kajang selangor

Untuk warga kota yang tak sempat nak bergerak jauh untuk berfood hunting, salah satu lokasi terdekat yang boleh dilawati dan tidak kurang banyak tempat makan bestnya adalah di Kajang, Selangor.

Setelah berhari-hari bekerja, sebaik tiba hujung minggu mesti ramai yang tak sabar-sabar untuk memberikan ganjaran kepada diri sendiri atau ingin meluangkan masa bersama keluarga. Salah satu cara terbaik untuk melakukan semua ini adalah dengan menikmati hidangan enak yang dapat membuatkan anda tersenyum kepuasan.

Itik Salai Masthar

Sedap tak sedap Itik Salai Masthar Kajang Selangor ini sampaikan food vlogger terkenal dari Amerika pun sanggup terbang ke Malaysia semata-mata nak mencuba hidangan di sini. Lepas je cuba masakan salai di sini, tanpa ragu-ragu dia mengatakan bahawa gulai masak lemak cili padi di sini adalah antara yang terbaik yang pernah dinikmati.

Untuk pengetahuan anda, Itik Salai Masthar menghidangkan pelbagai jenis menu klasik Negeri Sembilan seperti daging salai masak lemak, itik salai dan ikan keli salai, tahap kepedasan masak lemaknya juga sangat memuaskan.

Anda boleh menikmati hidangan ini bersama dengan ulam-ulaman yang disediakan. Mereka turut menyediakan sambal, telur itik, keli goreng, ikan bakar, ayam percik ibu, bingsu dan macam-macam lagi.

Itik Salai Masthar - Restoran Kajang

Mishaltit @ De Centrum Mall

Mishaltit Kajang Selangor adalah sebuah restoran masakan timur tengah  dan barat yang terletak di tingkat 2 DeCentrum Mall. Restoran bertemakan warna oren ini menawarkan masakan seperti Double Cheese Shawarma Chicken, Mexican Chicken Pizza, burger, nasi Arab dan banyak lagi.

Untuk pengetahuan anda, burger di sini bukan macam burger biasa, sebab saiz rotinya cukup besar dan daging yang digunakan juga jauh lebih istimewa, cukup juicy. Hidangan yang enak ini boleh dinikmati bersama dengan jus buah yang dihidangkan dalam jug yang besar.

Mishaltit @ De Centrum Mall Kajang

Nim’s Little Island Café

Terletak di dalam struktur kayu, Nim’s Little Island Café Kajang Selangor ini adalah sebuah kafe dengan vibe semula jadi sesuai dengan namanya.

Kedai makan yang menjadi spot kegemaran ramai pelajar UKM ini menghidangkan pelbagai jenis makanan yang enak terutama sekali hidangan signature mereka iaitu kerabu siakap tiga rasa, tomyam campur dan juga udang goreng tepung.

Masakan lain yang turut mendapat pujian ramai adalah kuew teow kungfunya yang dihidangkan dalam saiz yang mengenyangkan dan tidak kedekut dengan isi seafood.

Di samping itu, yee mee sizzlingnya pun tak kurang sedapnya. Bagaimana pula dengan harga? Cukup murah. Singgahlah kalau ada di kawasan berdekatan ya?

Nim's Little Island Café Kajang

Roti Canai D’Bukit

Semasa memandu menaiki bukit di sekitar Kajang tiba-tiba ternampak kawasan yang meriah dengan orang ramai, berkemungkinan besar itulah lokasi Roti Canai D’Bukit.

Warung ini cukup terkenal sebagai tempat bersarapan pagi yang paling sedap di Kajang. Menu yang menjadi kegilaan ramai di sini adalah roti canainya yang dimakan bercicahkan kari kambing.

Selain ini, hidangan lain yang juga mendapat perhatian daripada para pengunjung adalah sate, soto, nasi lemak, mee sup, otak-otak dan mee jawa. Bolehlah datang setiap minggu untuk cuba setiap menu yang ada. Bukan setakat makanan, teh aisnya pun semacam sedapnya.

Sekadar tips untuk ke sini, sekiranya anda datang dalam sekitar pukul 8 pagi pada hujung minggu, ada kemungkinan mudah untuk anda mendapatkan tempat duduk kerana kebiasaannya mereka yang datang minum selepas solat subuh di masjid sudah pun pulang ke rumah.

Roti Canai D Bukit Kajang Gambar Restoran

Kafe Kambing Kacak

Tertanya-tanya nak makan apa weekend nanti dengan keluarga? Kami cadangkan untuk anda cuba hidangan di Kafe Kambing Kacak. Anda boleh memilih daripada pelbagai pilihan makanan yang ditawarkan daripada menu mereka.

Antara yang mesti dicuba dan menjadi pilihan ramai pelanggan ialah seperti Kambing Kacak Special, Chicken Mandy, Lamb Kabsa, Pizza, Lamb Shank dan Kebab Roll. Datanglah dengan perut yang lapar, baru terasa nikmatnya! Jangan risau, service Kafe Kambing Kacak ni pun mantap, cukup cepat!

Kafe Kambing Kacak Kajang Gambar Kedai

Marjorina Café

Kafe dengan dekorasi dalaman bergaya industrial, Marjorina Café adalah sebuah kafe yang selesa untuk dijadikan lokasi untuk relaks bersama rakan-rakan atau keluarga.

Atmosferanya disempurnakan dengan alunan muzik yang sedap didengar dan juga cahaya lampu malap yang selesa pada pandangan mata. Udara di dalam kafe juga dingin beraircond, sedar tak sedar boleh jadi berjam lama anda lepak dalam kafe ni disebabkan suasananya yang mendamaikan.

Mengenai menu yang ada, kafe ini menghidangkan makanan seperti cheese korean chicken pasta, waffle platter, cheesy seafood, salted egg chicken chop, cheese burger, salted egg french fries, pomodoro rice chicken, mac and cheese, cheese toast, chicken bolognese dan macam-macam lagi.

Hidangan pencuci mulutnya juga wajib dicuba contohnya oreo mille crepe cake dan caramel crepe. Suka minum kopi? Anda pasti tak akan kecewa dengan kualiti kopi yang disediakan di Marjorian Café.

Marjorina Café Kajang Gambar Restoran

Food Valet  (Nasi Goreng Gila)

Salah satu tempat makan terkenal di Kajang adalah kawasan food court yang dinamakan Food Valet. Di sini, macam-macam gerai viral ditempatkan di dalam satu lokasi yang sama, tak perlu pening kepala nak pilih apa sebab masing-masing ada keistimewaan tersendiri. Namun begitu, dalam banyak-banyak gerai yang ada, gerai Nasi Goreng Gila ini adalah antara yang paling terkenal di Food Valet.

Jangan tawar hati pula bila tengok harganya yang tak sama macam nasi goreng biasa, memang nampak mahal, setaraf harga masakan western, tapi sebenarnya, nasi goreng di sini lain macam sedapnya, seperti namanya, memang sedap ‘Gila’!

Dengan harga yang mencecah belasan ringgit sepinggan, nasi gorengnya dihidangkan bersama dengan potongan kecil daging, ayam, udang, sotong, sosej dan fishcake. Siap dengan telur goyang, keropok, sambal belacan dan sup.

Macam mana tak jatuh cinta? Bagaimana pula dengan nasi goreng specialnya? Kena datang dulu, baru tahu.

Food Valet Nasi Goreng Gila Kanjang - Gambar Restoran

Dah ada idea tempat makan menarik di Kajang yang mana akan anda sekeluarga cuba? Atau rambang mata dengan pilihan yang ada?

Sumber:

https://www.maisinggah.com/tempat-makan-menarik-di-kajang/

https://ammboi.my/tempat-menarik-di-kajang/

https://saji.my/ikan-bakar-kajang/

Summary
kajang Selangor: Tempat Makan Menarik Di Kajang
Article Name
kajang Selangor: Tempat Makan Menarik Di Kajang
Description
Untuk warga kota yang tak sempat nak bergerak jauh untuk berfood hunting, salah satu lokasi terdekat yang boleh dilawati dan tidak kurang banyak tempat makan bestnya adalah di Kajang, Selangor.
Author
Publisher Name
Ceria Sihat
Tagged: