kangar perlis

Kalau sebut sahaja pasal aktiviti pelancongan & tempat menarik di Kangar Perlis yang popular, destinasi bergua seperti Gua Kelam & Gua Wang Burma merupakan antara destinasi yang selalu dicadangkan.

Tahukah anda, sebenarnya Banjaran Nakawan di Perlis ini terdapat banyak gua-gua menarik yang masih belum diterokai & bilangannya menjangkau sehingga puluhan buah. Tahukah anda, di perairan antara pantai di Perlis & Langkawi sebenarnya terdapat ikan lumba-lumba. Malah kalau bernasib baik, dari pesisiran Pantai Sungai Padang- Sanglang di Perlis anda sudah boleh melihat kelibat ikan lumba-lumba ini berenang & melakukan aksi headstand.

Negeri Perlis, walaupun secara geografinya merupakan negeri terkecil di Malaysia, tetapi tetap mempunyai banyak daya tarikan pelancongan yang tersendiri. Untuk aktiviti santai-santai & meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, Negeri Perlis pasti ada jawapannya yang boleh anda terokai bersama. Untuk aktiviti shopping, Padang Besar memang satu destinasi ‘wajib singgah’ kalau bercuti di Perlis. Memang tak rugi membeli belah di sini. Sayangnya Pasar Wang Kelian kini sudah terkubur & tinggal hanya nama.

1. Gua Wang Burma 1

Bagi yang suka aktiviti pengembaraan, apa kata ke Gua Burma 1. Gua Wang Burma 1 ini bukannya seperti Gua Kelam yang mudah diakses dari parkir kereta & juga tidak mempunyai kemudahan sistem pencahayaan untuk kemudahan pelancong. Jadi, menerokai gua ini lebih terasa adventure. Anda perlu bayar permit & daftar di Visitor Centre yang terletak di Taman Negeri Perlis. Pengunjung yang nak ke gua ini juga perlu mengenakan safety helmet, kasut boot, headlamp & sarung tangan untuk tujuan keselamatan serta ditemani dengan jurupandu. Untuk ke Gua Wang Burma ini, pelancong perlu meredah hutan & mendaki bukit sejauh 700 m dari campsite yang terletak di Taman Negeri Perlis.

2. Gua Wang Burma 2

Menerokai Gua Wang Burma 2 adalah satu kemestian sekiranya anda ke Taman Negeri Perlis. Sebaik selesai menerokai Gua Wang Burma 1, pelancong perlu merangkak & menyelusuri sungai kecil dalam gua untuk melihat fenomena tirai dinding gua (cave curtain) putih yang berkilauan seperti permata berlian & pasti membuatkan anda terkesima akan keindahannya. Tahukah anda, formasi tirai gua atau cave curtain memerlukan masa antara 60 – 100 tahun untuk hanya mencapai saiz 1 cm.

3. Masjid Terapung Al-Hussain

Bagi mereka yang sudah terlanjur ke Kuala Perlis, jangan lepaskan peluang untuk singgah solat di Masjid Terapung Al Hussain ini. Masjid ini boleh dilabelkan sebagai sebuah masjid utama yang paling ikonik di Perlis yang dibina dengan kos RM 12 juta. Lokasinya yang mengadap Selat Melaka membuatkan pemandangan dari sini terutamanya di waktu senja, memang sangat menakjubkan. Banyak photographer profesional samaada dalam dan luar negara yang datang singgah di sini di waktu senja untuk mengambil gambar masjid ini dalam suasana matahari terbenam.

Fakta paling menarik tentang Masjid Terapung Al Hussin ini, dinding masjid sebenarnya tidak dicat kerana bahan binaannya merupakan batuan jenis coral, granit, pebbles, marmar dan kuartz. Tidak hairanlan kos binaan masjid ini boleh menelan belanja sehingga RM 12 juta. Selain itu, terdapat juga beberapa batang pokok kurma yang diimport khas dari negara Arab bagi menambahkan lagi seri & sentimen Asia Barat di perkarangan masjid ini.

4. Arked Niaga Padang Besar

Padang Besar iaitu sebuah pekan yang bersempadan dengan Songkla, mempunyai satu tarikan paling popular di Perlis untuk tujuan aktiviti membeli belah. Lokasinya hanya lebih kurang 30-40 minit memandu dari Bandar Kangar. Di Padang Besar terletaknya sebuah kompleks bangunan yang dipanggil Arked Niaga yang menempatkan ratusan shop lot dan gerai/bazar yang menjual pelbagai jenis barangan pada harga yang berpatutan. Sudah tentulah murah harganya memandangkan ianya terletak di kawasan bebas cukai.

5. Gua Kelam

Bagi mereka yang inginkan aktiviti yang lebih mendekatkan diri kepada alam semulajadi, salah satu tempat menarik di Perlis yang boleh dilawati ialah di Gua Kelam yang merupakan sebuah gua batu kapur dan juga merupakan sebahagian daripada pembentukan Banjaran Nakawan. Lokasinya pula hanya 30 minit dari Bandar Kangar Perlis. Di pintu masuk Gua Kelam ini anda boleh melihat tangga-tangga dan laluan (Cave Walk) yang telah dibina untuk masuk ke dalam gua dan siap dengan kemudahan lampu bagi menerangi kegelapan gua.

Memandangkan dahulunya gua ini merupakan tempat lombong timah, anda juga boleh melihat koleksi barangan bersejarah yang bersangkut paut dengan industri pelombongan bijih timah. Untuk menerokai Gua Kelam, pengunjung tidak perlu bersusah payah meredah hutan seperti ke Gua Wang Burma. Lokasinya pintu muka guanya sangat dekat dengan kawasan parkir kereta. Sesuai untuk anda datang lawati baik secara berkeluarga atau bersama rombongan pelajar sekolah untuk lebih mendekati keindahan gua batu kapur di sini.

6. Muzium Kota Kayang

Kira-kira 7 km dari Kangar Perlis, terletaknya Muzium Kota Kayang yang menempatkan pelbagai koleksi artifak dan barangan sejarah berkenaan negeri Perlis Indera Kayangan. Muzium Negeri Perlis menempatkan 5 galeri utama yang mempamerkan pelbagai koleksi bahan pameran baik dari zaman pra-sejarah, pakaian Diraja lama, pakaian golongan bangsawan, peralatan senjata peperangan, kebudayaan dan sebagainya.

Tidak terlalu keterlaluan untuk dikatakan, muzium ini memang seindah namanya & merupakan muzium di Malaysia yang mempunyai landskap paling cantik yang akan pernah anda lihat. Lokasinya sangat cantik dengan berlatar belakangkan sebuah bukit hijau kecil dan di depannya pula ada tasik yang menghijau. Kalau dilihat dari sudut tertentu, muzium ini kelihatan seakan-akan terapung di atas air. Tidak hairanlah muzium ini pernah merangkul Anugerah Landskap Tercantik peringkat kebangsaan pada tahun 2006. Sangat sesuai untuk bawa anak-anak ke sini untuk memantapkan lagi ilmu sejarah mereka tentang Negeri Perlis.

7. Galeri Diraja Arau Perlis

Galeri yang hanya terletak bersebelah dengan Istana Raja Perlis di Arau ini menempatkan pelbagai koleksi simpanan barangan Diraja Perlis. Lokasinya hanya terletak kira-kira 20 minit dari Bandar Kangar Perlis. Banyak koleksi menarik yang boleh pelancong lihat sendiri di sini seperti alat kebesaran diraja, bunga emas, ufit-ufti, senapang antik, tembikar-tembikar, pedang, basikal antik, duit lama dan sebagainya.

Tarikan yang paling mendapat perhatian di sini ialah kain kiswah atau lebih sinonim dengan kelambu kaabah yang telah dihadiahkan oleh pemerintah Arab Saudi kepada pemerintah negeri Perlis pada tahun 1965 ketika baginda berangkat ke Mekah. Di sini juga terdapat sebatang penyapu yang pernah digunakan untuk membersihkan perkarangan kaabah di Mekah. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, destinasi sebegini adalah satu tempat menarik di Perlis yang sangat perlu kunjungi supaya anak-anak lebih mengenali bahan bersejarah yang sering menjadi sebahagian soalan-soalan dalam pemeriksaan di sekolah dalam matapelajaran sejarah.

8. Nat Pokok Getah

Perlis susah nak ada trafik jem. Bagi orang KL & Selangor yang selalu memandu di MRR2 & rindu nak rasa traffic jam, bolehlah ke Nat Pokok Getah. Sebagai pelancong dari luar Perlis, destinasi sebegini merupakan tempat yang sangat ideal untuk anda lawati bagi menerokai makanan popular orang setempat & selami budaya jual beli orang Perlis. Nat Pokok Getah merupakan sebuah kawasan pasar pagi di Kangar, Perlis yang terletak dalam kebun pokok getah yang sangat lapang yang menempatkan begitu banyak khemah jualan yang menjual pelbagai produk samaada bahan mentah masakan , makanan popular orang Perlis, pakaian, buah-buahan, benih pokok, barangan antik & sebagainya.

Antara makanan popular di Perlis yang boleh anda cari di sini adalah ikan pekasam, aneka kuih muih, tapai, laksa beras, goreng-gorengan & sebagainya. Nat Pokok Getah ini sebenarnya sudah lama bertapak di Perlis sejak tahun 1998 lagi. Di Perlis ada beberapa destinasi Nat (pasar pagi) untuk anda terjah & Nat Pokok Getah adalah antara yang paling popular, paling besar, paling meriah & paling traffic jam. Sekiranya keadaan di sini terlalu sesak, destinasi nat lain yang boleh anda pergi adalah Nat Behor Lateh yang terletak kira-kira 10 km dari sini.

Bagi yang ingin menyelami keunikan negeri Perlis, anda juga boleh lawati Pesta Angin Timur yang merupakan satu festival tahunan yang sangat menarik untuk pelancong luar lawati kerana pelbagai aktiviti kemasyarakatan, pertandingan sukan rakyat & pameran akan diadakan. Jadi tunggu apa lagi? Jom lawat negeri Perlis!

Sumber:

https://www.caridestinasi.com/tempat-menarik-perlis/

https://www.libur.com.my/30-tempat-menarik-di-perlis-sekali-seumur-hidup-korang-kena-singgah/

https://www.trixoli.com/my/ms/destinasi/malaysia/perlis/

Summary
Kangar Perlis: Tempat Menarik Indera Kayangan
Article Name
Kangar Perlis: Tempat Menarik Indera Kayangan
Description
Kalau sebut sahaja pasal aktiviti pelancongan & tempat menarik di Kangar Perlis yang popular, destinasi bergua seperti Gua Kelam & Gua Wang Burma merupakan antara destinasi yang selalu dicadangkan.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: