kanser faraj
Kanser faraj adalah sejenis kanser yang terjadi di faraj dan terbahagi kepada jenis yang berbeza berdasarkan jenis sel kanser itu bermula.

Kanser faraj adalah sejenis kanser yang terjadi di faraj dan terbahagi kepada jenis yang berbeza berdasarkan jenis sel kanser itu bermula. Secara spesifiknya, di bahagian tiub otot yang menghubungkan rahim anda dengan alat kelamin luaran anda. Kanser Faraj sering berlaku dalam sel-sel permukaan faraj anda, yang juga dipanggil sebagai laluan kelahiran (birth canal).

Walaupun terdapat beberapa jenis kanser yang boleh merebak ke faraj anda dari tempat lain dalam badan anda, kanser yang bermula dalam faraj iaitu Kanser Faraj Utama adalah jarang berlaku.

Kanser Faraj yang didiagnosis pada peringkat awal mempunyai peluang baik untuk disembuhkan, sebaliknya, Kanser Faraj yang telah merebak di luar faraj adalah lebih sukar untuk dirawat.

Jenis Kanser Faraj

Kanser faraj terbahagi kepada jenis yang berbeza berdasarkan jenis sel di mana kanser itu bermula. Jenis Kanser Faraj termasuklah:

  • Sel Skuamosa Karsinoma Faraj. Ia bermula pada sel-sel yang tipis dan rata yang melitupi permukaan faraj dan ia merupakan jenis yang paling biasa berlaku.  
  • Adenokarsinoma Faraj. Ia bermula di sel-sel kelenjar pada permukaan faraj anda
  • Melanoma Faraj. Ia berkembang di dalam sel-sel penghasil pigmen (melanosit) pada faraj anda
  • Sarkoma Faraj. Ia terbentuk di sel-sel tisu penghubung atau sel-sel otot di dinding faraj anda

Simptom Kanser Faraj

Simptomnya termasuklah sakit perut atau pendarahan faraj yang tidak normal. Tetapi, penyakit ini biasanya muncul tanpa sebarang tanda amaran. Ia mungkin mula didiagnosis sewaktu pemeriksaan rutin atau ujian Pap.

Simptom lain termasuklah merasakan kemunculan benjolan dalam faraj, kesakitan pada pelvik anda serta hunbungan seks yang menyakitkan.

Sekiranya anda mengalami sebarang simptom-simptom ini, itu tidak bermakna anda mempunyai kanser faraj. Anda mungkin hanya diserang jangkitan. Tetapi, adalah penting untuk memeriksanya.

Punca Kanser Faraj

Punca sebenar Kanser Faraj adalah tidak jelas. Secara umum, kanser bermula apabila sel-sel yang sihat mengalami mutasi genetik yang merubah sel-sel normal menjadi sel-sel tidak normal.

Sel-sel yang sihat tumbuh dan berkembang biak pada kadar yang ditetapkan dan akan mati pada masa yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, sel-sel kanser tumbuh dan berkembang tanpa kawalan dan ia tidak akan mati. Sel-sel abnormal yang terkumpul tersebut akan membentuk sebuah jisim (tumor).

Sel-sel kanser akan menyerang tisu berdekatan dan terpisah daripada tumor awal untuk disebar ke tempat lain dalam badan (metastasize).

Diagnosis Kanser Faraj

Pertama sekali, doktor akan mengambil sejarah perubatan anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang simptom dan faktor risiko yang mungkin berlaku terhadap anda. Kemudian, beliau akan melakukan pemeriksaan pelvik untuk mencari kemungkinan penyebab simptom anda. Selain itu, beliau juga akan melakukan Pap smear untuk memeriksa sebarang sel yang tidak normal di kawasan faraj anda.

Jika Pap smear menunjukkan sebarang sel yang tidak normal, doktor akan melakukan kolposkopi. Dalam prosedur ini, doktor menggunakan alat pembesar yang dipanggil kolposkop untuk memeriksa dinding faraj dan serviks anda untuk mengesan lokasi sel tidak normal.

Prosedur ini adalah sama dengan ujian pelvik yang biasa: Anda akan berada dalam keadaan sedar, dan doktor anda akan menggunakan spekulum. Jika doktor anda telah mengesan lokasi sel-sel yang tidak normal, beliau akan mengambil biopsi untuk melihat jika sel-sel tersebut adalah kanser kanser.

Sekiranya sel-sel terebut adalah kanser, doktor anda mungkin akan melakukan pemeriksaan MRI, CT scan atau PET untuk mengetahui sama ada kanser telah merebak ke bahagian lain badan.

Tahap Kanser Faraj

Tahap kanser faraj memberitahu anda sejauh mana kanser telah merebak. Terdapat empat peringkat utama, termasuklah satu peringkat awal Kanser Faraj (prakanser):

  • Vaginal intraepithelial neoplasia (VAIN). VAIN adalah sejenis prakanser. Terdapat sel yang tidak normal dalam lapisan faraj, tetapi ia tidak tumbuh atau belum tersebar. VAIN bukanlah kanser.
  • Tahap 1. Kanser hanya berada di dinding faraj.
  • Tahap 2. Kanser telah merebak ke tisu di sebelah faraj tetapi masih belum tersebar ke dinding pelvik.
  • Tahap 3. Kanser telah merebak ke dinding pelvik. Ia juga mungkin telah merebak ke nodus limfa berdekatan.
  • Tahap 4. Tahap 4 terbahagi kepada dua bahagian:
  1. Peringkat 4A, kanser telah merebak ke pundi kencing, rektum atau kedua-duanya.
  2. Peringkat 4B, kanser telah merebak ke seluruh tubuh dalam organ seperti paru-paru, hati atau nodus limfa yang lokasinya lebih jauh.

Faktor Risiko Kanser Faraj

Faktor yang boleh meningkatkan risiko termasuklah:

  • Peningkatan umur. Risiko Kanser Faraj meningkat seiring umur anda. Kebanyakan wanita yang didiagnosis dengan Kanser Faraj berusia lebih tua daripada 60 tahun.
  • Sel-sel atipikal dalam faraj yang dipanggil Vaginal Intraepithelial Neoplasia. Diagnosis Vaginal Intraepithelial Neoplasia (VAIN) meningkatkan lagi risiko Kanser Faraj.

Dengan VAIN, sel-sel dalam faraj kelihatan berbeza berbanding sel normal, tetapi tidak cukup berbeza untuk dianggap sebagai kanser. Sebilangan kecil daripada individu yang mengalami VAIN akhirnya akan menghidap Kanser Faraj. Namun begitu, doktor masih tidak pasti apa yang menyebabkan beberapa kes VAIN yang berubah menjadi kanser dan yang lain tetap jinak

Kebiasaannya, VAIN berpunca dari Papillomavirus Manusia (HPV) yang mengakibatkan Kanser Servik, Kanser Faraj,  Kanser Vulva dan lain-lain. Walau bagaimanapun, vaksin yang menghalang beberapa jenis jangkitan HPV boleh didapati.

  • Pendedahan kepada ubat pencegahan keguguran. Jika ibu anda pernah mengambil ubat yang dipanggil diethylstilbestrol (DES) semasa mengandung pada tahun 1950-an, anda mungkin mengalami risiko peningkatan jenis Kanser Faraj tertentu yang digelar sebagai Adenokarsinoma Sel Jelas.

Faktor risiko lain yang dikaitkan dengan peningkatan risiko termasuklah:

  • Bertukar-tukar pasangan seksual
  • Umur yang muda sewaktu hubungan seks pertama
  • Merokok
  • Jangkitan HIV

Rawatan Kanser Faraj

  • Pembedahan. Jika kanser berada pada tahap 1 dan terletak di bahagian atas faraj, anda mungkin perlu menjalani pembedahan untuk membuang tumor dan tisu sihat di sekelilingnya. Prosedur ini biasanya diikuti dengan radioterapi.
  • Radioterapi adalah rawatan yang paling biasa digunakan dalam semua peringkat Kanser Faraj. Dalam sesetengah kes, anda mungkin menjalani kemoterapi untuk menyokong radioterapi. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit bukti bagi manfaat kemoterapi kepada Kanser Faraj.

Sekiranya anda telah menerima radioterapi di kawasan faraj, doktor mungkin mencadangkan pembedahan. Ia disebabkan oleh setiap bahagian badan hanya boleh menjalani jumlah radiasi tertentu. Selain itu, doktor mungkin akan mengeluarkan perkara tersebut bergantung pada saiz, lokasi dan keluasan kawasan tumor anda:

  1. Hanya tumor dan kawasan kecil tisu sihat di sekelilingnya.
  2. Sebahagian atau keseluruhan faraj.
  3. Kebanyakan organ pembiakan atau pelvik anda. Malangnya, kanser Faraj di peringkat 4B biasanya tidak dapat disembuhkan, tetapi rawatan dapat melegakan simptom yang dialami. Jika keadaan ini berlaku, doktor anda mengesyorkan anda menjalani radioterapi atau kemoterapi. Anda juga mungkin perlu mendaftar dalam percubaan klinikal untuk membantu menguji rawatan tersebut.
Summary
Kanser Faraj (Vaginal Cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Faraj (Vaginal Cancer) - Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser faraj adalah sejenis kanser yang terjadi di faraj dan terbahagi kepada jenis yang berbeza berdasarkan jenis sel kanser itu bermula.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: