Kardiologi
Kardiologi adalah kajian dan rawatan gangguan jantung dan saluran darah.

Pengenalan

Kardiologi adalah kajian dan rawatan gangguan jantung dan saluran darah. Individu yang mempunyai penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular boleh dirujuk kepada pakar kardiologi.

Seterusnya, kardiologi adalah cabang perubatan dalaman. Ia berkaitan dengan diagnosis dan rawatan keadaan seperti kecacatan jantung kongenital, penyakit arteri koronari, elektrofisiologi, kegagalan jantung dan penyakit jantung valvular. Sub-kepakaran bidang kardiologi merangkumi elektrofisiologi jantung, ekokardiografi, kardiologi intervensi dan kardiologi nuklear.

Kepakaran pakar kardiologi

Pakar dalam kardiologi dipanggil sebagai pakar kardiologi. Beberapa strategi yang digunakan oleh pakar kardiologi untuk memerangi penyakit kardiovaskular termasuklah pembedahan pintasan arteri koronari, intervensi koronari ‘percutaneous’, angioplasti transluminal ‘percutaneous dan ‘stenting’.

Seterusnya, golongan pakar ini juga dapat mendiagnosis gangguan kardiovaskular menggunakan ujian darah, ujian tekanan jantung, ekokardiografi atau elektrokardiografi mahupun teknik pengiraan tomografi (CT) dan pencitraan resonans magnetik (MRI).

Terdapat tiga jenis kardiologi utama: invasif, tidak invasif dan intervensi. Pakar kardiologi anda mungkin menggunakan satu atau gabungan teknik untuk mengenal pasti dan merawat keadaan jantung anda.

  • Kardiologi invasif – Ia menggunakan kaedah pembedahan terbuka atau invasif yang minimum untuk mengenal pasti atau merawat kelainan pembedahan atau elektrik dalam struktur jantung.
  • Kardiologi tidak invasif – Ia mengenal pasti masalah jantung tanpa menggunakan jarum, cecair atau alatan lain yang dimasukkan ke dalam badan.
  • Kardiologi intervensi – Ini adalah pilihan bukan pembedahan yang menggunakan kateter untuk membaiki saluran yang rosak atau lemah, arteri yang menyempit atau bahagian lain dalam struktur jantung yang terjejas.

Bila anda perlu dapatkan rawatan

Bilakah masa yang tepat untuk berjumpa dengan pakar kardiologi? Walaupun penyakit jantung secara tradisionalnya diketahui sebagai penyakit yang lebih banyak menjejaskan golongan lelaki, namun ia juga masih boleh berlaku pada wanita  juga. Oleh itu, kehadiran salah satu faktor berikut adalah alasan yang baik untuk anda mendapatkan rawatan daripada pakar kardiologi dengan segera:

  • Mengalami ketidakselesaan dada

Walaupun sakit dada mempunyai banyak punca yang berpotensi seperti pedih ulu hati, sebarang kejadian ketidakselesaan di dada harus disiasat oleh doktor untuk mengetepikan masalah yang berkaitan dengan jantung.

Sekiranya buah pinggang anda tidak berfungsi dengan baik, risiko anda untuk mendapatkan penyakit jantung meningkat. Penyakit buah pinggang dikaitkan dengan tekanan darah tinggi dan penyakit arteri. Seorang pakar kardiologi dapat membincangkan bagaimana keadaan anda boleh mempengaruhi jantung anda dan membantu anda mengurangkan risiko penyakit jantung.

Tekanan darah menunjukkan kekuatan darah ke dinding arteri ketika melaluinya. Apabila tekanan ini menjadi terlalu tinggi untuk jangka masa yang panjang, arteri boleh menjadi rosak atau menyempit.

  • Mempunyai kadar kolesterol tinggi

Peningkatan kadar kolesterol tidak menyebabkan simptom dan boleh jadi sukar untuk dikendalikan. Sebagai salah satu faktor risiko penyakit jantung yang paling penting, mengawal jumlah kolesterol dalam badan adalah sangat penting.

  • Menghidap diabetes

Tahap glukosa darah yang meningkat pada pesakit diabetes bukan sahaja dapat merosakkan saluran darah, tetapi juga menjejaskan saraf yang mengawal jantung. Selain itu, mereka yang menghidap diabetes jenis 2 lebih cenderung menderita faktor risiko tambahan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.

  • Mengalami ‘preeclampsia’

‘Preeclampsia’ adalah keadaan di mana ibu hamil mengalami tekanan darah tinggi. Keadaan ini dikaitkan dengan peningkatan sebanyak empat kali ganda bagi risiko kegagalan jantung, menjadikan kehamilan sebagai waktu paling berbahaya bagi jantung wanita di luar tempoh selepas menopaus.

  • Mempunyai penyakit gusi

Penyakit gusi dicirikan oleh keradangan, iaitu ancaman utama bagi jantung. Bagi kes periodontitis, bakteria berbahaya juga boleh terhasil. Apabila bakteria ini masuk ke dalam aliran darah, keradangan yang dihasilkan dapat menjejaskan bahagian tubuh yang lain.

  • Merokok

Sama ada anda seorang perokok atau sudah berhenti, anda masih mempunyai risiko tinggi bagi penyakit jantung. Merokok adalah salah satu faktor risiko utama penyakit jantung yang dapat dicegah dan boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi dan risiko kanser.

  • Sejarah keluarga

Sekiranya ada ahli keluarga anda yang mempunyai atau mengalami masalah jantung, anda harus menyedari gejala penyakit jantung dan mempertimbangkan untuk bercakap dengan pakar kardiologi mengenainya.

Prosedur rawatan kardiologi

Seorang pakar kardiologi akan mengkaji sejarah perubatan pesakit dan melakukan pemeriksaan fizikal. Mereka mungkin memeriksa berat badan, jantung, paru-paru, tekanan darah dan saluran darah seseorang serta melakukan beberapa ujian.

Mari lihat prosedur yang boleh dilakukan oleh pakar kardiologi.

Prosedur invasif

  • Angioplasty’

Sebiji belon kecil akan dimasukkan ke dalam urat tersumbat untuk mendorong plak ke dinding arteri bagi meningkatkan aliran darah.

  • ‘Stenting’

Biasanya ia dilakukan bersama dengan prosedur ‘angioplasty’, di mana gegelung logam kecil diletakkan secara kekal untuk membuka urat yang tersumbat.

Prosedur tidak invasif

  • Kardiologi nuklear

Kajian bukan invasif mengenai gangguan kardiovaskular dengan pelbagai jenis pencitraan yang mungkin menggunakan unsur radioaktif.

  • Ekokardiografi

Penggunaan gelombang ultrabunyi untuk membuat gambaran jantung dan struktur sekitarnya untuk mengenal pasti seberapa baik jantung mengepam darah, jangkitan, dan kelainan struktur.

  • Elektrofisiologi jantung

Elektrofisiologi jantung adalah sub-kepakaran kardiologi. Doktor akan melihat bagaimana arus elektrik di dalam tisu otot jantung berfungsi, bagaimana arus menyebar dan apakah maksud corak arus.

  • Ujian tekanan

Ujian tekanan biasanya melibatkan senaman yang dipantau oleh pakar kardiologi anda. Latihan ini memberikan maklumat kepada pakar kardiologi mengenai bagaimana jantung anda beraksi di bawah tekanan fizikal.

  • Pemantau jantung

Monitor jantung juga boleh dipanggil monitor Holter atau perakam kejadian jantung. Ia pada asasnya adalah perakam pita untuk aktiviti elektrik jantung anda dalam jangka masa yang ditetapkan.

  • Imbasan CT

Imbasan CT menghasilkan gambar yang dapat diperiksa oleh pakar kardiologi anda bagi penyakit jantung dan aterosklerosis.

Anggaran harga

Bagi prosedur seperti ‘bypass’ jantung, jika di hospital kerajaan, anda mungkin dikenakan caj sehingga RM 4 ribu manakala di hospital swasta, rawatan ini boleh mencecah hingga RM 80 ribu iaitu kira-kira 20 kali ganda.

‘Open heart surgery’ di hospital swasta pula mencecah hingga RM 70 ribu bergantung pada keadaan anda serta betapa rumitnya prosedur yang dilakukan tersebut. Rawatan dan pembedahan berkaitan jantung sememangnya mahal kerana ia adalah prosedur yang memerlukan banyak proses selain jantung merupakan antara organ terpenting dalam badan yang memerlukan penjagaan yang rapi dalam setiap prosedur.

Bagi prosedur ‘pacemaker’ jantung pula, kosnya boleh mencecah sehingga RM 20 ribu ke atas jika di hospital kerajaan. Seterusnya, bagi hospital swasta, anda boleh dikenakan caj sehingga RM 60 ribu ke atas.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/248935

https://www.healio.com/news/cardiology/20120629/what-is-cardiology

https://www.nm.org/healthbeat/healthy-tips/ten-signs-its-time-to-see-a-cardiologist

https://www.cardio.com/blog/top-9-signs-you-should-see-a-cardiologist

https://healthcare.utah.edu/cardiovascular/when-to-see-cardiologist.php

https://www.floridamedicalclinic.com/blog/what-are-invasive-non-invasive-and-interventional-cardiology/

Summary
Kardiologi
Article Name
Kardiologi
Description
Kardiologi adalah kajian dan rawatan gangguan jantung dan saluran darah. Individu dengan penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular boleh dirujuk kepada pakar kardiologi.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: