kebas dan kesemutan
Kebas adalah sensasi yang hilang, kurang atau berubah pada bahagian badan anda.

Pengenalan

Kebas dan kesemutan boleh disebabkan oleh beberapa perkara seperti duduk atau berdiri terlalu lama, kaki berlipat dan ubat-ubatan tertentu. Kebas adalah sensasi yang hilang, kurang atau berubah pada bahagian badan anda. Anda mungkin mendapati anda kurang atau tidak merasa apa- apa apabila menyentuh sesuatu dengan tangan anda atau dalam satu  anggota badan anda. Anda juga mungkin merasakan seolah-olah anggota badan anda sedang “tidur” bersama sensasi seperti menyucuk.

Kebas pada bahagian muka, badan atau kaki adalah salah satu simptom awal Sklerosis Berbilang yang paling biasa berlaku. Kebas boleh menjadi ringan atau sangat parah sehingga ia mengganggu kemampuan anda untuk menggunakan bahagian tubuh yang terjejas. Sebagai contoh, jika kaki anda kebas dan tidak dapat merasakan lantai,anda mungkin mengalami kesukaran untuk  berjalan. Kebas di bahagian tangan pula boleh menyukarkan anda untuk menulis, memakai pakaian atau memegang sesuatu objek dengan selamat.

Sekiranya anda mengalami kebas di muka yang teruk, anda harus berhati-hati ketika makan atau mengunyah makanan, kerana anda mungkin tergigit bahagian dalam mulut atau lidah anda. Sekiranya anda mengalami kebas pada bahagian badan yang lain, anda harus berhati-hati di sekitar api, air panas dan sumber haba yang lain kerana kulit anda mungkin melecur tanpa anda menyedarinya.

Tiada ubat untuk melegakan kebas. Namun begitu, mujurla kebanyakan kes kebas tidak melumpuhkan anggota badan anda dan simptom ini cenderung datang dan pergi. Dalam sesetengah kes kebas yang teruk yang dikaitkan dengan Sklerosis Berbilang yang berulang, doktor anda mungkin menetapkan ubat kortikosteroid untuk mempercepatkan kadar pemulihan.

Penyebab yang berkemungkinan

Banyak perkara yang boleh menyebabkan rasa kebas dan kesemutan, termasuklah ubat-ubatan tertentu.

Malah, aktiviti harian yang anda lakukan setiap hari kadangkala boleh juga menyebabkan rasa kebas, termasuklah duduk atau berdiri di satu tempat dalam waktu yang lama, duduk dengan kaki anda berlipat atau tidur dengan meletakkan kepala di atas lengan anda.

Kebiasaannya, sebaik sahaja anda bergerak, kebas akan menjadi lebih baik.

Terdapat banyak keadaan yang boleh menyebabkan anda berasa kebas dan kesemutan, seperti:

  • Gigitan serangga atau haiwan
  • Toksin yang terdapat dalam makanan laut
  • Tahap vitamin B-12, kalium, kalsium atau natrium yang tidak normal
  • Terapi radiasi
  • Ubat-ubatan, terutamanya kemoterapi

Kadangkala, kecederaan tertentu boleh mengakibatkan rasa kebas atau kesemutan, seperti saraf yang cedera di leher atau slipped disk di tulang belakang anda.

Tekanan pada saraf adalah punca biasa bagi kebas dan kesemutan. Penyakit seperti Sindrom terowong Carpal, tisu parut, pembesaran saluran darah, jangkitan, atau tumor boleh menyebabkan tekanan pada saraf, begitu juga dengan keradangan, pembengkakan saraf tunjang atau otak.

Kerosakan pada kulit akibat ruam, keradangan, atau kecederaan adalah satu lagi sebab untuk kebas atau kesemutan. Keadaan yang boleh menyebabkan kerosakan jenis ini termasuk radang dingin dan cacar (ruam yang menyakitkan yang disebabkan oleh virus cacar air).

Sesetengah penyakit menghasilkan rasa kebas atau kesemutan sebagai gejala. Contoh-contoh penyakit ini termasuk:

  • Kencing manis
  • Neuropati
  • Migrain
  • Fenomena Raynaud
  • Sklerosis berbilang
  • Serangan strok atau serangan iskemia sementara (strok mini)
  • Kejang
  • Pengerasan arteri
  • Tiroid yang tidak aktif (hypothyroidism, thyroiditis Hashimoto)

Bila perlu menghubungi  doktor

Berjumpalah dengan doktor anda jika simptom kebas atau kesemutan anda adalah berterusan atau berlaku  tanpa sebab yang jelas, atau jika ia melibatkan mana-mana simptom berikut:

  • Keletihan
  • Masalah penglihatan
  • Kelemahan otot dan kekejangan
  • Masalah pundi kencing dan usus
  • Kesakitan
  • Kebimbangan yang melampau
  • Sakit belakang atau leher
  • Pengurangan selera makan

Individu yang mengalami simptom-simptom tertentu yang disertai dengan rasa kebas dan kesemutan mungkin memerlukan rawatan perubatan kecemasan. Simptom-simptom tersebut termasuklah:

• Simptom berlaku pada satu sisi badan

• Kekeliruan, mempunyai masalah untuk bercakap atau ucapan yang gagap

• Sakit dada

• Sakit kepala yang teruk

• Demam tiba-tiba

• Kejang

• Pening dan muntah

• Leher yang tegang

• Kepekaan terhadap cahaya

• Kulit pucat atau kekuningan

• Denyutan jantung yang tidak teratur

Apa yang boleh diharapkan di klinik

Untuk mendiagnosis penyebab kebas dan kesemutan, doktor akan mengkaji sejarah perubatan anda, melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanyakan soalan mengenai simptom yang dialami. Kemudian, beliau akan menjalankan ujian makmal seperti ujian darah untuk mengesahkan atau menolak penyebab kemungkinan yang lain.

Dalam sesetengah kes, doktor akan melakukan ujian lanjut seperti MRI atau ujian pengimejan lain. Kajian elektromilografi dan saraf juga boleh membantu menilai tahap dan jenis kerosakan saraf, terutamanya apabila neuropati menyebabkan kesemutan.

Rawatan

Rawatan untuk kebas dan kesemutan bergantung kepada puncanya.

Sklerosis Berbilang

Simptom kebas yang berkaitan dengan Sklerosis Berbilang biasanya tidak berbahaya dan tidak menyakitkan.

Ubat seperti Niacin, vitamin B kompleks, boleh membantu mengurangkan simptom yang berkaitan.

Dalam kes kebas yang teruk atau menyakitkan, rawatan mungkin melibatkan suntikan kortikosteroid, yang mempercepatkan pemulihan dengan mengurangkan keradangan.

Ubat-ubatan yang direka untuk merawat keadaan yang berbeza juga boleh membantu mengurangkan rasa kebas dan kesemutan yang berkaitan dengan Sklerosis Berbilang, seperti:

  • Gabapentin
  • Pragabalin
  • Carbamazepine
  • Phenytoin
  • Amitriptyline, imipramine, dan nortriptyline

Sebab-sebab lain

Terdapat beberapa pelan rawatan yang berbeza dapat membantu mengurangkan atau mengendalikan rasa kebas dan kesemutan yang tidak berkaitan dengan Sklerosis Berbilang seperti:

  • Strok. Pengambilan ubat-ubatan untuk merawat darah beku bagi strok iskemia (dalam masa 3 jam simptom pertama) atau menjalani prosedur pembedahan atau endovaskular bagi strok hemoragik.
  • Myelitis melintang. Pengambilan ubat tahan sakit, antiviral, intravena immunoglobulin atau terapi pertukaran plasma.
  • Meningitis. Pengambilan antibiotik, antikonvulsan dan kortikosteroid.
  • Tumor. Menjalani pembedahan, terapi radiasi, kemoterapi dan terapi ubat-ubatan lain.
  • Neuropati diabetes. Melakukan aktiviti fizikal, mengamalkan diet sihat, mengikuti rancangan rawatan diabetes, memeriksa kaki setiap hari untuk mengesan perubahan dan menjalani ujian kaki biasa.
  • Terowong Carpal. Memakai alat penyokong pergelangan tangan, pengambilan ubat tahan sakit, menjalani latihan luncuran saraf atau pembedahan serta mengelakkan dari melakukan aktiviti yang mencetus simptom.
  • Anemia toksik (pernicious anemia). Suntikan vitamin B12, pil atau gel hidung atau semburan.
  • Hypokalsemia dan hypomagnesemia. Pengambilan infusi atau suplemen, perubahan diet, menjauhkan diri daripada pencetus simptom.

SUMBER

https://www.nationalmssociety.org/Symptoms-Diagnosis/MS-Symptoms/Numbness

https://www.medicalnewstoday.com/articles/326062.php#treatment

https://www.healthline.com/health/numbness-and-tingling#treatment

Summary
Kebas dan Kesemutan (Numbness and Tingling)
Article Name
Kebas dan Kesemutan (Numbness and Tingling)
Description
Kebas dan Kesemutan boleh disebabkan oleh beberapa perkara seperti duduk atau berdiri terlalu lama, kaki berlipat dan ubat-ubatan tertentu.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: