Kalori makanan
Kalori makanan adalah satu aspek yang penting terutama bagi mereka yang sedang berjuang untuk menurunkan berat badan atau menjalani diet yang sihat demi kebaikan sendiri.

Kalori adalah sejenis unit tenaga. Dalam aspek pemakanan, kalori merujuk kepada tenaga yang diperoleh daripada makanan dan minuman yang diambil, dan tenaga yang digunakan dalam aktiviti fizikal. Kita semua memerlukan tenaga ini untuk hidup dan kekal sihat. Malah, semua aktiviti yang kita lakukan bergantung pada tenaga yang terdapat dalam bentuk kalori.

Seterusnya, makanan yang kita makan menjadi bahan bakar yang mengalir dalam badan. Makanan sihat membekalkan kalori (tenaga) dan nutrien penting untuk membina tulang dan otot yang kuat. Kita mungkin menyangka bahawa kalori hanya terdapat pada makanan, namun minuman juga mengandungi kalorinya tersendiri. Ketahui juga bahawa tidak semua kalori adalah sihat dan baik buat badan. Justeru itu, pengambilan kalori haruslah berpada mengikut keperluan badan masing-masing.

Bagaimana kalori berfungsi?

Selama bertahun-tahun, kalori menjadi satu aspek yang penting terutamanya bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan atau sebaliknya.  Malah, ia juga dilihat penting memandangkan kandungan kalori seharusnya perlu dinyatakan pada setiap produk makanan atau minuman. Tetapi, pernahkah anda terfikir apa sebenarnya kalori itu?

Jumlah kalori dalam makanan adalah ukuran berapa banyak tenaga berpotensi yang dimiliki oleh makanan tersebut. Satu gram karbohidrat mempunyai 4 kalori, satu gram protein mempunyai 4 kalori dan satu gram lemak pula mempunyai 9 kalori. Makanan adalah kompilasi daripada ketiga-tiga blok makanan ini. Oleh itu, jika anda mengetahui berapa banyak kandungan karbohidrat, lemak dan protein dalam makanan tertentu, anda boleh mengetahui berapa banyak kalori, atau berapa banyak tenaga yang terkandung.

Jadi, berapa banyak kalori yang diperlukan oleh sel badan untuk berfungsi dengan baik? Jumlahnya adalah berbeza bagi setiap orang dan terdapat tiga faktor utama yang terlibat dalam pengiraan jumlah kalori yang diperlukan oleh badan setiap hari:

  • Aktiviti fizikal – jumlah kalori yang dibakar selepas melakukan aktiviti seperti berjalan kaki, berjoging dan lain-lain.

  • Kesan terma makanan – jumlah tenaga yang digunakan oleh badan untuk mencerna makanan yang diambil.

Keperluan kalori setiap hari

Rata-rata individu lelaki memerlukan 2,700 kcal sehari dan individu wanita pula memerlukan 2,200 kcal sehari.

Tidak semua orang memerlukan jumlah kalori yang sama setiap hari. Individu mempunyai kadar metabolisme berbeza yang membakar tenaga pada kadar berlainan serta sebilangan orang juga mempunyai gaya hidup yang lebih aktif berbanding yang lain.

Pengambilan kalori yang disyorkan setiap hari bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah:

  • kesihatan umum secara keseluruhan
  • tuntutan aktiviti fizikal
  • jantina
  • berat badan
  • tinggi
  • bentuk badan

Kalori makanan dan kesihatan

Tubuh manusia memerlukan kalori untuk kekal hidup. Tanpa tenaga yang mencukupi, sel-sel dalam badan akan mati, jantung dan paru-paru akan terhenti, serta organ-organ tidak dapat menjalankan proses asas yang diperlukan untuk terus hidup. Badan kita menyerap tenaga ini daripada sumber makanan dan minuman.

Sekiranya individu mendapatkan jumlah kalori seperti yang diperlukan setiap hari, mereka mungkin akan menjalani kehidupan yang sihat. Berbeza pula dengan pengambilan kalori yang terlalu rendah atau terlalu tinggi kerana kedua-duanya boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Kalori makanan dan kenaikan berat badan

Kalori dalam makanan menyediakan tenaga penting yang diperlukan oleh badan, tetapi jika anda mengambilnya dengan terlalu banyak, penambahan berat badan boleh berlaku. Kalori yang berlebihan ini akan disimpan sebagai lemak badan. Tubuh anda memerlukan sedikit lemak yang tersimpan untuk kekal sihat. Tetapi, terlalu banyak lemak boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Oleh itu, bagaimana untuk memastikan bahawa anda tidak makan terlalu banyak kalori? Inilah pentingnya untuk kita memahami keperluan kalori sendiri kerana ia akan menentukan jumlah kalori yang diperlukan oleh tubuh untuk melakukan fungsi metabolik asas dan aktiviti fizikal harian. Anda boleh mengira keperluan kalori anda menggunakan formula mudah atau kalkulator secara atas talian.

Pakar menganggarkan bahawa jika anda mengambil kira-kira 3,500 kalori secara berlebihan, anda akan mengalami pertambahan berat badan sebanyak satu paun, walaupun kenyataan ini banyak dipertikaikan.

Walau bagaimanapun, perkara yang paling penting dalam aspek berat badan adalah kadar pengambilan kalori tidak boleh dikurangkan atau ditambahkan secara drastik. Ia mungkin boleh membahayakan kesihatan anda dan menyebabkan masalah kesihatan.

Kalori makanan dan penurunan berat badan

Satu paun lemak badan menyimpan kira-kira 3500 kalori (kcal). Untuk menghilangkan satu paun lemak dalam seminggu, anda mesti mengambil kira-kira kurang dari 500 kalori (kcal) sehari daripada yang digunakan dalam proses metabolisme dan bersenam.

Jumlah kalori yang dibakar dalam sehari termasuklah kalori kadar metabolisme basal yang dibakar hanya untuk memastikan tubuh berfungsi, ditambah pula dengan kalori tambahan yang dibakar dalam aktiviti fizikal. Tubuh anda akan membakar kalori untuk mengekalkan suhu badan, bernafas, mengedarkan darah, mencerna makanan, mengeluarkan sisa, membina dan memperbaiki sel dan tisu, dan mengekalkan aktiviti otak dan sistem saraf.

Selain itu, julat pembakaran kalori harian adalah dari 1600 kalori (kcal) untuk wanita yang tidak aktif atau individu lebih tua hinggalah 2800 kalori (kcal) untuk lelaki aktif, serta bagi wanita yang sangat aktif, dan juga remaja lelaki.

Kaedah terbaik untuk mengesan pengambilan kalori

Anda boleh menggunakan buku nota atau buku makanan harian, dan melakukan pengiraan kalori secara manual berdasarkan formula yang boleh didapati secara atas talian. Tetapi dalam zaman moden ini, kaedah terbaik adalah menggunakan laman web yang boleh mengira kandungan kalori secara automatik bagi membantu anda sentiasa peka dengan pengambilan kalori anda. Anda hanya perlu memilih makanan yang anda makan, minuman yang anda minum, kemudian aplikasi atau laman web tersebut akan mengira kalori dan memberi anda nilai pemakanan setiap hari. Anda juga boleh mengesan kalori yang dibakar oleh badan anda setiap hari secara percuma.

Antara aplikasi mudah yang boleh muat turun adalah seperti:

1. MyfitnessPal

2. Lose It!

3. FatSecret

Pilih aplikasi yang sesuai untuk anda supaya ia dapat digunakan dengan mudah tanpa banyak gangguan. Ini akan membantu proses pengiraan pengambilan kalori setiap hari untuk memastikan anda berada di landasan yang betul.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/263028

https://www.verywellfit.com/what-is-a-calorie-and-why-should-i-care-3496238

https://health.howstuffworks.com/wellness/diet-fitness/weight-loss/calorie2.htm

https://www.businessinsider.my/best-calorie-counting-apps-lose-weight-2019-3

Summary
Kalori makanan
Article Name
Kalori makanan
Description
Kalori adalah sejenis unit tenaga yang merujuk kepada tenaga diperoleh daripada makanan dan minuman, serta tenaga yang digunakan dalam aktiviti fizikal.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: