kanser perut
Kanser perut berlaku apabila sel-sel kanser terbentuk dalam lapisan dalam pada perut anda.

Kanser perut berlaku apabila sel-sel kanser terbentuk dalam lapisan dalam pada perut anda. Sel-sel ini boleh tumbuh sehingga menjadi tumor. Ia juga turut dikenali sebagai Kanser Gastrik, iaitu penyakit yang biasanya berkembang secara perlahan-lahan selama bertahun-tahun.

Jika anda mengetahui punca bagi simptom kanser perut, anda dan doktor anda mungkin dapat mengenalpastinya lebih awal dan pada waktu itu ia paling mudah untuk dirawat.

Secara amnya, dinding perut mempunyai 5 lapisan:

  • Lapisan paling dalam adalah mukosa. Di sinilah asid perut dan enzim penghadaman dihasilkan. Kebanyakan kanser perut bermula di lapisan ini.
  • Seterusnya adalah lapisan sokongan yang dipanggil submukosa.
  • Di luarnya adalah muscularis propria, iaitu lapisan otot tebal yang menggerakkan dan menggabungkan kandungan perut.
  • 2 lapisan luar, subserosa dan serosa terluar, yang melapisi perut.

Lapisan-lapisan ini adalah penting dalam menentukan peringkat (tahap) kanser dan juga membantu menentukan prognosis seseorang pesakit. Jika kanser tumbuh dari mukosa ke lapisan yang lebih dalam, tahapnya akan menjadi lebih lanjut dan prognosisnya adalah tidak baik.

Jenis Kanser Perut

Adenokarsinoma

Kebanyakan (kira-kira 90% hingga 95%) kanser perut adalahjenis Adenokarsinoma. Kanser perut atau kanser berkaitan perut selalunya adalah dari jenis Adenokarsinoma. Kanser ini berkembang daripada sel-sel yang membentuk lapisan paling dalam pada perut (mukosa).

Limfoma

Ini adalah kanser tisu sistem imun yang kadangkala boleh dijumpai di dinding perut. Rawatan dan prognosis bergantung kepada jenis Limfoma.

Tumor stromal gastrointestinal (GIST)

Tumor yang jarang berlaku ini bermula sejak dari pembentukan awal sel-sel di dinding perut yang disebut sel interstitial Cajal. Walau bagaimanapun, sesetengah daripada tumor ini bukanlah kanser (tumor jinak), namun sesetengah yang lain adalah kanser. Walaupun GIST boleh berlaku di mana-mana bahagian di saluran pencernaan, kebanyakannya terdapat di dalam perut.

Tumor Karsinoid

Tumor ini bermula di dalam sel-sel pernafasan hormon. Kebanyakannya tidak akan merebak ke organ lain.

Simptom Kanser Perut

Kanser perut boleh menyebabkan beberapa simptom. Walau bagaimanapun, simptom ini mungkin tidak muncul selama bertahun-tahun kerana kanser perut berkembang dengan perlahan.

Atas sebab ini, ramai individu yang menghidap kanser perut tidak menerima diagnosis sehingga penyakitnya sudah lanjut dan parah.

Simptom peringkat awal kanser perut termasuklah:

  • Mengah semasa makan
  • Kesukaran menelan
  • merasa kembung selepas makan
  • Kerap sendawa
  • Pedih ulu hati
  • Rasa senak yang tidak dapat dijelaskan
  • Sakit perut
  • Sakit di tulang dada
  • Angin terperangkap
  • Muntah yang mungkin mengandungi darah

Walau bagaimanapun, kebanyakan simptom ini amat mirip dengan keadaan yang lain yang kurang serius seperti gastrik dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sesiapa yang mengalami kesukaran menelan perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan kadar segera.

Jika kanser ini telah lanjut, sesetengah individu mungkin mengalami simptom berikut:

  • Anemia
  • Pembentukan cecair di dalam perut, yang boleh menyebabkan perut berasa tegang jika disentuh
  • Najis berwarna hitam yang mengandungi darah
  • Keletihan
  • Hilang selera makan
  • Pengurangan berat badan

Punca Kanser Perut

Para saintis masih tidak tahu apa yang membuatkan sel-sel kanser mula tumbuh di perut. Tetapi mereka tahu beberapa perkara yang dapat meningkatkan risiko penyakit ini. Salah satu daripadanya adalah akibat jangkitan bakteria H. pylori yang menyebabkan ulser.

Keradangan usus pula iaitu Gastritis, sejenis anemia yang disebut sebagai anemia pernicious, dan ketumbuhan dalam perut anda yang dipanggil polip juga boleh menjadikan anda lebih cenderung mendapat Kanser Perut.

Perkara-perkara lain yang memainkan peranan dalam meningkatkan risiko termasuklah:

  • Merokok
  • Berat badan berlebihan atau obes
  • Diet tinggi dengan makanan salai, jeruk atau makanan masin
  • Pembedahan perut bagi memulihkan ulser
  • Berdarah Jenis-A
  • Jangkitan virus Epstein-Barr
  • Gen tertentu
  • Bekerja dalam industri arang batu, logam, kayu atau getah
  • Pendedahan kepada asbestos

Diagnosis Kanser Perut

Individu yang mempunyai simptom yang berterusan haruslah berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Doktor akan bertanya tentang simptom, sejarah keluarga, sejarah perubatan serta pilihan gaya hidup seperti makanan yang mereka makan dan minuman serta sama ada mereka merokok atau tidak. Selain itu, doktor juga akan menjalankan pemeriksaan fizikal untuk memeriksa ketegangan pada perut.

Doktor juga boleh melakukan ujian darah untuk mengenalpasti sama ada terdapat lebihan bahan tertentu yang menunjukkan kanser. Beliau juga akan melakukan kiraan darah lengkap untuk mengukur bilangan sel darah merah dan putih serta platelet dan hemoglobin dalam badan pesakit.

Jika doktor mengesyaki Kanser Perut, beliau akan merujuk individu tersebut kepada pakar dalam penyakit perut untuk ujian lanjut. Pakar ini dikenali sebagai ahli gastroenterologi.

Langkah-langkah diagnostik mungkin termasuk perkara berikut:

Endoskopi atas

Pakar akan menggunakan endoskopi untuk melihat keadaan di dalam perut pesakit. Beliau memeriksa esofagus, perut dan duodenum, yang merupakan bahagian pertama usus kecil.

Jika doktor mengesyaki kanser, beliau akan melakukan biopsi untuk mengambil sampel tisu, yang akan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Imbasan CT

Imbasan CT menghasilkan imej terperinci pada pelbagai sudut bahagian di dalam badan.

Sebelum imbasan CT dilakukan, doktor mungkin akan menyuntik pewarna atau meminta agar individu itu menelannya. Pewarna ini membolehkan pengimbas untuk menghasilkan imej yang lebih jelas di kawasan yang terjejas.

Menelan Barium

Pesakit perlu menelan cecair yang mengandungi barium yang menggariskan esofagus dan perut. Ini membantu mengenal pasti anomali di dalam perut semasa X-ray.

Faktor Risiko Kanser Perut

Faktor risiko utama untuk kanser ini adalah sejarah GERD dan obesiti.

Faktor-faktor lain yang meningkatkan risiko termasuklah:

  • Diet tinggi dalam makanan masin dan mengandungi arang
  • Kurang memakan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Sejarah keluarga yang mengalami kanser perut
  • Jangkitan kuman Helicobacter pylori
  • Radang perut jangka panjang
  • Anemia yang merosakkan
  • Merokok
  • Polip perut

Rawatan Kanser Perut

Pilihan rawatan anda bergantung pada peringkat kanser, kesihatan keseluruhan dan pilihan anda sendiri.

Pembedahan

Kanser Perut yang tidak merebak memerlukan pembedahan untuk membuang bahagian esofagus atau perut yang mempunyai tumor.

Tujuan pembedahan adalah untuk membuang semua kanser dan margin tisu yang sihat.  Kebiasaannya nodus limfa yang berdekatan akan turut dikeluarkan.

Matlamat pembedahan adalah untuk menghapuskan semua Kanser Perut dan margin tisu yang sihat. Pilihan termasuklah:

• Mengeluarkan tumor peringkat awal daripada lapisan perut. Kanser kecil yang sangat terhad pada bahagian dalam perut boleh dibuang menggunakan endoskopi dalam prosedur yang dipanggil reseksi mukosa endoskopik. Endoskopi adalah sejenis tiub yang menyala dengan kamera dihujungnya yang dimasukkan melalui kerongkong hingga ke dalam perut anda. Seterusnya, doktor akan menggunakan alat khas untuk mengeluarkan kanser dan margin tisu yang sihat daripada lapisan perut.

• Mengeluarkan sebahagian daripada perut (gastrektomi subtotal) . Semasa prosedur ini,  pakar bedah hanya membuang bahagian perut yang terkena kanser.

Mengeluarkan keseluruhan perut (gastrektomi penuh). Gastrektomi penuh melibatkan pembuangan seluruh perut dan beberapa tisu di sekelilingnya. Esofagus kemudiannya akan dihubungkan terus ke usus kecil untuk membolehkan makanan bergerak melalui sistem pencernaan anda. 

Mengeluarkan nodus limfa untuk mencari kanser. Pakar bedah akan memeriksa dan membuang nodus limfa di perut anda bagi tujuan mencari sel-sel kanser.

 Pembedahan untuk melegakan tanda-tanda dan simptom. Mengeluarkan sebahagian perut boleh melegakan tanda-tanda dan simptom tumor yang semakin teruk pada pesakit yang mengalami Kanser Perut lanjut. Dalam kes ini, pembedahan tidak boleh menyembuhkan Kanser Perut tersebut, namun ia boleh menjadikan pesakit lebih selesa.

Walau bagaimanapun, pembedahan membawa risiko pendarahan dan jangkitan. Jika semua atau sebahagian perut anda dikeluarkan, anda mungkin mengalami masalah pencernaan.

– Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga berkuasa tinggi, seperti sinar-X dan proton untuk membunuh sel-sel kanser. Sinaran tenaga akan dipancarkan dari mesin yang bergerak di sekeliling anda, sambil anda berbaring di atas meja.

Terapi radiasi boleh digunakan sebelum pembedahan (radiasi neoadjuvant) untuk mengecutkan tumor supaya ia lebih mudah untuk dikeluarkan. Selain itu, terapi radiasi juga boleh digunakan selepas pembedahan (radiasi pembantu) untuk membunuh mana-mana sel kanser yang mungkin kekal di kawasan sekitar esofagus atau perut anda.

Namun begitu, terapi radiasi pada perut anda boleh menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, senak, mual dan muntah.

Terapi radiasi pada kerongkong pula mengakibatkan rasa sakit ketika menelan dan kesulitan untuk menelan. Untuk mengelakkan kesan sampingan ini, anda mungkin dinasihatkan supaya menggunakan tiub makan yang diletakkan di dalam perut anda melalui pembedahan kecil di perut sehingga esofagus anda sembuh.

Dalam kes kanser yang lanjut, terapi radiasi boleh digunakan untuk melegakan kesan sampingan yang disebabkan oleh tumor yang besar.

Kemoterapi

Kemoterapi adalah rawatan ubat-ubatan yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel-sel kanser. Ubat kemoterapi bergerak ke seluruh tubuh anda, lalu membunuh sel-sel kanser yang mungkin tersebar di bahagian luar perut.

Kemoterapi boleh diberikan sebelum pembedahan (kemoterapi neoadjuvant) untuk membantu mengecutkan tumor supaya ia lebih mudah untuk dikeluarkan. Selain itu, kemoterapi juga digunakan selepas pembedahan (kemoterapi adjuvant) untuk membunuh mana-mana sel kanser yang mungkin kekal di dalam badan.

Kemoterapi sering digabungkan dengan terapi radiasi ataupun boleh digunakan secara tunggal bagi individu yang mempunyai Kanser Perut yang lanjut bertujuan untuk membantu melegakan tanda-tanda dan simptom yang mereka alami.

Kesan sampingan kemoterapi bergantung kepada ubat-ubatan yang digunakan.

Ubat yang disasarkan

Terapi yang disasarkan menggunakan ubat-ubatan yang menyerang keabnormalan tertentu dalam sel kanser atau mengarahkan sistem imun anda untuk membunuh sel kanser (imunoterapi). Ubat yang disasarkan untuk merawat Kanser Perut termasuklah:

Trastuzumab (Herceptin) bagi sel-sel kanser perut yang menghasilkan terlalu banyak HER2

Ramucirumab (Cyramza) bagi Kanser Perut yang lanjut dan ia tidak memberi memberi tindak balas terhadap rawatan lain

Imatinib (Gleevec) bagi bentuk kanser perut yang jarang berlaku, seperti tumor stromal gastrointestinal

Sunitinib (Sutent) bagi merawat tumor stromal gastrointestinal

Regorafenib (Stivarga) untuk merawat tumor stromal gastrointestinal

Ubat yang disasarkan sering digunakan secara kombinasi bersama ubat kemoterapi biasa. Rawatan yang sesuai bergantung pada ujian sel-sel kanser anda.

Penjagaan sokongan (paliatif)

Penjagaan paliatif adalah rawatan perubatan khusus yang memberi tumpuan kepada memberikan bantuan kepada pesakit Kanser Perut yang mengalami kesakitan dan simptom penyakit lain yang serius.

Pakar penjagaan paliatif bekerja dengan anda, keluarga dan doktor anda untuk memberikan sokongan tambahan bagi melengkapi proses penjagaan anda secara berterusan.

Penjagaan sokongan paliatif sangat membantu semasa pesakit menjalani rawatan invasif seperti pembedahan, kemoterapi atau terapi radiasi.

Apabila sokongan penjagaan paliatif digabungkan bersama semua rawatan yang sesuai, individu yang mempunyai kanser mungkin merasa lebih baik dan hidup lebih lama.

Selalunya, penjagaan sokongan paliatif disediakan oleh sekumpulan doktor, jururawat dan pakar kesihatan terlatih.

Pasukan penjagaan sokongan paliatif bertujuan untuk memperbaiki kualiti hidup pesakit yang mempunyai kanserserta ahli keluarga mereka. Penjagaan ini ditawarkan di samping rawatan lain yang mungkin anda terima.

Sumber:

Summary
Kanser Perut (Stomach Cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Perut (Stomach Cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser perut berlaku apabila sel-sel kanser terbentuk dalam lapisan dalam pada perut anda. Sel-sel ini boleh tumbuh sehingga menjadi tumor.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: