kepanasan (hot flash)
Kepanasan atau kilat panas adalah rasa panas secara tiba-tiba di bahagian atas badan, yang biasanya paling teruk di bahagian muka, leher dan dada. Kulit anda mungkin menjadi merah, seolah-olah anda sedang malu.

Pengenalan

Kepanasan atau kilat panas adalah rasa panas secara tiba-tiba di bahagian atas badan, yang biasanya paling teruk di bahagian muka, leher dan dada. Kulit anda mungkin menjadi merah, seolah-olah anda sedang malu. Selain itu, kepanasan ini juga boleh menyebabkan anda berpeluh.

Sekiranya anda kehilangan terlalu banyak haba badan, anda mungkin akan berasa sejuk selepas itu. Peluh malam adalah kepanasan yang berlaku pada waktu malam, dan boleh mengganggu tidur anda.

Seterusnya, anda juga mungkin mengalami:

  • kesemutan di jari
  • jantung berdegup lebih pantas dari biasa
  • kulit terasa panas secara tiba-tiba
  • wajah menjadi merah
  • berpeluh, terutama di bahagian atas badan

Penerangan

Kepanasan atau kilat panas adalah gejala menopaus dan perimenopaus yang paling biasa. Lebih daripada dua pertiga wanita yang menuju ke fasa menopaus mengalami keadaan ini. Malah, ia juga mempengaruhi wanita yang mula menopaus selepas mendapat rawatan kemoterapi atau pembedahan untuk membuang ovari mereka.

Di samping itu, kepanasan ini bermula apabila saluran darah berdekatan permukaan kulit melebar untuk menyejukkan dirinya, menyebabkan anda jadi berpeluh. Sebilangan wanita juga boleh mengalami degupan jantung yang cepat atau menggigil.

Penyebab yang berkemungkinan

Kepanasan biasanya berlaku disebabkan perubahan tahap hormon sebelum, semasa dan selepas menopaus. Ianya tidak jelas bagaimana perubahan hormon boleh menyebabkan keadaan ini.

Tetapi, kebanyakan penyelidikan menunjukkan bahawa kepanasan berlaku apabila penurunan kadar estrogen menyebabkan suhu badan anda (hipotalamus) menjadi lebih sensitif terhadap sedikit perubahan suhu badan. Apabila hipotalamus menganggap badan anda terlalu panas, ia memulakan rangkaian peristiwa iaitu kepanasan untuk menyejukkan anda.

Jarang sekali, kepanasan dan peluh malam terjadi kerana perkara lain selain menopaus. Sebab-sebab lain yang berpotensi termasuklah kesan sampingan ubat, adanya masalah dengan tiroid, kanser tertentu dan kesan sampingan daripada rawatan kanser.

Pencetus keadaan ini mungkin sedikit berbeza bagi setiap wanita, tetapi beberapa perkara biasa termasuk:

  • minum alkohol
  • mengambil produk dengan kafein
  • makan makanan pedas
  • berada di dalam bilik yang panas
  • berasa tertekan atau cemas
  • memakai pakaian ketat
  • merokok atau terdedah kepada asap rokok
  • membongkok

Bila perlu menghubungi doktor

Sekiranya keadaan kepanasan ini mempengaruhi aktiviti harian anda atau tidur pada waktu malam, pertimbangkan untuk berjumpa dengan doktor bagi membincangkan pilihan rawatan yang ada.

Kekerapan dan intensiti kepanasan adalah berbeza di antara wanita. Ia boleh menjadi ringan atau serius sehingga mengganggu aktiviti harian. Malah, keadaan ini juga boleh berlaku pada bila-bila masa tidak kira siang atau malam. Kilat panas pada waktu malam (berpeluh malam) boleh membangunkan anda dari tidur dan boleh menyebabkan gangguan tidur jangka panjang.

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Setelah mengambil tahu akan usia anda, doktor akan bertanya sama ada anda masih mengalami tempoh haid yang tetap atau tidak. Sekiranya tidak, doktor akan meminta anggaran tarikh haid terakhir anda. Jika anda masih mendapat haid, doktor ingin mengetahui sama ada terdapat perkara yang tidak biasa mengenai jangka masa anda atau jumlah aliran darah.

Doktor juga akan bertanya sama ada anda mengalami simptom lain yang mungkin berkaitan dengan penurunan estrogen, seperti kekeringan faraj, kesakitan atau ketidakselesaan semasa melakukan hubungan persetubuhan atau ketidakselesaan ketika kencing. Akhirnya, doktor akan mengkaji sejarah perubatan anda, sejarah ginekologi anda dan jenis ubat yang anda ambil. Ini adalah untuk memastikan simptom anda adalah kepanasan dan bukannya akibat daripada penyakit perubatan, sakit puan atau kesan sampingan ubat.

Dalam kebanyakan kes, doktor dapat mengesahkan keadaan kepanasan anda berkaitan dengan menopaus dengan mengkaji sejarah haid anda dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan pelvis. Doktor juga mungkin meminta anda melakukan ujian darah untuk mengukur tahap hormon perangsang folikel (FSH) serum, yang tinggi semasa menopaus.

Rawatan

Sebelum mempertimbangkan penggunaan ubat, cuba buat perubahan pada gaya hidup anda. Doktor biasanya mengesyorkan wanita untuk melakukan perubahan seperti ini sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum memulakan sebarang ubat.

Sekiranya kepanasan ini membuatkan anda terjaga pada waktu malam, pastikan bilik anda kekal dalam suhu sejuk dan cuba minum sedikit air sejuk sebelum tidur. Lapiskan tempat tidur anda agar ia dapat disesuaikan mengikut keperluan. Sebilangan wanita menganggap kipas katil berguna buat mereka. Berikut adalah beberapa perubahan gaya hidup lain yang anda boleh lakukan:

  • Pakai pakaian berlapis, yang dapat dikeluarkan pada permulaan keadaan kepanasan.
  • Bawa kipas mudah alih untuk digunakan semasa kepanasan menyerang.
  • Elakkan pengambilan alkohol, makanan pedas dan kafein. Ini boleh memburukkan lagi gejala menopaus.
  • Sekiranya anda merokok, cubalah berhenti kerana ini bukan sahaja bagus untuk mengelakkan gejala menopaus, tetapi juga baik untuk kesihatan keseluruhan anda.
  • Cuba kekalkan berat badan yang sihat. Wanita yang berlebihan berat badan atau obes mungkin mengalami kepanasan yang lebih kerap dan teruk.
  • Cuba praktik latihan minda-tubuh seperti yoga atau teknik menenangkan diri yang lain. Penyelidikan peringkat awal menunjukkan bahawa meditasi perhatian, yoga dan tai chi dapat membantu memperbaiki gejala menopaus.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/hot-flashes/symptoms-causes/syc-20352790

https://www.webmd.com/menopause/guide/menopause-hot-flashes#1

https://www.nia.nih.gov/health/hot-flashes-what-can-i-do

https://www.health.harvard.edu/a_to_z/hot-flashes-a-to-z

https://www.healthline.com/health/menopause/understanding-hot-flashes#symptoms

Summary
Kepanasan (hot flash)
Article Name
Kepanasan (hot flash)
Description
Kepanasan atau kilat panas adalah rasa panas secara tiba-tiba di bahagian atas badan, yang biasanya paling teruk di bahagian muka, leher dan dada.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: