Kerajaan Kedah Tua

Kerajaan Kedah Tua mungkin tidak asing lagi dalam fikiran kita. Kita akan teringat subjek Sejarah yang telah kita belajar semasa berada di alam persekolahan dahulu. Tetapi, apa kepentingan dan peranan Kerajaan Kedah Tua ini? Mengapa kita kena ambil tahu fakta sejarah ini? Apa kaitan kewujudan kerajaan kuno ini dengan kita rakyat Malaysia pada zaman moden ini?

Pada tahun 2015, satu penemuan yang menggemparkan telah dijumpai oleh para pengkaji sejarah, cendiakawan dan ahli arkeologi tempatan Malaysia di tapak bersejarah Sungai Batu, Kedah. Penemuan yang dikatakan bukan sahaja telah mengubah sejarah Malaysia ini juga telah mengubah sejarah yang telah sedia ada tertulis di bahagian Asia Tenggara.

Asal-usul Tamadun Manusia di Asia Tenggara Bermula di Kedah Tua?

Jika sebelum ini, ramai yang percaya, candi Angkor Wat yang telah dibina oleh tamadun Khmer di negara Kemboja merupakan antara bukti bahawa tamadun asal dunia Asia Tenggara yang tertua mungkin berada di sana, tetapi penemuan terbaru pada lima tahun lepas ini di Kedah telah mengubah fakta atau pandangan tersebut.

Penemuan tersebut ialah penemuan kapal-kapal tinggalan tamadun Kerajaan Kedah Tua di lokasi tapak kajian arkeologi Sungai Batu. Melalui penyelidikan yang menggunakan teknologi terkini, penemuan artifak kapal-kapal tinggalan tamadun ini dianggarkan berusia 1900 tahun dan kawasan penemuan tersebut pula dianggarkan telah berusia 2500 tahun!

Mesti anda masih tertanya-tanya bukan? Adakah angka ini hanya sekadar angka? Berapa lama sebenarnya tamadun kuno lain di Asia Tenggara ini?

Untuk pengetahuan anda, penemuan ini telah membuktikan bahawa tapak tamadun kuno Kerajaan Kedah Tua berada bertapak di tanah negara kita ini sejak zaman Abad ke-5 lagi! Angkor Wat pula dibina pada zaman abad ke-12. Malah kewujudan tapak Kerajaan Kuno Kedah Tua ini juga jauh meninggalkan candi yang terbina di negara jiran kita iaitu Indonesia. Candi Borobudur di Indonesia yang terkenal sebagai tarikan antarabangsa dan tekah diangkat menjadi tapak warisan dunia oleh UNESCO pula hanya di bina pada abad ke-8.

Disebabkan itu penemuan ini merupakan antara penemuan terbesar dan terpenting oleh ahli pengkaji tempatan kerana penemuan ini boleh mengubah perjalanan sejarah yang telah sedia ada di ajar di sekolah, insititusi pengajian tinggi dan pusat kajian dunia.

Kerajaan Kedah Tua di Mata Negara Lain

Wajar juga kita nyatakan di sini, kewujudan tamadun kuno Kerajaan Kedah Tua ini juga wajar menjadi kebanggaan kita semua sebagai rakyat Malaysia. Pada zaman tersebut, tamadun kuno ini amatlah terkenal di mata tamadun dan negara-negara lain pada zaman tersebut.

Kerajaan kuno yang terletak di Semenanjung Tanah Melayu ini berada di lokasi yang sangat strategik dalam dunia perdagangan dan ekonomi antarabangsa pada waktu tersebut. Kedudukan yang berada di tengah-tengah perjalanan yang menghubungkan timur dan barat amatlah menguntungkan peradaban ini pada zaman tersebut.

Pelabuhan pertama Kerajaan Kedah Tua ini pada mulanya diasaskan di Sungai Mas dan kemudiannya dipindahkan ke Lembah Bujang dek kerana kepesatannya pada zaman tersebut. Kedudukan Gunung Jerai iaitu gunang yang namanya tidak asing lagi di telinga penduduk Kedah pada waktu moden ini juga menjadi kelebihan utama pelabuhan kuno peradaban tertua di Asia Tenggara ini. Gunung Jerai menjadi panduan utama dan strategik pelaut dan pedagang yang datang singgah memajukan ekonomi di peradaban yang termasyhur pada zaman tersebut sekaligus memudahkan mereka mengendali kapal dagang mereka untuk masuk ke pelabuhan Kedah Tua.

Tamadun ini juga dikatakan memainkan peranan penting sebagai pusat import dan eksport yang sangat besar pada zaman tersebut di Lautan Hindi sehingga menjadi pesaing utama kerajaan kuno di India pada waktu tersebut.

Disebabkan itu, nama dan bukti  kewujudan Kerajaan Kedah Tua ini telah diperakui di dokumen dan artifak negara, peradaban dan kuasa besar lain pada waktu tersebut. Nama Kerajaan Kedah Tua seperti Katah, Kadaram, Sai, Kalah, Kalah Bar, Kalagram dan Cheh Cha telah dijumpai di pelbagai catatan yang berasal daripada tamadun kuno India, Arab, Parsi dan China.

Kerajaan Kedah Tua – Pusat Ekonomi Utama Asia Tenggara

Pada zaman keagungan Kerajaan Kedah Tua, hasil-hasil asli bumi seperti biji timah, emas, beras, lada, gading, damar, rotan, tanduk dan sebagainya sememangnya didagangkan secara aktif pada zaman tersebut. Pada peringkat permulaan, tamadun kuno ini juga telah menerima pengaruh agama Hindu dan Buddha. Kerajaan Kedah Tua juga semakin pesat membangun apabila dikuasai oleh Tamadun Srivijaya – satu lagi kuasa agung pada zaman tersebut. Kegiatan perdagangan di Kerajaan Kedah Tua mula menajdi perlahan apabila menerima serangan daripada tentera Tamadun Chola di India pada tahun 1025.

Kemunculan Kesultanan Kedah

Corak pemerintahan Kerajaan Kedah Tua mula menerima perubahan secara besar-besaran pada abad ke ketujuh. Pada masa ini mula bangkit semula dan menjadi pusat penyebaran agama Islam di rantau Asia Tenggara. Pada zaman ini, penguasaan Kerajaan Kedah Tua telah menjangkau negeri-negeri utara seperti Seberang Perai, Pulau Pinang, Perlis dan bahkan menjangkau ke wilayah Selatan Thailand seperti Wilayah Sutun.

Wilayah Thailand pada masa ini yang kita kenali sebagai Terang, Krabi, Phuket, Phanga dan Pulau Samilan juga merupakan kawasan penguasaan Kerajaan Kedah Tua pada masa tersebut. Penguasaan ini juga tersebar ke sempadan Myanmar yang kita kenal di zaman moden ini dan di kawasan Segenting Kra di Thailand.

Walaupun begitu, masih banyak persoalan dan misteri yang masih belum terjawab. Perkara-perkara ini masih menjadi perdebatan dan telahan para pengkaji kita dan antarabangsa. Tapi kita mesti sewajarnya tahu bahawa tanah tumpah darah kita ini adalah milik kita sejak zaman kuno lagi dan fakta sejarah ini adalah buktinya.

SUMBER

https://cilisos.my/wuut-kedah-has-the-oldest-civilisation-in-south-east-asia/

http://ipim.jmm.gov.my/sites/default/files/file1p1m/Buku%20Teks%20Sejarah%20Tingkatan%202.pdf

https://iluminasi.com/bm/kisah-kehebatan-kerajaan-islam-kedah-satu-ketika-dahulu.html

https://www.thestar.com.my/News/Nation/2015/08/31/kedah-ancient-shipwreck

https://www.nst.com.my/lifestyle/pulse/2017/11/301995/old-new-history-ancient-kedah

https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2019/12/636195/sejarah-kedah-tua-dalam-sastera-india

https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Kedah_location_map.svg

https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Candi_Lembah_Bujang_(Disember_2009).jpg

https://live.staticflickr.com/2579/3770259029_cb77d6741f_b.jpg

Summary
Kerajaan Kedah Tua – Tamadun Tertua di Asia Tenggara
Article Name
Kerajaan Kedah Tua – Tamadun Tertua di Asia Tenggara
Description
Kerajaan Kedah Tua mungkin tidak asing lagi dalam fikiran kita. Kita akan teringat subjek Sejarah yang telah kita belajar semasa berada di alam persekolahan dahulu. Tetapi, apa kepentingan dan peranan Kerajaan Kedah Tua ini? Mengapa kita kena ambil tahu fakta sejarah ini? Apa kaitan kewujudan kerajaan kuno ini dengan kita rakyat Malaysia pada zaman moden ini?
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: