangan antibiotik membawa kepada kos perubatan yang lebih tinggi, tempoh dalam wad yang lebih dan peningkatan kematian.Dunia perlu segera mengubah cara menetapkan dan menggunakan antibiotik. Walaupun ubat-ubatan baru dikembangkan tetapi tanpa perubahan tingkah laku, kerintangan antibiotik akan tetap menjadi ancaman utama. Perubahan tingkah laku juga mesti merangkumi tindakan untuk mengurangkan penyebaran jangkitan melalui vaksinasi, mencuci tangan, melakukan seks yang lebih selamat, dan penyediaan makanan yang bersih.

Mengapa Anda Perlu Peduli

Rintangan antibiotik telah tersebar di seluruh dunia dan ini menyebabkan beberapa penyakit seperti meningitis atau radang paru-paru lebih sukar untuk dirawat. Anda mungkin memerlukan ubat yang lebih kuat dan lebih mahal. Ataupun, anda mungkin perlu mengambilnya dos antibiotik dengan lebih lama. Anda juga mungkin tidak sembuh dengan cepat atau cenderung untuk mengalami masalah kesihatan yang lain.

Setiap tahun, dianggarkan 2 juta orang di Amerika Syarikat menghidap jangkitan yang disebabkan oleh bakteria akibat daripada kerintangan antibiotik. Dalam beberapa kes, jangkitan ini juga boleh mengakibatkan kematian.

Kerintangan ini juga menjadikannya lebih sukar untuk merawat orang dengan penyakit kronik. Sebilangan orang memerlukan rawatan perubatan seperti kemoterapi, pembedahan, atau dialysis: kadang-kadang mereka mengambil antibiotik untuk membantu mengurangkan risiko jangkitan.

Skop kepada Masalah Kerintangan Antibiotik

Rintangan antibiotik meningkat dengan kadar tinggi yang berbahaya di seluruh pelosok dunia. Mekanisme ketahanan baru bakteria muncul dan menyebar ke seluruh dunia, mengancam kemampuan untuk mengubati penyakit berjangkit seperti biasa. Senarai jangkitan yang semakin meningkat seperti radang paru-paru, batuk kering, keracunan darah, gonorea dan penyakit bawaan makanan menjadi sukar dan kadang-kadang mustahil untuk dirawat kerana antibiotik menjadi kurang berkesan.

Di kebanyakan tempat, antibiotik boleh dibeli untuk penggunaan manusia atau haiwan tanpa preskripsi; oleh itu, kemunculan dan penyebaran kerintangan antibiotik telah menjadi lebih serius. Begitu juga, di negara-negara tanpa garis panduan rawatan standard, antibiotik sering diberikan oleh pekerja kesihatan dan doktor haiwan dan digunakan secara berlebihan oleh orang ramai.

Tanpa tindakan segera, kita akan menuju era pasca-antibiotik, di mana jangkitan biasa dan kecederaan ringan, sekali lagi dapat membunuh.

Pencegahan dan Kawalan

Kerintangan antibiotik dipercepat oleh penyalahgunaan dan penggunaan antibiotik yang berlebihan serta pencegahan dan kawalan jangkitan yang kurang baik. Langkah-langkah dapat diambil di semua lapisan masyarakat untuk mengurangkan kesan dan mengatasi penyebaran kerintangan.

-Individu

Individu dapat menyumbang untuk mencegah dan mengawal penyerbaran kerintangan dengan: 

  • Hanya gunakan antibiotik yang dipreskripsi oleh profesional kesihatan yang diperakui
  • Jangan sekali-kali mengambil antibiotik jika pekerja kesihatan anda mengatakan bahawa anda tidak memerlukannya 
  • Habiskan dos antibiotik anda. Ambil keseluruhan preskripsi anda seperti yang diarahkan. Lakukannya walaupun anda mula berasa sembuh. Sekiranya anda berhenti sebelum jangkitan sepenuhnya dihapuskan, bakteria tersebut cenderung untuk bermutasi dan berjaya merintang antibiotik.
  • Sentiasa ikuti nasihat pekerja kesihatan anda semasa menggunakan antibiotik
  • Jangan sekali-kali berkongsi atau menggunakan antibiotik yang terlebih
  • Cegah jangkitan dengan mencuci tangan secara berkala, menyediakan makanan secara bersih, mengelakkan hubungan rapat dengan orang sakit dan mengamalkan seks yang lebih selamat
  • Dapatkan vaksin. Imunisasi dapat melindungi anda dari beberapa penyakit yang dirawat dengan antibiotik. Ini termasuklah kancing gigi (tetanus) dan whooping cough.
  • Sediakan makanan secara bersih dan pilih makanan yang telah dihasilkan tanpa menggunakan antibiotik untuk mempromosi pertumbuhan atau pencegahan penyakit pada haiwan yang sihat.

-Profesional Kesihatan 

Pihak profesional kesihatan juga memainkan peranan yang penting untuk mencegah dan mengawal penyebaran kerintangan antibiotik. Adalah disyorkan untuk:

  • Cegah jangkitan dengan memastikan tangan, instrumen dan persekitaran klinik/hospital anda bersih
  • Hanya menetapkan dan mengeluarkan antibiotik apabila diperlukan mengikut garis panduan semasa
  • Laporkan jangkitan kerintangan antibiotik kepada pasukan pengawasan
  • Berbincang dengan pesakit anda tentang cara pengambilan antibiotik yang betul, kerintangan antibiotik dan bahaya penyalahgunaan antibiotik
  • Berbincang dengan pesakit anda tentang pencegahan jangkitan seperti contoh vaksinasi, mencuci tangan, seks yang lebih selamat, dan menutup hidung dan mulut ketika bersin.

-Industri Penjagaan Kesihatan

Industri kesihatan juga boleh membantu untuk mengawal masalah ini dengan: 

  • Melabur dalam penyelidikan dan pengembangan antibiotik baru, vaksin, diagnostik dan alat-alat lain.

-Sektor Pertanian

Walaupun tampak kecil, tetapi sektor pertanian merupakan salah satu industri yang banyak menggunakan antibiotik pada hasil mereka. Untuk mencegah dan mengawal penyebaran kerintangan antibiotik, sektor pertanian disyorkan untuk:

  • Hanya berikan antibiotik kepada haiwan di bawah pengawasan veterinar
  • Jangan gunakan antibiotik untuk mempromosikan pertumbuhan atau untuk mencegah penyakit pada haiwan yang sihat
  • Vaksinasi haiwan-haiwan untuk mengurangkan keperluan antibiotik dan gunakan alternatif untuk antibiotik jika ada
  • Mempromosikan dan menerapkan amalan baik di semua peringkat pengeluaran dan pemprosesan makanan dari sumber haiwan dan tumbuhan
  • Meningkatkan biosecurity di ladang dan mencegah jangkitan dengan menjaga kebersihan seterusnya meningkatkan kesejahteraan haiwan

Kesan/Impak Kerintangan Antibiotik 

Apabila jangkitan tidak lagi dapat diubati dengan antibiotik, ubat yang lebih mahal mesti digunakan. Tempoh penyakit dan rawatan yang lebih lama. Anda juga sering berada di hospital, meningkatkan kos rawatan kesihatan dan juga beban ekonomi keluarga dan masyarakat.

Rintangan antibiotik meletakkan risiko tambahan perubatan moden. Pemindahan organ, kemoterapi dan pembedahan seperti pembedahan caesarian menjadi lebih berbahaya tanpa antibiotik yang berkesan untuk pencegahan dan rawatan jangkitan.

SUMBER

https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/antibiotic-resistance 

https://www.webmd.com/cold-and-flu/antibiotic-resistance

https://www.keckmedicine.org/the-pros-and-cons-of-antibiotics/

Summary
Kerintangan Antibiotik – Mengapa, Skop, Kawalan dan Kesan
Article Name
Kerintangan Antibiotik – Mengapa, Skop, Kawalan dan Kesan
Description
Rintangan antibiotik berlaku apabila bakteria bermutasi sebagai tindak balas terhadap penggunaan ubat-ubatan ini. Antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk mencegah dan merawat jangkitan bakteria.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: