keracunan makanan
Tanda dan gejala boleh bermula dalam beberapa jam selepas makan makanan yang tercemar, atau mungkin bermula beberapa hari atau beberapa minggu kemudian.

Keracunan makanan ialah penyakit yang biasa berlaku kepada setiap individu tidak mengira usia. Namun, penyakit ini boleh mengganggu aktiviti harian anda dan boleh juga mengancam nyawa. Individu yang dijangkiti organisma yang dibawa oleh makanan mungkin tidak mengalami sebarang gejala atau mungkin juga mempunyai gejala yang terdiri daripada ketidakselesaan usus hinggalah dehidrasi teruk dan cirit-birit berdarah.

Anda boleh mendapat keracunan makanan sekiranya anda makan makanan yang dicemari oleh virus atau bakteria. 

Selain itu, keracunan makanan juga boleh terjadi disebabkan oleh parasit atau pendedahan kepada toksin atau agen kimia. 

Kes-kes ringan mungkin bertahan hanya dalam beberapa jam atau hari, tetapi keracunan yang lebih parah seperti botulisme atau keracunan yang berpunca dari pendedahan racun kimia atau racun toksin tertentu boleh mengancam nyawa sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan. 

Simptom Keracunan Makanan

Perbezaan gejala bergantung pada sumber pencemaran. Kebanyakannya menunjukkan satu atau lebih tanda-tanda dan gejala berikut:

  • Mual
  • Muntah
  • Cirit-birit atau cirit-birit berdarah
  • Kesakitan dan kekejangan perut
  • Demam

Tanda dan gejala boleh bermula dalam beberapa jam selepas makan makanan yang tercemar, atau mungkin bermula beberapa hari atau beberapa minggu kemudian.

Punca Keracunan Makanan

Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan keracunan makanan, antaranya:

  • Bakteria Stafilokokus. Juga dikenali sebagai ‘Staphylococcus aureus’, adalah bakteria Gram-positif, berbentuk bulat yang merupakan kumpulan ‘Firmicutes’. Ia adalah mikrobiota yang sering dijumpai di saluran pernafasan dan pada kulit. Selalunya bersifat positif dan berfungsi dalam pengurangan katalase dan nitrat dan merupakan fakultatif anaerobik yang boleh tumbuh tanpa memerlukan oksigen.

    Walaupun stafilokokus selalunya bersifat positif, ia juga boleh menjadi patogen yang menjadi punca utama jangkitan kulit termasuk abses (abcess), jangkitan pernafasan seperti sinusitis, dan juga keracunan makanan. Orang yang dijangkiti bakteria ini boleh menularkan bakteria stafilokokus ke dalam makanan sewaktu proses penyediaan makanan.

  • Coli. Escherichia coli (E.Coli) adalah bakteria yang biasa terdapat dalam usus organisma berdarah panas. Kebanyakan strain E.Coli tidak berbahaya dan merupakan sebahagian daripada bakteria sihat yang terdapat dalam usus manusia. Namun demikian, sesetengah jenis E.Coli boleh menyebabkan penyakit pada manusia termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, dan muntah.Orang yang makan makanan atau minum minuman yang tercemar boleh dijangkiti bakteria E.Coli yang menyebabkan cirit – birit.

  • Salmonella. Bakteria yang boleh membahayakan kesihatan terdapat dalam makanan seperti daging dan ikan yang dimasak atau produk tenusu yang terdedah pada suhu bilik buat terlalu lama. Selain itu, ia juga boleh berlaku akibat memakan ayam, telur, dan daging mentah yang tercemar. Walaupun ianya berpotensi membawa maut, kebanyakan kes hanya menyebabkan gejala yang ringan.

  • Makanan dalam tin. Makanan dalam tin boleh mengandungi bakteria yang tidak memerlukan oksigen untuk membiak dan tidak boleh dimusnahkan dengan cara memasak. Bakteria ini menyebabkan botulisme iaitu keracunan makanan yang jarang berlaku tetapi berpotensi membawa maut.

  • Madu. Bayi boleh mendapat botulisme sekiranya memakan madu kerana sistem penghadaman mereka yang tidak matang, tidak seperti orang dewasa, ia tidak boleh meneutralkan bakteria semula jadi.

  • Makanan laut mentah. Makanan laut mentah mempunyai bakteria tersendiri, sebagai contoh kerang yang telah busuk, yang boleh membawa kepada keracunan makanan.

  • Tumbuhan beracun. Sesetengah tumbuhan seperti cendawan, buah beri, dan tumbuhan lain yang secara semula jadinya beracun kepada manusia, tidak boleh dimakan. Kentang yang telah tumbuh tunas juga mengandungi toksin semula jadi. Kulat beracun pula boleh terbentuk pada buah, sayuran, bijirin, dan kacang yang tidak disimpan dengan betul.

  • Kimia. Keracunan makanan kimia biasanya disebabkan oleh racun perosak atau makan makanan yang disimpan dalam bekas tidak bersih mempunyai sisa kimia seperti sabun.

Diagnosis Keracunan Makanan

Keracunan makanan sering didiagnosa berdasarkan sejarah terperinci, antaranya berapa lama anda sakit serta gejala dan makanan tertentu yang anda makan. Doktor juga akan melakukan ujian fizikal untuk mencari tanda-tanda dehidrasi.

Bergantung pada gejala dan sejarah kesihatan anda, doktor boleh menjalankan ujian diagnostik seperti ujian darah, kultur najis atau pemeriksaan parasit bagi mengenal pasti punca dan mengesahkan diagnosis.

Untuk kultur najis, doktor anda akan menghantar sampel najis anda ke makmal, di mana seorang juruteknik akan cuba mengenal pasti organisma berjangkit yang terdapat pada najis anda. Jika organisma ditemui, doktor mungkin akan memberitahu jabatan kesihatan tempatan anda bagi menentukan sama ada keracunan makanan yang dialami dikaitkan dengan wabak tertentu.

Dalam sesetengah kes, punca tidak dapat dikenal pasti.

Faktor Risiko Keracunan Makanan

Tempoh masa kesakitan bergantung kepada jenis organisma, jumlah pendedahan kepada bakteria, umur dan tahap kesihatan anda. Kumpulan individu yang berisiko tinggi mengalami keracunan makanan termasuk:

  • Orang dewasa yang lebih tua. Faktor peningkatan umur menjadikan sistem imun anda semakin kurang bertindak balas dengan cepat dan kurang berkesan kepada organisma menular berbanding mereka yang masih muda. Oleh itu, anda lebih senang dijangkiti bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

  • Wanita hamil. Ibu hamil mengalami perubahan metabolisme. Keadaan ini meningkatkan risiko keracunan makanan, jadi reaksi anda mungkin akan lebih teruk sewaktu kehamilan. Namun begitu, jarang sekali ia memberi kesan kepada bayi anda.

  • Bayi dan kanak-kanak. Selalunya bayi dan kanak-kanak mengalami keracunan makanan oleh kerana sistem imun mereka yang belum berkembang sepenuhnya.

  • Individu yang mempunyai penyakit kronik. Sekiranya anda mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, kerosakan hati atau AIDS ataupun anda sedang menjalani kemoterapi atau terapi radiasi kanser, keadaan ini mengurangkan tindak balas imun anda. Jadi, anda lebih mudah untuk mengalami keracunan makanan.

Komplikasi Keracunan Makanan

Komplikasi yang paling utama ialah dehidrasi – kehilangan air, garam dan mineral yang teruk. Jika anda seorang dewasa yang sihat dan minum air yang cukup untuk menggantikan cecair yang anda hilang daripada muntah dan cirit-birit, dehidrasi tidak menjadi masalah terhadap diri anda.

Bayi, orang dewasa yang lebih tua dan individu dengan sistem imun terhad atau penyakit kronik mungkin akan terasa kering apabila mereka kehilangan lebih banyak cecair daripada cecair yang mereka boleh ganti. Dalam kes ini, mereka mungkin perlu dimasukkan ke hospital dan menerima cairan intravena. Sebaliknya, dalam kes-kes yang teruk, dehidrasi boleh menyebabkan kematian.

Sesetengah jenis keracunan makanan mempunyai komplikasi yang parah bagi seseorang individu. Ini termasuk:

  • Listeria monocytogenes. Komplikasi ini paling teruk bagi bayi yang belum lahir. Pada awal kehamilan, jangkitan listeria boleh mengakibatkan keguguran. Sewaktu kehamilan pula, jangkitan listeria boleh menyebabkan bayi dalam kandungan mati, lahir secara pramatang atau berpotensi maut selepas kelahiran, walaupun ibunya hanya mengalami kesakitan ringan. Sementara itu, bayi yang terselamat dari jangkitan listeria sewaktu dalam kandungan mungkin akan mengalami kerosakan neurologi dalam jangka panjang serta perkembangannya terjejas.

  • Escherichia coli (E. coli). Sesetengah bakteria E.Coli boleh menyebabkan komplikasi teruk yang disebut sebagai sindrom uremik hemolitik. Sindrom ini merosakkan lapisan salur darah kecil di buah pinggang, kadangkala membawa kepada kegagalan buah pinggang. Orang dewasa yang lebih tua, kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun dan orang yang mempunyai sistem imun yang lemah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi ini. Sekiranya anda berada dalam salah satu daripada kategori risiko ini, anda haruslah berjumpa doktor anda saat tanda pertama cirit-birit berterusan atau menjadi berdarah.

Rawatan Keracunan Makanan

Rawatan biasanya bergantung kepada sumber penyakit, jika diketahui, dan tahap keparahan gejala dialami. Kebanyakan individu, penyakit tersebut pulih tanpa sebarang rawatan dalam masa beberapa hari. Tetapi, ada juga beberapa jenis keracunan makanan yang mungkin mengambil masa lebih lama untuk sembuh.

Rawatan boleh datang dari beberapa cara seperti:

  • Penggantian cecair yang hilang. Cecair dan elektrolit (mineral seperti natrium, kalium dan kalsium) yang mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan anda, yang hilang ketika cirit-birit berterusan perlu diganti. Sesetengah kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami cirit-birit atau muntah yang mungkin perlu dimasukkan ke hospital di mana mereka boleh menerima garam dan cecair melalui vena (intravena), untuk mencegah atau merawat dehidrasi.

  • Antibiotik. Doktor juga boleh mengesyorkan antibiotik jika anda mengalami keracunan makanan disebabkan oleh bakteria atau mempunyai gejala yang teruk. Keracunan makanan ‘listeria’ perlu dirawat dengan antibiotik intravena sewaktu di hospital. Lebih awal anda mendapatkan rawatan adalah lebih baik. Rawatan antibiotik yang cepat semasa kehamilan juga boleh membantu mencegah jangkitan daripada menjejaskan bayi dalam kandungan.

Namun demikian, antibiotik tidak dapat membantu keracunan makanan yang disebabkan oleh virus. Sebaliknya ia boleh memburukkan lagi gejala-gejala tertentu dalam keracunan makanan atau bakteria tertentu. Kesimpulannya, anda perlu berunding dengan doktor terlebih dahulu mengenai pilihan anda.

Untuk maklumat lanjut, sila baca artikel kami tentang petua untuk keracunan makanan.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/food-poisoning/symptoms-causes/syc-20356230#:~:text=Food%20poisoning%2C%20also%20called%20foodborne,common%20causes%20of%20food%20poisoning.

https://www.healthline.com/health/food-poisoning

https://www.medicalnewstoday.com/articles/154555

https://www.webmd.com/food-recipes/food-poisoning/understanding-food-poisoning-symptoms

Summary
Keracunan Makanan (Food Poisoning) - Simptom, Punca,   Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Article Name
Keracunan Makanan (Food Poisoning) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Komplikasi dan Rawatan
Description
Keracunan makanan ialah masalah biasa yang berlaku pada individu tanpa mengira usia. Biasanya, ia berlaku kerana pengambilan minuman atau makanan tercemar.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: