Kanser otak
Kanser otak boleh mempunyai pelbagai simptom termasuk kejang, mengantuk, kekeliruan, dan perubahan tingkah laku. Tidak semua tumor otak adalah kanser, dan tumor benigna boleh menyebabkan simptom yang sama.

Kanser otak boleh mempunyai pelbagai simptom termasuk sawan, mengantuk, kekeliruan, dan perubahan tingkah laku. Tidak semua tumor otak adalah kanser, dan tumor jenis benigna boleh memberikan simptom yang sama.

Tumor otak adalah pertumbuhan sel yang tidak normal dalam otak. Walaupun pertumbuhan seperti itu kebanyakannya disebut sebagai tumor otak, tidak semua tumor otak adalah kanser. Kanser adalah istilah yang dikhaskan untuk tumor jenis malignan. Tumor malignan boleh tumbuh dan tersebar secara agresif, mengatasi sel yang sihat dengan mengambil ruang, darah, dan nutrien mereka. Mereka juga boleh merebak ke bahagian tubuh yang jauh. Seperti semua sel badan, sel-sel tumor memerlukan darah dan nutrien untuk hidup.

Tumor yang tidak menyerang tisu berdekatan atau merebak ke kawasan yang jauh dipanggil benigna. Secara umum, tumor benigna adalah kurang serius berbanding tumor malignan. Tetapi, tumor benigna masih boleh menyebabkan banyak masalah pada otak dengan menekan tisu berdekatan.

Punca Tumor Otak

– Kanser otak primer

Otak terdiri daripada pelbagai jenis sel.

Sesetengah kanser otak berlaku apabila satu jenis sel berubah daripada ciri-ciri normalnya. Setelah berubah, sel-sel ini berkembang dan membiak dengan cara yang tidak normal. Apabila sel-sel yang tidak normal ini tumbuh, mereka menjadi jisim, atau tumor. Tumor otak yang terhasil dipanggil tumor otak primer kerana ia berasal dari otak.

Tumor otak primer yang paling biasa adalah glioma, meningioma, adenoma pituitari, schwannomas vestibular, dan tumor neuroektoderma primitif (medulloblastoma). Istilah glioma termasuklah glioblastoma, astrositoma, oligodendroglioma, dan ependimoma. Kebanyakannya dinamakan sempena nama bahagian otak atau jenis sel otak di mana ia muncul.

– Kanser otak metastatik

Tumor otak metastatik dihasilkan oleh sel kanser dari tumor di tempat lain dalam badan. Sel-sel ini tersebar ke otak dari tumor yang lain dalam proses yang disebut metastasis. Ini adalah jenis tumor otak yang paling biasa.

Simptom Kanser Otak

Tidak semua tumor otak boleh menyebabkan simptom, dan beberapa simptom (seperti tumor kelenjar pituitari) biasanya tidak dijumpai kecuali ‘CT scan’ atau MRI yang dibuat untuk sebab yang lain. Terdapat  banyak simptom kanser otak yang tidak khusus pada tumor otak sahaja, bermakna mereka boleh berlaku kerana penyakit lain. Satu-satunya cara untuk mengenal pasti apa yang menyebabkan simptom tersebut adalah dengan menjalani ujian diagnostik.

Simptom yang terjadi boleh disebabkan oleh:

  • Tumor yang menekan atau menceroboh bahagian otak yang lain dan menghalang mereka dari berfungsi dengan normal.
  • Bengkak pada otak yang disebabkan oleh tumor atau keradangan sekitarnya.
  • Simptom bagi kanser otak primer dan metastatik adalah serupa.

Simptom berikut adalah yang paling biasa:

  • Sakit kepala
  • Lemah
  • Cuai
  • Kesukaran berjalan
  • Kejang

Simptom dan tanda-tanda lain:

  • Keadaan mental yang berubah – perubahan dalam tumpuan, ingatan, perhatian, atau kewaspadaan
  • Loya, muntah
  • Keabnormalan dalam penglihatan
  • Kesukaran bercakap
  • Perubahan secara ansuran dalam keupayaan intelek atau tindak balas emosi

Bagi kebanyakan orang, permulaan simptom-simptom ini sangat perlahan dan mungkin terlepas pandang oleh individu yang mempunyai tumor otak mahupun keluarga mereka. Kadangkala, permulaan simptom-simptom ini boleh berlaku lebih cepat. Dalam sesetengah keadaan, individu akan bertindak seolah-olah seperti sedang mengalami strok.

Faktor Risiko Kanser Otak

Bagi kebanyakan orang dengan tumor otak primer, penyebab tumor adalah tidak jelas. Tetapi, doktor telah mengenal pasti beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko tumor otak seperti:

  • Pendedahan kepada radiasi – Orang yang terdedah kepada sejenis radiasi yang dikenali sebagai radiasi pengionan mempunyai risiko tumor otak yang tinggi. Contoh radiasi ini termasuklah terapi radiasi yang digunakan untuk merawat kanser dan pendedahan sinaran yang disebabkan oleh bom atom.
  • Sejarah keluarga yang menghidap tumor otak – Sebahagian kecil tumor otak berlaku pada orang yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap tumor otak atau sejarah keluarga sindrom genetik yang meningkatkan risiko mendapat tumor otak.

Diagnosis Kanser

Hasil daripada pemeriksaan fizikal anda mungkin menandakan kepada pakar penjagaan kesihatan anda bahawa anda mempunyai masalah dengan otak atau akar pada otak.

  • Imbasan CT. Dalam kebanyakan kes, anda akan menjalani imbasan CT pada otak. Ujian ini adalah seperti sinar-X, tetapi ia menunjukkan maklumat lebih terperinci dengan tiga dimensi. Biasanya, pewarna kontras akan disuntik ke dalam aliran darah anda untuk menonjolkan keabnormalan pada imbasan.
  • Imbasan MRI. Biasanya, imbasan MRI digunakan berbanding imbasan CT untuk mengenal pasti tumor otak yang disyaki. Ini adalah kerana MRI mempunyai kepekaan yang lebih tinggi untuk mengesan kehadiran, atau perubahan dalam tumor. Walau bagaimanapun, kebanyakan institusi masih menggunakan imbasan CT sebagai ujian diagnostik awal.
  • Ujian lain. Pesakit kanser otak sering mengalami masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, ujian makmal rutin yang lain boleh dilakukan. Ini termasuklah ujian darah, elektrolit, dan ujian fungsi hati.

Sekiranya keadaan mental anda mengalami perubahan yang mendadak, ujian darah atau air kencing boleh dilakukan untuk mengesan penggunaan dadah.

Jika imbasan anda menunjukkan kehadiran kanser tumor otak, anda akan dirujuk kepada pakar kanser, yang dipanggil pakar neuro-onkologi.

  • Biopsi. Ia adalah pengesahan bahawa anda menghidap kanser, biasanya dengan mengambil dan menguji sampel tumor. Proses ini dipanggil biopsi:

Teknik yang paling banyak digunakan untuk mendapatkan biopsi adalah melalui pembedahan. Tengkorak akan dibuka, biasanya dengan tujuan untuk membuang keseluruhan tumor, jika boleh. Biopsi kemudian diambil dari tumor.

Jika pakar bedah tidak dapat mengeluarkan keseluruhan tumor, sekeping tumor yang kecil dikeluarkan.

Dalam beberapa kes, biopsi boleh dilakukan tanpa membuka tengkorak. Lokasi sebenar tumor pada otak ditentukan dengan menggunakan pemeriksaan CT atau MRI. Lubang kecil kemudian dibuat pada tengkorak dan jarum dimasukkan melalui lubang sehingga ke tumor itu. Jarum itu dikeluarkan setelah biopsi diambil. Teknik ini dipanggil stereotaksis, atau biopsi stereotaktik.

Biopsi kemudiannya diperiksa di bawah mikroskop oleh ahli patologi (seorang doktor pakar dalam diagnosis penyakit dengan melihat sel-sel dan tisu).

Rawatan Tumor Otak

Rawatan untuk tumor otak bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi tumor, serta kesihatan keseluruhan dan pilihan anda.

Pembedahan

Sekiranya tumor otak terletak di tempat yang boleh diakses untuk membuat pembedahan, pakar bedah anda akan berusaha untuk membuang sebanyak mungkin tumor otak tersebut.

Dalam sesetengah kes, tumor kecil lebih mudah dipisahkan dari tisu sekitar otak, yang membuatkan pembuangan keseluruhan dapat dilakukan. Dalam kes lain, tumor tidak boleh dipisahkan dari tisu sekeliling atau mereka terletak berhampiran kawasan sensitif pada otak anda, menjadikan pembedahan itu sangat berisiko. Dalam situasi ini, doktor anda akan membuang sebanyak mungkin tumor secara selamat.

Walau hanya dengan mengeluarkan sebahagian daripada tumor otak sudah boleh membantu mengurangkan tanda-tanda dan gejala anda.

Pembedahan untuk membuang tumor otak boleh membawa risiko, seperti jangkitan dan pendarahan. Risiko lain mungkin bergantung kepada bahagian otak anda di mana tumor itu berada. Sebagai contoh, pembedahan pada tumor berhampiran saraf yang bersambung ke mata anda mungkin membawa risiko kehilangan penglihatan.

Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan sinaran tenaga tinggi, seperti sinar-X atau proton, untuk membunuh sel-sel tumor. Terapi radiasi boleh datang daripada mesin di luar badan anda (radiasi pancaran luaran), atau, dalam kes-kes yang amat jarang berlaku, radiasi boleh diletakkan di dalam badan anda berdekatan dengan tumor otak anda (terapi sinaran).

Radiologi pancaran luaran boleh memberi tumpuan hanya pada kawasan otak anda di mana tumor terletak, atau ia boleh digunakan untuk keseluruhan otak anda (radiasi seluruh otak). Radiasi keseluruhan otak paling kerap digunakan untuk merawat kanser yang merebak ke otak dari beberapa bahagian tubuh lain dan membentuk beberapa tumor di dalam otak.

Satu bentuk terapi radiasi yang terbaru ialah dengan menggunakan pancaran proton dan sedang dikaji untuk digunakan pada pesakit tumor otak. Untuk tumor yang sangat dekat dengan kawasan sensitif otak, terapi proton boleh mengurangkan risiko kesan sampingan yang berkaitan dengan radiasi. Tetapi, terapi proton tidaklah terbukti lebih berkesan daripada terapi radiasi standard dengan X-ray.

Kesan sampingan terapi sinaran bergantung kepada jenis dan dos radiasi yang anda terima. Kesan yang biasa berlaku semasa atau selepas radiasi termasuklah keletihan, sakit kepala, kehilangan ingatan dan kerengsaan kulit kepala.

Radiosurgeri

Stereotaktik radiosurgeri bukanlah satu bentuk pembedahan dalam pengertian tradisional. Sebaliknya, radiosurgeri menggunakan pelbagai sinaran radiasi untuk memberikan rawatan radiasi dengan fokus membunuh sel-sel tumor di kawasan yang sangat kecil. Setiap rasuk radiasi tidak begitu kuat, tetapi titik di mana semua rasuk bertemu – pada tumor otak – menerima dos radiasi yang sangat besar untuk membunuh sel-sel tumor.

Terdapat pelbagai jenis teknologi yang digunakan dalam radiosurgeri untuk menyampaikan radiasi untuk merawat tumor otak, seperti Gamma Knife atau pemecut linear.

Radiosurgeri biasanya dilakukan dalam satu rawatan, dan dalam kebanyakan kes, anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.

Kemoterapi

Kemoterapi menggunakan ubat untuk membunuh sel-sel tumor. Ubat kemoterapi boleh diambil dalam bentuk pil atau disuntik ke dalam vena (intravena). Seterusnya, jenis ubat kemoterapi yang paling kerap digunakan untuk merawat tumor otak adalah ‘temozolomide’ (Temodar), yang diambil sebagai pil. Banyak ubat kemoterapi lain yang boleh didapati dan boleh digunakan bergantung kepada jenis kanser.

Kesan sampingan kemoterapi bergantung kepada jenis dan dos ubat yang anda terima. Ia termasuklah boleh menyebabkan rasa mual, muntah-muntah dan keguguran rambut.

Ujian sel tumor otak anda boleh menentukan sama ada kemoterapi akan membantu anda atau tidak. Jenis tumor otak anda juga berguna dalam menentukan sama ada kemoterapi sesuai sebagai kaedah rawatan anda.

Terapi ubat yang disasarkan

Rawatan ubat yang disasarkan memberi tumpuan kepada keabnormalan tertentu yang terdapat dalam sel-sel kanser. Dengan menyekat kelainan ini, rawatan ubat yang disasarkan boleh menyebabkan sel-sel kanser mati.

Ubat terapi yang disasarkan boleh didapati untuk beberapa jenis tumor otak, dan banyak lagi yang sedang dikaji dalam ujian klinikal. Banyak bentuk terapi yang disasarkan sedang dibangunkan.

Pemulihan Selepas Rawatan

Oleh kerana tumor otak boleh berkembang di bahagian otak yang mengawal kemahiran motor, ucapan, penglihatan dan pemikiran, rehabilitasi mungkin merupakan pemulihan yang diperlukan. Bergantung kepada keperluan anda, doktor anda boleh merujuk anda kepada:

  • Terapi fizikal untuk membantu anda mendapatkan kemahiran motor yang hilang atau kekuatan otot.
  • Terapi pekerjaan untuk membantu anda kembali kepada aktiviti harian biasa anda, termasuk kerja, selepas kehadiran tumor otak atau penyakit lain.
  • Terapi pertuturan dengan pakar dalam kesulitan pertuturan (ahli patologi pertuturan) untuk membantu jika anda mengalami kesukaran bertutur dengan baik.
  • Sesi pembelajaran bagi kanak-kanak yang masih bersekolah untuk membantu mereka menghadapi perubahan ingatan dan fikiran selepas menghidapi tumor otak.

SUMBER

https://www.webmd.com/cancer/brain-cancer/default.htm

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/brain-tumor/symptoms-causes/syc-20350084

https://www.medicinenet.com/brain_cancer/article.htm

https://www.healthline.com/health/brain-cancer

Summary
Kanser Otak (Brain Cancer) - Punca, Simptom, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan dan Pemulihan Selepas Rawatan
Article Name
Kanser Otak (Brain Cancer) - Punca, Simptom, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan dan Pemulihan Selepas Rawatan
Description
Kanser otak boleh mempunyai pelbagai simptom termasuk kejang, mengantuk, kekeliruan, dan perubahan tingkah laku. Tidak semua tumor otak adalah kanser, dan tumor benigna boleh menyebabkan simptom yang sama.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: