kanser tulang sarcoma
Kanser Tulang Sarcoma berkembang dalam sistem rangka dan memusnahkan tisu dalam badan anda.

Kanser Tulang Sarcoma (sarcoma bone cancer) berkembang dalam sistem rangka dan memusnahkan tisu dalam badan anda. Ia boleh merebak ke organ-organ yang jauh seperti paru-paru. Rawatan biasa untuk Kanser Tulang Sarcoma adalah melalui pembedahan, dan ia mempunyai hasil penyembuhan  yang baik bergantung kepada diagnosis dan pengurusan awal.

Terdapat dua jenis utama Kanser Tulang Sarcoma iaitu kanser tulang utama dan kanser tulang sekunder.

Dalam kanser tulang utama, kanser berkembang di dalam sel tulang. Manakala, kanser tulang sekunder berlaku apabila kanser yang berkembang di tempat lain merebak, atau membesar, hingga ke tulang.

Jenis Kanser Tulang Sarcoma

Terdapat beberapa jenis Kanser Tulang Sarcoma (sarcoma bone cancer) yang telah dikenalpasti:

  1. Chondrosarcoma
  2. Ewing sarcoma
  3. Osteosarcoma

Simptom Kanser Tulang Sarcoma

Anda mungkin tidak memiliki sebarang simptom jika anda mempunyai tumor di tulang, sama ada ia kanser atau tidak. Keadaan ini merupakan perkara biasa bagi penyakit ini. Doktor mungkin akan menemui tumor apabila melihat imej X-ray ketika mendiagnosis masalah lain seperti luka. Tetapi simptom yang biasa berlaku termasuklah:

  • Rasa kaku atau sakit pada kawasan tumor  
  • Kesakitan menjadi lebih teruk melalui aktiviti yang dilakukan
  • Mengejutkan anda dari tidur pada waktu malam


Namun begitu, kesan trauma pada tulang tidak akan menyebabkan tumor tulang. Tetapi tulang yang menjadi lemah disebabkan tumor boleh pecah atau retak dengan lebih mudah. Keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk.

Diagnosis Kanser Tulang Sarcoma

Seorang doktor boleh memerintahkan ujian darah untuk menolak sebarang kemungkinan penyebab lain yang menyebabkan ‘sarcoma bone cancer’ ini. Kemudian, doktor akan merujuk pesakit tersebut kepada pakar tulang. Pesakit mungkin memerlukan ujian diagnostik berikut:

  • Pemeriksaan tulang Radionuclide: Prosedur ini dapat menunjukkan sejauh mana kanser telah merebak ke tulang lain. Ia boleh mengenal pasti kawasan lebih kecil yang dijejaskan oleh kanser metastasis berbanding X-ray.
  • Imbasan CT: Ini boleh menunjukkan sama ada kanser jenis metastasis telah merebak dan sejauh mana ia merebak. Metastasis adalah gelaran yang dipanggil apabila kanser merebak dari tempat asal ke tempat lain.
  • Imbasan MRI: Imbasan jenis ini boleh memberikan gambaran  keseluruhan  tumor.
  • Imbasan PET: Ia berguna untuk mengimbas seluruh badan bagi mengesan kedudukan dan pertumbuhan kanser.

Faktor Risiko Kanser Tulang Sarcoma

Walaupun saintis perlu menjalankan lebih banyak penyelidikan ke atas punca sebenar kanser tulang sarcoma, terdapat pelbagai faktor risiko bagi kanser tulang, termasuklah genetik. Mereka juga menunjukkan bahawa individu dengan penyakit keradangan jangka panjang, seperti penyakit Paget, mungkin berada pada risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Kanser Tulang Sarcoma di kemudian hari.

Walau bagaimanapun, ia belum jelas mengenai punca seseorang mendapat kanser ini.

Faktor risiko lain untuk menghidapi Kanser Tulang Sarcoma termasuklah:

  • Berumur di bawah 20 tahun
  • Pernah terdedah kepada radiasi, seperti menerima terapi sinaran untuk kanser yang berbeza
  • Pernah menjalani pemindahan tulang sumsum
  • Memiliki saudara atau ahli keluarga yang menghidap kanser tulang
  • Memiliki keturunan yang mempunya penyakit Retinoblastoma, iaitu sejenis kanser mata yang paling kerap berlaku pada kanak-kanak

Rawatan Kanser Tulang Sarcoma

Pilihan rawatan untuk Kanser Tulang Sarcoma adalah berdasarkan jenis kanser yang anda hidapi, peringkat kanser, tahap kesihatan anda dan melalui pilihan anda sendiri. Jenis kanser tulang yang berbeza bertindak balas terhadap rawatan yang berbeza.

Doktor anda boleh membantu membimbing anda dalam memilih rawatan yang terbaik bagi jenis kanser anda. Sebagai contoh, sesetengah kanser tulang dirawat hanya melalui pembedahan, sesetengahnya melalui pembedahan dan kemoterapi dan beberapa kes lain melalui pembedahan, kemoterapi dan terapi radiasi.

– Pembedahan

Matlamat pembedahan adalah untuk membuang seluruh tumor kanser. Dalam kebanyakan kes, ia melibatkan teknik khas untuk membuang tumor sekaligus berserta sebahagian kecil tisu yang sihat mengelilinginya. Pakar bedah akan menggantikan tulang yang hilang dengan beberapa tulang dari kawasan lain dalam tubuh anda, atau dengan bahan dari  tulang simpanan anda atau dengan penggantian yang dibuat dari logam dan plastik keras.

Kanser tulang yang sangat besar atau terletak pada tempat yang rumit pada tulang mungkin memerlukan pembedahan untuk mengeluarkan semua atau sebahagian daripada anggota badan anda (amputasi).

Namun, oleh disebabkan terdapat pilihan rawatan lain yang lebih maju, amputasi menjadi sesuatu kaedah yang kurang biasa dilakukan. Jika amputasi diperlukan, anda mungkin akan dilengkapi dengan anggota badan tiruan dan akan menjalani senaman atau terapi untuk belajar melakukan tugasan seharian menggunakan anggota baru anda.

– Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat anti kanser yang kuat yang biasanya disuntik melalui vena (intravena) untuk membunuh sel kanser. Walau bagaimanapun, jenis rawatan ini hanya berkesan untuk beberapa jenis kanser tulang.

Sebagai contoh, rawatan kemoterapi tidak begitu berkesan untuk merawat Chondrosarcoma, tetapi ia merupakan rawatan yang baik bagi Osteosarcoma dan Ewing sarcoma.

– Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga berkuasa tinggi, seperti X-ray, untuk membunuh sel-sel kanser. Semasa terapi radiasi dijalankan, anda akan berbaring di atas meja dan mesin khas digerakkan di sekeliling anda sambil menyasarkan sinaran tenaga di tempat yang dijejaskan oleh kanser pada badan anda.

Terapi radiasi sering digunakan sebelum pembedahan dilakukan kerana ia dapat mengecilkan tumor dan menjadikannya lebih mudah untuk dikeluarkan justeru, membantu mengurangkan kemungkinan keperluan amputasi.

Summary
Kanser Tulang Sarcoma (Sarcoma Bone Cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Tulang Sarcoma (Sarcoma Bone Cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser tulang sarkoma boleh berkembang dalam sistem rangka badan dan memusnahkan tisu yang ada dalam badan anda.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: