Kebaikan dan Keburukan Meminum Air Ais
Terdapat percanggahan pendapat tentang suhu air yang terbaik ketika kita mengambilnya.

Kekal hidrat sangat penting untuk kesihatan kita, tetapi terdapat percanggahan pendapat tentang suhu air yang terbaik ketika kita mengambilnya. Malah, ada yang mempercayai bahawa meminum air sejuk boleh memberi kesan buruk kepada badan.

Kepercayaan ini berdasarkan idea bahawa minum air ais akan mengecutkan perut dan menjadikannya lebih sukar untuk mencerna makanan setelah makan. Sebilangan individu juga percaya bahawa badan anda harus bekerja lebih keras untuk mengekalkan suhu dalaman 98.6 °F (37 °C) jika anda minum air yang hampir dengan suhu ais, atau kurang dari 36 °F (4 °C).

Tetapi, adakah ia benar kerana terdapat juga pendapat bahawa minum air ais ini boleh memberi manfaat tertentu kepada badan kita? Jadi, jom teruskan membaca untuk mengetahui faedah dan keburukan yang boleh berlaku kerana pengambilan air ais.

Kebaikan Minum Air Ais

Minum air ais sememangnya mempunyai kebaikannya tersendiri. Ini merangkumi:

1. Boleh meningkatkan prestasi dan daya tahan seseorang

Air sejuk adalah rakan senaman yang sangat baik. Tinjauan terhadap beberapa kajian menunjukkan bahawa individu yang minum sekitar 50 peratus lebih banyak air ais atau sejuk berbanding air suam ketika mereka bersenam. Ini justeru mengakibatkan kurang masalah dehidrasi. Malah, kajian lain pula menunjukkan bahawa individu yang bersenam dalam cuaca panas dan lembap mengalami kenaikan suhu badan secara beransur-ansur ketika mereka minum ais atau air sejuk berbanding air suam.

2. Membantu dalam penurunan berat badan

Walaupun beberapa kajian menunjukkan bahawa minum lebih banyak air dapat membantu tubuh membakar kalori lebih banyak, nampaknya ada sedikit perbezaan antara minum air sejuk dan air pada suhu bilik. Menurut sebuah artikel yang diterbitkan dalam majalah ‘Active’, para pengkaji Jerman baru-baru ini mendapati bahawa minum 6 cawan air ais sehari (kira-kira 48 oz.) dapat meningkatkan metabolisme ketika rehat sebanyak kira-kira 50 kalori setiap hari. Ini adalah sama banyaknya dengan jumlah yang anda bakar jika anda berjalan selama 15 minit. Sebabnya adalah jelas kerana badan anda harus bekerja lebih agresif untuk mengekalkan suhu dalaman, dan semasa melakukannya, ia akan membakar lebih banyak gula dan lemak sehingga menyebabkan penurunan berat badan.

3. Menyahtoksin badan anda

Air sejuk berfungsi membuang toksin dari badan, jadi meminumnya dapat membantu mencegah pembentukan toksin dan memberi kesan negatif kepada sistem imun anda. Sekiranya anda dapat mengambil air biasa dengan begitu banyak, terdapat pelbagai cara untuk menikmatinya dengan tambahan perasa semula jadi. Tambahan pula, rasanya sangat enak dan membantu anda detoks secara semula jadi!

4. Membantu badan kekal berwaspada

Air sejuk mengaktifkan deria di bawah kulit kita, yang kemudian meningkatkan kadar denyutan jantung dan menambah tekanan adrenalin untuk memberi kita perasaan gelisah dan hidup. Adrenalin membantu membuatkan anda berjaga-jaga dan bersedia secara mental. Penyelidikan telah membuktikan bahawa selain pengambilan kafein, minum air ais membantu anda untuk tetap berwaspada dan lebih fokus. Memiliki minda yang peka dengan pengeluaran adrenalin yang lebih baik, membawa kepada keputusan yang lebih cepat justeru meningkatkan kemahiran membuat keputusan anda.

5. Menggalakkan kulit yang bersinar

Kita semua berusaha untuk mendapatkan kulit yang bersinar, dan air ais ternyata dapat membantu. Selain hanya meminum air ais anda, pertimbangkan untuk memercikkan sedikit air ini di wajah anda untuk bersinar dengan seketika. Air sejuk menyebabkan darah mengalir ke permukaan kulit anda, memberikan anda cahaya yang sihat dan semula jadi.

Keburukan Minum Air Ais

Berikut adalah beberapa sebab mengapa anda harus beralih daripada pengambilan air sejuk ke air suhu bilik biasa:

1. Mengehadkan proses pencernaan

Pakar penyelidik mengatakan bahawa air ais boleh mengikat saluran darah anda, sehingga menyekat pencernaan. Ini juga menghalang proses semula jadi badan untuk menyerap nutrien semasa pencernaan. Fokus badan akan dialihkan daripada proses pencernaan kerana ia berusaha mengatur suhu badan dan suhu air, yang sebenarnya boleh menyebabkan kehilangan air dan membuatkan anda mengalami dehidrasi. Suhu normal badan adalah 37 °C, dan apabila anda mengambil sesuatu dengan suhu yang sangat rendah, tubuh akan cuba mengimbanginya dengan menghabiskan tenaga untuk mengatur suhu ini.

2. Menghalang pemecahan lemak

Pakar juga mengatakan bahawa jika anda minum air sejuk sejurus selepas makan, suhu sejuk akan menguatkan lemak daripada makanan yang baru anda makan, menjadikan badan anda sukar untuk memecahkan lemak tidak diingini di dalam badan anda. Justeru itu, ia tidak disarankan untuk minum air ais sejurus selepas makan. Anda disarankan untuk mengekalkan jarak antara 30 minit selepas makan sebelum anda minum air ais.

3. Boleh menyebabkan sakit tekak

Sebab lain yang sangat jelas mengapa minum air ais tidak baik buat anda adalah kerana berkemungkinan membuatkan anda mendapat sakit tekak dan hidung tersumbat. Meminum air ais, terutama setelah makan menghasilkan banyak lendir (mukosa pernafasan), yang membentuk lapisan pelindung saluran pernafasan. Apabila saluran itu menjadi sesak, ia mudah terdedah kepada banyak jangkitan dan mula meradang.

4. Menyebabkan ketidakseimbangan badan

Dalam perubatan Cina kuno, minum air ais bersama makanan panas dilihat boleh menyebabkan ketidakseimbangan. Biasanya, makanan dalam budaya Cina disajikan dengan air suam atau teh panas. Kepercayaan ini juga dicerminkan dalam beberapa budaya lain di seluruh dunia. Sebilangan orang berpendapat bahawa minum air ais pada hari yang panas tidak akan membantu anda menyejukkan badan. Namun, tiada kajian yang mencukupi untuk menyimpulkan sekiranya kepercayaan itu benar atau salah.

KESIMPULANNYA,

Sebilangan orang mungkin ingin mengelakkan minum air ais terutama ketika selesema atau demam, atau jika anda mempunyai keadaan kronik yang mengakibatkan pencernaan lebih perlahan. Tetapi, sementara beberapa budaya menganggap minum air ais sebagai risiko kesihatan yang signifikan bagi semua orang, tidak banyak bukti yang boleg menyokong tuntutan tersebut. Minum air suam sememangnya diketahui berfaedah buat badan kita.

Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna minum air ais itu tidak bermanfaat. Ternyata ia mempunyai faedah yang sama dengan minum air suhu bilik biasa iaitu mengekalkan badan daripada menjadi dehidrasi dan memberikan anda lebih banyak tenaga.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/325038

https://www.healthline.com/health/is-drinking-cold-water-bad-for-you

https://www.reddyice.com/blogs/detail/ID/15/5-health-benefits-of-drinking-cold-water

https://food.ndtv.com/food-drinks/why-you-shouldnt-drink-chilled-water-5-reasons-to-quit-the-habit-1686599

https://www.naomiwhittel.com/the-benefits-of-drinking-ice-cold-water/

Summary
Kebaikan dan Keburukan Meminum Air Ais
Article Name
Kebaikan dan Keburukan Meminum Air Ais
Description
Adakah ia benar kerana terdapat juga pendapat bahawa minum air ais boleh memberi manfaat tertentu kepada badan kita? Tetapi, bolehkah ia menyebabkan keburukan juga?
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: