Kanser mulut
Kanser mulut pula muncul sebagai pertumbuhan atau sakit di mulut yang tidak hilang

Kanser ditakrifkan sebagai pertumbuhan sel tidak terkawal yang menyerang dan menyebabkan kerosakan pada tisu sekelilingnya. Kanser mulut pula muncul sebagai pertumbuhan atau sakit di mulut yang tidak hilang. Selain itu, kanser mulut termasuk kanser bibir, lidah, pipi, lantai mulut (floor of the mouth), lelangit keras dan lelangit lembut, sinus dan tekak (pharynx) boleh mengancam nyawa jika tidak didiagnosis dan dirawat lebih awal.

Selain itu, kanser jenis ini boleh berlaku di mana saja pada bahagian mulut, di permukaan lidah, bibir, di dalam pipi, gusi, lelangit dan lantai mulut (floor of the mouth), tonsil dan dalam kelenjar air liur.

Tahap Kanser Mulut

Kanser sering dibahagikan mengikut tahap dengan cara berikut:

  • Tahap 1: Tumor kurang daripada 1 inci dan belum mencapai nodus limfa yang berdekatan.
  • Tahap 2: Tumor berukuran 1 hingga 2 inci dan belum mencapai nodus limfa yang berdekatan.
  • Tahap 3: Sama ada tumor itu bersaiz lebih daripada 2 inci tetapi tidak merebak, atau telah merebak ke satu nodus limfa yang berdekatan di leher yang sama seperti tumor, dan nodus limfa ini tidak lebih daripada 1 inci.
  • Tahap 4: Kanser ini telah menjejaskan tisu di sekeliling mulut, bibir dan mungkin nodus limfa berdekatan atau ia telah merebak ke seluruh badan.

Simptom Kanser Mulut

Simptom kanser mulut yang paling umum termasuk:

  • Bengkak atau ketebalan, ketulan atau benjolan, bintik-bintik kasar, kerak atau kawasan terkikis di bibir, gusi atau kawasan lain di dalam mulut.
  • Perkembangan tempelan atau tompok putih, merah atau berbintik-bintik (putih dan merah) dalam mulut.
  • Pendarahan yang tidak dapat dijelaskan di dalam mulut.
  • Kebas yang tidak dapat dijelaskan, kehilangan rasa atau rasa sakit/ kelembutan di mana-mana kawasan muka, mulut atau leher.
  • Bengkak berterusan pada muka, leher atau mulut yang mudah berdarah dan tidak sembuh dalam masa 2 minggu.
  • Sakit atau rasa bahawa ada sesuatu di bahagian belakang tekak.
  • Kesukaran mengunyah atau menelan, bercakap atau menggerakkan rahang atau lidah.
  • Kegarauan, sakit tekak kronik atau perubahan suara.
  • Kesakitan pada telinga.
  • Perubahan pada susunan gigi atau gigi palsu yang tidak kena.
  • Penurunan berat badan secara dramatik.

Sekiranya anda melihat sebarang perubahan ini, hubungi doktor pergigian atau pakar perubatan dengan segera.

Punca Kanser Mulut

Kanser berlaku apabila mutasi genetik mengarahkan sel-sel tumbuh tanpa kawalan. Jika tidak dirawat, kanser mulut akan tumbuh pada satu bahagian mulut, kemudian tersebar ke bahagian mulut yang lain, kemudian ke kepala dan leher dan akhirnya seluruh tubuh. Di samping itu, kanser mulut biasanya bermula di sel-sel skuamos (squamous) yang menyentuh bibir dan bahagian dalam mulut. Ini dikenali sebagai karsinoma sel skuamosa.

Penyebab sebenar mutasi ini tidak diketahui, tetapi ada bukti mengatakan bahawa faktor risiko tertentu boleh meningkatkan kemungkinan kanser mulut untuk berkembang.

Diagnosis Kanser Mulut

Biopsi boleh dilakukan di mana sampel kecil tisu diambil untuk memeriksa sel-sel kanser. Kadangkala, ‘berus biopsi’ digunakan pada mulanya di mana sel-sel dikumpulkan dengan membawanya ke satu sisi.

Jika kanser mulut didiagnosis, tugas seterusnya adalah menentukan peringkat kanser.

Ujian termasuk:

  • Endoskopi, di mana skop cahaya diturunkan ke dalam tekak pesakit untuk melihat sejauh mana kanser telah merebak.
  • Ujian pengimejan, seperti sinar-X (X-ray), pengimbas tomografi berkomputer (CT scan) dan imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI scan). Tahap kanser ini dapat memastikan pilihan rawatan yang sesuai dan membantu meramal perkembangan kanser.

Faktor Risiko Kanser Mulut

Penggunaan tembakau dan alkohol adalah faktor risiko yang menonjol bagi kanser mulut.

Perokok adalah tiga kali lebih tinggi untuk mendapat kanser mulut berbanding individu bukan perokok dan orang yang merokok dan minum minuman keras mempunyai risiko 30 kali lebih tinggi berbanding yang tidak merokok.

Faktor risiko lain termasuk:

  • Pendedahan ultraviolet pada bibir daripada matahari dan lampu.
  • Diet yang kaya dengan daging merah, daging yang diproses dan makanan yang digoreng.
  • Penyakit refluks gastro esofagus, keadaan penghadaman di mana asid dari perut meletus naik kembali ke kerongkong.
  • Jangkitan human-papillomavirus (HPV).
  • Rawatan radiasi sebelum, atau radioterapi di kepala, leher atau kedua-duanya.
  • Mengunyah kacang sirih secara kerap yang merupakan tabiat popular di beberapa bahagian Asia Tenggara.
  • Pendedahan kepada bahan kimia tertentu terutamanya asbestos, asid sulfurik, dan formaldehid.

Pakar menyatakan bahawa terdapat peluang kecil bahawa gigi patah atau bergerigi boleh meningkatkan risiko kanser mulut. Oleh itu, pakar menggalakkan orang ramai untuk mengikuti amalan kebersihan mulut dan pergigian yang baik, termasuk memberus gigi secara berkala bagi mengurangkan risiko penyakit ini.

Rawatan Kanser Mulut

Rawatan bergantung kepada lokasi dan peringkat kanser serta kesihatan umum dan keutamaan peribadi individu. Kombinasi rawatan juga mungkin diperlukan.

Pembedahan

Pembedahan tumor melibatkan mengeluarkan tumor dan margin tisu sihat di sekelilingnya. Tumor kecil memerlukan pembedahan kecil, tetapi untuk tumor yang lebih besar, pembedahan mungkin melibatkan pembuangan sebahagian lidah atau tulang rahang.

Sekiranya kanser telah merebak ke nodus limfa di leher, nodus limfa yang berkanser dan tisu berkaitan pada leher akan dibuang melalui pembedahan.

Di samping itu, sekiranya pembedahan mengubah rupa wajah secara ketara, atau keupayaan pesakit untuk bercakap, makan atau kedua-duanya sekali, pembedahan rekonstruktif mungkin diperlukan. Ini melibatkan penggunaan graf kulit, otot atau tulang yang dipindahkan (transplated) dari bahagian badan lain. Implan pergigian juga mungkin diperlukan.

Terapi radiasi

Kanser mulut adalah sangat sensitif kepada terapi radiasi yang menggunakan tenaga sinar-X tinggi atau zarah radiasi untuk merosakkan DNA di dalam sel-sel tumor, memusnahkan keupayaannya untuk membiak atau berkembang.

Radiologi pancaran luaran pula menghantar radiasi dari luar, manakala dalam ‘brachytherapy’, benih dan wayar radioaktif boleh diletakkan berhampiran kanser di dalam badan.

Tambahan pula, ‘brachytherapy’ sering digunakan untuk merawat pesakit dengan kanser lidah pada peringkat awal.

Wayar radioaktif atau jarum dimasukkan terus ke dalam tumor dan kemudiannya melepaskan dos radiasi ke dalam tumor. Pesakit biasanya akan mengalami anestetik umum. Proses ini boleh berlangsung selama 1 hingga 8 hari.

Seseorang yang mempunyai kanser mulut peringkat awal pula hanya memerlukan terapi radiasi, tetapi ia juga boleh digabungkan dengan pembedahan, kemoterapi, atau kedua-duanya sekali untuk mencegah kanser itu daripada berlaku lagi.

Terapi radiasi boleh membuang kanser jika pesakit berada di peringkat awal kanser mulut.

Kesan buruk terapi radiasi di mulut termasuk:

  • Pereputan gigi.
  • Luka mulut.
  • Gusi berdarah.
  • Kekejangan rahang.
  • Keletihan.
  • Tindak balas kulit, seperti terbakar.

Kemoterapi

Kanser yang tersebar dengan meluas boleh dirawat dengan kemoterapi serta terapi radiasi, terutamanya jika terdapat kemungkinan besar bahawa kanser ini boleh berulang.

Rawatan kemoterapi melibatkan penggunaan ubat-ubatan yang berkuasa bagi merosakkan DNA sel-sel kanser dan merosakkan keupayaannya untuk membiak.

Ubat kemoterapi kadangkala boleh merosakkan tisu yang sihat. Kesan buruk berikut mungkin berlaku kerana kemoterapi seperti:

  • Keletihan.
  • Muntah.
  • Loya.
  • Keguguran rambut.
  • Melemahkan sistem imun yang boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Terapi ubat yang disasarkan

Terapi ubat ini menggunakan ubat dikenali sebagai antibodi monoklonal untuk mengubah aspek sel kanser yang membantu mereka berkembang.

Cetuximab atau Erbitux, digunakan untuk beberapa jenis kanser kepala dan leher. Ubat yang disasarkan ini boleh digabungkan dengan rawatan radioterapi atau kemoterapi.

Antara kesan buruk ubat ini adalah seperti:

  • Loya.
  • Cirit-birit.
  • Sesak nafas.
  • Keradangan mata, atau konjunktivitis.

Sekitar 3 peratus pesakit akan mengalami tindak balas alergi terhadap ubat ‘cetuximab’.

Kredit: Gambar diambil daripada sumber https://www.texasdentureclinic.com/blog/2014/09/22/what-does-oral-cancer-look-149488

SUMBER

https://www.webmd.com/oral-health/guide/oral-cancer

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/mouth-cancer/symptoms-causes/syc-20350997

https://www.healthline.com/health/oral-cancer

https://www.medicalnewstoday.com/articles/165331

Summary
Kanser Mulut (Oral cancer) - Tahap, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Mulut (Oral cancer) - Tahap, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser mulut termasuk kanser bibir, lidah, pipi, lantai mulut (floor of the mouth), lelangit keras dan lelangit lembut, sinus dan tekak (pharynx).
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: