Sindrom keradangan pundi kencing
Interstitial Cystitis yang sering dipanggil sindrom sakit pundi kencing, merupakan satu keadaan yang sukar. Ia sukar untuk didiagnosis, dan walaupun rawatan boleh menjadikan hidup lebih baik, masih tiada penawar ditemui.

Sindrom keradangan pundi kencing (Interstitial Cystitis) merupakan satu keadaan yang rumit. Ia sukar untuk didiagnosis, dan walaupun ada rawatan boleh membuatkan kehidupan individu menjadi lebih baik, masih tiada penawar ditemui.

Memandangkan masalah keradangan ini mempunyai begitu banyak simptom dan merupakan satu keadaan yang serius, kebanyakan pakar beranggapan bahawa ia mungkin berpunca daripada beberapa penyakit. Sekiranya anda mengalami sakit pada pundi kencing yang berlanjutan selama lebih dari 6 minggu dan bukan berpunca daripada keadaan lain seperti jangkitan atau batu karang, anda mungkin mempunyai masalah keradangan pundi kencing ini.

Selain itu, simptom keradangan ini selalunya menyebabkan banyak cabaran. Masalah ini boleh menjejaskan kehidupan sosial, senaman, tidur dan juga kemampuan anda untuk bekerja.

Walau bagaimanapun, anda masih boleh menyiapkan diri dengan fakta dan rawatan yang betul agar simptom masalah ini boleh dikenal pasti dengan sendiri.

Masalah keradangan pundi kencing merupakan masalah kencing yang kronik. Pundi kencing anda menahan air kencing selepas ditapis oleh buah pinggang, tetapi sebelum anda sempat kencing, keadaan ini menyebabkan kesakitan dan tekanan di bawah pusat anda. Simptom bagi masalah ini juga boleh terjadi dan hilang begitu sahaja. Namun, ia juga berkemungkinan untuk kekal.

Di samping itu, masalah ini boleh menyebabkan perjalanan ke tandas yang menyakitkan. Anda mungkin perlu membuang air kencing sebanyak 40-60 kali sehari dalam beberapa kes yang serius. Ia juga boleh menyebabkan anda terjaga pada waktu malam.

 

Punca Keradangan Pundi Kencing

Penyebab sebenar masalah keradangan pundi kencing masih tidak diketahui, tetapi banyak faktor dikatakan menyumbang kepadanya. Sebagai contoh, orang yang mempunyai masalah ini mungkin mempunyai kecacatan pada lapisan pelindung (epitelium) pundi kencing. Kebocoran di epitelium boleh menyebabkan bahan toksik dalam air kencing untuk merengsakan dinding pundi kencing anda.

Faktor lain yang berkemungkinan walaupun tidak dapat dibuktikan adalah termasuk reaksi autoimun, keturunan, jangkitan dan alergi.

 

Simptom Keradangan Pundi Kencing

Simptom bagi masalah keradangan pundi kencing adalah berbeza bagi setiap individu. Ia juga boleh berubah setiap hari, setiap minggu atau kekal selama berbulan atau bertahun. Di samping itu, ia juga mempunyai kemungkinan untuk sembuh tanpa rawatan.

Simptom yang biasa terjadi adalah:

  • Tekanan dan kesakitan pada pundi kencing yang semakin parah apabila pundi kencing anda penuh.
  • Sakit di bawah perut, pinggang, pinggul atau uretra (tiub yang membawa air kencing dari pundi kencing anda keluar dari badan anda).
  • Bagi wanita, kesakitan pada vulva, faraj atau kawasan di belakang faraj.
  • Bagi lelaki, kesakitan di skrotum, buah zakar, zakar atau kawasan di belakang skrotum.
  • Keperluan untuk kencing dengan kerap (lebih daripada kebiasaan iaitu 7-8 kali setiap hari).
  • Perasaan seperti perlu untuk kencing segera, walaupun selepas anda baru pergi ke tandas.
  • Bagi wanita, kesakitan semasa melakukan seks.
  • Bagi lelaki, kesakitan semasa klimaks atau selepas melakukan seks.

Sakit pada pundi kencing yang dirasai individu dengan masalah keradangan pundi kencing boleh dilingkungkan dari rasa sakit yang tumpul hinggalah kesakitan seperti menyucuk. Membuang air kencing mungkin berasa seperti disengat atau seperti rasa terbakar yang serius.

Semua individu yang menghidapnya mempunyai pundi kencing yang meradang. Sekitar 5% hingga 10% individu didapati mempunyai ulser pada pundi kencing mereka.

Perkara yang mungkin membuat simptom menjadi lebih serius adalah:

  • Beberapa jenis makanan atau minuman.
  • Tekanan mental atau fizikal.
  • Haid.

 

Diagnosis Keradangan Pundi Kencing

Berikut mungkin membantu dalam mendiagnosis masalah keradangan pundi kencing seperti:

  • Sejarah perubatan dan diari pundi kencing. Doktor anda akan meminta anda untuk menerangkan simptom yang anda lalui. Selain itu, doktor juga mungkin meminta anda untuk menyimpan diari pundi kencing yang merekod jumlah cecair yang anda minum dan jumlah air kencing yang anda lepaskan.
  • Ujian pelvis. Semasa ujian pelvis, doktor anda akan memeriksa alat kelamin, faraj dan serviks luar anda serta memeriksa perut anda untuk menilai organ pelvis dalaman anda. Selain itu. doktor anda juga mungkin akan memeriksa anus dan rektum anda.
  • Ujian kencing. Sampel air kencing anda akan dianalisis untuk melihat tanda-tanda jangkitan pada saluran kencing.
  • Sitoskopi (Cytoscopy). Doktor anda akan memasukkan tiub nipis dengan kamera kecil (cystoscope) melalui uretra yang akan menampakkan lapisan pundi kencing anda. Di samping itu, doktor juga boleh menyuntik cecair ke dalam pundi kencing anda untuk mengukur keupayaan pundi kencing anda. Prosedur yang dikenali sebagai ‘hydrodistention’ boleh dibuat selepas anda berasa kebas kesan daripada ubat anestetik untuk menjadikan anda lebih selesa.
  • Biopsi. Semasa sitoskopi berada di bawah pengaruh anestesia, doktor anda boleh mengeluarkan sampel tisu (biopsi) dari pundi kencing dan uretra untuk pemeriksaan di bawah mikroskop. Ini dilakukan untuk memeriksa kanser pundi kencing dan punca lain yang boleh menyebabkan kesakitan pundi kencing.
  • Sitologi (cytology) air kencing. Doktor anda akan mengumpul sampel air kencing dan memeriksa sel bagi membantu mengatasi masalah kanser.

 

  • Ujian kecenderungan (sensitivity) potasium. Doktor anda akan meletakkan (menanam) dua larutan iaitu air dan kalium klorida ke dalam pundi kencing anda, satu demi satu. Anda diminta untuk menilai kesakitan dan desakan yang anda rasa pada skala 0 hingga 5 selepas setiap larutan ditanamkan. Jika anda berasa lebih sakit atau rasa desakan dengan larutan kalium berbanding air, doktor anda akan mendiagnosisnya sebagai masalah keradangan pundi kencing.

 

Faktor Risiko Keradangan Pundi Kencing

Faktor ini dikaitkan dengan risiko masalah keradangan pundi kencing yang lebih tinggi:

  • Jantina. Wanita lebih kerap didiagnosis dengan masalah keradangan pundi kencing berbanding lelaki. Simptom pada lelaki mungkin dikesan sama seperti simptom masalah keradangan pundi kencing, tetapi ia lebih kerap dikaitkan dengan masalah keradangan kelenjar prostat (prostatitis).
  • Kulit dan warna rambut. Mempunyai kulit yang cerah dan rambut kemerahan dikaitkan dengan risiko masalah keradangan pundi kencing yang lebih tinggi.
  • Umur. Kebanyakan orang yang mengalami masalah ini didiagnosis pada usia 30-an atau lebih.

 

  • Mempunyai gangguan sakit kronik. Masalah keradangan pundi kencing mungkin dikaitkan dengan gangguan sakit kronik yang lain seperti sindrom usus atau ‘fibromyalgia’.

 

Komplikasi Keradangan Pundi Kencing

Masalah keradangan pundi kencing boleh mengakibatkan beberapa komplikasi, termasuk:

  • Mengurangkan kapasiti pundi kencing. Masalah keradangan pundi kencing boleh menyebabkan pengerasan pada dinding pundi kencing, yang menyebabkan pundi kencing anda hanya dapat menahan air kencing yang sedikit.
  • Kualiti kehidupan yang rendah. Kencing yang kerap dan rasa sakit boleh mengganggu aktiviti sosial, kerja dan aktiviti lain dalam kehidupan seharian.
  • Masalah keintiman seksual. Kencing yang kerap dan sakit boleh mengganggu hubungan peribadi anda dan keintiman seksual juga mungkin terabai.
  • Masalah emosi. Kesakitan kronik dan gangguan tidur berpunca daripada masalah keradangan pundi kencing boleh menyebabkan tekanan emosi dan kemurungan.

 

Rawatan Keradangan Pundi Kencing

Rawatan masalah keradangan pundi kencing adalah rumit dan melibatkan banyak pendekatan.

Rawatan termasuk:

  • Terapi fizikal atau terapi alternatif, seperti imejan berpandu, urutan, terapi tenaga, atau akupunktur.
  • Pengembangan pundi kencing.
  • Instilasi pundi kencing dengan campuran termasuk Dimethyl sulfoxide, natrium hyaluronat, Heparin dan lain-lain.
  • Pembedahan untuk membaiki luka Hunner, seperti pembedahan laser.
  • Neuromodulasi, seperti penggunaan stimulator saraf elektrik.
  • Suntikan, seperti Botox.

Terdapat juga beberapa ubat yang boleh ditelan untuk merawat kesakitan, seperti:

  • Ubat-ubatan narkotik dan bukan narkotik.
  • Ubat-ubatan topikal, seperti ‘patch lidocaine’, diazepam faraj atau rektum dan topical ‘amitriptyline’.
  • Anti-depresan Tricyclic, seperti amitriptyline oral atau imipramine (tofranil).
  • Anti-histamin, seperti loratadine (claritin).
  • Pentosan (elmiron).
  • Imunosupresan, seperti cyclosporine, mycophenolate (cellcept), dan mycophenolate mofetil.
  • ‘Alpha-blockers’ (flomax).
  • ‘Amphetamines’.
  • Ubat anti-sawan (neurontin).
  • Penyekat histamin (tagamet, zantac, pepcid).
  • Perencat leukotriena.
  • Prostaglandin, seperti nsaids, ibuprofen.
  • Antasid air kencing, kalium atau natrium sitrat, dan tricitrates.
  • Antispasmodik saluran kencing, termasuk detrol, toviaz, vesicare atau terapi herba tertentu.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/interstitial-cystitis/symptoms-causes/syc-20354357#:~:text=Interstitial%20cystitis%20(in%2Dtur%2D,known%20as%20painful%20bladder%20syndrome.

https://www.webmd.com/urinary-incontinence-oab/interstitial-cystitis

https://www.healthline.com/health/interstitial-cystitis

https://www.medicalnewstoday.com/articles/304366

Summary
Keradangan pundi kencing (Interstitial cystitis ) - Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Article Name
Keradangan pundi kencing (Interstitial cystitis ) - Punca, Simptom, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Description
Ketahui Cystitis Pengantara (Interstitial Cystitis) yang sering dipanggil sindrom sakit pundi kencing. Baca mengenai puncanya, diagnosis serta rawatan.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: