kanser otak sekunder
Metastasis otak atau kanser otak sekunder berlaku apabila sel-sel kanser merebak dari tapak asal mereka ke bahagian otak.

Metastasis otak berlaku apabila sel-sel kanser merebak dari tapak asal mereka ke bahagian otak. Mana-mana jenis kanser boleh merebak ke otak, tetapi jenis yang paling bermungkin untuk menyebabkan metastasis otak adalah kanser paru-paru, payudara, kolon, buah pinggang dan melanoma.Selain itu, metastasis otak atau kanser otak sekunder boleh berlaku dalam 10 hingga 30 peratus orang dewasa yang menghidap kanser.

Apabila tumor otak metastatik berkembang, ia akan menyebabkan tekanan dan mengubah fungsi tisu otak di sekitarnya. Keadaan ini juga boleh menyebabkan banyak tanda dan gejala.

Seterusnya, pembedahan mahupun terapi radiasi atau kedua-duanya sekali biasanya harus dilakukan bagi pesakit kanser yang telah merebak ke otak. Dalam sesetengah kes, kemoterapi dan imunoterapi juga mungkin membantu. Rawatan yang dibuat sering memfokuskan untuk mengurangkan kesakitan dan gejala yang terjadi akibat kanser.

Simptom Kanser otak sekunder

Gejala yang paling biasa bagi kanser otak sekunder ialah:

  • Sakit kepala.
  • Badan yang lemah pada kawasan tertentu.
  • Masalah ingatan.
  • Perubahan emosi dan tingkah laku.
  • Sawan.
  • Mempunyai perasaan seperti sedang sakit atau betul-betul sakit.
  • Kekeliruan.
  • Kelesuan.

Seorang doktor mungkin mengesyaki anda mempunyai kanser otak sekunder jika:

  • Anda mempunyai sejarah kanser di bahagian badan lain, walaupun dari masa lalu yang dapat merebak ke otak.
  • Terdapatnya tumor di bahagian lain apabila sel-sel tubuh anda diimbas semula.
  • Ujian menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada satu tumor di dalam otak – tumor otak utama biasanya kekal dan tumbuh di satu tempat. Sekiranya terdapat lebih daripada satu tumor di dalam otak, ini kadangkala dipanggil sebagai beberapa sekunder otak.

Sesetengah orang dengan tumor otak sekundar tidak mempunyai tanda atau gejala dan kedua-duanya ditemui semasa pemeriksaan tumor utama mereka dilakukan.

Seterusnya, kadangkala tumor otak sekundar boleh didapati sebelum kanser primer telah didiagnosis. Dalam sebilangan kecil kes, ia mungkin atau tidak mungkin untuk mencari kanser yang asal. Dalam keadaan ini, tumor dikenali sebagai tumor otak sekunder yang terjadi daripada primer yang tidak diketahui.

Punca Kanser otak sekunder

Metastasis otak berlaku apabila sel kanser bergerak melalui saluran darah atau sistem limfa daripada tumor asal dan merebak (metastasize) ke otak. Kemudian, ia akan mula membiak di situ. Kanser metastatik yang merebak dari lokasi asalnya dikenali dengan nama kanser primer. Sebagai contoh, kanser yang merebak dari payudara ke otak disebut sebagai kanser payudara metastatik, bukannya kanser otak.

Tambahan pula, terdapat banyak teori tentang faktor yang menyebabkan kanser merebak dan mengapa sesetengah kanser bergerak ke otak. Metastasis otak daripada kanser paru-paru sering dijumpai pada awal penyakit, dan daripada kanser payudara yang lewat berkembang.

Diagnosis Kanser otak sekunder

Tumor otak biasanya tidak didiagnosis sehingga gejala muncul. Berikut adalah beberapa cara yang boleh dibuat sebelum doktor boleh mendiagnosis tumor otak metastatik:

  • Pemeriksaan fizikal: Setelah mengumpulkan maklumat tentang gejala dan riwayat kesihatan diri dan keluarga anda, doktor akan meneruskan ujian fizikal dan visi serta ujian refleks.
  • Pemeriksaan neurologi.
  • Komponen tomografi (Imbasan CT atau imbasan CAT)
  • Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan)
  • Imbasan pengimejan tensor pencitraan (DTI scan): Imbasan ini membolehkan pakar bedah dan pasukan perubatan untuk memvisualisasikan litar (atau pendawaian) otak untuk membimbing pembedahan. Imej-imej ini kemudiannya dimuatkan ke dalam sistem navigasi yang digunakan di dalam bilik operasi. Ia akan berfungsi sebagai sejenis GPS dan peta untuk pakar bedah.
  • Biopsi.

Faktor Risiko Kanser otak sekunder

Mana-mana jenis kanser boleh merebak ke otak, tetapi sekiranya anda mempunyai salah satu daripada jenis kanser berikut, ia boleh meningkatkan risiko anda mendapat metastasis otak:

  • Kanser paru-paru
  • Kanser payudara
  • Kanser kolon
  • Kanser buah pinggang
  • Melanoma

Rawatan Kanser otak sekunder

Jika didiagnosis dan dirawat lebih awal, metastasis otak biasanya bertindak balas terhadap terapi. Terapi ini boleh membantu meringankan gejala, pertumbuhan tumor yang perlahan dan memanjangkan hayat.

Pilihan rawatan bagi individu dengan metastasis otak sering kali merangkumi pengambilan ubat, pembedahan, radiosurgeri stereotaktik, terapi radiasi seluruh otak atau beberapa kombinasi tersebut. Dalam sesetengah kes, kemoterapi dan imunoterapi juga mingkin membantu. Namun, harus diingatkan bahawa tumor mungkin berulang selepas rawatan dibuat.

Selain itu, jenis rawatan yang terbaik untuk anda bergantung kepada saiz, bilangan dan lokasi tumor, gejala, kesihatan keseluruhan dan keutamaan anda. Berunding dengan doktor anda mengenai matlamat yang ingin anda capai untuk rawatan.

Ubat

Ubat kortikosteroid dengan dos tinggu boleh digunakan untuk meredakan pembengkakan di sekitar tumor dan mengurangkan tanda-tanda dan gejala neurologi.

Pembedahan

Sekiranya pembedahan adalah pilihan untuk anda dan metastasis otak anda terletak di tempat-tempat yang mudah untuk dibedah, pakar bedah akan berusaha untuk mengeluarkan kanser sebanyak mungkin. Dengan mengeluarkan sebahagian daripada tumor ini, ia boleh membantu mengurangkan tanda-tanda dan gejala anda.

Namun, setiap pembedahan yang dibuat untuk menghilangkan metastasis otak membawa risikonya tersendiri, seperti defisit neurologi, jangkitan dan pendarahan. Risiko lain mungkin bergantung kepada bahagian otak anda yang terkesan dengan tumor. Sebagai contoh, pembedahan pada tumor berhampiran saraf yang bersambung ke mata anda mungkin memberiksan risiko berlakunya kehilangan penglihatan.

Stereotaktik radiosurgeri untuk metastasis otak

Terapi radiasi menggunakan pancaran tenaga tinggi, seperti sinar-X boleh dibuat untuk membunuh sel-sel tumor. Bagi masalah ini, rawatan anda mungkin melibatkan satu atau kedua kaedah terapi radiasi berikut:

  • Radiasi seluruh otak. Radiasi seluruh otak adalah radiasi ke seluruh otak untuk membunuh sel-sel tumor. Orang yang menjalani radiasi jenis ini biasanya memerlukan 10 hingga 15 rawatan selama dua hingga tiga minggu.

Kesan sampingannya mungkin termasuk keletihan, mual dan kehilangan rambut. Bagi kesan jangka panjang pula, ia sering dikaitkan dengan penurunan fungsi kognitif.

  • Stereotaktik radiosurgeri. Dengan radiosurgeri stereotaktik (SRS), setiap sinaran radiasi yang dibuat tidak begitu kuat, tetapi titik di mana semua pancaran bertemu iaitu di tumor otak menerima dos radiasi yang sangat tinggi untuk membunuh sel-sel tumor. SRS biasanya dilakukan dalam satu rawatan, dan doktor boleh merawat pelbagai tumor dalam satu sesi sahaja. Seterusnya, dalam kebanyakan kes, anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.

Namun, kesan sampingan bagi kaedah ini mungkin termasuk rasa mual, sakit kepala, sawan dan pening kepala atau vertigo. Risiko penurunan fungsi kognitif jangka panjang selepas SRS dianggap kurang jika dibandingkan dengan rawatan radiasi seluruh otak.

Summary
Kanser otak sekunder (Secondary brain cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser otak sekunder (Secondary brain cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser otak sekunder berlaku apabila sel kanser bergerak melalui saluran darah atau sistem limfa daripada tumor asal dan merebak ke otak.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: