kanser endometrium
Kanser endometrium adalah kanser lapisan rahim (endometrium).

Kanser endometrium adalah kanser lapisan rahim (endometrium). Ia adalah kanser yang paling biasa dalam kalangan wanita berusia lebih dari umur 50 tahun. Prosedur biopsi biasanya boleh mendiagnosis kanser ini. Selain itu, rawatan bagi penyakit ini termasuklah histerektomi bersama dengan radiasi susulan atau kemoterapi.

Peringkat Kanser Endometrium

Sebaik sahaja kanser anda telah didiagnosis, doktor berfungsi untuk menentukan tahap (peringkat) kanser anda. Ujian yang digunakan untuk menentukan peringkat kanser anda mungkin termasuk sinar-X dada, imbasan tomografi berkomputer (CT scan), ujian tomografi pelepasan positron (PET scan) dan ujian darah. Penentuan akhir peringkat kanser anda tidak boleh dibuat sehingga selepas anda menjalani pembedahan untuk merawat kanser.

Peringkat kanser endometrium termasuk:

  • Peringkat II – kanser terdapat di rahim dan serviks.
  • Peringkat III – Kanser telah merebak di luar rahim, tetapi belum mencapai rektum dan pundi kencing. Kawasan pelvik sekitar nod limfa mungkin terlibat.
  • Peringkat IV – Kanser telah merebak di kawasan pelvik dan boleh menjejaskan bahagian badan pundi kencing, rektum serta merebak dengan lebih jauh.

Simptom Kanser Endometrium

Sesetengah wanita yang mempunyai kanser endometrium tidak mengalami apa-apa gejala sehinggalah penyakit itu merebak ke organ lain. Namun begitu, kanser endometrium biasanya didiagnosis dengan berlakunya gejala seperti pendarahan faraj yang menjadi tanda bahawa kanser itu sudah mula merebak. Simptom yang paling biasa adalah:

  • Pendarahan faraj atau pelepasan tidak normal, yang berlaku dalam 9 daripada 10 wanita dengan kanser endometrium. Sebelum menopaus, ini bermakna tempoh haid tidak teratur atau pendarahan di antara tempoh haid itu. Selepas seorang wanita memasuki tempoh menopaus, ini bermakna sebarang pendarahan faraj melainkan dia sedang aktif menjalani terapi penggantian hormon.

Walaupun terapi penggantian hormon boleh menyebabkan pendarahan faraj bagi wanita menopaus, kejadian pertama pendarahan seperti itu perlu diperiksa oleh doktor bagi memastikan bahawa ia tidak berlaku disebabkan kanser endometrium. Seterusnya, hanya 15% wanita dengan pendarahan selepas menopaus sahaja yang akan mempunyai kanser endometrium.

  • Pelepasan faraj yang mungkin bervariasi daripada warna merah jambu hingga keadaan berair atau pekat, coklat dan berbau busuk.
  • Sukar untuk kencing atau kencing yang menyakitkan.
  • Rahim yang membesar dapat dikesan semasa pemeriksaan pelvik.
  • Sakit semasa bersetubuh.
  • Rasa lemah dan sakit di bahagian bawah abdomen, belakang badan atau kaki. Ini berlaku apabila kanser telah merebak ke organ lain.

Punca Kanser Endometrium

Doktor tidak tahu apa yang menyebabkan kanser endometrium. Apa yang diketahui adalah sesuatu yang berlaku telah mewujudkan mutasi genetik pada sel-sel dalam endometrium iaitu lapisan rahim.

Mutasi genetik menukarkan sel yang normal dan sihat menjadi sel-sel yang tidak normal. Sel-sel yang tumbuh dengan sihat dan berkembang pada kadar yang ditetapkan, akhirnya mati pada masa yang ditetapkan. Namun, bagi sel-sel yang tidak normal, ia berkembang di luar kawalan dan tidak mati pada masa yang ditetapkan. Selain itu, sel-sel abnormal ini berkumpulan dan membentuk jisim (ketumbuhan). Ia kemudiannya menyerang tisu berdekatan dan boleh terpisah daripada ketumbuhan awal untuk merebak di bahagian badan yang lain (metastasize).

Diagnosis Kanser Endometrium

Ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis kanser endometrium termasuklah:

  • Pemeriksaan pelvik. Semasa pemeriksaan pelvik, doktor dengan teliti akan memeriksa bahagian luar alat kelamin anda (vulva), dan kemudian memasukkan dua jari dari satu tangan ke dalam faraj anda. Pada masa yang sama, doktor akan menekan tangan lain pada perut anda untuk merasa rahim dan ovari anda. Seterusnya, doktor juga akan memasukkan peranti yang dipanggil spekulum ke dalam faraj anda. Spekulum ini membuka faraj supaya doktor dapat melihat faraj dan serviks anda bagi mengesan sebarang kelainan yang ada.
  • Menggunakan gelombang bunyi untuk membuat gambar rahim anda.   Doktor boleh mencadangkan ultrabunyi transfaraj untuk melihat ketebalan dan tekstur endometrium serta membantu mengesahkan keadaan lain. Dalam prosedur ini, peranti seperti tongkat (transduser) dimasukkan ke dalam faraj anda. Transduser menggunakan gelombang bunyi untuk membuat imej video rahim anda. Ujian ini juga membantu doktor mencari sebarang keabnormalan di lapisan rahim anda.
  • Menggunakan skop untuk memeriksa endometrium anda. Semasa histeroskopi, doktor akan memasukkan tiub nipis, fleksibel, menyala (histeroskop) melalui faraj dan serviks ke dalam rahim anda. Kanta di histeroskop membolehkan doktor memeriksa bahagian dalam rahim dan endometrium anda.
  • Mengeluarkan sampel tisu untuk ujian. Bagi mendapatkan sampel sel dari dalam rahim anda, anda mungkin perlu menjalani biopsi endometrium. Ini melibatkan mengambil sedikit tisu dari lapisan rahim anda bagi analisis makmal. Prosedur ini boleh dilakukan di pejabat doktor anda dan biasanya tidak memerlukan anestesia.
  • Melakukan pembedahan untuk mengambil tisu bagi diuji. Sekiranya tisu yang cukup tidak dapat diperolehi semasa biopsi atau jika hasil biopsi tidak jelas, anda mungkin perlu menjalani prosedur yang disebut pembesaran (dilation) dan ‘curettage’ (D & C). Semasa proses ini dilakukan, tisu dikikis dari lapisan rahim anda dan diperiksa di bawah mikroskop bagi melihat kehadiran sel kanser.

Jika kanser endometrium ditemui, anda mungkin akan dirujuk kepada doktor pakar dalam merawat kanser yang melibatkan sistem pembiakan wanita (ahli onkologi ginekologi).

Faktor Risiko Kanser Endometrium

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser endometrium termasuk:

  • Perubahan dalam keseimbangan hormon wanita dalam badan. Ovari anda menghasilkan dua hormon wanita utama iaitu estrogen dan progesteron. Perubahan dalam keseimbangan hormon ini akan menyebabkan perubahan dalam endometrium anda.
  • Penyakit atau keadaan yang meningkatkan jumlah estrogen, tetapi bukan tahap progesteron dalam tubuh anda boleh meningkatkan risiko kanser endometrium. Contohnya termasuklah corak ovulasi tidak teratur, seperti yang boleh berlaku kepada wanita dengan sindrom ovarium polikistik, obesiti dan diabetes. Mengambil hormon selepas menopaus yang mengandungi estrogen dan bukannya progesteron boleh meningkatkan risiko kanser endometrium.
  • Satu jenis ketumbuhan ovari yang jarang berlaku, membuang estrogen juga boleh meningkatkan risiko kanser endometrium.
  • Lebih banyak kitaran haid. Mendapat haid pada usia awal iaitu sebelum usia 12 tahun atau permulaan menopaus yang lewat meningkatkan risiko kanser endometrium. Lebih banyak tempoh haid yang anda ada, lebih banyak pendedahan estrogen pada endometrium anda.
  • Tidak pernah hamil. Wanita yang tidak pernah hamil mempunyai risiko kanser endometrium berbanding wanita yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kehamilan.
  • Umur lebih tua. Apabila anda menjadi semakin tua, risiko kanser endometrium jgua meningkat. Kanser ini paling sering berlaku pada wanita yang telah menopaus.
  • Obesiti. Menjadi gemuk meningkatkan risiko kanser endometrium. Ini mungkin berlaku kerana lemak badan yang berlebihan mengubah keseimbangan hormon badan anda.
  • Terapi hormon untuk kanser payudara. Wanita dengan kanser payudara yang mengambil ubat terapi hormon tamoxifen mempunyai peningkatan risiko kanser endometrium. Jika anda mengambil tamoxifen, bincangkan risiko ini dengan doktor anda. Bagi kebanyakan wanita, manfaat tamoxifen adalah melebihi risiko kecil bagi kanser endometrium.
  • Sindrom kanser kolon yang diwarisi. Kanser kolorektal bukan poliposis keturunan adalah sindrom yang meningkatkan risiko kanser kolon dan kanser lain, termasuk kanser endometrium. Di samping itu, kanser jenis ini berlaku kerana mutasi gen yang diwariskan daripada ibu bapa kepada anak-anak. Jika ahli keluarga telah didiagnosis dengan kanser kolorektal bukan poliposis, bincangkan risiko anda terhadap sindrom genetik dengan doktor. Sekiranya anda yang telah didiagnosis dengan kanser tersebut, bertanyakan kepada doktor tentang ujian saringan kanser yang perlu anda lakukan.

Rawatan Kanser Endometrium

  • Pembedahan. Pembedahan adalah rawatan standard bagi kanser endometrium yang tidak merebak. Ia juga merupakan pencegahan yang berkesan pada wanita yang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini. Seterusnya, rawatan yang paling berjaya untuk kanser peringkat awal adalah histerektomi keseluruhan dengan ‘bilateral salpingo-ooporektomi’, di mana uterus, serviks, ovari dan tiub fallopio dikeluarkan. Di samping itu, sebarang nod limfa yang mencurigakan dan tisu serta organ lain akan melalui proses biopsi dan boleh juga dikeluarkan. Pembedahan ini berkemungkinan besar akan menghalang kanser daripada kembali lagi.
  • Terapi radiasi. Sekiranya kanser telah merebak di luar rahim serta pesakit telah melakukan terapi radiasi selepas pembedahan, rawatan seterusnya sering digabungkan dengan   kemoterapi untuk menghapuskan sel-sel kanser yang selebihnya. Sesetengah doktor juga mengesyorkan terapi radiasi apabila ketumbuhan bersaiz besar tetapi tidak merebak di luar rahim.
  • Terapi hormon. Pesakit dengan kanser endometrium biasanya menerima terapi hormon, iaitu biasanya melibatkan progesteron untuk melambatkan pertumbuhan kanser. Kemoterapi atau radiasi juga boleh dilakukan untuk mengurangkan saiz dan jumlah ketumbuhan yang mana semuanya boleh memanjangkan nyawa dan melegakan gejala. Sekiranya rawatan berjaya menghapuskan ketumbuhan yang jauh dan sel-sel kanser selebihnya terbendung dalam rahim, serviks, ovari dan tiub fallopio, pembedahan juga boleh dilakukan.

Pesakit memerlukan pemeriksaan setiap beberapa bulan selama beberapa tahun. Sekiranya kanser kembali, ia biasanya berlaku dalam masa tiga tahun. Jika dikesan dengan lebih awal, kanser yang kembali boleh diubati dengan radiasi yang agresif, kemoterapi atau lebih banyak pembedahan. Bagi membantu individu yang mempunyai kanser ini menghadapi masalah emosi, pesakit mungkin boleh mempertimbangkan untuk menyertai kumpulan sokongan. Kaunseling amat berguna bagi wanita sebelum menopaus yang menjadi tertekan selepas melakukan histerektomi.

Langkah Pencegahan Kanser Endometrium

Bagi mengurangkan risiko kanser endometrium, anda mungkin ingin:

  • Bercakap dengan doktor anda mengenai risiko terapi hormon selepas menopaus. Jika anda mempertimbangkan terapi penggantian hormon untuk membantu mengawal gejala menopaus, berbincanglah dengan doktor tentang risiko dan faedahnya. Melainkan anda menjalani prosedur histerektomi, menggantikan estrogen sahaja selepas menopaus boleh meningkatkan risiko kanser endometrium.

Pengambilan kombinasi estrogen dan progestin dapat mengurangkan risiko ini. Terapi hormon mungkin boleh membawa risiko lain, seperti peningkatan risiko kanser payudara, jadi pertimbangkanlah manfaat dan risiko dengan doktor anda.

  • Pertimbangkan pengambilan pil kawalan kelahiran. Menggunakan pil kontraseptif bagi sekurang-kurangnya satu tahun boleh mengurangkan risiko kanser endometrium. Pengurangan risiko boleh tahan selama beberapa tahun selepas anda berhenti mengambil pil perancang itu. Ubat makan kontraseptif mempunyai kesan sampingan, jadi bincangkan manfaat dan risikonya dengan doktor anda.
  • Mengekalkan berat badan yang sihat. Obesiti dapat meningkatkan risiko kanser endometrium, jadi berusaha untuk capai dan kekalkan berat badan yang sihat. Jika anda perlu menurunkan berat badan, tingkatkan aktiviti fizikal dan kurangkan jumlah kalori yang anda makan setiap hari.
  • Senaman bagi kebanyakan hari dalam seminggu. Latihan boleh mengurangkan risiko kanser endometrium. Tambahkan aktiviti fizikal ke dalam rutin harian anda. Cuba gunakan 30 minit sepanjang hari dalam seminggu. Jika anda boleh lakukan lebih banyak daripada itu, ia adalah lebih baik.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/endometrial-cancer/symptoms-causes/syc-20352461

https://www.healthline.com/health/endometrial-cancer

https://www.webmd.com/cancer/understanding-endometrial-cancer-basics

https://www.medicalnewstoday.com/articles/266126

Summary
Kanser Endometrium (Endometrial cancer) - Peringkat, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Article Name
Kanser Endometrium (Endometrial cancer) - Peringkat, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko, Rawatan dan Langkah Pencegahan
Description
Kanser endometrium adalah kanser lapisan rahim . Ia adalah kanser yang paling biasa berlaku pada wanita berusia lebih dari umur 50 tahun.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: