Kayap Ular

Apakah Itu Kayap?

Kayap (herpes zoster) ini adalah penyakit yang disebabkan jangkitan Varicella Zoster Virus (VSV), iaitu virus sama yang menyebabkan chicken pox (cacar air). Penyakit kayap merupakan suatu jangkitan virus yang mengakibatkan ruam yang sakit.

Apabila jangkitan virus tersebut dapat dihalang dengan penghasilan antibodi daripada badan, ia akan menjadi tidak aktif dan tinggal dikawasan saraf yang menyalurkan maklumat untuk deria sentuhan dan sakit di bahagian kulit. Biasanya ruam kayap ular ini berkumpul ataupun berbaris mengikut lingkaran urat saraf.

Punca Terjadinya Kayap?

Ia berpunca daripada jangkitan virus Varicella-Zoster yang pada mulanya menyebabkan masalah cacar air(chicken pox). Jangkitan tersebut selalunya berlaku apabila virus tersebut terkena pada bahagian mukosa (kulit dalam hidung dan mulut).

Dari situ, ia akan pergi ke seluruh badan dan menyebabkan penyakit cacar air (chicken pox). Apabila sistem imun badan mampu melawan virus tersebut, sebahagian daripada virus akan menjadi tidak aktif dan mendiami kawasan saraf yang terlibat dalam rangsangan dan juga deria sakit.

Oleh itu, terjadinya kayap mungkin disebabkan kegagalan sistem imun untuk menghalang pembiakan virus tersebut yang selama ini tidak aktif. Apabila perkara tersebut berlaku, virus tersebut akan menjadi aktif semula dan menyerang kawasan saraf pada tempat yang dia diami.

Faktor Yang Membawa Kepada Risiko Kayap Ular

Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan kayap ular terjadi:

  • Umur yang semakin meningkat. Ini kerana semakin meningkat usia, sistem imun menjadi semakin kurang efektif
  • Sistem imun yang berkurangan disebabkan penyakit seperti HIV

Simptom

Simptom akan bermula dengan rasa sakit dikawasan kulit yang terlibat. Perkara tersebut akan berlaku selama 2-3 hari terlebih dahulu. Pesakit juga akan mengalami simptom lain seperti:

  • Demam
  • Rasa letih
  • Sakit-sakit badan
  • Sakit otot

Kemudian ia akan diikuti dengan ruam yang mempunyai air. Pada ketika itu, pesakit akan mengalami kesakitan yang teruk disebabkan keradangan pada saraf dikawasan tersebut.

Pantang Larang Apabila Dijangkiti Penyakit Kayap:

  1. Segera jumpa doktor atau pakar perubatan untuk nasihat dan rawatan. Boleh juga jumpa pakar rawatan tradisional.
  2. Elakkan pakai pakaian ketat. Pakai pakaian yang longgar untuk mengurangkan kesakitan disebabkan geseran pakaian dengan bahagian kulit.
  3. Jangan pakai seluar serta baju yang masih panas (contoh jemur di luar rumah dibawah terik matahari atau yang baru digosok).
  4. Jangan pakai seluar serta baju yang basah.
  5. Elakkan menggaru bahagian kayap itu dikhuatiri boleh merebak ke bahagian lain. Kayap ni akan rasa gatal, minta ubat untuk kurangkan rasa gatal.
  6. Bila mandi, biasakan mengosok bahagian kayap perlahan-lahan dengan sabun untuk pastikan kebersihan pada bahagian kayap.
  7. Jika boleh, semasa dijangkiti penyakit kayap , elakkan dari mendekati ahli keluarga serta rakan-rakan kerana dikhuatiri anda akan menjangkiti mereka.
  8. Pantang makan seperti orang dalam pantang bersalin, makanan yang menyebabkan gatal dan makanan bergoreng cuba elakkan, hanya makan yang rebus, stim atau bakar.
  9. Kurangkan makan buah tempatan atau sayuran yang menjalar/ berjalur (contohnya tembikai, timun, labu).
  10. Jangan dengar bunyi orang goreng makanan dan anda tidak boleh goreng apa-apa sewaktu dijangkiti penyakit ini.
  11. Bila kayap dah kering jangan dikupil parutnya, biarkan ia tanggal sendiri sebab jika bahagian kulit belum betul2 kering ia akan terluka dan kembali merebak.

Rawatan

Antara petua dan rawatan yang boleh diadalah:

  1. Sapu dengan lendir daun aloe vera.
  2. Sapu dengan kelapa parut campur gula melaka ke bahagian kulit terkena kayap tu.
  3. Gunakan daun cili dan kapur makan. Tumbukkan atau ramas daun cili serta campurkan sedikit kapur. Sapukan dibahagian kulit terkena kayap.
  4. Gunakan daun pokok duit-duit. Ditumbuk hancur, ambil daunnya serta air perahannya dan ditekap pada tempat dijangkiti kayap tu. Jika boleh, dibengkungkan semalaman..
  5. Gunakan daun delima ditumbuk lumat dan dicampurkan dengan bedak sejuk (tanpa pewangi) dan tempekkan pada tempat kayap itu.
  6. Gunakan daun bunga melor, pucuk daun buah delima, daun setawar, dan pucuk daun mambu. Semua daun di atas di tumbuk atau di blender dan di campurkan dengan bedak sejuk (tanpa pewangi) dan di bancuh pekat. Kemudian di sapu atau tampal atau tempekkan pada tempat kayap tu .
  7. Gunakan ubi larut. Di gosokkan pada simen atau lesung batu, ambil patinya dan sapu di tempat kayap tersebut.
  8. Minum minuman yang menyejukkan badan contoh getah anggur dicampur dengan kembang semangkuk.
  9. Guna akar rumput kerbau, basuh dan celup dalam bedak sejuk. Sapu pada tempat yang kena kayap tu.

Tuntasnya, pesakit yang mengalami gejala kayap haruslah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat mengenai rawatan yang sesuai serta haruslah prihatin dalam mengasingkan diri daripada golongan yang tidak pernah mendapat penyakit cacar.

SUMBER

https://www.doctoroncall.com.my/soalan/shingles-kayap-rawatan-penyebab

http://www.ummiegojes.com/2018/01/jenis-jenis-kayap-yang-boleh-membawa.html

https://thediagnosa.com/kayap-punca-simptom-rawatan/

Tagged: