Rich results on Google's SERP when searching for 'kanser buah zakar'
Kanser testis adalah sejenis kanser yang jarang terjadi dan berlaku di testis atau testikel.

Kanser buah zakar atau kanser testis yang hanya dialami oleh golongan lelaki yang menyerang testis atau testikel dan jarang terjadi. Testikel berfungsi untuk menghasilkan hormon testosteron dan menyimpan sperma.

Testosteron bertindak dengan mengawal perkembangan organ-organ pembiakan dan ciri-ciri fizikal lelaki yang lain.

Umur purata seseorang didiagnosis dengan kanser buah zakar adalah 33 tahun. Kanser ini kebanyakannya memberi kesan kepada lelaki pada usia muda dan pertengahan. Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh berkembang sebelum akil baligh. Namun, hanya terdapat sebanyak 8% kes berlaku selepas seseorang lelaki mencecah usia 55 tahun dan ke atas.

Simptom Kanser Buah Zakar

Tanda dan simptom Kanser Buah Zakar termasuklah:

• Muncul ketulan atau pembesaran pada kedua-dua zakar

• Merasakan suatu beban berat pada skrotum

• Sakit dalam perut atau pangkal paha

• Keluar cecair daripada skrotum secara tiba-tiba

• Berasa sakit atau ketidakselesaan dalam zakar atau skrotum

• Pembesaran atau kesakitan payudara

• Sakit belakang

Punca Kanser Buah Zakar

Kebanyakan kanser buah zakar bermula di sel germa (germ cell). Sel germa adalah sel-sel di dalam buah zakar yang menghasilkan sperma yang tidak matang.

Doktor masih tidak mengetahui punca sel-sel testis ini berubah menjadi kanser, tetapi beberapa faktor genetik mungkin boleh meningkatkan risikonya.

Kanser buah zakar lebih cenderung berlaku pada individu yang mempunyai faktor risiko berikut:

  • Cryptorchidism, atau testikel yang tidak sekata
  • Sejarah keluarga menghidap kanser buah zakar
  • Orang berkulit putih, atau orang Asia
  • Menghidap HIV.

Namun begitu, sekiranya anda pernah menjalani vasektomi, ia tidak akan meningkatkan risiko anda menghidap kanser buah zakar.

Mencegah Kanser buah zakar merupakan satu perkara yang mustahil kerana doktor sendiri masih tidak tahu apa yang menyebabkannya. Faktor genetik dilihat mungkin memainkan peranan dalam perkembangan kanser ini. Namun, tiada siapa yang boleh mengubah faktor genetik jadi, adalah mustahil untuk mencegah Kanser buah zakar.

Diagnosis Kanser Buah Zakar

Dalam sesetengah kes, lelaki boleh mengesan Kanser buah zakar secara tidak sengaja, semasa melakukan pemeriksaan untuk memeriksa ketulan pada testis. Dalam kes lain, doktor hanya mengesan benjolan tersebut semasa pemeriksaan fizikal rutin.

Untuk menentukan sama ada benjolan yang ada pada testikel adalah Kanser buah zakar, doktor mungkin mengesyorkan:

  • Imbasan ultrabunyi. Imbasan ultrabunyi testikular menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej dalaman skrotum dan buah zakar. Semasa imbasan ultrabunyi dijalankan, anda perlu berbaring dengan kaki yang dibuka luas. Doktor kemudiannya menggunakan gel lutsinar pada skrotum anda. Satu prob tangan diletakkan ke atas skrotum anda untuk menghasilkan imej ultrabunyi.

    Imbasan ultrabunyi boleh membantu doktor menentukan jenis ketulan pada testis, sama ada ia adalah benjolan pepejal atau ia berisi cecair. Ultrabunyi juga memberi maklumat kepada doktor sama ada ketulan berada di dalam atau di luar testis.
  • Ujian darah. Doktor anda akan menjalankan ujian darah untuk menentukan sebarang penanda tumor dalam darah anda. Penanda tumor adalah bahan yang terjadi secara semulajadi dalam darah anda, tetapi tahap tahap bahan ini akan meningkat dalam keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, tahap penanda tumor yang tinggi dalam darah anda tidak bermakna anda mempunyai kanser, tetapi ia boleh membantu doktor anda untuk mengesahkan diagnosis anda.
  • Pembedahan untuk mengeluarkan buah zakar (radical inguinal orchiectomy). Sekiranya doktor telah menentukan bahawa ketulan pada testis anda mungkin adalah kanser, pembedahan untuk mengeluarkan testis mungkin disyorkan. Tisu akan dikeluarkan dan dianalisis untuk mengesahkan secara jelas sama ada benjolan tersebut adalah kanser dan jika ya, apakah jenis kanser tersebut.

Faktor Risiko Kanser Buah Zakar

Faktor risiko adalah perkara yang meningkatkan kemungkinan seseorang untuk menghidap sesuatu penyakit. Walaupun faktor risiko sering mempengaruhi perkembangan kanser, kebanyakannya tidak akan menyebabkan kanser secara langsung.

Sesetengah individu yang memiliki beberapa faktor risiko yang disenaraikan tidak pernah mendapat kanser, sementara individu lain yang tidak mempunyai faktor risiko yang diketahui, menghidap kanser ini. Walau bagaimanapun, mengetahui faktor risiko anda dan membincangkannya dengan doktor boleh membantu anda menjadi lebih bijak mengenai penyakit dan pilihan rawatan yang tersedia.

Faktor-faktor berikut boleh menimbulkan risiko seorang lelaki untuk menghidap Kanser buah zakar. Namun begitu, adalah penting untuk diingati bahawa penyebab masih tidak diketahui.

• Umur. Lebih separuh daripada lelaki yang didiagnosis dengan kanser buah zakar berusia di antara 20 hingga 45 tahun. Walau bagaimanapun, lelaki daripada sebarang peringkat umur boleh mendapat penyakit ini, termasuklah golongan lelaki pada usia remaja dan berusia 60-an, jadi adalah penting bagi semua lelaki dengan simptom untuk berjumpa doktor.

Cryptorchidism. Cryptorchidism adalah keadaan testikel yang tidak sekata, di mana satu atau kedua buah zakar tidak bergerak ke bawah skrotum sebelum dilahirkan sebagaimana individu normal. Lelaki dengan keadaan ini mengalami peningkatan risiko untuk menghidap Kanser buah zakar.

Namun begitu, risiko ini boleh diturunkan jika pembedahan dilakukan untuk membetulkan keadaan tersebut sebelum akil baligh. Sesetengah doktor mengesyorkan pembedahan dilakukan bagi cryptorchidism sewaktu individu tersebut berusia antara 6 bulan hingga 15 bulan untuk mengurangkan risiko kemandulan.

Kemandulan adalah ketidakupayaan untuk menghasilkan zuriat. Oleh kerana cryptorchidism sering diperbaiki pada usia muda, ramai lelaki mungkin tidak tahu yang mereka pernah mengalami keadaan tersebut.

• Sejarah keluarga. Seorang lelaki yang memiliki saudara terdekat, terutamanya saudara lelaki, yang mempunyai kanser buah zakar berpeluang mengalami peningkatan risiko untuk menghidap Kanser buah zakar.

• Sejarah peribadi. Lelaki yang pernah mengalami kanser dalam salah satu testisnya mempunyai risiko peningkatan kanser dalam buah zakar yang lain. Dianggarkan bahawa daripada setiap 100 lelaki yang menghidap kanser buah zakar, 2 orang akan mengembangkan kanser pada buah zakar yang lain.

• Keturunan. Walaupun lelaki dari mana-mana keturunan boleh mendapat menghidapinya, lelaki berkulit putih lebih cenderung untuk didiagnosis dengan Kanser buah zakar berbanding lelaki berketurunan lain. Kes Kanser buah zakar jarang ditemui dalam kalangan lelaki berkulit hitam. Walau bagaimanapun, lelaki berkulit hitam yang menghidap kanser buah zakar lebih cenderung untuk mati akibat kanser berbanding lelaki berkulit putih, terutamanya jika kanser telah merebak ke nodus limfa atau bahagian badan lain apabila ia didiagnosis.

Human Immunodeficiency Virus (HIV). Lelaki yang menghidap HIV atau mengalami sindrom kekurangan imun (AIDS) yang disebabkan oleh HIV mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat seminoma (tumor sel germa).

Rawatan Kanser Buah Zakar

Pilihan rawatan Kanser Buah zakar bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah jenis dan peringkat kanser, kesihatan keseluruhan anda, dan pilihan anda sendiri.

Pembedahan

Pembedahan yang dilakukan untuk merawat kanser buah zakar termasuklah:

• Pembedahan untuk mengeluarkan buah zakar anda (radang inguinal orchiectomy) merupakan rawatan utama bagi hampir semua peringkat dan jenis Kanser Buah zakar. Untuk mengeluarkan buah zakar anda, pakar bedah akan melakukan pemotongan pada pangkal paha dan mengeluarkan keseluruhan buah zakar melalui pembukaannya. Sebuah buah zakar prostetik yang berisi larutan saline akan dimasukkan menurut pilihan anda. Dalam kes-kes Kanser Buah zakar peringkat awal, pembuangan buah zakar mungkin satu-satunya rawatan yang diperlukan.

• Pembedahan untuk membuang nodus limfa berdekatan (pembedahan nodus limfa retroperitoneal) dilakukan melalui pemotongan pada perut anda. Pakar bedah anda perlu berhati-hati sewaktu pembedahan berlangsung bagi mengelakkan merosakkan saraf di sekitar nodus limfa. Tetapi dalam sesetengah kes, kerosakan saraf mungkin tidak dapat dielakkan. Saraf yang rosak boleh menyebabkan pesakit mengalami kesukaran ejakulasi, tetapi ia tidak menghalang anda daripada mengalami ereksi.

Sekiranya pembedahan adalah satu-satunya rawatan untuk Kanser Buah zakar yang anda alami, doktor akan mencadangkan jadual rawatan susulan. Rawatan susulan biasanya diadakan pada setiap beberapa bulan untuk beberapa tahun pertama dan kemudiannya semakin berkurang selepas itu. Anda akan menjalani ujian darah, imbasan CT dan prosedur lain untuk memeriksa tanda-tanda jika kanser anda kembali berulang.

Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan tenaga berkuasa tinggi, seperti X-ray, untuk membunuh sel-sel kanser. Semasa terapi radiasi dijalankan, anda akan berbaring di atas meja dan mesin besar, yang berfungsi menyalurkan tenaga pada titik-titik tepat di badan anda, akan bergerak di sekeliling tubuh anda.

Terapi radiasi adalah pilihan rawatan yang digunakan pada pesakit Kanser Buah zakar yang mempunyai Seminoma (tumor sel germa). Ia mungkin disyorkan selepas anda menjalani pembedahan mengeluarkan testis anda.

Kesan sampingannya termasuklah rasa mual dan keletihan, serta kulit menjadi kemerahan dan kerengsaan di bahagian abdomen dan pangkal paha. Terapi radiasi juga berkemungkinan untuk mengurangkan jumlah sperma buat sementara waktu dan mungkin memberi kesan kepada kesuburan bagi sesetengah pesakit lelaki. Berundinglah dengan doktor anda tentang pilihan yang tersedia bagi memelihara sperma anda sebelum memulakan terapi radiasi.

Kemoterapi

Rawatan kemoterapi menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel-sel kanser. Ubat kemoterapi merebak ke seluruh badan untuk membunuh sel kanser yang mungkin telah berhijrah dari lokasi asalnya iaitu pada tumor.

Sebelum atau selepas anda menjalani pembedahan pembuangan nodus limfa, kemoterapi mungkin satu-satunya rawatan yang disyorkan kepada anda.

Kesan sampingan kemoterapi bergantung kepada ubat tertentu yang digunakan. Tanya doktor untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai jenis ubat dan kesannya kepada anda. Kesan sampingan yang biasa berlaku termasuklah keletihan, mual, keguguran rambut dan peningkatan risiko jangkitan. Namun, terdapat juga beberapa ubat dan rawatan yang boleh mengurangkan beberapa kesan sampingan kemoterapi.

Selain itu, kesan sampingan kemoterapi juga boleh menyebabkan kemandulan kepada sesetengah lelaki. Dalam sessetengah kes kesan ini mungkin menjadi kekal. Berundinglah dengan doktor anda terlebih dahulu mengenai sebarang pilihan yang tersedia bagi anda memelihara sperma anda sebelum memulakan kemoterapi.

Sumber:

https://www.webmd.com/cancer/do-i-have-testicular-cancer

https://www.medicalnewstoday.com/articles/166993

https://www.cancer.net/cancer-types/testicular-cancer/symptoms-and-signs

https://www.urologyhealth.org/urologic-conditions/testicular-cancer

Summary
Kanser Testis (Testicular Cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Article Name
Kanser Testis (Testicular Cancer) - Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan
Description
Kanser buah zakar atau kanser testis yang hanya dialami oleh golongan lelaki yang menyerang testis atau testikel dan jarang terjadi.
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: