merokok

KUALA LUMPUR: Sebanyak 335 notis kompaun berjumlah RM93,350 dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan di bawah larangan merokok dalam operasi bersepadu semasa pemeriksaan di 263 premis di bandar ini.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian, Dr Norhayati Rusli berkata notis kompaun itu dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Tambahnya, 284 daripada notis dikeluarkan kepada individu kerana merokok di kawasan larangan dan 28 notis dikeluarkan kepada pemilik kerana gagal memastikan tiada aktiviti merokok di premis itu.

“Selain itu, 14 notis kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok.

“Sembilan lagi notis dikeluarkan kepada pemilik kerana gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok untuk kanak-kanak bawah umur dan amaran kesihatan bergambar di premis itu,” katanya kepada pemberita.

Operasi yang berlangsung antara 6 petang hingga 11 malam itu membabitkan penyertaan 220 pegawai Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Polis, Jabatan Kastam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam operasi itu, 147 paket rokok dirampas mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 manakala sejumlah rokok yang tidak didedahkan dipercayai diseludup masuk ke negara ini turut dirampas.

Selain itu, DBKL turut mengeluarkan dua notis kompaun bagi kesalahan melibatkan penggajian pekerja asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Tagged: