kanser lidah
Kanser lidah merupakan salah satu daripada beberapa jenis kanser mulut yang ada.

Kanser lidah merupakan salah satu daripada beberapa jenis kanser mulut yang ada. Seperti kanser lain, ia berlaku apabila sel-sel membahagi tanpa kawalan dan membentuk satu pertumbuhan atau juga dikenali sebagai tumor.

Terdapat dua jenis kanser ini dan salah satu daripadanya dipanggil sebagai kanser lidah oral kerana ia memberi kesan kepada bahagian yang boleh terkeluar. Jenis lagi satu pula terjadi di pangkal lidah, di mana ia berhubung dengan kerongkong anda. Jenis ini sering didiagnosis selepas ia telah merebak ke nodus limfa di leher anda.

Seterusnya, kanser lidah adalah jarang berlaku berbanding jenis kanser yang lain. Kebanyakan orang yang mendapatnya adalah orang dewasa yang lebih tua dan jarang berlaku pada kanak-kanak.

Simptom Kanser Lidah

Jenis kanser lidah yang paling biasa dipanggil sel skuamous karsinoma. Sel skuamous adalah sel yang nipis dan rata dan terdapat pada permukaan kulit dan lidah, di lapisan saluran pencernaan dan pernafasan serta di dalam lapisan mulut, tekak, tiroid dan peti suara.

Gejala utama kanser lidah adalah lidah yang menyakitkan dan kesakitan yang berlarutan pada lidah. Gejala lain mungkin termasuk:

  • Sakit pada rahang atau tekak.
  • Kesakitan apabila menelan.
  • Berasa seolah-olah ada sesuatu yang menangkap di kerongkong.
  • Lidah atau rahang yang mengeras.
  • Masalah untuk menelan atau mengunyah makanan.
  • Lapisan merah atau putih yang terhasil pada lapisan mulut atau lidah.
  • Ulser lidah yang sukar sembuh.
  • Rasa kebas pada mulut.
  • Pendarahan lidah tanpa sebab.
  • Ketulan pada lidah yang tidak hilang.

Tanda-tanda kanser lidah adalah sama dengan kanser mulut lain, namun ia juga mungkin tidak dapat dikesan pada peringkat awal penyakit ini.

Punca Kanser Lidah

Kanser mulut terjadi apabila sel-sel di bibir atau mulut membuat perubahan (mutasi) dalam DNA mereka. Sel DNA mengandungi arahan yang memberitahu sel tentang fungsi mereka. Jadi, perubahan mutasi ini akan mengarahkan sel untuk terus berkembang dan membahagi serta dalam masa yang sama, sel-sel yang sihat akan mati. Sel kanser mulut yang terkumpul boleh menyebabkan tumor dan merebak di dalam mulut dan di bahagian kepala, leher atau bahagian badan yang lain.

Di samping itu, kanser jenis ini biasanya bermula di sel yang rata, nipis (sel skuamosa) yang menyentuh bibir dan bahagian dalam mulut anda. Kebanyakan kanser mulut adalah jenis sel skuamosa karsinoma.

Diagnosis Kanser Lidah

  • Sejarah perubatan dan pemeriksaan fikizikal

Bagi mendiagnosis kanser lidah, doktor akan mengambil sejarah perubatan anda. Mereka akan bertanyakan kepada anda mengenai sejarah kanser keluarga atau sejarah peribadi, seperti sama ada anda merokok, minum minuman keras atau jika anda pernah diuji positif untuk virus HPV. Kemudian, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal mulut anda untuk mencari tanda-tanda kanser seperti ulser yang tidak dicuci. Mereka juga akan memeriksa nodus limfa berdekatan untuk memeriksa sebarang pembengkakan yang berlaku.

  • Biopsi pemotongan

Jika doktor mendapati bahawa ada tanda-tanda kanser lidah, mereka akan melakukan biopsi di kawasan kanser yang disyaki itu. Biopsi pemotongan adalah jenis biopsi yang paling biasa dilakukan. Dalam prosedur biopsi ini, doktor akan mengeluarkan sampel kanser yang disyaki dan biasanya dilakukan dengan bantuan bius di pejabat doktor anda.

  • Biopsi berus

Selain biopsi pemotongan, doktor juga mungkin melakukan jenis biopsi yang lebih baharu dikenali sebagai biopsi berus. Dalam biopsi ini, mereka akan menggunakan berus kecil di kawasan kanser yang disyaki. Ini akan menyebabkan pendarahan kecil dan membolehkan doktor untuk mengumpul sel bagi diuji.

Sel-sel dari kedua-dua jenis biopsi akan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Sekiranya anda mempunyai kanser lidah, doktor mungkin melakukan imbasan CT atau imbasan MRI untuk melihat sejauh mana kanser telah menular dan tersebar.

Faktor Risiko Kanser Lidah

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser mulut termasuk:

  • Penggunaan sebarang tembakau, termasuk rokok, cerut, paip, tembakau dan yang berkenaan dengannya.
  • Pengambilan minuman keras yang banyak.
  • Pendedahan kepada sinaran matahari yang berlebihan pada bibir anda.
  • Virus seksual menular yang dipanggil human papillomavirus (HPV).
  • Sistem imun yang lemah.

Rawatan Kanser Lidah

Rawatan untuk kanser lidah bergantung kepada saiz tumor dan sejauh mana kanser itu telah merebak. Anda mungkin hanya memerlukan satu rawatan atau gabungan beberapa rawatan.

Pembedahan Glossectomy

Kanser mulut awal yang tidak tersebar biasanya boleh dirawat dengan pembedahan kecil untuk mengeluarkan kawasan yang terjejas. Tumor yang lebih besar biasanya perlu dikeluarkan dengan pembedahan yang dikenali sebagai ‘glossectomy’ separa, di mana sebahagian lidah akan dikeluarkan.

Sekiranya doktor mengeluarkan sebahagian besar lidah anda, anda mungkin perlu menjalani pembedahan semula. Dalam pembedahan ini, doktor akan mengambil sampel kulit atau tisu daripada bahagian lain badan dan menggunakannya untuk membina semula lidah anda. Matlamat bagi kedua-dua pembedahan ‘glossectomy’ dan pembentukan semula adalah untuk mengeluarkan kanser dengan kerosakan yang paling minimum.

Namun begitu, prosedur ‘glossectomy’ boleh membawa kepada kesan sampingan yang serius termasuk perubahan cara makan, bernafas, bercakap dan menelan. Terapi pertuturan boleh membantu anda untuk belajar menyesuaikan diri dengan perubahan ini. Di samping itu, terapi bercakap juga dapat membantu anda mengatasinya.

Seterusnya, jika kanser telah merebak ke nodus limfa, ia mungkin akan dibuang dengan pembedahan.

Gabungan rawatan

Sekiranya anda mempunyai tumor yang besar dalam lidah anda atau kanser telah merebak, anda mungkin perlu mempunyai gabungan pembedahan untuk membuang tumor dan terapi radiasi untuk memastikan semua sel-sel tumor telah dikeluarkan atau dibunuh. Ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mulut kering dan perubahan dalam deria rasa (taste) anda.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/322519

https://www.healthline.com/health/oral-cancer/tongue-cancer

https://www.webmd.com/cancer/tongue-cancer-facts#1

Summary
Kanser Lidah (Tongue cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Lidah (Tongue cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser lidah merupakan salah satu jenis kanser mulut. Seperti kanser lain, ia berlaku apabila sel-sel membahagi tanpa kawalan dan membentuk tumor.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: