Kanser nodus limfa
Limfoma adalah kanser yang bermula dalam sel-sel yang melawan jangkitan pada sistem imun dipanggil ‘lymphocytes’

Limfoma atau kanser nodus limfa adalah kanser yang bermula dalam sel-sel yang melawan jangkitan pada sistem imun dipanggil ‘lymphocytes’. Sel-sel ini berada di dalam nodus limfa, limpa, timus, sumsum tulang dan bahagian-bahagian badan yang lain. Apabila anda mempunyai Limfoma, limfosit berubah dan berkembang luar kawalan.

Terdapat dua jenis utama Limfoma:

  • Non-Hodgkin: Kebanyakan individu dengan Limfoma mempunyai jenis ini.
  • Hodgkin

Limfoma Non-Hodgkin dan Hodgkin melibatkan pelbagai jenis sel limfosit. Seterusnya, setiap jenis Limfoma tumbuh pada kadar yang berbeza dan memberi respon secara berbeza kepada rawatan.

Penyakit Limfoma boleh dirawat dan prospeknya berbeza bergantung kepada jenis Limfoma dan peringkatnya. Doktor boleh membantu anda mendapatkan rawatan yang tepat bagi jenis dan tahap penyakit anda.

Di samping itu, Limfoma adalah berbeza daripada leukemia. Setiap kanser ini bermula dengan pelbagai jenis sel seperti:

  • Limfoma bermula dalam limfosit yang melawan jangkitan.
  • Leukemia bermula di dalam sel membentuk darah dalam sumsum tulang.

Limfoma juga tidak sama dengan limfedema, yang merupakan koleksi cecair yang terbentuk dalam tisu badan apabila terdapat kerosakan atau penyumbatan kepada sistem limfa.

Simptom Kanser Nodus Limfa (Limfoma)

Tanda-tanda Limfoma termasuk:

  • Kelenjar bengkak (nodus limfa) yang sering berlaku di leher, ketiak atau pangkal paha dan tidak menyakitkan.
  • Batuk.
  • Sesak nafas.
  • Demam.
  • Berpeluh pada waktu malam.
  • Keletihan.
  • Pengurangan berat badan.
  • Gatal-gatal.

Kebanyakan simptom ini juga boleh menjadi tanda amaran penyakit lain. Berjumpa dengan doktor bagi mengenalpasti sama ada anda mempunyai Limfoma atau tidak.

Punca Kanser Nodus Limfa (Limfoma)

Dalam kebanyakan kes, para saintis masih tidak dapat mengenal pasti apa yang menyebabkan penyakit Limfoma.

Namun, anda mungkin lebih berisiko jika anda:

  • Berusia 60-an atau lebih tua bagi jenis Limfoma bukan Hodgkin.
  • Berumur 15 hingga 40 tahun atau lebih tua daripada 55 tahun bagi jenis Limfoma Hodgkin.
  • Lelaki, walaupun sub-jenis tertentu mungkin lebih biasa berlaku pada wanita.
  • Mempunyai sistem imun yang lemah disebabkan HIV/ AIDS, pemindahan organ atau dilahirkan dengan penyakit imun
  • Mempunyai penyakit sistem imun seperti artritis reumatoid, sindrom Sjögren, lupus, atau penyakit seliak.
  • Dijangkiti virus seperti Epstein-Barr, Hepatitis C atau leukemia/ Limfoma sel T manusia.
  • Mempunyai saudara terdekat yang mempunyai Limfoma.
  • Terdedah kepada benzena (benzene) atau bahan kimia yang boleh membunuh pepijat dan rumpai.
  • Dirawat bagi keadaan Limfoma Hodgkin atau bukan Hodgkin pada masa lalu.
  • Dirawat dengan radiasi kanser.

Diagnosis Kanser Nodus Limfa (Limfoma)

Sebelum anda membuat sebarang ujian, doktor anda mungkin ingin tahu:

  • Bagaimanakah perasaan anda?
  • Bilakah anda mula melihat perubahan?
  • Adakah anda mengalami kesakitan di mana-mana bahagian badan?
  • Bagaimana tahap selera anda?
  • Pernahkah anda kehilangan berat badan?
  • Adakah anda berasa letih atau lemah?
  • Apakah masalah dan rawatan perubatan anda yang terkini?
  • Apakah sejarah perubatan anda yang lalui termasuk penyakit dan rawatan?
  • Apakah sejarah perubatan keluarga anda?

Doktor anda akan melakukan ujian fizikal, termasuk pemeriksaan kelenjar yang bengkak. Gejala ini tidak bermakna anda mempunyai kanser. Dalam kebanyakan masa, jangkitan tidak berkaitan dengan kanser atau menyebabkan nodus limfa bengkak.

Anda mungkin perlu melakukan biopsi nodus limfa untuk memeriksa sel-sel kanser. Dalam ujian ini, doktor akan mengeluarkan semua atau sebahagian daripada nodus limfa, atau menggunakan jarum untuk mengambil sejumlah kecil tisu dari nod yang terjejas.

Selain itu, anda juga mungkin perlu melakukan salah satu daripada ujian ini untuk membantu diagnosis, tahap atau menguruskan Limfoma seperti:

  • Aspirasi sumsum tulang atau biopsi. Doktor akan menggunakan jarum untuk mengeluarkan cecair atau tisu dari sumsum tulang anda. Ini adalah bahagian ‘spongy’ di dalam tulang yang mana sel-sel darah terhasil bagi mencari sel-sel Limfoma.
  • Sinar-X (X-Ray) dada. Ujian ini menggunakan radiasi dalam dos yang rendah untuk menghasilkan imej bahagian dalam dada anda.
  • Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan). Ia menggunakan magnet dan gelombang radio yang kuat untuk menghasilkan gambar-gambar organ dan struktur di dalam badan anda.
  • Imbasan PET. Ia menggunakan bahan radioaktif untuk mencari sel-sel kanser di dalam badan anda.
  • Ujian molekul. Ia mencari perubahan kepada gen, protein dan bahan lain dalam sel-sel kanser untuk membantu doktor anda mengetahui jenis Limfoma mana yang anda miliki.
  • Ujian darah. Ini melibatkan pemeriksaan bilangan sel, tahap bahan lain atau bukti jangkitan tertentu dalam darah anda.

Faktor Risiko Kanser Nodus Limfa (Limfoma)

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko Limfoma termasuk:

  • Umur. Sesetengah jenis Limfoma lebih biasa berlaku pada orang dewasa muda, sementara yang lain paling kerap didiagnosis pada orang berumur lebih dari 55 tahun.
  • Lelaki. Lelaki lebih berisiko mendapat Limfoma daripada wanita.
  • Mempunyai sistem imun yang terjejas. Limfoma lebih biasa berlaku pada individu dengan penyakit sistem imun. Ia juga boleh terjadi pada individu yang mengambil ubat-ubatan dan boleh menahan atau menyekat sistem imun mereka.
  • Mendapat jangkitan penyakit tertentu. Sesetengah jangkitan boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko Limfoma, termasuk virus Epstein-Barr dan jangkitan ‘Helicobacter pylori’.

Rawatan Kanser Nodus Limfa (Limfoma)

Rawatan yang anda dapatkan bergantung kepada jenis dan tahap Limfoma yang dimiliki.

Rawatan utama untuk Limfoma bukan Hodgkin adalah:

  • Kemoterapi, yang menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser.
  • Terapi radiasi, yang menggunakan sinar bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser.
  • Imunoterapi, yang menggunakan sistem imun badan anda untuk menyerang sel kanser.
  • Terapi yang disasarkan yang mensasarkan aspek sel Limfoma untuk mengekang pertumbuhan mereka.

Rawatan utama untuk Limfoma Hodgkin adalah:

  • Kemoterapi.
  • Terapi radiasi.
  • Imunoterapi.

Sekiranya rawatan ini tidak berfungsi, anda boleh melakukan pemindahan sel stem. Pertamanya, anda akan mendapat dos kemoterapi yang sangat tinggi. Rawatan ini boleh membunuh sel-sel kanser, tetapi ia juga dapat memusnahkan sel stem dalam sumsum tulang yang menghasilkan sel darah baru. Selepas rawatan kemoterapi, anda akan mendapat pemindahan sel stem bagi menggantikan sel yang telah musnah.

Penjagaan diri sendiri

Rawatan Limfoma boleh menyebabkan kesan sampingan. Berhubung dengan pasukan perubatan tentang cara untuk melegakan sebarang gejala yang ada.

Selain itu, bertanya kepada doktor tentang perubahan diet dan senaman yang boleh membantu anda berasa lebih baik semasa membuat rawatan. Berjumpa dengan pakar diet (dietitian) untuk mendapatkan bantuan jika anda tidak pasti makanan apa untuk dimakan. Latihan seperti berjalan atau berenang juga boleh melegakan keletihan dan membantu anda berasa lebih baik semasa rawatan seperti kemoterapi dan radiasi. Seterusnya, anda juga boleh cuba terapi alternatif seperti merehatkan badan, ‘biofeedback’ atau imej berpandu untuk membantu melegakan kesakitan.

Apa yang perlu dijangkakan?

Rawatan makin bertambah baik, dan banyak individu yang telah melakukannya hidup dengan baik selepas rawatan. Doktor juga akan bercakap tentang pelan penjagaan hidup anda. Selain itu, harapan bagi keadaan anda bergantung pada:

  • Jenis Limfoma yang dimiliki.
  • Seberapa jauh kanser telah merebak.
  • Umur anda.
  • Jenis rawatan yang anda lakukan.
  • Masalah kesihatan lain yang anda miliki.

SUMBER

https://www.webmd.com/cancer/lymphoma/lymphoma-cancer#1

https://www.medicalnewstoday.com/articles/146136

https://www.healthline.com/health/swollen-lymph-nodes

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/lymphoma/symptoms-causes/syc-20352638

Summary
Kanser Nodus Limfa 'Limfoma' (Lymphoma) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Nodus Limfa 'Limfoma' (Lymphoma) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Limfoma adalah kanser yang bermula dalam sel-sel yang melawan jangkitan pada sistem imun dipanggil ‘lymphocytes’.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: