kehamilan dan tanda-tanda kelahiran
Setiap wanita adalah berbeza, begitu juga dengan pengalaman kehamilannya

Kehamilan akan mengubah badan, emosi dan kehidupan anda. Berikut adalah semua maklumat yang perlu anda tahu untuk mempunyai anak, daripada tip untuk membantu anda hamil hingga apa untuk dijangkan semasa kelahiran.

 

Simptom Kehamilan dan Tanda-tanda Kelahiran

Adakah anda berasa bahawa anda mungkin mengandung? Satu-satunya cara untuk mengetahui keadaan ini dengan pasti adalah dengan mengambil ujian kehamilan.

Namun, terdapat juga gejala awal kehamilan lain yang boleh menunjukkan bahawa anda mungkin mengandung. Tanda-tandalah yang perlu anda kesan sendiri.

 

Adakah Semua Wanita Mendapat Gejala Awal Kehamilan?

Setiap wanita adalah berbeza, begitu juga dengan pengalaman kehamilannya. Tidak semua wanita mempunyai gejala yang sama atau mengalami gejala yang sama daripada beberapa satu kehamilan yang dialami.

Hal ini berlaku kerana gejala awal kehamilan sering meniru gejala yang mungkin dialami sebelum dan semasa haid sehinggakan anda mungkin tidak sedar bahawa anda sedang hamil.

Berikut adalah gambaran mengenai beberapa gejala awal kehamilan yang biasa dilihat. Anda harus tahu bahawa gejala-gejala ini mungkin berlaku disebabkan perkara lain selain mengandung. Jadi, walaupun anda mengalami beberapa gejala ini, ia tidak semestinya bermakna bahawa anda hamil. Satu-satunya cara untuk memastikannya adalah dengan melakukan ujian kehamilan. Beberapa gejala yang boleh dialami termasuklah:

 

  • Pendarahan sedikit dan Kekejangan

Selepas permulaan kehamilan, telur yang disenyawakan akan melekat pada dinding rahim. Ini boleh menyebabkan salah satu tanda awal kehamilan seperti pendarahan sedikit dan kadangkala, kekejangan. Ianya dipanggil pendarahan implan dan berlaku pada bila-bila masa dari enam sehingga 12 hari selepas telur disenyawakan.

Kekejangan tersebut juga boleh menyerupai kekejangan haid, jadi sesetengah wanita tersalah anggap akan kekejangan dan pendarahan itu sebagai tanda bagi permulaan haid mereka. Namun, pendarahan dan kekejangan yang dialami tidak begitu serius.

Selain daripada pendarahan, seorang wanita mungkin menyedari keputihan yang keluar dari farajnya. Hal ini berkaitan dengan penebalan dinding faraj, yang bermula hampir serta-merta selepas tempoh awal kehamilan. Peningkatan pertumbuhan sel-sel yang melapisi faraj juga boleh menyebabkan keputihan.

Pengeluaran ini yang boleh berterusan sepanjang kehamilan, biasanya tidak berbahaya dan tidak memerlukan rawatan. Namun, jika terdapat bau busuk yang dikaitkan dengan pengeluaran ini atau rasa terbakar dan gatal-gatal yang serius, beritahu hal ini kepada doktor supaya mereka boleh memeriksa sama ada anda mempunyai jangkitan yis atau bakteria.

 

 

  • Perubahan Payudara

Perubahan payudara adalah satu lagi tanda awal kehamilan. Tahap hormon wanita berubah dengan cepat pada awal kehamilan. Disebabkan perubahan ini, payudara mungkin menjadi bengkak, sakit atau rasa menyengat selama satu atau dua minggu kemudian. Selain itu, payudara mungkin berasa lebih berat, penuh atau lembut apabila disentuh. Kawasan di sekitar puting, yang dipanggil areola juga mungkin menjadi gelap.

Faktor-faktor lain juga boleh menyebabkan perubahan pada payudara. Namun, jika perubahan adalah gejala awal bagi kehamilan, perlu diingatkan bahawa beberapa minggu akan diperlukan agar payudara dapat membiasakan diri dengan tahap hormon yang baru. Apabila ia berlaku, kesakitan pada payudara sepatutnya akan berkurangan.

 

  • Keletihan

Rasa letih adalah suatu yang sangat normal semasa kehamilan dan bermula dari awal kehamilan. Seorang wanita boleh mula berasa terlalu lelah seminggu selepas hamil. Ia dikatakan berlaku kerana tahap hormon yang tinggi dipanggil progesteron, walaupun hal-hal lain seperti tahap gula dalam darah rendah, tekanan darah lebih rendah serta peningkatan pengeluaran darah juga boleh menyumbang kepada keletihan.

Jika keletihan berkaitan dengan kehamilan, ianya penting agar individu wanita mendapatkan rehat yang banyak. Makan makanan yang kaya protein dan zat besi juga boleh membantu mengimbanginya.

 

 

  • Loya (Loya dan muntah waktu pagi)

Loya dan muntah waktu pagi adalah gejala kehamilan yang terkenal. Namun, tidak semua wanita hamil mengalaminya.

Penyebab sebenar loya dan muntah pada waktu pagi masih tidak diketahui tetapi hormon kehamilan mungkin boleh menyebabkan gejala ini. Loya semasa kehamilan juga boleh berlaku pada bila-bila masa terutamanya pada waktu pagi.

Selain itu, ada juga sesetengah wanita yang mengidam, atau tidak tahan terhadap makanan tertentu ketika hamil. Hal ini juga berkaitan dengan perubahan hormon. Kesannya boleh menjadi sangat kuat hinggakan makanan kegemaran biasa juga boleh memberi kesan pada perut wanita hamil.

Terdapat juga kemungkinan bahawa loya, mengidam dan rasa tidak tahan pada makanan tertentu boleh berlaku selama keseluruhan tempoh kehamilan. Mujurlah, gejala ini semakin berkurangan bagi kebanyakan wanita pada minggu ke-13 atau      ke-14 kehamilan mereka.

Sementara itu, pastikan anda makan makanan yang sihat supaya anda dan janin mendapatkan nutrien yang penting. Anda juga boleh mendapatkan nasihat dengan doktor.

 

  • Terlepas Tempoh Haid

Gejala awal yang paling jelas semasa kehamilan dan yang mendorong kebanyakan wanita untuk mendapatkan ujian kehamilan adalah apabila tempoh haid mereka terlepas. Namun, tidak semua keadaan ini berlaku disebabkan kehamilan.

Malah, wanita juga boleh mengalami beberapa pendarahan semasa mengandung. Sekiranya anda hamil, bertanyakan doktor anda tentang apa yang perlu anda ketahui dengan pendarahan tertentu. Contohnya, bilakah pendarahan dikira sebagai normal dan bilakah ia dikira sebagai tanda kecemasan?

Ada juga sebab lain selain kehamilan seperti kenaikan berat badan atau penurunan berat badan yang melampau. Masalah hormon, keletihan atau tekanan juga boleh menyebabkan perkara ini. Di samping itu, sesetengah wanita terlepas tempoh haid ketika mereka berhenti mengambil pil kawalan kelahiran. Jika tempoh haid terlambat kerana anda berkemungkinan untuk hamil, lakukan ujian kehamilan dengan segera.

 

  • Gejala-gejala Awal Kehamilan lain

Kehamilan boleh menyebabkan perubahan dalam keseimbangan hormon anda. Hal itu boleh menyebabkan gejala lain termasuklah:

 

  • Kencing yang kerap. Bagi kebanyakan wanita, gejala ini bermula sekitar minggu ke-6 atau ke-8 selepas awal kehamilan. Walaupun ini boleh berlaku disebabkan jangkitan saluran kencing, diabetes atau penggunaan diuretik, jika anda mengandung, ia kemungkinan besar disebabkan oleh tahap hormon.
  • Sembelit. Semasa kehamilan, tahap hormon progesteron yang lebih tinggi boleh membuatkan anda sembelit. Progesteron menyebabkan makanan melalui usus anda dengan lebih perlahan. Bagi meringankan masalah ini, minum banyak air, bersenam dan makan banyak makanan dengan kandungan serat yang tinggi.
  • Perubahan emosi. Ini adalah perkara biasa yang berlaku terutamanya semasa trimester pertama. Hal ini juga berkaitan dengan perubahan hormon.
  • Sakit kepala dan sakit belakang. Banyak wanita hamil melaporkan kerap mengalami sakit kepala dan sakit belakang.
  • Pening dan pengsan. Ini mungkin berkaitan dengan saluran darah yang meluas, tekanan darah lebih rendah dan kadar gula dalam darah yang lebih rendah.

 

Kesakitan Biasa Semasa Kehamilan, Penyebab Kehamilan dan Tanda-tanda Kelahiran

Anda akan mengalami pelbagai ketidakselesaan semasa kehamilan yang mana ada yang berlaku secara singkat dan ada juga terjadi secara kekal. Di samping itu, ada yang mungkin berlaku pada minggu awal kehamilan, sementara yang lain pula muncul hampir dengan masa bersalin. Tanda-tanda lain juga mungkin kelihatan pada tempoh awal kehamilan dan kemudian hilang, namun boleh berulang selepas itu.

Kehamilan bagi setiap wanita adalah unik, jadi anda mungkin tidak mengalami semua perubahan yang diterangkan dalam artikel ini. Seperti biasa, jika anda melihat apa-apa perubahan yang membimbangkan, berjumpa doktor dengan segera. Kesakitan yang disenaraikan di bawah ini pula dianggap sebagai bahagian normal dalam tempoh kehamilan.

 

– Perubahan payudara semasa kehamilan

Kebanyakan wanita hamil akan merasakan beberapa perubahan dalam payudara mereka.  Payudara anda akan membesar kerana kelenjar susu dan tisu lemak membesar menyebabkan payudara menjadi padu dan lembut. Ini biasanya berlaku semasa beberapa bulan pertama dan terakhir kehamilan. Vena yang kebiruan mungkin juga muncul sebagai tanda kenaikan bekalan darah. Di samping itu, puting susu juga boleh menjadi gelap dan kadangkala cecair tebal yang dipanggil kolostrum mungkin keluar daripada payudara anda. Semua perubahan ini adalah perkara biasa dan berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan:

  • Pakai bra yang memberikan sokongan padu.
  • Pilih bra kapas atau yang diperbuat daripada gentian semulajadi.
  • Dapatkan bra yang lebih besar kerana payudara anda menjadi lebih besar dan penuh. Payudara anda perlu padan dengan baik tanpa menyakitkan puting anda. Cuba bra kehamilan atau bra untuk menyusukan bayi, yang memberikan lebih banyak sokongan dan boleh digunakan selepas hamil jika anda memilih untuk meneruskan penyusuan badan.
  • Cuba pakai bra pada waktu malam.
  • Masukkan sapu tangan kapas atau kain kasa (gauze) ke dalam setiap cawan (cup) bra untuk menyerap cecair yang bocor. Anda juga boleh membeli pad penyusuan di kedai ubat atau kedai bersalin/ bayi yang sesuai dengan bra anda. Pastikan untuk menukar pad ini seperti yang diperlukan supaya kulit anda tidak gatal.
  • Basuh payudara anda dengan air suam dan sabun lembut yang tidak menyebabkan kekeringan.

– Keletihan semasa kehamilan

Rasa letih mungkin berlaku kerana bayi anda yang semakin membesar memerlukan tenaga tambahan. Kadangkala, ini adalah tanda anemia (zat besi rendah dalam darah) yang biasa berlaku semasa mengandung.

Cadangan:

  • Dapatkan banyak rehat; tidur awal dan tidur sekejap pada waktu siang.
  • Pastikan jadual anda teratur jika boleh.
  • Tenangkan diri. Seimbangkan antara aktiviti dan waktu rehat anda.
  • Lakukan latihan sederhana setiap hari bagi meningkatkan tahap tenaga anda.

Bertanyakan pada pusat penjagaan kesihatan untuk menguji darah secara rutin bagi tujuan mengesan anemia.

 

– Mual atau muntah semasa kehamilan

Ini sangat biasa berlaku dan ianya adalah biasa untuk merasakan sakit perut ketika mengandung.

Anggaplah ia sebagai satu perubahan hormon ketika tempoh kehamilan. Simptom ini biasanya berlaku pada awal kehamilan kerana badan anda sedang menyesuaikan diri dengan tahap hormon yang lebih tinggi.

Berita baik: Mual biasanya hilang pada bulan keempat kehamilan (walaupun dalam sesetengah kes, ia dapat bertahan sepanjang kehamilan). Ia boleh berlaku pada bila-bila masa tetapi mungkin lebih buruk pada waktu pagi, ketika perut anda kosong (oleh sebabnya ia disebut “sakit pagi”) atau jika anda tidak cukup makan.

  • Jika rasa mual menjadi satu masalah pada waktu pagi, makan makanan kering seperti bijirin, roti bakar atau biskut sebelum bangun dari katil. Cuba makan makanan ringan yang tinggi protein seperti daging tanpa lemak atau keju sebelum tidur (protein mengambil masa lebih lama untuk dicerna).
  • Jika anda berasa lapar tetapi sangat mual, cuba diet BRAT (pisang, beras dan teh) serta makanan yang lembut.
  • Getah tangan (seabands) anti-mual boleh menawarkan keselesaan kepada wanita hamil.
  • Pengambilan halia boleh mengurangkan gejala loya.
  • Makan makanan dalam kadar kecil atau makanan ringan setiap dua hingga tiga jam berbanding tiga makanan dalam kuantiti yang banyak. Makan dengan perlahan dan kunyah makanan anda sepenuhnya.
  • Minum air sepanjang hari. Elakkan jumlah cecair yang banyak pada satu masa. Cuba jus buah yang sejuk dan ketara seperti jus epal atau anggur.
  • Elakkan pengambilan makanan pedas, bergoreng atau berminyak.
  • Jika anda terganggu dengan bau yang kuat, makan makanan sejuk atau pada suhu bilik untuk meminimumkan atau mengelakkan bau itu.
  • Berbincang dengan doktor anda tentang pengambilan vitamin B6. Rawatan semula jadi dan preskripsi ubat-ubatan lain boleh membantu anda.
  • Hubungi pusat penjagaan kesihatan jika anda selalu muntah atau berada dalam keadaan sangat serius sehingga tidak boleh menyimpan cecair atau makanan dalam badan. Ini boleh menyebabkan dehidrasi dan harus dirawat dengan segera.

 

– Kencing dengan kerap semasa kehamilan

Rahim yang membesar dan bayi anda akan menambah tekanan pada pundi kencing, menyebabkan anda kerap membuang air kencing semasa trimester pertama. Hal ini akan berlaku sekali lagi pada trimester ketiga, apabila kepala bayi turun ke dalam pelvis sebelum dilahirkan.

Cadangan:

  • Jangan pakai seluar dalam, seluar, atau stoking dalam yang ketat.
  • Jika air kencing anda rasa seperti terbakar atau disengat, ia boleh menjadi tanda jangkitan saluran kencing. Hubungi pusat penjagaan kesihatan anda dengan segera untuk merawat keadaan ini

– Sakit kepala semasa kehamilan

Sakit kepala boleh berlaku pada bila-bila masa semasa kehamilan. Ia boleh terjadi disebabkan ketegangan, kesesakan, sembelit atau dalam beberapa kes, kerana ‘preeclampsia’ (dikesan selepas 20 minggu).

Cadangan:

  • Letakkan pek ais di dahi atau belakang leher anda.
  • Berehat, duduk atau berbaring dengan tenang di dalam bilik yang kurang terang. Tutup mata dan cuba untuk rehatkan bahagian belakang, leher dan bahu anda.
  • Ubat Acetaminofen seperti Tylenol boleh membantu. Namun, jika sakit kepala anda tidak hilang, semakin serius, membuatkan anda loya, atau menjejaskan penglihatan anda, beritahu doktor dengan segera.

 

– Pendarahan dan gusi bengkak semasa kehamilan

Anda mungkin tidak jangka bahawa kehamilan boleh menjejaskan mulut anda. Namun, peredaran darah dan tahap hormon boleh membuatkan gusi anda lembut dan bengkak. Anda juga mungkin melihat mereka berdarah dengan lebih mudah. Selain itu, ibu mengandung juga boleh mengalami pendarahan hidung.

Cadangan:

  • Dapatkan pemeriksaan pergigian pada awal kehamilan untuk memastikan gigi dan mulut anda sihat. Berjumpa dengan doktor gigi jika anda melanda masalah tertentu.
  • Berus gigi, flos secara berkala dan bilas setiap hari dengan ubat kumur antiseptik.

– Sembelit semasa kehamilan

Sembelit boleh berlaku semasa kehamilan kerana beberapa sebab.

Hormon, serta vitamin dan suplemen zat besi, boleh menyebabkan sembelit (kesukaran melepaskan najis atau laluan najis yang tidak lengkap atau jarang). Tekanan pada rektum dari rahim anda juga boleh menyebabkan sembelit.

Cadangan:

  • Tambah lebih banyak serat (seperti makanan bijirin, buah-buahan segar dan sayur-sayuran) dalam diet anda.
  • Minum banyak cecair setiap hari (sekurang-kurangnya 6-8 gelas air dan 1-2 gelas jus buah atau prun).
  • Minum cecair panas, terutamanya pada waktu pagi.
  • Lakukan senaman harian.
  • Elakkan meneran apabila anda mempunyai pergerakan usus.
  • Bincangkan penggunaan laksatif atau pelembut najis dengan pusat penjagaan kesihatan anda.

 

Diagnosis dan Rawatan Kehamilan dan Tanda-tanda Kelahiran

Apabila anda hamil, anda boleh mengalami keadaan yang membuatkan tekanan darah terlalu tinggi, walaupun ianya normal sebelum ini. Keadaan ini dipanggil ‘preeclampsia’ dan ia boleh menyebabkan  hati, buah pinggang dan organ lain dalam badan anda untuk tidak bekerja dengan cara yang sepatutnya. Tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan keadaan yang lebih serius dipanggil eklamsia. Seterusnya, dalam kes yang jarang berlaku, eklamsia boleh membawa maut pada anda dan bayi anda.

Proses bersalin adalah ubat bagi masalah ‘preeclampsia’. Namun, ia boleh dirawat jika dikesan lebih awal. Itulah salah satu sebab mengapa ianya sangat penting untuk mendapatkan pemeriksaan yang kerap sepanjang kehamilan dan juga selepas bersalin. Kebanyakan wanita dengan kedua-dua keadaan ini mempunyai bayi yang sihat.

 

Faktor-faktor Risiko Kehamilan dan Tanda-tanda Kelahiran

Kadangkala, ibu atau bayi boleh mengalami masalah kesihatan semasa tempoh kehamilan. Penjagaan dan ujian pranatal yang baik boleh mencegah, mengesan dan mengawal komplikasi kehamilan seperti:

  1. Pendarahan semasa kehamilan.
  2. Kencing manis semasa mengandung.
  3. Pemisahan perut.
  4. ‘Preeclampsia’ dan Eklamsia.
  5. Rehat di atas katil.
  6. Kelahiran pramatang.
  7. Gejala-gejala keguguran.
  8. Kehamilan ektopik.
  9. Uri Previa.

 

 

SUMBER

https://www.webmd.com/baby/labor-signs

https://www.pregnancybirthbaby.org.au/labour-the-signs-and-stages

https://www.marchofdimes.org/pregnancy/contractions-and-signs-of-labor.aspx

https://www.parents.com/pregnancy/giving-birth/signs-of-labor/early-labor-checklist

Summary
Kehamilan dan Tanda-tanda Kelahiran (Pregnancy and Signs of Labour) - Simptom, Jenis kesakitan, Diagnosis dan Faktor Risiko
Article Name
Kehamilan dan Tanda-tanda Kelahiran (Pregnancy and Signs of Labour) - Simptom, Jenis kesakitan, Diagnosis dan Faktor Risiko
Description
Kehamilan akan mengubah badan, emosi dan kehidupan anda.Tidak semua wanita mempunyai gejala yang sama atau mengalami gejala yang sama.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: