kecederaan otak yang parah
Koma merupakan sesuatu keadaan tidak sedarkan diri yang berpanjangan.

Koma merupakan sesuatu keadaan tidak sedarkan diri yang berpanjangan. Semasa koma, seseorang tidak bertindak balas terhadap persekitarannya. Dia masih hidup dan kelihatan seperti sedang tidur. Walau bagaimanapun, tidak seperti tidur yang mendalam, individu ini tidak dapat dikejutkan oleh sebarang rangsangan, termasuklah rasa sakit akibat kecederaan otak yang parah.  

Simptom Kecederaan otak yang parah

Semasa koma, seseorang tidak boleh berkomunikasi, jadi diagnosis yang dibuat adalah berdasarkan tanda-tanda luar.

Ini termasuk:

  • Mata tertutup.
  • Anggota badan yang tidak bertindak balas atau bergerak secara sukarela, kecuali pergerakan refleks.
  • Kekurangan tindak balas kepada rangsangan yang menyakitkan, kecuali pergerakan refleks.

Berapa lama masa yang diperlukan untuk berkembang, dan berapa lama ia akan berterusan, bergantung kepada punca lain yang berlaku.

Sebelum berada dalam keadaan koma, seseorang yang mengalami peningkatan hipoglikemia (gula darah rendah), atau ‘hipercapnia’ (paras CO2 darah yang lebih tinggi), contohnya akan mengalami gangguan ringan terlebih dahulu. Tanpa rawatan, keupayaan mereka untuk berfikir dengan jelas akan kurang secara beransur-ansur. Akhirnya, mereka akan hilang kesedaran secara penuh. 

Sekiranya koma berpunca daripada kecederaan serius pada otak atau pendarahan ‘subarachnoid’, gejala mungkin muncul secara tiba-tiba.

Sesiapa yang bersama dengan pesakit ini harus cuba mengingati apa yang berlaku sebelum koma terjadi, kerana maklumat ini akan membantu menentukan punca kejadian dan memberikan gambaran yang lebih baik tentang rawaran apa yang diperlukan.

Mengenal pasti gejala

Responder pertama boleh bermula dengan menggunakan skala AVPU dan cuba untuk mengukur tahap kesedaran.

Skala AVPU akan melihat pada perkara berikut:

  • Kepekaan: Apakah tahap kepekaan individu tersebut?
  • Rangsangan vokal: Adakah mereka bertindak balas terhadap suara orang lain?
  • Rangsangan kesakitan: Adakah mereka bertindak balas terhadap kesakitan?
  • Tidak sedarkan diri: Adakah mereka sedar?

Kepekaan adalah keadaan paling sedar, dan keadaan tidak sedarkan diri adalah sebaliknya. Aspek ini akan membantu pakar perubatan menilai sama ada ini berkemungkinan merupakan suatu kecemasan atau tidak. Jika individu tersebut masih peka, maka tiadalah risiko berlakunya koma.

Di hospital, doktor boleh menggunakan skala koma Glasgow (GCS) untuk menilai keadaan orang dengan lebih terperinci.

Punca Kecederaan otak yang parah

Koma terjadi disebabkan kecederaan pada otak. Kecederaan otak pula boleh berlaku kerana peningkatan tekanan, pendarahan, kehilangan oksigen atau pembentukan toksin. Kecederaan ini boleh bersifat sementara dan boleh diterbalikkan atau boleh juga kekal. Lebih daripada 50% kejadian koma adalah berkaitan dengan kecederaan kepala atau gangguan dalam sistem peredaran darah otak. Masalah yang boleh menyebabkan koma termasuk:   

  • Kecederaan: Kecederaan kepala boleh menyebabkan otak membengkak dan/ atau pendarahan. Apabila otak membengkak akibat kecederaan, bendalir akan menolak bertentangan dengan tengkorak. Pembengkakan ini akhirnya boleh menyebabkan otak menolak batang otak, yang kemudian boleh merosakkan RAS (Sistem Pengaktifan Retikular) iaitu sebahagian daripada otak yang bertanggungjawab bagi perasaan ghairah dan kesedaran.   
  • Pembengkakan: Tisu otak yang bengkak boleh berlaku walaupun tanpa tekanan. Kadangkala, kekurangan oksigen, ketidakseimbangan elektrolit atau hormon boleh menyebabkan masalah pembengkakan.
  • Pendarahan: Pendarahan di lapisan otak boleh menyebabkan koma kerana bengkak dan mampatan pada bahagian otak yang cedera. Mampatan ini menyebabkan otak beralih, menyebabkan kerosakan pada batang otak dan RAS (disebutkan di atas). Tekanan darah tinggi, aneurisma serebrum dan tumor adalah punca yang menyebabkan pendarahan tidak traumatik di otak. 
  • Strok: Apabila tiada aliran darah ke bahagian utama batang otak atau kehilangan darah yang terjadi sekali dengan pembengkakan, koma boleh berlaku.    
  • Gula dalam darah: Bagi pesakit kencing manis, koma boleh berlaku apabila paras gula darah tetap tinggi. Itulah keadaan yang dikenali sebagai hiperglikemia. Manakala, hipoglisemia atau gula darah yang terlalu rendah juga boleh menyebabkan koma. Jenis koma ini biasanya boleh diterbalikkan sebaik sahaja kadar gula dalam darah diperbetulkan.     
  • Kekurangan oksigen: Oksigen adalah penting untuk fungsi otak. Serangan jantung boleh menyebabkan pecahan aliran darah dan oksigen secara tiba-tiba ke otak. Ini dikenali sebagai hipoksia atau anoksia. Selepas pernafasan kardiopulmonari (CPR), individu yang terselamat daripada serangan jantung biasanya akan koma. Kekurangan oksigen juga boleh berlaku kerana lemas atau tercekik. 
  • Jangkitan: Jangkitan sistem saraf pusat, seperti meningitis atau ensefalitis juga boleh menyebabkan koma.    
  • Toksin: Bahan-bahan yang biasanya dijumpai di dalam badan boleh berkumpul ke tahap toksik jika badan tidak membuangnya dengan betul. Sebagai contoh, ammonia yang terjadi disebabkan penyakit hati, karbon dioksida daripada serangan asma yang teruk atau urea daripada kegagalan buah pinggang boleh berkumpul ke tahap toksik di dalam badan. Dadah dan alkohol dalam kuantiti yang banyak juga boleh mengganggu fungsi neuron di otak.        
  • Sawan: Satu serangan sawan jarang menyebabkan koma. Tetapi, serangan berterusan dipanggil ‘status epilepticus’ boleh terjadi. Seterusnya, kejadian stawan berulang dapat menghalang otak daripada sembuh di antara tempoh kejadian sawan. Ini akan menyebabkan ketidaksedaran dan koma yang berpanjangan.

Diagnosis Kecederaan otak yang parah

Sejarah perubatan dan sejarah terbaru, ujian darah, ujian fizikal dan imbasan pengimejan boleh membantu mengetahui punca kejadian koma. Ini secara tiadk langsung akan membantu menentukan rawatan mana yang akan dilakukan.

Rawatan Kecederaan otak yang parah

Koma adalah satu keadaan kecemasan perubatan. Doktor akan mula memeriksa laluan udara individu yang terjejas dan membantu mengekalkan pernafasan (respirasi) dan peredaran darah mereka. Selain itu, doktor boleh memberi bantuan pernafasan, pemindahan darah dan penjagaan sokongan.

Pihak perubatan juga boleh memberikan glukos atau antibiotik secara intravena, bahkan sebelum keputusan ujian darah diketahui, sekiranya kejutan diabetes atau jangkitan telah memberi kesan kepada otak.

Rawatan yang dilakukan adalah berbeza bergantung kepada punca yang menyebabkan kejadian koma itu. Prosedur atau ubat-ubatan untuk melegakan tekanan ke atas otak kerana pembengkakakan otak mungkin diperlukan.

Jika koma terjadi kerana dos ubat-ubatan yang terlebih, doktor akan memberi ubat untuk merawat keadaan tersebut. Namun, jika ia berlaku kerana sawan, doktor akan memberikan ubat-ubatan untuk mengawal sawan.

Rawatan lain mungkin memberi tumpuan kepada ubat-ubatan atau terapi untuk menangani penyakit lain, seperti diabetes atau penyakit hati.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/traumatic-brain-injury/symptoms-causes/syc-20378557

https://www.healthline.com/health/head-injury

https://www.nhs.uk/conditions/severe-head-injury

Summary
Kecederaan otak yang parah (Severe brain injury) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Article Name
Kecederaan otak yang parah (Severe brain injury) - Simptom, Punca, Diagnosis dan Rawatan
Description
Kecederaan otak boleh berlaku kerana peningkatan tekanan, pendarahan, kehilangan oksigen atau pembentukan toksin.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: