Now Reading
Kelebihan diet Vegan

Kelebihan diet Vegan

Kelebihan diet Vegan

Diet vegan telah diketahui boleh membantu seseorang untuk mengurangkan berat badan. Bukan itu sahaja, diet ini turut menawarkan pelbagai kelebihan yang lain.

Bagi pemula diet vegan, ia boleh membantu anda untuk mengekalkan keadaan jantung yang sihat. Malah, diet ini juga mungkin menawarkan perlindungan daripada kencing manis jenis 2 dan kanser tertentu.

Berikut merupakan 6 kelebihan diet vegan bagi seseorang yang mengamalkannya.

1. Kaya dengan nutrien tertentu

Sekiranya anda beralih daripada diet lain kepada diet vegan, anda biasanya perlu berhenti mengambil daging atau menggunakan produk bersumberkan haiwan.

Keadaan ini akan membuatkan anda lebih bergantung kepada makanan lain. Dalam kes berasaskan diet vegan, makanan biasa anda akan digantikan dengan bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijian.

Seterusnya, memandangkan makanan sebegini membentuk sebahagian besar diet vegan berbanding diet lain, ia dapat menyumbang kepada pengambilan nutrien harian yang lebih tinggi dan bermanfaat.

Beberapa kajian telah melaporkan bahawa diet vegan berupaya membekalkan lebih banyak serat, antioksidan dan kompaun tumbuhan yang baik. Pemakanan cara ini juga lebih kaya dengan kandungan potasium, magnesium, folat dan vitamin A, C dan E.

Namun begitu, bukan semua diet vegan dicipta dengan asas yang sama. Sebagai contoh, diet vegan yang tidak dirancang dengan baik boleh menyebabkan jumlah asid lemak, vitamin B12, zat besi, kalsium, iodin dan zink yang tidak mencukupi. Hal ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Justeru itu, ia adalah penting untuk anda menjauhi pilihan makanan vegan yang segera dan mengandungi nutrien yang kurang seperti makanan ringan khusus untuk vegan dan sebagainya. Sebaliknya, terapkan pemakanan berasaskan tumbuhan yang kaya dengan nutrien. Anda juga mungkin boleh mempertimbangkan pengambilan suplemen tambahan seperti vitamin B12 untuk menampung nutrien yang kurang.

2. Membantu mengurangkan berat badan berlebihan

Semakin ramai individu beralih kepada diet berasaskan tumbuhan dengan harapan untuk mengurangkan berat badan berlebihan. Itu merupakan tujuan yang baik kerana ia sememangnya merupakan antara kelebihan diet vegan yang ada.

Banyak kajian pemerhatian menunjukkan bahawa golongan vegan selalunya dilihat lebih kurus dan mempunyai indeks jisim badan yang lebih rendah berbanding golongan yang bukan vegan.

Di samping itu, beberapa kajian kawalan secara rawak telah melaporkan bahawa diet vegan adalah lebih berkesan untuk membantu seseorang individu mengurangkan berat badan berbanding diet lain.

Dalam satu kajian yang lain, diet vegan telah membantu peserta mengurangkan sebanyak 4.2kg, jumlah yang lebih banyak berbanding diet kawalan sepanjang tempoh kajian selama 18 minggu. Apa yang menariknya adalah peserta diet vegan kehilangan lebih banyak berat berbanding mereka yang mengikuti diet dengan pengambilan kalori yang terhad walaupun kumpulan vegan dibenarkan untuk makan hingga kenyang.

Perkara ini dibuktikan lagi melalui keputusan satu kajian kecil baru-baru ini yang membandingkan kesan penurunan berat badan daripada 5 diet yang berbeza. Keputusan menunjukkan bahawa diet vegetarian dan vegan adalah sebaik diet semi-vegetarian dan diet biasa yang lain. Walaupun golongan vegetarian dan vegan tidak mengikuti diet mereka dengan sempurna, mereka masih kehilangan berat lebih daripada diet yang biasa.

3. Mengurangkan kadar gula dalam darah dan memperbaiki fungsi buah pinggang

Memilih untuk menjadi vegan mungkin boleh memberi manfaat kepada kencing manis jenis 2 dan boleh memperbaiki fungsi buah pinggang. Malah, golongan vegan lebih cenderung mempunyai kadar gula dalam darah yang rendah dan tahap sensitiviti insulin yang lebih tinggi. Di samping itu, golongan ini juga mempunyai 50-78% risiko lebih rendah untuk mendapat penyakit kencing manis jenis 2.

Dalam satu kajian, 43% peserta yang mengikuti diet vegan berjaya mengurangkan dos ubat yang digunakan untuk mengurangkan gula dalam darah berbanding 26% peserta lain yang mengikuti diet lain.

Seterusnya, kajian lain juga mendapati bahawa pesakit kencing manis yang menggantikan pengambilan daging dengan protein tumbuhan berupaya mengurangkan risiko mengalami kelemahan fungsi buah pinggang.

Beberapa kajian pula melaporkan bahawa diet vegan mungkin dapat memberikan kelegaan kepada simptom polineuropati (polyneuropathy), iaitu keadaan diabetik yang menyebabkan kesakitan yang tajam dan membakar.

4. Melindungi individu daripada kanser tertentu

Hampir satu per tiga daripada semua jenis kanser boleh dicegah melalui faktor yang boleh dikawal termasuklah cara pemakanan anda. Inilah salah satu kelebihan diet vegan yang sangat berguna bagi diet vegan ini.

Sebagai contoh, memakan kekacang dengan kerap mungkin boleh mengurangkan risiko anda mendapat kanser kolorektal sebanyak hampir 9-18%. Tambahan pula, pengkaji juga mendapati bahawa pemakanan dengan sekurang-kurangnya 7 bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam sehari boleh mengurangkan risiko kematian disebabkan kanser sebanyak sehingga 15%.

Produk soya juga dikatakan boleh melindungi individu daripada kanser payudara manakala mengelakkan pengambilan produk haiwan tertentu pula boleh mengurangkan risiko kanser prostat, payudara dan kolon.

Ini mungkin terjadi kerana diet vegan tidak mengandungi makanan berasaskan daging yang disalai, diproses atau dimasak pada suhu tinggi yang dikatakan boleh menggalakkan perkembangan kanser tertentu. Golongan vegan juga biasanya menghindari produk tenusu yang dianggap boleh meningkatkan risiko kanser prostat.

Namun, anda harus ingat bahawa kebanyakan kajian ini dilakukan secara pemerhatian sahaja. Jadi, ianya adalah mustahil untuk menentukan faktor utama mengapa diet vegan mampu mengurangkan risiko penyakit kanser.

5. Mengurangkan risiko penyakit jantung

Makan buah-buahan, sayur-sayuran segar, kekacang dan serat dikaitkan dengan risiko penyakit jantung yang lebih rendah. Kesemua makanan ini secara amnya diambil dalam kuantiti besar, dalam pelan diet vegan yang dirancang dengan baik.

Kajian pemerhatian yang membandingkan golongan vegan, vegetarian dan populasi umum mendapati bahawa golongan vegan kurang berisiko mendapat tekanan darah tinggi sebanyak hampir 75%.

Selain itu, golongan vegan juga adalah 42% kurang berisiko untuk mendapat kematian yang disebabkan penyakit jantung.

Beberapa kajian kawalan secara rawak pula melaporkan bahawa diet vegan adalah lebih efektif dalam menurunkan kadar gula dalam darah, kadar kolesterol LDL (kolesterol buruk) dan keseluruhan kadar kolesterol berbanding diet jenis lain yang turut dikaji.

Jika dibandingkan dengan populasi umum, individu vegan lebih cenderung makan bijirin penuh dan kekacang yang baik buat kesihatan jantung mereka.

6. Mengurangkan kesakitan kerana penyakit Artritis

Beberapa kajian melaporkan bahawa diet vegan mempunyai kesan positif terhadap individu menghidap pelbagai jenis Artritis. Jadi, diet ini sememangnya bagus jika diamalkan oleh pesakit Artritis.

Sementara itu, satu kajian secara rawak telah menugaskan seramai 40 orang peserta menghidap Arthritis sama ada ingin meneruskan pemakanan mereka yang biasa (melibatkan daging, produk tenusu) atau beralih kepada diet berasaskan tumbuhan selama 6 minggu. Keputusan menunjukkan mereka yang mengikuti diet vegan mempunyai kadar tenaga yang lebih tinggi dan fungsi umum yang lebih baik berbanding golongan yang tidak menukar cara pemakanan mereka.

Dua kajian lain pula menyiasat kesan makanan mentah yang kaya dengan probiotik terhadap simptom penyakit Arthritis reumatoid. Kedua-dua kajian menunjukkan bahawa peserta dalam kumpulan vegan mengalami kelegaan simptom seperti rasa sakit, bengkak sendi dan kaku di waktu pagi yang lebih baik berbanding mereka yang meneruskan diet pemakanan biasa.

SUMBER

https://www.healthline.com/nutrition/vegan-diet-benefits

https://www.medicalnewstoday.com/articles/149636#benefits

https://www.news-medical.net/health/What-are-the-Health-Benefits-of-a-Vegan-Diet.aspx

error: Content is protected !!