Kemerosotan makular
Kemerosotan makular adalah penyebab utama kehilangan penglihatan yang tidak dapat dipulihkan pada individu berusia lebih dari 60 tahun.

Kemerosotan makular adalah penyebab utama kehilangan penglihatan yang tidak dapat dipulihkan pada individu berusia lebih dari 60 tahun. Ia berlaku apabila bahagian tengah retina yang kecil dikenali sebagai makular mula merosot.

Retina adalah tisu saraf cahaya di belakang mata. Memandangkan penyakit ini berkembang pada individu yang sudah berumur, ia sering disebut sebagai Kemerosotan Makular Berkaitan Usia.

Walaupun kemerosotan makular hampir tidak pernah menyebabkan buta sepenuhnya, ia boleh menjadi sumber kecacatan visual yang ketara.

Jenis-jenis Kemerosotan Makular

Terdapat dua jenis utama kemerosotan makular yang berkaitan dengan usia:

  • Jenis kering. Bentuk kemerostan makular “kering” dicirikan oleh kehadiran deposit kuning yang dipanggil ‘drusen’ di dalam makular. Beberapa drusen kecil tidak boleh menyebabkan perubahan dalam penglihatan. Walau bagaimanapun, apabila ia tumbuh dalam saiz dan meningkat jumlahnya, ia mungkin akan menyebabkan kemalapan atau penyimpangan penglihatan terutama sekali apabila membaca. Dalam tahap degenerasi makular kering yang lebih serius, terdapat penipisan lapisan sel yang sensitif dengan cahaya di dalam makular yang menyebabkan atrofi atau kematian tisu. Seterusnya, dalam bentuk atrofik kemerosotan makular kering, pesakit mungkin mempunyai bintik-bintik buta (blind spot) di tengah-tengah penglihatan mereka. Dalam peringkat yang lebih lanjut, pesakit mungkin boleh kehilangan penglihatan pusat.
  • Jenis basah. Bentuk kemerosotan makular “basah” dicirikan oleh pertumbuhan saluran darah yang tidak normal dari ‘choroid’ di bawah makular. Ini dipanggil sebagai ‘neovascularization choroidal’. Saluran darah ini bocor dan mengalir ke dalam retina, menyebabkan penyimpangan penglihatan yang membuat garis lurus kelihatan bergelombang, serta bintik-bintik buta (blind spot) dan kehilangan penglihatan pusat. Di samping itu, saluran darah yang tidak normal dan pendarahannya ini akhirnya akan membentuk parut yang menyebabkan hilangnya penglihatan pusat.

Kebanyakan pesakit dengan kemerosotan makular mendapat jenis kering dan boleh kehilangan beberapa bentuk penglihatan pusat. Walau bagaimanapun, kemerosotan makular jenis kering boleh mendorong kepada kepada kemerosotan makular jenis basah.

Walaupun hanya kira-kira 10% orang yang mengalami kemerosotan makula jenis basah, ia membentuk majoriti bagi golongan individu yang mengalami kehilangan penglihatan yang serius berpunca daripada penyakit ini.

Simptom Kemerosotan Makular

Simptom kemerosotan makular termasuklah:

  • Pengurangan kualiti/ resolusi penglihatan yang kurang jelas dan sukar untuk membaca cetakan, memandu dan sebagainya.
  • Kawasan gelap, kabur di pusat penglihatan.
  • Pengurangan atau perubahan persepsi warna .

Jika anda mengalami sebarang gejala ini, berjumpa dengan pakar mata secepat mungkin.

Punca Kemerosotan Makular

Tiada siapa yang tahu punca sebenar kemerosotan makula basah, tetapi ia berkembang pada individu yang telah mengalami kemerosotan makula kering.

Kemerosotan makular basah boleh berkembang dengan cara yang berbeza seperti:

  • Kehilangan penglihatan disebabkan oleh pertumbuhan saluran darah yang tidak normal. Kadangkala, saluran darah baru yang tidak normal tumbuh dari ‘choroid’ di bawah dan dalam makular (choroidal neovascularization). ‘Choroid’ adalah lapisan pembuluh darah antara retina dan kot luar (sclera). Jadi, saluran darah yang tidak normal mungkin akan membocorkan cecair atau darah dan mengganggu fungsi retina.
  • Kehilangan penglihatan disebabkan oleh pembentukan cecair di belakang mata. Apabila kebocoran cecair dari ‘choroid’ berlaku, ia boleh terkumpul antara lapisan sel nipis yang dikenali sebagai epitelium pigmen retina dan retina itu sendiri. Ini boleh menyebabkan benjolan di makular, yang seterusnya menyebabkan kehilangan penglihatan atau gangguan.

Diagnosis Kemerosotan Makular

  • Pemeriksaan mata secara rutin. Kemerosotan makular yang berkaitan dengan usia dapat dikesan dalam pemeriksaan mata rutin. Salah satu tanda awal yang paling biasa adalah kehadiran drusen iaitu deposit kuning kecil di bawah retina atau pigmen pekat. Doktor boleh mengesan keadaan ini ketika memeriksa mata anda.
  • Melihat grid Amsler. Selain itu, doktor juga boleh meminta anda untuk melihat grid Amsler iaitu corak garis lurus yang menyerupai papan dam. Beberapa garis lurus mungkin kelihatan bergelombang kepada anda, atau anda mungkin melihat beberapa baris itu hilang. Ini boleh menjadi petanda yang menunjukkan bahawa anda mempunyai keadaan kemerosotan makular.
  • Angiografi dan OCT. Sekiranya doktor mengesan kemerosotan makular yang berkaitan dengan usia, anda mungkin perlu melakukan prosedur disebut angiografi atau OCT. Dalam angiografi, pewarna disuntik ke dalam vena lengan.

Gambar-gambar akan diambil apabila pewarna mencapai mata dan mengalir melalui saluran darah retina. Sekiranya terdapat saluran atau salur baru yang membocorkan cecair atau darah di dalam makula, gambar-gambar akan menunjukkan lokasi dan jenis yang tepat. OCT pula dapat melihat cecair atau darah di bawah retina tanpa menggunakan pewarna.

Pengesanan awal kemerosotan makular yang berkaitan dengan usia adalah sangat penting kerana terdapat rawatan yang boleh menunda atau mengurangkan risiko penyakit ini.

Faktor Risiko Kemerosotan Makular

  • Umur. Seperti namanya, kemerosotan makular yang berkaitan dengan usia adalah lebih biasa berlaku pada individu dewasa yang lebih tua. Malah, ia adalah punca utama kehilangan penglihatan yang serius bagi individu dewasa pada usia 60 tahun.
  • Genetik. Penyakit kemerosotan makular mungkin boleh diwarisi, dan ini bermakna bahawa ia boleh disampaikan dari ibu bapa kepada anak-anak. Sekiranya seseorang dalam keluarga anda memiliki atau pernah mempunyai keadaan ini, anda mungkin berisiko tinggi untuk mendapat penyakit sama. Oleh itu, berjumpa dengan doktor pakar mata untuk mengetahui tentang risiko individu anda.

Merokok, mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, obesiti dan berkulit putih, wanita dan mempunyai warna mata terang juga adalah faktor risiko untuk mendapat kemerosotan makular.

Rawatan Kemerosotan Makular

Rawatan sedia ada boleh membantu melambatkan perkembangan penyakit, mengekalkan penglihatan yang ada dan dapat memulihkan beberapa penglihatan yang hilang jika rawatan dimulakan dengan lebih awal.

Ubat-ubatan

Pengambilan ubat boleh membantu menghentikan pertumbuhan saluran darah baru dengan menyekat kesan-kesan pertumbuhan isyarat yang dihantar oleh badan untuk menjana saluran darah baru. Ubat-ubat ini dianggap sebagai rawatan awal untuk semua peringkat kemerosotan makular jenis basah.

Di samping itu, ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kemerosotan makular basah termasuk:

  • Bevacizumab (Avastin).
  • Ranibizumab (Lucentis).
  • Aflibercept (Eylea).

Doktor akan menyuntik ubat ini ke mata anda yang mengalami gangguan. Anda mungkin memerlukan suntikan setiap empat minggu untuk mengekalkan kesan ubat yang bermanfaat. Dalam sesetengah keadaan, anda boleh memulihkan sebahagian penglihatan kerana saluran darah mengecut dan cecair di bawah retina menyerap, bagi membolehkan sel retina memulihkan fungsi semula.

Risiko bagi suntikan mata termasuklah pendarahan konjungtiva (conjunctival), sakit mata, berkelana (floaters), peningkatan tekanan mata, jangkitan dan keradangan mata. Sesetengah ubat ini juga boleh meningkatkan risiko strok.

Pelbagai terapi

  • Terapi fotodinamik. Prosedur ini kadangkala digunakan untuk merawat saluran darah yang tidak normal di pusat makular anda. Semasa terapi ini dilakukan, doktor akan menyuntik ubat bernama verteporfin (Visudyne) ke dalam vena di lengan yang bergerak ke saluran darah di mata anda. Doktor akan menyinari cahaya fokus dari laser khusus ke saluran darah yang tidak normal di mata anda. Ini akan mengaktifkan ubat dan menyebabkan saluran darah yang tidak normal ditutup bagi menghentikan kebocoran.

Selain itu, terapi ini juga dapat meningkatkan penglihatan anda dan mengurangkan kadar kehilangan penglihatan. Anda mungkin memerlukan rawatan secara berulang kali, kerana pembuluh darah yang dirawat boleh dibuka semula.

Selepas melakukan terapi fotodinamik ini, anda perlu mengelakkan cahaya matahari secara langsung dan lampu terang sehinggalah ubat telah bersih daripada tubuh anda yang mungkin mengambil masa selama beberapa hari.

  • Fotokoagulasi (Photocoagulation). Semasa terapi ini, doktor akan menggunakan sinaran laser bertenaga tinggi untuk menutup saluran darah yang tidak normal di bawah makular. Laser ini akan menyebabkan parut yang boleh membentuk titik buta (blind spot), tetapi prosedur itu digunakan untuk menghentikan saluran daripada berdarah. Ini bertujuan untuk meminimumkan kerosakan makular selanjutnya. Walaupun setelah melakukan rawatan ini, saluran darah boleh tumbuh kembali, jadi keadaan ini memerlukan rawatan yang lanjut.

Seterusnya, individu yang mengalami kemerosotan makular basah adalah calon sesuai untuk rawatan ini. Secara amnya, ia bukanlah satu pilihan jika anda mempunyai saluran darah yang tidak normal di bawah pusat makular. Selain itu, lebih banyak kerosakan pada makular anda, semakin rendah kemungkinan untuk rawatan ini berjaya.

  • Pemulihan penglihatan yang rendah. Kemerosotan makular yang berkaitan dengan usia tidak menjejaskan penglihatan anda (periferi) dan biasanya tidak menyebabkan buta dengan sepenuhnya. Namun, ia dapat mengurangkan atau menghapuskan pusat penglihatan anda yang diperlukan untuk memandu, membaca dan mengenali wajah. Ia mungkin bermanfaat untuk anda bekerjasama dengan pakar pemulihan penglihatan yang rendah, ahli terapi pekerjaan, doktor mata dan individu yang dilatih dalam pemulihan penglihatan yang rendah. Golongan pakar ini boleh membantu anda mencari cara untuk menyesuaikan diri dengan penglihatan anda yang telah berubah.

SUMBER

https://www.webmd.com/eye-health/macular-degeneration/age-related-macular-degeneration-overview

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/dry-macular-degeneration/symptoms-causes/syc-20350375

https://www.healthline.com/health/macular-degeneration

https://www.medicalnewstoday.com/articles/152105

Summary
Kemerosotan Makular (Macular degeneration) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kemerosotan Makular (Macular degeneration) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kemerosotan makular adalah penyebab utama kehilangan penglihatan yang tidak dapat dipulihkan pada individu berusia lebih dari 60 tahun.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: