kanser paru-paru
Lebih daripada 4 daripada setiap 5 kes kanser paru-paru dikaitkan dengan merokok.

Walaupun kanser paru-paru adalah punca utama kematian disebabkan kanser bagi kedua-dua golongan lelaki dan wanita, kejadian kanser paru-paru serta kematian yang berkaitan dengannya dapat dikurangkan.

Lebih daripada 4 daripada setiap 5 kes kanser ini dikaitkan dengan merokok. Hubungan antara sebab dan kesan berkaitan kedua-dua aspek ini (kanser paru-paru dan merokok) telah didokumentasikan secara meluas. Semasa tahun 1920-an, ramai lelaki mula merokok, mungkin sebagai tindak balas terhadap pengiklanan yang semakin berkembang. 20 tahun kemudian, kekerapan kanser ini yang berlaku pada lelaki meningkat secara mendadak. Kemudian, pada tahun 1940-an, semakin ramai wanita pula yang menjadi perokok. 20 tahun kemudian, terdapat peningkatan dramatik yang sama dalam kalangan wanita yang menghidap kanser sama.

Seterusnya, tumor paru-paru biasanya bermula di bahagian span dinding kelabu yang berwarna merah jambu bronki iaitu saluran pernafasan paru-paru atau kantung udara berbentuk tiub yang dipanggil alveoli. Lebih daripada 20 jenis tumor malignan (teruk) yang berasal dari paru-paru itu sendiri dalam kes kanser paru-paru utama telah dikenalpasti. Jenis utama kanser tersebut adalah kanser paru-paru sel kecil dan kanser paru-paru bukan sel kecil. Bagi jenis kanser paru-paru bukan kecil biasanya dibahagikan kepada karsinoma sel squamos, adenokarsinoma dan karsinoma sel besar.

Jenis Kanser Paru-paru

Doktor membahagikan kanserini kepada dua jenis utama berdasarkan penampilan sel kanser paru-paru di bawah mikroskop. Kemudian, doktor akan membuat keputusan rawatan berdasarkan jenis utama kanser paru-paru yang anda miliki.

Kedua-dua jenis kanser tersebut termasuklah:

  • Kanser paru-paru sel kecil. Jenis ini berlaku hampir secara eksklusif kepada perokok tegar (heavy smokers) dan tidak banyak berlaku berbanding kanser paru-paru bukan sel kecil.
  • Kanser paru-paru bukan sel kecil. Ini adalah istilah besar bagi beberapa jenis kanser paru-paru yang berkelakuan dengan cara yang sama. Kanser paru-paru bukan sel kecil termasuklah karsinoma sel skuamosa, adenokarsinoma dan karsinoma sel besar.

Simptom Kanser Paru-paru

Kanser ini biasanya tidak menyebabkan tanda dan gejala di peringkat awal. Simptom kanser tersebut biasanya hanya berlaku apabila penyakit itu menjadi semakin merebak.

Seterusnya, tanda dan gejala kanser paru-paru mungkin termasuk:

  • Batuk baru yang tidak hilang.
  • Batuk berdarah, walaupun sedikit.
  • Sesak nafas.
  • Sakit dada.
  • Suara serak.
  • Kehilangan berat badan tanpa alasan.
  • Kesakitan tulang.
  • Sakit kepala.

Punca Kanser Paru-paru

Merokok adalah penyebab bagi majoriti kanser paru-paru pada kedua-dua perokok ataupun individu yang terdedah kepada asap rokok. Namun begitu, kanser ini juga berlaku pada individu yang tidak pernah merokok dan pada mereka yang tidak pernah terdedah kepada asap rokok. Dalam kes-kes seperti ini, mungkin tiada sebab yang jelas bagaimana golongan ini boleh menghidap kanser berkenaan.

Bagaimana merokok menyebabkan kanser paru-paru?

Doktor mempercayai bahawa merokok menyebabkan kanser paru-paru dengan merosakkan sel-sel yang memasuki paru-paru. Apabila anda menyedut asap rokok yang penuh dengan bahan penyebab kanser (karsinogen), perubahan dalam tisu paru-paru akan bermula hampir serta-merta.

Pada mulanya, badan anda mungkin dapat membaiki kerosakan ini. Namun, dengan keadaan sama yang berulang, sel-sel normal pada paru-paru anda akan menjadi semakin rosak. Lama-kelamaan, kerosakan ini menyebabkan sel-sel bertindak dengan tidak normal dan akhirnya menyebabkan perkembangan kanser.

Diagnosis Kanser Paru-paru

– Memeriksa kanser paru-paru pada individu sihat

Individu yang mempunyai risiko peningkatan kanser ini boleh mempertimbangkan pemeriksaan kanser paru-paru tahunan menggunakan imbasan tomografi berkomputer (CT scan) dos rendah. Pemeriksaan kanser tersebut umumnya ditawarkan kepada seseorang yang berumur 55 tahun dan lebih tua yang telah menjadi perokok tegar selama bertahun-tahun tetapi masih sihat.

Jadi, bincangkan risiko kanser berkenaan dengan doktor. Anda kemudian boleh menentukan bersama-sama doktor sama ada pemeriksaan kanser itu adalah tepat untuk anda.

– Ujian untuk mendiagnosis kanser paru-paru

Jika anda merasakan bahawa anda mungkin mempunyai kanser tersebut, doktor boleh melakukan beberapa ujian untuk mencari sel-sel kanser serta menolak kemungkinan bagi keadaan lain.

Ujian mungkin termasuk:

  • Ujian pengimejan. Gambar sinar-X (X-ray) paru-paru anda boleh mendedahkan jisim atau nodul yang tidak normal. Seterusnya, pemeriksaan tomografi berkomputer (CT scan) boleh mendedahkan luka-luka kecil di dalam paru-paru anda yang mungkin tidak dapat dikesan pada sinar-X (X-ray) terdahulu.
  • Sitologi kahak (sputum). Sekiranya anda mengalami keadaan batuk batuk dan mengeluarkan kahak (sputum), memeriksa kuman tersebut di bawah mikroskop kadangkala boleh mendedahkan kehadiran sel-sel kanser paru-paru.
  • Sampel tisu (biopsi). Satu sampel sel tidak normal boleh dikeluarkan dalam prosedur yang dipanggil biopsi.

Doktor anda boleh melakukan biopsi dalam beberapa cara, termasuk bronkoskopi, di mana doktor akan memeriksa kawasan yang tidak normal di dalam paru-paru menggunakan tiub yang menyala yang dimasukkan ke dalam kerongkong dan ke dalam paru-paru anda. Ini dipanggil sebagai mediastinoskopi, di mana goresan dibuat di pangkal leher dan alat pembedahan dimasukkan di belakang tulang dada anda untuk mengambil sampel tisu dari nodus limfa.

Bagi biopsi jarum, doktor menggunakan gambar sinar-X (X-ray) atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan) untuk membimbing jarum melalui dinding dada dan ke dalam tisu paru-paru untuk mengumpul sel-sel yang mencurigakan.

Sampel biopsi juga boleh diambil dari nodus limfa atau kawasan lain di mana kanser telah tersebar, seperti hati anda.

Di samping itu, analisis yang berhati-hati terhadap sel-sel kanser di makmal akan mendedahkan jenis kanser yang anda miliki. Hasil pengujian yang canggih dapat memberitahu doktor tentang ciri-ciri khusus sel-sel bagi membantu menentukan prognosis dan membimbing rawatan anda.

Ujian untuk menentukan tahap kanser

Apabila kanser anda telah didiagnosis, doktor akan menentukan tahap (peringkat) kanser itu. Peringkat kanser ini membantu anda dan doktor untuk menentukan rawatan yang paling sesuai.

Ujian berperingkat mungkin seperti prosedur pengimejan yang membolehkan doktor mencari bukti bahawa kanser telah tersebar di luar paru-paru anda. Ujian ini termasuklah imbasan tomografi berkomputer (CT scan), imbasan resonans magnetik (MRI scan), imbasan tomografi pelepasan positron (PET scan) dan imbasan tulang. Bukan setiap ujian adalah sesuai untuk setiap orang, jadi berbincanglah dengan doktor tentang prosedur yang sesuai untuk anda.

Faktor Risiko Kanser Paru-paru

Beberapa faktor boleh meningkatkan risiko kanser ini. Sesetengah faktor risiko boleh dikawal, contohnya, dengan berhenti merokok. Namun, ada juga faktor lain yang tidak dapat dikawal, seperti sejarah keluarga anda.

Faktor risiko kanser tersebut termasuk:

  • Merokok. Risiko kanser paru-paru meningkat dengan jumlah rokok yang anda hisap setiap hari serta tempoh berapa lama anda telah merokok. Berhenti merokok pada mana-mana peringkat umur dapat menurunkan risiko kanser paru-paru.
  • Pendedahan kepada bekas asap. Walaupun anda tidak merokok, risiko kanser paru-paru meningkat jika anda terdedah kepada asap rokok.
  • Pendedahan kepada gas radon. Radon dihasilkan oleh pecahan semula jadi uranium dalam tanah, batu dan air yang akhirnya menjadi sebahagian daripada udara yang anda hirup. Paras radon yang tidak selamat boleh terkumpul di mana-mana bangunan, termasuk rumah-rumah.
  • Pendedahan kepada asbestos dan karsinogen lain. Pendedahan kepada asbestos dan bahan-bahan lain yang diketahui menyebabkan kanser seperti arsenik, kromium dan nikel di tempat kerja juga boleh meningkatkan risiko anda mendapat kanser berkenaan, terutamanya jika anda adalah seorang perokok.

Rawatan Kanser Paru-paru

Anda dan doktor boleh memilih pelan rawatan kanser berdasarkan beberapa faktor, seperti kesihatan keseluruhan diri, jenis dan tahap kanser serta keutamaan anda.

Pasukan penjagaan anda mungkin termasuk:

  • Ahli onkologi (Oncologists).
  • Ahli patologi (Pathologists).
  • Ahli paru-paru (Pulmonologists).
  • Ahli onkologi radiasi (Radiation oncologists).
  • Ahli radiologi (Radiologists).
  • Pakar bedah dada (Thoracic surgeons).
  • Pakar lain yang diperlukan, termasuk doktor yang pakar dalam penjagaan paliatif.

Mempunyai ahli pakar dalam pelbagai disiplin di pihak anda bermakna semua doktor mempunyai matlmat yang sama. Ini adalah amat bermanfaat untuk menyelaraskan protokol rawatan rumit yang melibatkan pelbagai terapi.

Dalam sesetengah kes, anda boleh memilih untuk tidak menjalani rawatan. Contohnya, anda mungkin merasakan bahawa kesan sampingan rawatan akan lebih memberi kesan berbanding memberikan manfaat. Jika itu berlaku, doktor mungkin mencadangkan penjagaan kesihatan yang selamat dengan hanya merawat simptom kanser itu, seperti sakit atau sesak nafas.

– Pembedahan

Kajian menunjukkan bahawa hospital dengan jumlah pembedahan yang tinggi mempunyai peningkatan keberhasilannya dalam mengubati kanser ini, termasuklah kesakitan selepas pembedahan, tempoh berada di hospital yang lebih pendek dan kurang komplikasi.

Semasa pembedahan, pakar bedah akan mengeluarkan kanser berkenaan dan margin tisu yang sihat. Prosedur untuk membuang kanser paru-paru termasuklah:

  • Pemotongan baji (wedge resection) untuk membuang seksyen kecil paru-paru yang mengandungi tumor bersama dengan margin tisu yang sihat
  • Pemotongan bersegmen (segmental resection) untuk mengeluarkan sebahagian besar paru-paru, tetapi bukan seluruh lobus
  • Lobektomi (lobectomy) untuk mengeluarkan seluruh lobus satu paru-paru
  • Pneumonektomi (pneumonectomy) untuk menghilangkan seluruh paru-paru

Sekiranya anda menjalani pembedahan, pakar bedah juga boleh mengeluarkan nodus limfa daripada dada anda untuk memeriksa tanda-tanda kanser.

Pembedahan mungkin menjadi pilihan jika kanser terbatas hanya pada paru-paru. Jika anda mempunyai kanser paru-paru yang lebih serius, doktor boleh mengesyorkan kemoterapi atau terapi radiasi yang dilakukan sebelum pembedahan untuk mengecilkan kanser itu. Di samping itu, sekiranya terdapat risiko sel kanser tersisa selepas pembedahan atau kanser anda mungkin berulang, doktor mungkin mengesyorkan kemoterapi atau terapi radiasi selepas pembedahan.

Teknik pembedahan lanjutan seperti pembedahan minimal invasif dan pembedahan thorakoskopik dengan bantuan video (video-assisted thoracoscopic surgery – VATS) dapat mengurangkan tempoh waktu yang anda perlukan untuk berada di hospital setelah pembedahan kanser paru-paru. Ini membolehkan anda kembali melakukan aktiviti harian dengan lebih cepat. Penyelidikan juga menunjukkan bahawa individu yang menjalani pembedahan kanser tersebut secara minimal invasif di hospital dan melakukannya setiap tahun lebih cenderung mengalami kesakitan dan komplikasi yang kurang.

– Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga berkuasa tinggi dari sumber seperti sinar-X dan proton untuk membunuh sel kanser. Semasa terapi radiasi, anda akan berbaring di atas meja sementara mesin bergerak di sekeliling anda, mengarahkan radiasi ke titik tepat pada badan anda.

Bagi individu dengan tahap kanser yang serius, radiasi boleh digunakan sebelum pembedahan atau selepas pembedahan. Selain itu, ia juga sering digabungkan dengan rawatan kemoterapi. Sekiranya pembedahan bukanlah satu pilihan, gabungan kemoterapi dan terapi radiasi mungkin menjadi rawatan utama buat anda.

Seterusnya, bagi kanser paru-paru yang lebih maju dan kanser yang telah merebak ke bahagian badan yang lain, terapi radiasi boleh membantu melegakan gejala seperti kesakitan.

Apabila dibandingkan dengan teknik terapi radiasi yang biasa, rawatan yang lebih baru dan tepat boleh menjadi lebih berkesan dan memberikan kesan sampingan yang kurang.

Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel kanser. Satu atau lebih ubat kemoterapi boleh diberikan melalui vena di lengan anda (intravena) atau diambil melalui mulut. Gabungan ubat biasanya diberikan dalam satu siri rawatan sepanjang tempoh berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dengan rehat di antaranya supaya anda dapat pulih.

Rawatan ini sering digunakan selepas pembedahan untuk membunuh sebarang sel kanser yang mungkin masih kekal. Ia boleh digunakan secara bersendirian atau digabungkan dengan terapi radiasi. Tambahan lagi, rawatan kemoterapi juga boleh digunakan sebelum pembedahan untuk mengecilkan kanser dan menjadikannya lebih mudah untuk dikeluarkan.

Pada penghidap kanser paru-paru yang lebih serius, kemoterapi boleh digunakan untuk melegakan kesakitan dan gejala lain.

– Radiosurgeri

Radioterapi badan stereotaktik, juga dikenali sebagai radiosurgeri adalah rawatan radiasi yang kuat dan menumpukan banyak sinaran radiasi dari pelbagai sudut pada kanser itu. Rawatan ini biasanya dilakukan dalam satu atau beberapa kali rawatan.

Seterusnya, kaedah ini mungkin menjadi pilihan bagi mereka yang mempunyai kanser paru-paru kecil dan tidak boleh menjalani pembedahan. Ia juga boleh digunakan untuk merawat kanser paru-paru yang sudah merebak ke bahagian badan lain, termasuk otak.

Terapi ubat yang disasarkan

Rawatan ubat yang disasarkan memberi tumpuan kepada keabnormalan tertentu yang terdapat dalam sel-sel kanser. Dengan menyekat keabnormalan ini, rawatan ini boleh menyebabkan sel-sel kanser mati.

Banyak ubat terapi yang disasarkan digunakan untuk merawat kanser paru-paru, walaupun kebanyakannya dikhaskan bagi individu yang mempunyai kes kanser yang serius atau berulang.

Namun begitu, sesetengah terapi yang disasarkan hanya berfungsi pada sel-sel kanser yang mempunyai mutasi genetik tertentu. Justeru itu, sel-sel kanser anda boleh diuji di makmal bagi melihat jika ubat-ubatan ini boleh membantu anda ataupun tidak.

Imunoterapi

Imunoterapi menggunakan sistem imun anda untuk melawan kanser. Sistem imun yang memerangi penyakit mungkin tidak menyerang kanser anda kerana sel-sel kanser ini menghasilkan protein yang membutakan sel-sel sistem imun. Jadi, rawatan imunoterapi dilakukan dengan tujuan mengganggu proses itu.

Selain itu, rawatan imunoterapi biasanya dilakukan pada pesakit kanser paru-paru dengan tahap yang serius.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lung-cancer/symptoms-causes/syc-20374620

https://www.healthline.com/health/lung-cancer

https://www.medicalnewstoday.com/articles/323701

https://www.webmd.com/lung-cancer/default.htm

Summary
Kanser Paru-paru (Lung cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Paru-paru (Lung cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Lebih daripada 4 daripada setiap 5 kes kanser paru-paru dikaitkan dengan merokok. Namun begitu, ia juga berlaku pada individu yang tidak pernah merokok.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: