shingles
Kayap biasanya hanya menjejaskan sebahagian kecil pada satu bahagian badan anda.

Kayap biasanya menjejaskan sebahagian kecil pada satu bahagian badan dan hanya menyerang individu yang pernah mendapat Cacar Air. Anda mungkin terfikir bahawa Kayap adalah sejenis jangkitan bukan? Sesiapa yang mengalaminya, selalunya pernah mendapat cacar air terlebih dahulu sebelum mendapat Kayap. Kedua-dua keadaan ini berpunca daripada virus sama, yang dipanggil sebagai varicella zoster.

Simptom Kayap

Tanda-tanda dan simptom biasanya hanya menjejaskan sebahagian kecil pada satu bahagian badan anda. Ia termasuklah:

  • Kesakitan, rasa terbakar, kebas atau kesemutan.
  • Sensitif terhadap sentuhan.
  • Ruam merah yang muncul beberapa hari selepas kesakitan bermula.
  • Lepuhan dalam bentuk cecair yang pecah dan berkerak.
  • Gatal-gatal.

Sesetengah individu juga mengalami:

  • Demam.
  • Sakit kepala.
  • Peningkatan sensitiviti terhadap cahaya.
  • Keletihan.

Kesakitan biasanya merupakan simptom pertama Kayap. Bagi sesetengah individu, ia boleh jadi sensasi menyengat. Bergantung pada lokasi kesakitan, kadangkala ia disalah anggap sebagai simptom kepada masalah yang mempengaruhi jantung, paru-paru atau buah pinggang. Manakala, sesetengah individu hanya mengalami sakit pinggang sahaja tanpa kemunculan ruam.

Seterusnya, ruam Kayap biasanya berkembang seperti jalur lepuh yang melilit sama ada di sebelah kiri atau kanan badan anda. Terdapat juga kadangkala ruam Kayap terjadi di sekitar mata atau di sisi leher atau muka.

Punca Kayap

Apabila virus varicella zoster menjangkiti badan anda, penyakit pertama yang berpunca darinya adalah Cacar Air. Anda mungkin menganggapnya sebagai penyakit zaman kanak-kanak, tetapi individu dewasa juga boleh mendapatkannya.

Selepas kemunculan Cacar Air, virus itu bergerak ke dalam tisu saraf berhampiran saraf tunjang dan otak anda, lalu kekal di situ.

Punca sebenarnya masih tidak diketahui tetapi kadangkala virus itu boleh menjadi “aktif” dan bergerak melalui gentian saraf ke kulit anda. Keadaan inilah yang menyebabkan simptom kedua jangkitan, iaitu Kayap yang turut dikenali sebagai ‘herpes zoster’.

Diagnosis Kayap

Biasanya didiagnosis berdasarkan sejarah kesakitan pada satu sisi badan anda, bersama-sama dengan ruam dan lecet. Doktor juga akan mengambil sampel tisu atau lepuhan untuk pemeriksaan lanjut di makmal.

Faktor Risiko Kayap

Sesiapa sahaja yang pernah mengalami Cacar Air boleh mendapat penyakit ini. Kebanyakan individu yang pernah mengalami Cacar Air ketika kanak-kanak, sebelum kemunculan vaksinasi kanak-kanak yang terkini , berisiko akan penyakit ini.

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat Kayap termasuklah:

  • Berusia lebih 50 tahun. Kayap adalah perkara biasa yang berlaku terhadap individu berumur lebih dari 50 tahun. Risikonya meningkat seiring dengan pertambahan umur. Sesetengah pakar menganggarkan bahawa separuh daripada individu yang berumur 80 tahun ke atas mempunyai Kayap.
  • Mempunyai penyakit tertentu. Penyakit yang melemahkan sistem imun anda seperti HIV/AIDS dan kanser boleh meningkatkan risiko anda mendapat Kayap.
  • Sedang menjalani rawatan kanser. Rawatan radiasi atau kemoterapi boleh menurunkan daya tahan tubuh anda terhadap penyakit dan boleh mencetuskan Kayap.
  • Pengambilan ubat tertentu. Ubat yang dikhususkan untuk mengelakkan penolakan organ yang dipindahkan ke dalam badan anda, juga boleh meningkatkan risiko Kayap seperti penggunaan steroid yang berpanjangan, sebagai contoh, prednison.

Rawatan Kayap

Doktor akan memberikan ubat antivirus bagi menghentikan virus daripada berkembang.

Rawatan antivirus

Rawatan antivirus boleh membantu:

  • Mengurangkan kesakitan dan tempoh simptom.
  • Mencegah komplikasi daripada berkembang.
  • Menurunkan risiko ruam untuk kembali.

Menguruskan simptom

Petua untuk menguruskan simptom termasuklah:

  • Menggunakan ubat tahan sakit.
  • Mengurangkan tekanan sebanyak mungkin.
  • Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang.
  • Melakukan senaman ringan.
  • Memakai pakaian longgar untuk keselesaan.

Untuk melegakan kegatalan, doktor mengesyorkan:

  • Memakai losyen calamine.
  • Mandian suam atau oatmeal.
  • Letakkan kain lap yang sejuk dan lembap pada lepuhan.
Summary
Kayap (Shingles) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kayap (Shingles) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kayap biasanya menjejaskan sebahagian kecil pada satu bahagian badan dan hanya menyerang individu yang pernah mendapat Cacar Air.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: