throat cancer
Kanser Tekak merujuk kepada tumor kanser

Kanser Tekak merujuk kepada tumor yang kerap berlaku di sel-sel rata yang berada di bahagian dalam tekak,berkembang di tekak, kotak suara atau tonsil. Tekak merupakan tiub otot yang bermula di belakang hidung dan berakhir di leher anda.

Kotak suara pula terletak tepat di bawah kerongkong anda dan ia juga berkemungkinan untuk terdedah kepada Kanser Tekak. Kotak suara terdiri daripada tulang rawan dan mengandungi kord vokal. Kord vokal berfungsi dengan menghasilkan getaran untuk mengeluarkan bunyi apabila anda bercakap.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh menjejaskan tulang rawan (epiglottis) yang berfungsi sebagai penutup bagi laluan angin di trakea anda.

Satu lagi bentuk ialah Kanser Tonsil berisiko untuk menjejaskan tonsil yang terletak di bahagian belakang tekak anda.

Jenis Kanser Tekak

Semua jenis kanser ini melibatkan perkembangan dan pertumbuhan sel-sel yang tidak normal, oleh itu doktor anda harus mengenal pasti jenis yang anda alami untuk menentukan pelan rawatan yang paling berkesan.

Dua jenis utama adalah:

Sel Karsinoma Skuamus. Jenis ini menjejaskan sel-sel rata yang melapisi tekak anda.

Adenokarsinoma. Jenis ini menjejaskan sel kelenjar dan ia jarang berlaku.

Dua kategori kanser ini adalah:

1. Kanser pharynx . Kanser ini terbentuk di dalam pharynx, iaitu tiub berongga yang berada dari belakang hidung hingga ke bahagian atas tekak anda. Kanser pharynx yang berkembang di leher dan tekak termasuklah:

  • Kanser Nasopharynx (bahagian atas tekak)
  • Kanser Oropharynx (bahagian tengah tekak)
  • Kanser Hypofarynx (bahagian bawah tekak)

2. Kanser Laryngeal. Kanser ini terbentuk dalam Larynx, iaitu kotak suara anda.

Simptom Kanser Tekak

Anda mungkin mempunyai simptom-simptom tersebut jika anda menghidap kanser jenis ini:

  • Perubahan suara seperti serak atau garau
  • Masalah menelan atau bernafas
  • Sakit pada tekak, batuk, atau mengalami sakit telinga yang tidak akan hilang
  • Sakit kepala
  • Muncul ketulan di leher
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan

Punca Kanser Tekak

Lelaki lebih cenderung untuk mendapat Kanser Tekak berbanding golongan wanita.

Tabiat gaya hidup tertentu boleh meningkatkan risiko Kanser Tekak, termasuklah:

  • Merokok
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Pemakanan yang tidak sihat
  • Pendedahan kepada asbestos
  • Tahap kebersihan gigi yang teruk
  • Sindrom genetik

Kanser ini juga dikaitkan dengan jenis jangkitan Human Papilomavirus (HPV). HPV adalah sejenis virus yang ditularkan melalui aktiviti seksual. Menurut Pusat Rawatan Kanser, jangkitan HPV adalah faktor risiko bagi beberapa kanser oropharyngeal.

Diagnosis Kanser Tekak

Menjalani diagnosis awal kanser tekak meningkatkan peluang keberkesanan rawatan penyakit anda.

  • Pemeriksaan fizikal. Doktor akan bertanya kepada anda tentang simptom dan menjalankan pemeriksaan fizikal terhadap diri anda. Beliau juga mungkin akan menggunakan laryngoscope, iaitu tiub yang dilengkapi dengan kamera di atasnya untuk melihat keadaan di dalam tekak anda.
  • Imbasan Pengimejan, seperti X-ray, imbasan CT, atau imbasan MRI boleh membantu doktor melihat sejauh mana kanser tersebut telah merebak.
  • Biopsi. Doktor juga boleh mengesyorkan biopsi untuk dijalankan. Prosedur ini melibatkan pengambilan sampel tisu atau sel dari tekak untuk menguji sel kanser dalam sampel tersebut di makmal. Biopsi juga akan menunjukkan jenis kanser yang anda alami.

Ujian ini membantu doktor anda menentukan tahap kanser dan cara terbaik untuk merawatnya.

Peringkat

Peringkat memberi gambaran sejauh mana kanser anda telah merebak. Peringkat Kanser Tekak bergantung kepada jenisnya.

Kanser biasanya berkembang dengan cara seperti berikut:

  • Setempat: Perubahan yang mendadak berlaku di satu lokasi tetapi tidak tersebar ke kawasan lain.
  • Serantau: Kanser merebak ke tisu, struktur tekak, atau kelenjar limfa yang berdekatan.
  • Jauh: Kanser merebak ke bahagian badan lain yang jauh dari lokasi asalnya, seperti hati.
  • Gred kanser juga memberi kesan kepada simptom dan jenis rawatan yang diperlukan. Kanser gred tinggi lebih agresif berbanding gred rendah, kerana ia lebih cepat berkembang.

Apabila doktor sudah mengenalpasti peringkat dan gred kanser, beliau akan memberitahu pesakit mengenai pilihan rawatan yang tersedia.

  • Perubahan pra kanser juga mungkin boleh terjadi. Namun, ia bukanlah sejenis kanser, tetapi ia boleh menjadi agresif pada sesuatu masa. Doktor menggelar keadaan ini sebagai “karsinoma in situ”.

Faktor Risiko Kanser Tekak

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko Kanser Tekak termasuklah:

• Penggunaan tembakau, seperti merokok dan mengunyah tembakau

• Pengambilan alkohol yang berlebihan

• Virus yang menular secara seksual iaitu human papillomavirus (HPV)

• Diet yang tidak termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran

• Penyakit refluks gastroesofagus (GERD)

Rawatan Kanser Tekak

Pilihan rawatan anda adalah berdasarkan banyak faktor seperti lokasi, peringkat kanser tekak, jenis sel yang terlibat, kesihatan keseluruhan anda, dan pilihan peribadi anda. Bincanglah terlebih dahulu dengan doktor anda mengenai manfaat dan risiko setiap pilihan anda. Dengan cara itu anda boleh menentukan rawatan yang paling sesuai bagi keadaan anda.

Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan tenaga tinggi daripada sumber seperti X-ray dan proton untuk menyalurkan radiasi ke sel-sel kanser, justeru itu mematikannya.

Terapi radiasi boleh dilakukan menggunakan mesin besar di luar badan anda (radiasi pancaran luaran), atau terapi radiasi boleh dilakukan dengan benih radioaktif kecil dan wayar yang boleh diletakkan di dalam tubuh anda dan berhampiran kanser anda (brachytherapy).

Bagi Kanser Tekak peringkat awal pula, terapi radiasi mungkin adalah satu-satunya rawatan yang diperlukan bagi pesakit.

Manakala, bagi Kanser Tekak yang lebih lanjut, terapi radiasi mungkin akan digabungkan dengan kemoterapi atau pembedahan. Dalam prosedur untuk Kanser Tekak yang sangat parah (very advanced) pula, terapi radiasi akan digunakan untuk mengurangkan tanda-tanda dan simptom dan menjadikan keadaan anda lebih selesa.

Pembedahan

Jenis prosedur pembedahan yang mungkin boleh anda pertimbangkan untuk merawat Kanser Tekak bergantung kepada lokasi dan peringkat kanser anda. Pilihan tersebut mungkin termasuk:

  • Pembedahan untuk Kanser Tekak peringkat awal. Kanser Tekak yang terletak di permukaan tekak atau kord vokal boleh dirawat menggunakan pembedahan endoskopi. Doktor akan memasukkan endoskop berongga ke dalam tekak atau kotak suara anda dan kemudian memasukkan alat pembedahan khas atau laser melalui skop tersebut. Doktor akan menggunakan alat ini untuk mengikis, memotong atau menggunakan laser untuk mencairkan sel kanser yang ringan.
  • Pembedahan untuk mengeluarkan semua atau sebahagian daripada kotak suara (laryngectomy). Bagi tumor yang lebih kecil, doktor anda mengeluarkan sebahagian daripada kotak suara anda yang diserang sel kanser dengan meninggalkan sebanyak mungkin bahagian kotak suara anda. Melalui prosedur ini, doktor mengekalkan keupayaan anda untuk bercakap dan bernafas secara normal.

Untuk tumor yang lebih besar dan lebih luas, doktor mungkin perlu mengeluarkan seluruh kotak suara anda. Kemudian, trakea anda akan dilekatkan ke lubang (stoma) di tekak anda untuk membolehkan anda bernafas (tracheotomy). Anda mempunyai beberapa pilihan untuk memulihkan pertuturan anda, antaranya, anda boleh berlatih dengan ahli patologi pertuturan untuk belajar bercakap tanpa menggunakan kotak suara anda.

Pembedahan untuk mengeluarkan sebahagian daripada tekak (pharyngectomy). Kanser tekak yang kecil mungkin hanya memerlukan sebahagian kecil tekak anda dikeluarkan semasa pembedahan. Bahagian yang dikeluarkan mungkin akan dibina semula untuk membolehkan anda menelan makanan secara normal.

Pembedahan untuk mengeluarkan sebahagian besar tekak anda biasanya termasuklah menyingkirkan kotak suara anda. Walau bagaimanapun, doktor boleh membina semula tekak anda untuk membolehkan anda menelan makanan secara normal.

  • Pembedahan untuk membuang kanser nodus limfa (pembedahan leher). Sekiranya Kanser Tekak telah merebak jauh di dalam leher anda, doktor mungkin akan mengesyorkan anda menjalani pembedahan untuk mengeluarkan beberapa atau semua kelenjar nodus limfa bagi melihat jika ia mengandungi sel-sel kanser.

Bergantung pada prosedur pembedahan yang anda alami, ia boleh membawa kepada risiko pendarahan dan jangkitan. Selain itu, komplikasi lain yang mungkin berlaku adalah seperti kesukaran bercakap atau menelan.

Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser.

Kemoterapi sering digunakan bersama dengan terapi radiasi untuk merawat Kanser Tekak. Ubat kemoterapi tertentu menjadikan sel-sel kanser lebih sensitif terhadap terapi radiasi. Namun begitu, gabungan kemoterapi dan terapi radiasi boleh meningkatkan kesan sampingan kedua-dua rawatan ini.

Bincanglah dengan doktor anda terlebih dahulu mengenai kesan sampingan yang mungkin anda alami dan sama ada rawatan gabungan akan menawarkan faedah yang lebih baik atau tidak.

Terapi ubat sasaran

Ubat sasaran merawat Kanser Tekak berfungsi dengan cara mengeksploitasi kecacatan yang ada pada sel-sel kanser yang menjana pertumbuhan sel tersebut.

Sebagai contoh, ubat Cetuximab (Erbitux) adalah sejenis terapi ubat sasaran yang diluluskan untuk merawat Kanser Tekak dalam keadaan tertentu. Cetuximab menghentikan tindakan protein yang terdapat di dalam pelbagai jenis sel yang sihat, tetapi lebih banyak dalam beberapa jenis sel kanser tekak.

Pelbagai ubat-ubat sasaran lain boleh didapati dan banyak lagi sedang dikaji dalam ujian klinikal. Ubat sasaran boleh digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan kemoterapi atau terapi radiasi.

Pemulihan selepas rawatan

Rawatan untuk Kanser Tekak sering menyebabkan komplikasi yang memerlukan latihan bersama pakar untuk mengembalikan semula kemampuan anda untuk menelan, makan makanan keras dan bercakap.

Semasa dan selepas rawatan kanser tekak, doktor mungkin akan mengesyorkan anda menerima bantuan untuk:

  • Penjagaan pembedahan di tekak anda (stoma) jika anda menjalani pembedahan tracheotomy
  • Kesukaran untuk makan
  • Kesukaran menelan
  • Ketegangan dan kesakitan di leher anda
  • Masalah pertuturan

Anda tidak perlu bimbang untuk menjalani rawatan Kanser Tekak kerana sebelum menjalani sebarang rawatan, doktor akan membincangkan kesan sampingan dan kesesuaian setiap rawatan yang tersedia bersama anda terlebih dahulu.

Sumber:

https://www.webmd.com/oral-health/guide/throat-cancer-symptoms-treatments

https://www.healthline.com/health/cancer-throat-or-larynx

https://www.medicalnewstoday.com/articles/312087

https://medlineplus.gov/throatcancer.html

Summary
Kanser Tekak (Throat Cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Tekak (Throat Cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser Tekak merujuk kepada tumor yang kerap berlaku di sel-sel rata yang berada di bahagian dalam tekak,berkembang di tekak, kotak suara atau tonsil.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: